Saturday, September 17, 2005

Kesilapan Lazim Penulis Pintar

Adakah saudara mempunyai apa yang yang dianggap 'pencapaian luar biasa' di kalangan orang Melayu? Sebagai contoh, ijazah saudara adalah dalam bidang-bidang yang lazimnya orang Melayu 'geruni', seperti matematik, fizik, sains nuklear, kajian angkasa lepas, kejuruteraan nano dan seumpamanya?


Individu-individu Melayu yang mempunyai 'pencapaian luar biasa' lazimnya mempunyai ciri-ciri masalah 'psikologi orang pintar'.


Bukan semua orang pintar mempunyai masalah 'pisokologi orang pintar'. Ada segelintir sahaja. Hati-hati supaya saudara tidak terjebak ke dalam masalah ini. Masalah ini biasanya berlaku di kalangan penulis pintar yang masih muda.


Salah satu ciri masalah orang pintar yang mempunyai 'psikologi orang pintar' adalah mereka itu amat 'passionate' dengan apa-apa yang mereka yakini 'betul'. Passion itu boleh sampai mendorong mereka menulis buku bagi membuktikannya. Mereka mempunyai Misi Besar untuk menyelamatkan kesilapan-kesilapan besar yang ada di sekeliling mereka melalui buku yang ditulis. Lazimnya tidak ada mana-mana penerbit yang mahu menerbitkan buku 'orang pintar' jenis ini. Faktor utamanya adalah isi kandungan buku-buku itu lazimnya bergeser dengan pemikiran agama dan pemikiran sejarah mainstream.


Menulis buku di luar kepakaran bidang yang diikuti di universiti bukanlah perkara salah. Malek Bennabi adalah seorang jurutera, kemudian beliau lebih terkenal sebagai ahli soiologi Islam melalui karya-karya beliau, yang masih dibaca dan terus berpengaruh sehingga hari ini.


Orang yang mempunyai masalah 'psikologi orang pintar' lazimnya mempunyai motivasi yang amat tinggi mahu membuktikan orang-orang lain salah. Motivasi inilah yang mendorong mereka menulis buku.


Membuktikan orang lain salah itu bukanlah perkara yang salah. Apa yang salah adalah menulis buku dengan menggunakan pendekatan dan ayat-ayat yang mempersalahkan jalan fikir orang lain, memperbodohkan kepintaran orang lain, dan memperlekehkan ilmu dan sumbangan orang lain.




Friday, September 16, 2005

Rancangan Silap Mata di KPM

Baru-baru ini kita menghadiri suatu majlis forum yang diadakan sempena sambutan Bulan Merdeka.


Dalam forum itu salah seorang panel memberitahu kepada hadirin gosip yang beliau dapat tahu daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai kononnya Kementerian Pelajaran Malaysia sudah bersedia akan menaikkan markah kelulusan bagi mata pelajaran bahasa Inggeris, sains dan matematik PMR supaya 45% dapat lulus dengan gred A.


Implikasi daripada rancangan itu adalah, ramai pelajar luar bandar dan anak-anak daripada keluarga yang ibubapanya tidak bercakap Inggeris di rumah, yang melopong dalam kelas bahasa Inggeris, matematik dan sains, akan diberi gred A. Adakah mereka akan diberi gred A lagi dalam SPM nanti?


Syabas! Malaysia Boleh!



Thursday, September 15, 2005

Penulis Banyak Bakat

Adakah saudara seorang yang mempunyai pelbagai bakat? Sebagai contoh saudara mungkin seorang yang mempunyai bakat menulis buku pengetahuan, tetapi saudara juga boleh novel, puisi, bermain alat muzik, menyanyi ataupun bakat-bakat lain.


Apabila saudara seorang yang 'multi-talented', saudara perlu memilih bakat mana yang saudara hendak jadikan modal utama bagi membina hidup selesa dalam dunia penulisan. Jikalau tidak, saudara akan hilang fokus.


Jangan tulis satu buku pengetahuan, satu buku novel, satu buku puisi dan seterusnya. Cara ini tidak membantu saudara menjadi penulis pakar dalam satu-satu bidang, akibatnya saudara tidak terkenal dalam mana-mana bidang, dan saudara tidak dapat membina kelompok peminat bagi karya-karya saudara.


