Saturday, October 08, 2005

Nura: "Cikgu Zaleha"

Cikgu sudah sampai?” tanya Ruzaihan kepada rakan sekelasnya, suaranya antara dengar dengan tidak.

Belum,” balas Khairul Anuar.

Ruzaihan mencari sesuatu di dalam begnya. Sebuah buku diletakkan di atas meja. Nanti apabila masuk sahaja cikgu yang mengajar mata pelajaran kimia itu dia mahu menggunakan buku itu sebagai perisai.

Hari ini kita dapat cikgu kimia baru,” bisik Khairul Anuar.

Ya? Walau siapa pun cikgu itu, saya tetap benci dengan pelajaran kimia!” Ruzaihan menceceh sambil menggosok-gosok matanya yang berair kerana baharu lepas menguap. Kimia, adalah satu-satunya mata pelajaran yang paling dimusuhinya.

Jangan hendak berlagak. Awak belum pernah melihat dia,” giat Khairul Anuar sambil tersengih. “Sekali awak sudah lihat dia...” sengaja Khairul Anuar tidak menghabiskan ayatnya. Biar kawannya itu tertanya-tanya. Hakikat yang sebenarnya dia sendiri pun belum pernah melihat wajah guru barunya itu.

Apa yang istimewa sangat?” malas sahaja nada suara Ruzaihan. Kepalanya telah lama terlentok di atas meja. Hanya kelopak mata sahaja yang belum terkatup.

Nanti awak tengoklah sendiri.”

Ruzaihan memanjangkan leher ke luar kelas apabila telinganya menangkap bunyi keletup, keletap sepatu Cikgu Kamaluddin yang terkenal itu.

Bangun!” ketua kelas memberi arahan agar warga kelas tingkatan 5 itu memberi penghormatan kepada Cikgu Kamaluddin yang baru masuk. “Selamat tengah hari, cikgu.”

Selamat tengah hari, cikgu,” serentak semua pelajar-pelajar tingkatan 5 itu menyambut.

Tengah hari,” balas Cikgu Kamaluddin ringkas. “Hari ini saya tidak mengajar, saya hanya mahu memperkenalkan kamu dengan cikgu baru. Sebentar lagi dia akan sampai,” tokoknya lagi.

Kepala Ruzaihan tegak. Kebiasaannya sebaik sahaja cikgu yang terkenal dengan gelaran Kamaluddin Tomoi itu mula membuka mulut dia pasti akan menegakkan bukunya di betul-betul di depan mukanya sebagai perisai bagi menyembunyikan kepalanya yang sedang terjelepak di atas meja!

Assalamualaikum,” satu suara halus memberi salam di muka pintu. Serentak dengan itu sebuah wajah tersembul bersama sebuah senyuman.

Waalaikummussalam,” semua yang berada di dalam kelas itu membalas salam itu. Setiap biji mata merenung yang empunya suara.

Hmm...” gumam Ruzaihan. Bulat matanya merenung wajah tinggi lampai itu.

Sudahlah!” Khairul Anuar menyiku rakannya itu. “Macam hendak terkeluar biji mata awak!” dia menyakat sambil mengulum senyum.

Mata yang tadi hampir terkatup serta-merta terbuka luas. Ruzaihan terpaku seketika menikmati wajah putih bersih itu. “Cantiknya!” kalbunya berbisik.

Cikgu Zaleha adalah guru baru kamu dalam mata pelajaran kimia. Saya harap kamu semua memberikan kerjasama kepada beliau,” kata Cikgu Kamaluddin.

Sekarang saya serahkan kelas ini kepada cikgu,” kata Cikgu Kamaluddin kepada guru baru itu lalu melangkah keluar.

Saya fikir, lebih baik dalam kelas pertama saya ini, saya mulakan dengan sesi berkenalan terlebih dahulu. Saya mulakan dengan diri saya. Nama saya Zaleha binti Jamal. Saya baru keluar maktab, oleh kerana saya baru dan banyak yang saya tidak tahu, saya harap kamu semua tidak keberatan membantu saya. Sama-sama kita belajar, boleh?” kata Cikgu Zaleha.

Boleh,” sahut pelajar-pelajarnya.

Baiklah, saya mahu awak kenalkan diri awak,” Cikgu Zaleha tersenyum memandang Ruzaihan.

N... n... nama saya Ruzaihan. Pelajaran yang paling saya minat adalah... k... k... kimia!” tergagap-gagap Ruzaihan bercakap.

