Saturday, October 15, 2005

Razali Samad: "Cikgu Sharif"

Apa kamu berdua buat di sini?” sergah Cikgu Sharif.

Kepala Hassan dan Hasnah terpaling ke kiri dan mata masing-masing memandang ke arah orang yang menyergah mereka.

Ohh…. Cikgu!” Hassan dan Hasnah serentak bersuara.

Sudah lama saya perhatikan kamu berdua,” sambung Cikgu Sharif. “Semasa rehat, kamu selalu menuju ke rimbunan pokok pisang di hujung padang ini,” kata Cikgu Sharif sambil memandang Hassan dan Hasnah. “Mengapa kamu berdua makan dicelah-celah pokok pisang ini?” tanya Cikgu Sharif. “Mengapa kamu berdua tidak makan di kantin?” tanya Cikgu Sharif lagi tanpa menunggu jawapan daripada Hassan dan Hasnah.

Kami…. Kami…,” kata Hassan dan Hasnah serentak tanpa dirancang.

Apa yang kamu makan?” Cikgu Sharif terus mendesak.

Beri saya lihat,” tambah Cikgu Sharif sambil tangannya mencapai bungkusan daun pisang di hadapan Hassan dan Hasnah.

Jangan, cikgu! Nanti emak marah,” Hassan terus bersuara.

Apa makanan yang kamu bungkus dalam daun pisang ini?” suara Cikgu Sharif terus meninggi.

Jangan! Jangan!” jerit Hassan dan Hasnah serentak sambil tangan mereka menekap makanan berbungkus daun pisang.

Alihkan tangan kamu,” arah Cikgu Sharif.

Tolonglah, cikgu. Nanti emak saya marah,” suara Hassan terketar-ketar. Air matanya mula bergenangan.

Kalau kamu berdua tidak benarkan saya tengok, saya bawa kamu berdua jumpa guru besar,” gertak Cikgu Sharif

Mendengar ugutan itu, tengan Hassan dan Hasnah terlerai daripada menekap bungkusan makanan daun pisang.

Apa ini?” suara Cikgu Sharif agak terkejut apabila membuka bungkusan daun pisang di hadapan Hassan dan Hasnah. “Ini makanan jenis apa?” Soal Cikgu Sharif.

Em.. Emak bekalkan kami nasi putih sahaja, kemudian kami campurkan dengan minyak masak dan garam, cikgu,” kata Hassan.

Hasnah masih tunduk malu.

Kamu makan makanan begini setiap harikah?” tanya Cikgu Sharif lagi.

Itu sahaja yang emak kami mampu bekalkan,” Hasnah mula bersuara.

Kami berdua makan jauh-jauh di celah pokok pisang ini kerana kami malu rakan-rakan kami nampak makanan yang kami bawa,” kata Hasnah sambil tersedu.

Kami malu makan di kantin, sebab itu kami tidak pernah membeli makanan di kantin. Kami pun hanya meminum air paip di tandas,” sambung Hassan.

Petang ini cikgu akan ke rumah kamu, beritahu ibu bapa kamu,” pesan Cikgu Sharif.

Jangan, cikgu. Cikgu jangan datang ke rumah saya, nanti ayah saya marah dan akan memukul saya,” kata Hassan sambil menangis.

Ayah saya berpesan, saya tidak boleh meminta pertolongan orang lain walaupun kami sangat susah,” sambung Hassan.

Kamu berdua jangan risau, nanti cikgu uruskannya,” tegas Cikgu Sharif.

Petang itu Cikgu Sharif ke rumah Hassan dan Hasnah dengan membawa pelbagai keperluan dapur dan persekolahan.

Terima kasih, cikgu. Inilah kali pertama kami dapat memakai kasut dan pakaian sekolah yang baru,” kata Hassan.


Tuesday, October 11, 2005

Teks Agama: Isu Budaya

Para pelajar teori terjemahan belajar tentang (a) teori terjemahan linguistik dan (b) teori terjemahan budaya.

Pakar-pakar teori terjemahan di Barat mengatakan terjemahan budaya tidak boleh dilakukan. Sebagai contoh seseorang itu melakukan terjemahan budaya apabila ayat "They held a party to celebrate their victory." menjadi "Mereka mengadakan kenduri bagi meraikan kemenangan mereka." Mereka sudah mengemukakan teknik-teknik memindahkan unsur budaya ke dalam bahasa sasaran. Adakah teknik-teknik yang mereka cipta itu dapat digunakan bagi menterjemahkan teks agama Islam?