Disebabkan buku-buku saudara itu amat berlainan bidang, buku-buku itu akan diletakkan di rak-rak yang berbeza di kedai buku. Akibatnya pengunjung tidak tahu bahawa saudara mempunyai lebih daripada satu buku. Ia juga menyebabkan nama saudara tidak tertonjol pada mana-mana rak.


Bagi tujuan mencari penerbit pula, saudara mungkin terpaksa mencari lebih daripada satu penerbit disebabkan penerbit yang menerbitkan buku-buku pengetahuan am mungkin tidak menerbitkan novel, manakala penerbit novel pula tidak menerbitkan buku puisi.




Apa Jadi pada CD Pembelajaran?

Pada suatu masa dulu kedai-kedai yang menjual CD memperuntukkan ruang bagi mempamerkan CD-CD pembelajaran, khususnya untuk kanak-kanak. Berbagai-bagai CD pembelajaran ada – CD belajar matematik, CD belajar sains, CD belajar bahasa Inggeris dan berbagai-bagai lagi. Ibu bapa banyak membeli CD-CD pembelajaran bagi anak-anak mereka.


Pada waktu itu muncul kumpulan penulis buku yang melibatkan diri dalam aktiviti penghasilan buku-buku CD pembelajaran. Sudah tentu mereka terdiri daripada guru-guru.


Kementerian Pendidikan (waktu itu) juga banyak melaburkan wang membiayai program mencipta dan menerbitkan pelbagai sofwer pembelajaran. KPM membelanjakan berjuta-juta ringgit membiayai berbagai-bagai kumpulan fokus guru dibentuk dan dilatih dalam pelbagai bengkel dan kursus bagi menghasilkan CD pembelajaran.


KPM juga mengadakan program yang melibatkan penerbit-penerbit buku biasa supaya menerbitkan buku-buku dalam bentuk CD. Malah penerbit buku-buku teks hampir-hampir diwajibkan supaya membekalkan CDnya bagi buku-buku teks yang mereka bekalkan bagi skim buku teks pinjaman.


Syarikat Bumiputera yang paling serius melabur dalam program menerbitkan CD pendidikan adalah ANZAGAIN di Shah Alam, yang mengeluarkan berjuta modal, dan benar-benar berjaya mencipta pelbagai sofwer itu. Pelbagai usaha dilakukan oleh ANZAGAIN bagi memasarkan CD-CDnya. Hari ini CD-CD sofwer itu berlonggok dalam setor penerbit itu.


Pelancaran program sekolah bestari mendorong ramai pihak menubuhkan syarikat bagi mengambil peluang meraih keuntungan dengan hasrat hendak membekalkan pelbagai sofwer pembelajaran. Ramai jurutera muda Melayu dalam bidang IT meletakkan jawatan, menubuhkan syarikat dan membuat pinjaman bank dengan keyakinan mereka dapat mengambil kesempatan daripada beratus-ratus juta wang kerajaan yang diperuntukkan bagi program E-Learning.


MIMOS (Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia) adalah agensi kerajaan yang khusus diarahkan mencipta pelbagai sofwer bagi program E-learning. MIMOS mendirikan makmal khusus dan mengambil berpuluh-puluh jurutera bagi tujuan itu.


Pelabur yang paling besar adalah Telekom Malaysia yang menubuhkan anak syarikat khusus bagi menyokong program Smart School melalui teknologi on-line learning.


Apa sudah jadi kepada pasaran CD pembelajaran?


Hari ini, jika saudara masuk ke dalam kedai-kedai CD, cuba tengok sendiri, berapa banyak CD-CD pembelajaran yang masih dipamerkan. Tidak ada lagi CD terbitan baru. Yang ada hanya judul-judul lama. Puncanya adalah, di Amerika sekalipun, zaman kegemilangan penerbitan CD pembelajaran sudah tamat.




Wednesday, September 14, 2005

Risiko Menjadi Penulis Terkenal

Apabila wajah dan nama saudara kerap muncul dalam media, apatah lagi dalam televisyen, saudara menjadi orang terkenal.