Mendengar apa ayang dikatakan oleh Ruhaizan, tiba-tiba kelas itu menjadi riuh-rendah.

Bagus! Saya harap awak akan berjaya dalam pelajaran kimia,” puji Cikgu Zaleha dan menyuruhnya duduk.

Sesi berkenalan terus berjalan dengan lancar. Dalam pada itu Khairul Anuar tersenyum-senyum melihat Ruzaihan yang tidak jemu-jemu memandang wajah Cikgu Zaleha.

Bila pula awak menjadi peminat pelajaran kimia? Markah awak yang paling tinggi pun cuma 25%,” Khairul Anuar mencebik.

Saya memang minat dengan pelajaran kimialah,” kata Ruzaihan. Walaupun dia bercakap kepada Khairul Anuar, tetapi muka dan matanya terus memandang cikgu barunya itu. “Aduhai! Cantiknya!” hatinya berkata.

Ehem!” kata Khairul Anuar.

Syyy! Cikgu nampak kita bercakaplah,” kara Ruzaihan. Jari telunjuknya ditegakkan di bibirnya, dia cuma memperdayakan rakannya itu supaya berhentii mengusiknya.

Saya hendak lihat awak dapat ‘A’ periksa hujung bulan ini nanti,” cabar Khairul Anuar sambil tersengih-sengih.

Ruzaihan senyap sahaja.

Ruzaihan!” Cikgu Zaleha tiba-tiba memanggil.

Ya, cikgu!” cepat Ruzaihan bangkit.

Cikgu Zaleha tersenyum. “Saya hendak berjumpa dengan awak waktu rehat nanti. Boleh kita berjumpa di kantin?”

Boleh, cikgu,” berdebar-debar jantung Ruzaihan. “Uh! seronoknya. Cikgu hendak berjumpa dengan aku!” hatinya berkata.

Ruzaihan berasa seolah waktu berjalan terlalu lambat. “Cepatlah wahai masa! Aku hendak berjumpa dengan cikgu!”

Saya sudah baca semua profil awak. Cikgu kimia yang lama pun sudah memberitahu saya tentang awak,” kata Cikgu Zaleha sebaik sahaja Ruzaihan menyedut minumannya.

Hah! Cikgu Kamaluddin cakap apa tentang saya?” Ruzaihan sedikit terkejut.

Jangan panik. Mereka hanya mengatakan yang baik-baik,” kata cikgu kimia barunya.

Mereka cakap apa?”

Mereka kata awak seorang yang bijak, tetapi selalu sangat mengantuk dalam kelas,” kata Cikgu Zaleha. “Saya hendak awak berjaya dalam mata pelajaran yang saya ajar. Boleh awak beri kerjasama kepada saya?”

Boleh! Boleh!” jawab Ruzaihan.

Saya harap awak akan berjaya dengan cemerlang dalam SPM nanti,” Cikgu Zaleha memberinya perangsang.

Baik, cikgu. Saya tidak akan hampakan harapan cikgu,” Ruzaihan bersungguh-sungguh berjanji pada dirinya.



Editor Part-time dan Laptop

Pengumuman!

FORTUNA mencari editor part-time.

KRITERIA:

1. Mempunyai bakat kreatif. Adakah sdr pernah berjaya menerbitkan karya saudara di mana-mana?

2. Memiliki lap-top.

3. Memiliki ijazah jurusan sains sosial, kalau dalam bidang kreatif ataupun linguistik, lebih baik.

4. Sanggup mengikuti program latihan PTS.

5. Tinggal di Kuala Lumpur.

6. Mempunyai kenderaan sendiri.

7. Mempunyai bakat melatih editor-mentee sendiri.

8. Memiliki personaliti yang suka belajar daripada orang lain dan suka bekerja dalam kumpulan.

9. Mempunyai disiplin mengurus kerja sendiri tanpa pengawasan orang lain.

10. Suka kepada kerja-kerja detail dan cerewet tentang kualiti kerja peribadi.


Isi kandungan latihan adalah seperti berikut:

1. Menguasai manual editor PTS.

2. Mengusai teknik-teknik on-screen editing.

3. Menguasai Spellchecker PTS-MIMOS.

4. Menguasai perisian OpenOffice MIMOS.

5. Meguasai perisian Frame-maker untuk kerja-kerja layout.

6. Menggunakan mesin film untuk membuat output filem.

7. Membaca pruf filem.

8. Mencipta judul.

9. Menyediakan blurp kulit depan dan belakang.

10. Menyediakan edisi abridged.

Sila tulis nama sdr dalam kotak KOMEN di bawah teks ini. Hantar nombor hp, alamat emel, alamat tetap, dan nombor cukai pendapatan jika sudah ada.