Teks-teks tentang agama Islam terdiri daripada 5 kategori:

1. Teks Quran
2. Teks hadith
3. Teks yang diucapkan oleh sahabat-sahabat Nabi Muhammad, yang lazimnya mengiringi teks hadith.
5. Teks yang diucapkan oleh perawi hadith.
4. Teks yang ditulis oleh pengarang kitab-kitab agama.

Teks agama tidak terlepas daripada mengandungi banyak unsur-unsur budaya. Teks Quran, hadith dan tulisan pengarang kitab-kitab agama mengandungi unsur budaya yang banyak. Bagaimanakah caranya menterjemahkan unsur-unsur budaya yang terdapat dalam teks Arab ke dalam bahasa Melayu?

Isu unsur budaya muncul dalam teori terjemahan Barat disebabkan pengalaman mereka cuba menterjemahkan Bible ke dalam bahasa-bahasa dunia. Perlu disebut di sini para pelopor teori terjemahan moden sebagaimana yang diketahui hari ini adalah para mubaligh Kristian.

(Kita akan membincangkan isu ini apabila saya pulang dari bertugas outstation.)


Bahasa Moden untuk Teks agama

Hadith ke-2 dalam Koleksi Hadith 40 Imam Nawawi

Khalifah Umar bin Khatab melaporkan, katanya, “Pada suatu hari semasa kami sedang duduk dengan Nabi Muhammad, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang memakai pakaian sangat putih bersih dan rambutnya hitam berkilat. Tidak ada tanda-tanda dia baru datang dari jauh. Tidak seorang pun antara kami yang mengenali siapa orang itu.

Lelaki itu datang lalu duduk betul-betul di depan Nabi Muhammad, sehingga kedua-dua buku lalinya bersentuhan dengan buku lali beliau.

Kemudian lelaki itu meletakkan kedua-dua belah tapak tangannya di atas paha Nabi Muhammad, lalu dia bertanya, 'Terangkan apa itu Islam?'

Jawab Nabi Muhammad, 'Islam adalah kita mengakui bahawa tiada tuhan lain kecuali Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah, kita bersembahyang, kita membayar zakat, kita berpuasa sepanjang bulan Ramadhan, dan kita naik haji apabila mampu.'

'Betul,' kata lelaki itu.


Kami semua berasa hairan, bagaimana pula dia yang bertanya kemudian dia pula yang mengatakan jawapan itu betul.

Kemudian lelaki itu bertanya lagi, 'Terangkan apa itu iman?'

Jawab Nabi Muhammad, 'Kita percaya kepada Allah, kita percaya kepada malaikat-malaikatnya, kita percaya kepada kitab-kitab suci yang diterima oleh para pesuruh Allah, kita percaya adanya alam akhirat, dan kita percaya kepada takdir Allah, sama ada yang baik mahupun yang buruk.'

'Betul,' kata lelaki itu.

Kemudian dia bertanya lagi, 'Terangkan apa itu ihsan?'

Jawab Nabi Muhammad, 'Kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu nampak dia, dan apabila kamu tidak nampak dia, kamu yakin dia nampak kamu.'

Kemudian lelaki itu bertanya lagi, 'Terangkan bilakah kiamat akan terjadi?'

Nabi Muhammad menjawab, 'Yang ditanya dan yang bertanya sama-sama tidak tahu.'

Kemudian lelaki itu bertanya lagi, 'Terangkan apa tanda-tanda dunia akan kiamat?'

Jawab Nabi Muhammad, 'Apabila perempuan-perempuan hamba melahirkan majikan mereka sendiri, apabila orang-orang yang tidak berkasut, orang-orang yang telanjang, orang-orang miskin dan para penternak kambing sudah berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi-tinggi.'

Selepas mendengar jawapan Nabi Muhammad itu, lelaki tersebut pun pergi.

Saya terdiam beberapa waktu sehingga Nabi Muhammad berkata, 'Umar, tahukah saudara siapa lelaki itu tadi?'

Saya menjawab, 'Allah dan Pesuruhnya yang lebih tahu.'

Kata Nabi Muhammad, 'Lelaki itu tadi adalah malaikat Jibril. Dia datang bagi menerangkan kepada saudara-saudara sekalian tentang agama saudara-saudara.'”


Monday, October 10, 2005

Apa Itu Certot?

Certot berasal daripada gabungan dua perkataan CERITA dan KONTOT, sebagaimana 'cerpen' adalah gabungan CERITA dan PENDEK. Istilah certot mula-mula dicipta dan digunakan oleh Hishamuddin Rais.