Individu-individu yang terkenal melalui media tidak semestinya mempunyai buku. Untuk muncul dalam televisyen, saudara perlu pandai bercakap dan tidak malu kamera.


Wajah Dato' Dr. Mashitah Ibrahim sangat terkenal walaupun beliau tidak mempunyai buku. Sebaliknya, buku-buku Norhayati Berahim menjadikannya penulis paling kaya sekarang, tetapi wajah beliau tidak dikenali ramai disebabkan beliau tidak muncul dalam media. Hanya nama beliau sahaja yang terkenal.


Pendedahan yang banyak dalam media tidak semestinya menghasilkan kesan positif semata-mata kepada jualan buku saudara ataupun kepada diri saudara.


Sebelum wajah saudara terkenal, ada baiknya saudara memilih daripada awal-awal lagi jenis keterkenalan yang bagaimana yang saudara sedia terima.


Apabila wajah saudara terkenal, beberapa risiko yang saudara akan hadapi termasuklah:

  1. Bukan semua orang suka saudara terkenal, sebaliknya akan ada segelintir individu-individu yang iri hati. Golongan yang iri hati ini lazimnya terdiri daripada mereka yang kenal saudara secara peribadi, baik secara langsung ataupun tidak langsung. Merekalah yang akan menyebarkan maklumat-maklumat negatif yang mereka ketahui tentang diri saudara.

  1. Apabila saudara terkenal, kehidupan peribadi saudara menjadi hak awam. Semua orang berminat hendak tahu hal-hal peribadi saudara, baik mereka yang suka saudara mahupun mereka yang tidak suka saudara. Seperti biasa, perkara-perkara yang negatif berkenaan kehidupan peribadi saudara adalah perkara-perkara yang lebih hendak mereka ketahui daripada perkara-perkara yang positif.

  1. Pergerakan saudara di khalayak awam menjadi tersekat. Saudara tidak boleh dilihat makan ABC di warung tepi jalan, ataupun membeli-belah di pasar malam, ataupun memandu kereta Kancil, disebabkan hal-hal itu dianggap oleh masyarakat sebagai tidak cocok bagi orang terkenal. Inilah faktor yang menyebabkan kos hidup saudara menjadi lebih tinggi.

  1. Kehidupan anggota keluarga terdekat saudara akan terjejas oleh keterkenalan diri saudara. Isteri, suami, tunang, ibu bapa, adik beradik, dan anak-anak saudara akan selalu dikaitkan dengan pencapaian saudara. Jika saudara mempunyai anak-anak yang sudah bersekolah, mereka menerima tekanan daripada guru-guru supaya menjadi cermin kepada pencapaian saudara.


Sebagai penulis, memang jualan buku saudara meningkat apabila saudara terkenal melalui akhbar dan televisyen, dan mempunyai ramai peminat. Memang duit saudara lebih banyak. Tetapi jika saudara tidak sanggup kehilangan kehidupan peribadi yang normal, wang tambahan itu tidak penting. Wang yang saudara tidak perolehi daripada peningkatan jualan buku saudara itu dapat saudara ganti dengan menambah royalti dengan cara menulis lebih banyak buku.



Poligami dan Penulis

Berita panas hari ini: Suami yang hendak berpoligami diwajibkan terlebih dahulu menyerahkan hak harta sepencarian kepada isteri yang ada sebelum diizinkan mengambil isteri kedua.


Sebagai penulis, royalti karya saudara adalah termasuk dalam harta sepencarian. Jadi isu ini ada kaitannya dengan saudara.


Apakah pandangan kita berkenaan pindaan undang-undang yang terbaru ini bagi menyekat poligami?


Kita berpandangan, jikalau sesuatu peraturan itu baik bagi manusia, tentulah Quran dan Nabi Muhammad SAW sudah menetapkannya.




Tuesday, September 13, 2005

Dato' Ng ke MPH

Akhirnya gosip tentang ke mana Dato' Ng Tieh Chuan akan pergi sudah terjawab!