Tulis sedikit tentang bakat kreatif sdr.

Kalau sdr mempunyai contoh cerpen yang sdr pernah tulis, emelkan kpd ainonm@pts.com.my. Kalau cerpen itu belum pernah diterbitkan pun tidak mengapa.



Thursday, October 06, 2005

Nama Lelaki Tidak Laku

Seorang sahabat kita, nama besar dalam dunia sastera sekarang, memberitahu baru-baru ini beliau dihubungi oleh editor sebuah penerbit novel cinta yang top.

"Tulislah novel untuk kami terbitkan," kata editor itu. "Tetapi boleh ataupun tidak, kalau kami minta saudara gunakan nama samaran perempuan?"

"Mengapa?" tanya penulis yang sedang 'ngetop' (dalam loghat Jakarta) itu.

Dia hairan mengapa namanya yang sedang 'ngetop' itu harus disorokkan di sebalik nama samaran perempuan.

"Nama lelaki tidak laku!" jawab editor novel-novel cinta itu.


Bahasa Moden untuk Buku Agama

Hadith ke-25 dalam Antologi "Hadith 40" Imam Nawawi

Abu Dzar melaporkan, pada suatu hari beberapa orang sahabat Nabi Muhammad berkata kepada beliau, “Wahai Rasul Allah, orang-orang kaya berpeluang mendapat semua pahala. Mereka sembahyang macam kami sembahyang. Mereka berpuasa macam kami berpuasa. Mereka juga dapat bersedekah dengan harta mereka yang banyak.

Nabi Muhammad menjawab, “Bukankah Allah sudah menyediakan untuk saudara-saudara sesuatu yang dapat saudara sedekahkan? Dalam setiap tasbih ada sedekah. Dalam setiap takbir ada sedekah. Dalam setiap tahmid ada sedekah. Dalam setiap tahlil ada sedekah. Mengajak orang melakukan kebaikan adalah sedekah. Mencegah orang daripada melakukan kejahatan adalah sedekah. Menggauli isteri adalah sedekah.”

Sahabat-sahabat Nabi Muhammad bertanya, “Wahai Rasul Allah, adakah kami diberi pahala apabila menggauli isteri kami?”

Dijawab oleh Nabi Muhammad, “Cuba saudara katakan kepada saya, tidakkah jikalau saudara menggauli perempuan secara haram, saudara-saudara mendapat dosa? Dengan demikian, apabila saudara menggauli isteri saudara, saudara mendapat pahala.”



Bid'ah Linguistik

Salah satu masalah yang menyebabkan buku-buku agama Islam susah dibaca oleh mereka yang hendak belajar sendiri tentang Islam adalah unsur 'bid'ah bahasa' yakni kelaziman pada penggunaan peraturan bahasa feudal dalam buku-buku agama.

Dalam tradisi bahasa Melayu, raja-raja menggunakan bahasa istana, yang berlainan sedikit dengan bahasa Melayu rakyat biasa. Sebagai contoh, raja 'bertitah' manakala rakyat 'bercakap'.

Ustaz-ustaz Malaysia mencipta peraturan feudal untuk bahasa Nabi Muhammad dan Allah. Jadi Allah 'berfirman' manakala Nabi Muhammad 'bersabda'.

Alasan mereka adalah bagi memuliakan Allah dan Nabi Muhammad. Atas alasan itu kataganti nama feudal 'baginda' (yang bermakna 'dia') dikenakan kepada Nabi Muhammad. Namun bagi Allah, ustaz-ustaz Malysia tetap menggunakan 'dia'.

Dalam Quran, 'qa-la' (berkata) digunakan untuk Allah, Nabi Muhammd dan sesiapa sahaja, termasuk syaitan!

Bahasa feudal bukan bahasa Quran. Nabi Muhammad bukan raja. Sistem feudal tidak selaras dengan sistem politik Islam.

Perkataan 'sabda' adalah dipinjam daripada bahasa Sanskrit, bahasa kitab-kitab agama Hindu. Perkataan 'firman' datang dari bahasa Parsi, itulah sebabnya perkataan itu tidak ada dalam Quran.