Pada masa ini buku-buku antologi cerpen sudah tidak laku lagi dalam pasaran. Itulah sebabnya penerbit swasta tidak berminat menerbitkan antologi cerpen, tinggal DBP sahaja yang diharapkan dapat terus berjuang mempertahankan cerpen.

Walaupun cerpen masih diterbitkan, tetapi trend penerbitan cerpen dalam akhbar mingguan dan majalah menunjukkan suatu fenomena yang merisaukan para sasterawan, di mana cerpen-cerpen itu semakin hari semakin pendek! Trend ini tidak sihat untuk karya sastera genre cerpen.

Pada suatu masa dahulu, cerpen yang disiarkan oleh akhbar lebih panjang daripada satu halaman. Sekarang cerpen cukup-cukup satu halaman sahaja. Bersama dengan trend cerpen pendek ini adalah trend turunnya mutu cerpen-cerpen itu.

Sekarang sudah muncul trend baru menggantikan trend membaca cerpen, iaitu trend membaca certot yang betul-betul kontot. Pembaca mulai menerima certot-certot yang baik sekali, meskipun antologi itu dijual dengan harga yang komparitif tinggi.

Certot yang digemari ditulis antara 100 perkataan hingga 500 perkataan sahaja.

Nah! Timbul keperluan bagi mencari penulis-penulis yang memiliki suatu seni baru yang sedang laku sekarang, yakni seni menulis certot.



Halilah: "Cikgu Yusof"

Tiada seorang pun yang dapat menjawab soalan ini!” jerkah Cikgu Yusof.

Murid-murid di Tahun 4 Usaha yang terletak di tingkat dua itu, semuanya menundukkan muka masing-masing.

Semua berdiri di atas kerusi!” jerkah Cikgu Yusof lagi.

Murid-murid itu semuanya menurut. Seorang demi seorang naik ke atas kerusi.

Siapa yang dapat jawab soalan seterusnya, barulah boleh duduk,” kata Cikgu Yusof sambil menulis soalan lain yang lebih mudah di papan hitam.

Abu Samah mengangkat tangan. Dia mara ke hadapan untuk menyelesaikan soalan matematik itu. Cikgu Yusof sedia memerhati jawapan yang ditulis oleh Abu Samah.

Betul. Kamu boleh duduk,” kata Cikgu Yusof kepada Abu Samah.

Dengan dada yang sengaja dikembangkan, Abu Samah duduk di tempatnya. Sengaja dia mendongak memandang teman-temannya yang masih berdiri, sambil mempamerkan giginya yang tidak cukup sebatang.

Siapa pula yang boleh selesaikan soalan ini?” Cikgu Yusof bersuara sambil menulis beberapa soalan lain.

Kali ini Rashidah, Asiah, Alif dan Adam pula yang mengangkat tangan. Seorang demi seorang berjaya menyelesaikan soalan-soalan yang ditulis di papan hitam

Lama-kelamaan, hanya tinggal Sarip seorang sahaja yang masih berdiri di atas kerusi. Terkebil-kebil matanya memandang ke kiri dan ke kanan. Teman-teman yang lain semuanya tersengih-sengih memandangnya.

Sarip!” Cikgu Yusof sengaja menjerkah Sarip yang sedang mengelamun walaupun sedang berdiri di atas kerusi.

Sarip, murid ‘teristimewa’ di kelas itu. Di kala usianya menjangkau sepuluh tahun pun, Sarip masih belum dapat menghafal ABC. Inikan pula hendak membaca....

Kalau kamu tidak dapat menyelesaikan soalan ini, terjun bangunan sahajalah!” jerkah Cikgu Yusof.

Sarip cuma tersengih-sengih. Dia memang biasa dijerkah begitu. Tiada satu hari pun yang mengecualikannya daripada tidak dijerkah oleh Cikgu Yusof.

Selesaikan soalan ini!” laung Cikgu Yusof walaupun Sarip berada hanya beberapa inci sahaja di hadapannya.

Sarip mara ke hadapan. Selpas beberapa lama, dia masih juga terkial-kial di hadapan papan hitam. Soalan tiga perpuluhan kosong-kosong darab kosong, terlalu sukar dirasakannya. Soalan itu memang khas untuk Sarip.

Soalan begini pun kamu tidak dapat jawab!” jerkah Cikgu Yusof sekali lagi. Sarip cuma tersengih-sengih seperti selalu.