Suatu hal yang menarik, di negara Brunei yang masih amat feudal itu, perkataan 'bersabda' digunakan oleh mufti dan menteri agama negara itu.


Tuesday, October 04, 2005

15 Novel Tiap Bulan

Salah sebuah pengedar terbesar novel-novel Melayu memberitahu bahawa setiap bulan penerbit-penerbit tempatan menerbitkan sekurang-kurangnya antara 13 hingga 15 judul baru.

Daripada jumlah itu 2 judul diterbitkan oleh Alaf21, 3 judul oleh penerbit Creative, 5 oleh Rhythm dan selebihnya oleh penerbit Utusan, Times dan penerbit-penerbit baru muncul seperti penerbit Kaki Novel, penerbit NZ dan penerbit NB.

Jumlah ini menunjukkan persaingan antara penerbit-penerbit novel sudah sampai ke titik sengit.

Menurut pengedar itu lagi, keadaan sengit ini menyebabkan novel-novel terbitan syarikat-syarikat gergasi sekalipun mula mengalami situasi di mana sesetengah judul yang mereka terbitkan tidak lagi bergerak selaju yang diharapkan.


Perjumpaan Penulis FORTUNA 16 Oktober

Pengumuman! Pengumuman!

Kepada semua yang sudah mendaftar untuk ikut serta dalam program penerbitan Fortuna 2006, tarikh perjumpaan adalah pada Ahad 16 Oktober 2005.

Tempat: Pusat Latihan PTS, Taman Permata.

Waktu: 10 pagi - 1 tengah hari.

Agenda: (1) Menerangkan falsafah dan perjuangan PTS Fortuna. (2) Menerangkan rancangan jangka panjang dan jangka pendek Fortuna. (3) Membentangkan program dan projek-projek Fortuna. (4) Lain-lain hal yang hanya dapat diterangkan dalam perjumpaan nanti.




Bengkel Penulis Agama 15 Oktober

Perhatian! Perhatian!

Kepada mentee-mentee SIFU yang terlibat dalam penulisan buku-buku agama, sila hadir bengkel pada Sabtu 15 Oktober 2005 di pusat latihan PTS di Taman Permata.

Bawa bersama contoh terjemahan hadith-hadith yang saudara sudah hasilkan untuk diperiksa. Bawa sekali teks asalnya.

Bengkel kali ini adalah bengkel bahasa.

Waktu bengkel adalah jam 10pg - 1 tengah hari.





Monday, October 03, 2005

PTS Mendapat CEO

Pada hari ini, 2 Oktober 2005, En. Rashid Azad Khan (49) memulakan tugasnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi kumpulan syarikat-syarikat PTS.

Beliau adalah lulusan Universiti Malaya, dan mempunyai pengalaman bertugas di DBP sebelum bertugas dengan MacMillan Malaysia, kemudian dengan penerbit Utusan (UPND), dan terakhir dengan Times International.

PTS sudah mula cuba mendapatkan beliau semenjak PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd. baru ditubuhkan pada tahun 1999. Baru hari ini usaha PTS itu berjaya.

Lembaga Pengarah PTS membawa masuk En. Rashid Azad Khan, seorang yang sangat berpengalaman dalam dunia penerbitan buku, sebagai persediaan bagi membolehkan PTS disenaraikan di papan ke-2 BSKL pada tahun 2010.

Pada masa ini kumpulan syarikat-syarikat PTS adalah:

PTS Consultants Sdn. Bhd.
PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd.
PTS Professional Sdn. Bhd.
PTS Millenia Sdn. Bhd.
PTS One Sdn. Bhd.
PTS Fortuna Sdn. Bhd.
PTS Accomodations Sdn. Bhd.

En. Rashid Azad Khan adalah adik kepada Prof. Dr. Hatta Azad Khan (UM), yang pernah menjadi Ketua Pengarah Panggung Negara.



Sunday, October 02, 2005

Nik Faridah: "Ustaz Aziz"

Ustaz Aziz melangkah memasuki kelas Tahun 6 Bestari.

Bangun! Assalamualaikum, ustaz, ” ketua kelas memberi salam, diikuti oleh semua pelajar, tanda hormat kepada Ustaz Aziz.

Waalaikumusalam, semua boleh duduk,” jawab Ustaz Aziz.

Pagi tadi saya solat subuh di surau, bacaan pak imam surau tadi sungguh bagus. Siapa yang solat subuh pagi tadi?” tanya Ustaz Aziz.