Pergi keluar! Terjun ke bawah!” sekali lagi Cikgu Yusof menjerkah.

Air mata Sarip tiba-tiba sahaja bergenang.

Terjun bangunan lagi bagus!” tengking Cikgu Yusof lagi. Sebenarnya, bukanlah niatnya hendak menyuruh Sarip terjun bangunan. Cikgu Yusof sekadar menggertaknya sahaja.

Tanpa diduga, Sarip meluru keluar sambil membawa bersama kerusinya. Cikgu Yusof terpaku seketika melihat perlakuan Sarip. Murid-murid lain juga begitu.

Sarip menangis teresak-esak sambil berusaha memanjat tembok. Dia benar-benar hendak terjun!

Sarip! Sarip! Jangan terjun!” Cikgu Yusof meluru keluar mendapatkan Sarip.

Sarip hendak bunuh diri! Sarip hendak bunuh diri!” Kelas Tahun 4 Usaha gempar.

Jangan terjun, Sarip!” Cikgu Yusof menarik tangan Sarip yang masih berpaut pada tembok.

Saya mahu terjun juga,” kata Sarip sambil teresak-esak. Barangkali dia kesal kerana dilahirkan dengan otak yang bebal. Barangkali benar juga kata-kata Cikgu Yusof, lebih baik dia terjun bangunan sahaja.

Janganlah, Sarip...,” pujuk Cikgu Yusof. Dia tidak lagi menengking Sarip seperti sebelumnya.

Sudah... sudah... mari masuk,” Cikgu Yusof menarik tangan Sarip masuk ke dalam kelas. Sarip kembali duduk di tempatnya. Cikgu Yusof menurut dada sambil menarik nafas kelegaan.


Teori Penghasilan Novel Islami yang Indah

Artikel ini diulangsiar disebabkan yang original terbuang gara-gara hendak membuang spam honar.

Apabila saudara menulis novel Islami, berikut adalah formula bagi menghasilkan kisah yang indah. Ciri-ciri keindahan pada Kisah Yusuf adalah seperti berikut:

  1. Jalan cerita Nabi Yusuf adalah panjang. Tempoh waktu kisah Nabi Yusuf adalah semenjak dia masih kecil sehingga dia dewasa, iaitu sehingga dia menjadi menteri di Mesir. Cuba lihat tempoh kisah Hang Tuah, ia serupa dengan ciri kepanjangan kisah Nabi Yusuf.

  2. Watak utama dalam surah Yusuf adalah manusia yang ideal. Nabi Yusuf amat tampan dan baik. Bandingkan ini dengan Hang Tuah, manusia Melayu ideal bagi zamannya, dan dengan Superman yang juga watak ideal. Berdasarkan surah Yusuf sebagai model kisah indah yang dianjurkan dalam Islam, ini bermakna dalam novel Islami, orang jahat, seperti perompak, penjudi, pemabuk, pelacur, isteri nusyuz, lelaki dayus, penzina, ateis, pemimpin zalim, pembunuh diri, hipokrit, anak derhaka, pemalas, orang jahil, dan yang seumpama itu, termasuk simbol-simbol jahat seperti 'shit' tidak boleh dijadikan watak utama. Mereka hanya boleh dijadikan watak-watak pembantu yang berfungsi sebagai antitesis kepada watak utama.

  3. Bahasa yang digunakan adalah bahasa Tinggi, meskipun bagi dialog anak bayi. Seluruh surah Yusuf adalah dalam bahasa Arab Tinggi. Hikayat Hang Tuah menggunakan bahasa standard seluruhnya. Juga menarik adalah filem-filem tahun 60an yang menggunakan bahasa standard. Penggunaan bahasa standard dalam dialog mencipta kesan surrealisme. Afiks 'sur' dalam bahasa Perancis bermakna 'lebih tinggi dari yang real'. Daripada sudut ini, novel Islami tidak dapat dikategorikan sebagai tergolong dalam aliran 'realisme'. (Kita akan bincangkan aspek teoretis ini dalam artikel lain, sila tunggu).

  4. Banyak watak. Dalam kiah Nabi Yusuf terdapat banyak watak sampingan dan banyak jenis-jenis watak, daripada raja sampai kepada hamba, daripada bayi sampai kepada orang tua, daripada watak baik sampai kepada watak jahat. Dalam Hikayat Hang Tuah, jumlah dan jenis watak juga banyak.