Hanya separuh yang mengangkat tangan. Ustaz Aziz tersenyum.

Baiklah, pelajaran kita hari ini pun mengenai solat subuh juga," kata Ustaz Aziz.

"Dalam solat subuh ada bacaan yang berbeza dengan solat lain. Bacaan yang tidak kita baca dalam solat lain, kecuali solat subuh sahaja.” Ustaz Aziz cuba menarik perhatian murid-muridnya mengenai tajuk hari itu.

Amir?” Ustaz Aziz sengaja mengejutkan Amir dari lamunannya. Amir hanya tersipu-sipu menampakkan giginya.

Zulkifli, kamu solat subuh pagi tadi?” tanya Ustaz Aziz.

Solat, cikgu. Solat dengan ayah saya,” jawab Zulkifli.

Bacaan apa yang berbeza dengan solat lima waktu yang lain?” tanya Ustaz Aziz lagi.

Bacaan qunut, cikgu!” jawab Zulkifli.

Bagus. Bacaan qunut atau doa qunut adalah bacaan yang tidak dibaca pada solat lain,” terang Ustaz Aziz.

Hari ini saya hendak kamu baca dan hafal doa qunut. Sebelum itu, ada sesiapa yang sudah hafal doa qunut?” tanya Ustaz Aziz.

Saya, cikgu” Ammar mengangkat tangan.

Ustaz Aziz sedikit mengerutkan dahinya, berfikir, kali ini Ammar bercakap betul ataupun main-main lagi.

Bagus, cuba kamu baca, Ammar,” suruh Ustaz Aziz.

Cikgu hendak saya baca doa qunut yang panjang ataupun doa qunut yang pendek sahaja?” tanya Ammar.

Semua mata murid tertumpu pada Ammar. Ustaz Aziz sendiripun agak ragu-ragu sebenarnya.

Cubalah yang mana yang kamu ingat,” suruh Ustaz Aziz.

Cikgu cakaplah yang panjang ataupun yang pendek.” Ammar masih dalam keadaan berdiri sambil tangannya melekar sesuatu pada buku di hadapannya.

Baiklah, kamu cuba doa yang pendek dahulu,” suruh Ustaz Aziz.

Qunut!” jawab Ammar ringkas.

Ya, doa qunut, bacalah,” Ustaz Aziz ternanti-nanti.

Itulah dia doa qunut pendek. QUNUT!” jawab Ammar.

Kelas riuh rendah dengan suara gelak ketawa.

Ustaz Aziz pun tidak terkata, rasa hendak marah dan rasa geli hati bercampur.

Amir mengangkat tangan.

Cikgu, kalau doa qunut panjang bunyinya, QUNUUUUUT!” katanya.

Kelas 6 Bistari riuh rendah.

Ustaz Aziz tidak dapat menyorokkan giginya lagi.


5% Lelaki

Tinjauan yang kita buat di 8 buah pusat sumber sekolah (PSS) rendah dan menengah negeri Selangor mendapati perkara-perkara berikut:

1. Daripada jumlah semua pelajar yang masuk ke PSS hanya 5% sahaja lelaki.

2. Buku-buku dan majalah sains terbitan dalam negeri tidak menjadi pilihan popular di PSS sekolah luar bandar.

3. Buku cerita siri penyiasatan juga tidak menjadi pilihan popular di PSS sekolah luar bandar.

4. Ensiklopedia Melayu banyak dibuka oleh pelajar dan mereka suka membaca gambar-gambar yang terdapat dalam ensiklopedia.

5. Buku-buku bacaan sains dalam bahasa Inggeris langsung tidak disentuh di PSS luar bandar, baik di sekolah menengah mahupun sekolah rendah.

6. Guru-guru masuk PSS untuk membaca surat khabar, majalah, berehat ataupun tidur sebentar sebab PSS mempunyai pendingin udara!

7. Buku cerita sangat popular dan selalu hilang dari PSS.

8. Sebarang jenis buku bacaan tambahan yang mengandungi gambar-gambar yang berkualiti adalah popular, yakni selalu dibuka dan dibelek-belek oleh pelajar.

Isu pelajar lelaki tidak masuk PSS adalah gambaran betapa kurangnya bahan-bahan bacaan yang diterbitkan khusus untuk bacaan pelajar lelaki.

Isu mengapa siri penyiasatan tidak popular di PSS luar bandar amat menarik bagi dibincangkan lebih mendalam.