  5. Jalan cerita adalah kompleks. Banyak sub-plot (cerita-cerita kecil dalam cerita besar), sekurang-kuranya terdapat lima sub-plot besar dalam kisah Nabi Yusuf. Dalam Hikayat Hang Tuah, jumlah sub-plot adalah banyak, malah lebih banyak daripada jumlah sub-plot dalam kisah Nabi Yusuf.

  6. Banyak jenis pengajaran. Pengajaran yang jelas dalam kisah Nabi Yusuf adalah yang baik dibalas baik, tetapi watak yang jahat tidak dihukum. Keinsafan datang dari dalam diri watak jahat itu sendiri. (Sila baca perbincangan kita tentang Hukum Karma dalam novel Islami dalam blog ini).

Enam ciri di atas kebetulan semuanya terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, maka tidak hairanlah mengapa karya itu berjaya mencapai taraf karya agung dalam sastera Melayu sehingga hari ini.

Nota: Kita tidak mengatakan semua unsur dalam Hikayat Hang Tuah dapat diterima oleh teori novel Islami, sebagai contoh, apakah episod pembunuhan Hang Jebat itu selari dengan teori novel Islami tidak kita bincangkan dalam konteks artikel ini. Tanpa mengatakan apakah Hikayat Hang Tuah itu contoh karya Islam ataupun tidak, kita tidak dapat menolak bahawa karya itu memiliki ciri-ciri keindahan selaras dengan yang terdapat dalam surah Yusuf.


Sunday, October 09, 2005

Curi Mencuri Penulis

Kita mula menerima manuskrip daripada pengarang yang sebelum ini menerbitkan karya-karya mereka dengan penerbit-penerbit lain, seperti DBP, Alaf21, Creative, dan Utusan.

Situasi ini amat sensitif di kalangan komuniti penerbit, mungkin tidak pada penulis.

Bagi penulis, menukar penerbit adalah isu mencari peluang menerbitkan lebih banyak karya, ataupun mencari penerbit yang lebih baik tawaran royaltinya, ataupun lebih cepat tempoh penerbitannya, ataupun lebih mudah berunding dengannya.

Bagi penerbit pula, ini adalah isu sikap perniagaan dan nilai persahabatan.

Dato' Dr. Firdaus Abdullah, En. Nordin Mohamed, En. Jaafar Taib dan Cik Roselina adalah rakan-rakan baik kita dan kami sudah kenal lama, malah budi mereka sudah pernah dimakan!

Kita sangat menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan yang sebenarnya adalah sahabat seperjuangan dalam memartabatkan karya-karya Melayu. Oleh itu kita tidak mengamalkan perbuatan curi-mencuri penulis.

Inilah fakor yang mendorong kita melabur banyak dalam aktiviti melatih penulis-penulis baru, supaya kita tidak perlu mencuri penulis penerbit lain.

Kita juga menggubal strategi dan program penerbitan produk-produk yang tidak bersaing dengan produk rakan-rakan penerbit lain.

Sebagai contoh, dalam penerbitan karya kreatif yang akan diselenggarakan oleh FORTUNA mulai Januari 2006, kita mempunyai aktiviti R&D sendiri bagi membangunkan karya-karya yang ditulis dengan mematuhi prinsip-prinsip dan teknik-teknik dalam surah Yusuf. Dengan demikian kita tidak akan masuk bersaing dalam pasaran novel cinta remaja.

Tidak dinafikan kita ada menerbitkan karya penulis yang pernah menerbitkan karya mereka dengan DBP seperti Dr. Robiah K. Hamzah, Rejab FI dan AJIKIK, tetapi penulis-penulis itu tidak kita curi. Kita secara terbuka memaklumkan hal itu kepada DBP dan DBP mengambil sikap amat terbuka, malah membantu kita bagi membolehkan karya-karya itu kita terbitkan.

Jika saudara sudah menerbitkan karya saudara dengan rakan penerbit kita, dan bercadang menghantar manuskrip baru saudara kepada kita, sekiranya kami terima, kita akan maklumkan kepada rakan penerbit itu supaya semua perkara adalah telus, demi menjaga hubungan baik sesama rakan seperjuangan.

Sebagai penulis, saudara dinasihati supaya memberitahu penerbit saudara niat saudara hendak menghantar manuskrip baru saudara kepada mana-mana penerbit lain. Dengan cara itu hubungan baik saudara dengan penerbit saudara dapat dijaga.

Masa depan saudara masih panjang. Saudara tidak tahu, besok lusa jangan-jangan saudara perlu menerbitkan karya saudara dengan mereka lagi.