Dato' Ng dikatakan telah menjual penerbit Pelanduk kepada seorang sahabatnya. Walau bagaimanapun kita belum dapat mengesahkan siapa pembelinya.

Beliau akan memegang jawatan sebagai Pengurus Besar kepada KUMPULAN MPH!

Di bawah Kumpulan MPH adalah syarikat-syarikat yang bergiat dalam aktiviti rangkaian kedai buku, pengimpotan buku, penerbitan, pengedaran dan percetakan. Semua itu akan berada di bawah tanggungjawab Dato' Ng.

Kita meramalkan, sebagai seorang penerbit yang amat berpengalaman, Dato' Ng akan membantu Kumpulan MPH mengembangkan lagi aktiviti penerbitan Kumpulan MPH yang pada masa ini masih kecil dibandingkan dengan aktiviti-aktiviti MPH yang lain.

Kita juga meramalkan beliau akan memperkukuhkan lagi kedudukan MPH sebagai pengimpot buku.

Pada masa ini nilai buku luar negara yang diimpot oleh Malaysia adalah sekitar RM150 juta setahun. Jumlah itu masuk melalui pintu Singapura. Kita percaya MPH, sebagai pemain terbesar dalam industri peruncitan buku negara kita, tidak berpuas hati dengan jalur perdagangan itu yang amat merugikan Malaysia.

Kehadiran Dato' Ng dalam barisan pasukan pengurusan tertinggi MPH tentu sekali dibaca dengan teliti oleh komuniti industri buku negara kita dan pengimpot-pengimpot buku di Singapura!



Peraturan Huruf Kecil dan Huruf Besar

Salah satu kesilapan yang lazim dilakukan oleh penulis adalah penggunaan huruf kecil dan huruf besar. Ini menyebabkan proses editing menjadi lebih panjang. Berikut adalah panduan penggunaan kedua-dua jenis huruf itu:


Huruf kecil untuk nama bidang ilmu.


Saya memasuki kursus Matematik, Fizik dan Mekatronik. (SALAH)

Saya memasuki kursus matematik, fizik dan mekatronik. (BETUL)


Imam Shafie adalah pakar bidang Usul Fiqh. (SALAH)

Imam Shafie adalah pakar bidang usul fiqh. (BETUL)


Buku-buku bidang Sirah dan Hadith banyak terdapat dalam pasaran. (SALAH)

Buku-buku bidang sirah dan hadith banyak terdapat dalam pasaran. (BETUL)


Huruf kecil untuk nama jawatan umum.


Beliau seorang Doktor. (SALAH)

Beliau seorang doktor. (BETUL)


En. Amin adalah seorang Saintis. (SALAH)

En. Amin adalah seorang saintis. (BETUL)


Dia adalah seorang Nabi palsu.(SALAH)

Dia adalah seorang nabi palsu. (BETUL)


Huruf besar apabila digunakan bersama nama orang.


mak Eton (emak kepada si Eton)

Mak Eton (nama panggilan perempuan itu)


adik Sazali (SALAH)

Adik Sazali (BETUL)


abang Ali (SALAH)

Abang Ali (BETUL)


kak Minah (SALAH)

Kak Minah (BETUL)


makcik Limah (SALAH)

Makcik Limah (BETUL)


pakcik Dolah (SALAH)

Pakcik Dolah (BETUL)


nenek Munah (SALAH)

Nenek Munah (BETUL)


tok Mamat (SALAH)

Tok Mamat (BETUL)


cik Murni (SALAH)

Cik Murni (BETUL)


encik Rahim (SALAH)

Encik Rahim (BETUL)


puan Normah (SALAH)

Puan Normah (BETUL)


encik Rahim (SALAH)

Encik Rahim (BETUL)


haji Mansor (SALAH)

Haji Mansor (BETUL)


hajah Tom (SALAH)

Hajah Tom (BETUL)


saudara Ramlan (SALAH)

Saudara Ramlan (BETUL)


saudari Normala (SALAH)

Saudari Normala (BETUL)


puan Siti (SALAH)

Puan Siti (BETUL)


Huruf kecil untuk nama jawatan am.


Beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 1998. (SALAH)

Beliau menjadi perdana menteri pada tahun 1998. (BETUL)


Karim adalah seorang Inspektor Polis. (SALAH)

Karim adalah seorang inspektor polis. (BETUL)


Huruf besar bagi nama jawatan yang diikuti oleh nama orang.


nabi Ibrahim (SALAH)

Nabi Ibrahim (BETUL)


cikgu Hassan (SALAH)

Cikgu Hassan (BETUL)


prebet Kamaruddin (SALAH)

Prebet Kamaruddin (BETUL)


inspektor Azhar (SALAH)

Inspektor Azhar (BETUL)


imam Hanafi (SALAH)

Imam Hanafi (BETUL)


doktor Tan (SALAH)

Doktor Tan (BETUL)


misi Zaharah (SALAH)

Misi Zaharah (BETUL)


cikgu Fatimah (SALAH)

Cikgu Fatimah (BETUL)


peguam Ahmad (SALAH)

Peguam Ahmad (BETUL)


presiden Kamal (SALAH)

Presiden Kamal (BETUL)


bomoh Ludin (SALAH)

Bomoh Ludin (BETUL)


dukun Jusuh (SALAH)

Dukun Jusuh (BETUL)


tok empat Ghani (SALAH)

Tok Empat Ghani (BETUL)


mudim Sudin (SALAH)

Mudim Sudin (BETUL)


mak bidan Som (SALAH)

Mak Bidan Som (BETUL)


seniwati Sarimah (SALAH)

Seniwati Sarimah (BETUL)


Huruf besar apabila diikuti oleh nama khas.


perdana menteri Malaysia (SALAH)

Perdana Menteri Malaysia (BETUL)


naib canselor UKM (SALAH)

Naib Canselor UKM (BETUL)


menteri luar Thailand (SALAH)

Menteri Luar Thailand (BETUL)


sungai Perak (SALAH)

Sungai Perak (BETUL)


lembah Kelang (SALAH)

Lembah Kelang (BETUL)


tanah tinggi Cameron (SALAH)

Tanah Tinggi Cameron (BETUL)


gunung Tahan (SALAH)

Gunung Tahan (BETUL)


bukit Tinggi (SALAH)

Bukit Tinggi (BETUL)


plaza Angsana (SALAH)

Plaza Angsana (BETUL)


Apabila saudara menghantar manuskrip buku yang 'bersih' daripada kesilapan jenis ini, saudara membantu editor menyiapkan proses editing dengan lebih cepat, hasilnya buku saudara dapat diterbitkan dengan lebihb cepat juga.




Monday, September 12, 2005

Buku Remaja Membodohkan Remaja

Mengapakah buku-buku Harry Porter diterbitkan dengan dua wajah kulit yang berbeza?


Harry Porter pada asalnya memang dikarang dan diterbitkan untuk pembaca remaja. Kemudian penerbit menerima permintaan daripada pembaca dewasa yang mahu membaca buku-buku itu tetapi malu hendak memegang buku yang kulitnya berwajah remaja. Jawapannya: Satu kulit untuk pembaca remaja dan satu lagi kulit untuk pembaca dewasa.


Keadaan ini menunjukkan trend terbaru dalam dunia sastera remaja hari ini di mana perbezaan antara fiksyen untuk remaja dan dewasa sudah tidak wujud lagi.


Bandingkan keadaan buku-buku bacaan remaja dalam bahasa Melayu dengan buku-buku bacaan remaja dalam bahasa Inggeris yang tebal dan mahal-mahal. Sementara buku-buku bacaan remaja dalam bahasa Melayu nipis-nipis dan murah-murah, adalah dianggarkan lebih 70 ribu naskhah buku Harry Porter yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sudah terjual setakat hari ini.

Dalam sebuah seminar penerbitan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2003, seorang pustakawan dari Perbadanan Perpustakan Negeri Selangor mengkritik para penulis dan penerbit buku-buku Melayu yang beliau sifatkan sebagai tidak kenal minda pembaca kanak-kanak dan remaja awal. Beliau mengatakan para remaja awal tidak suka meminjam dan membaca buku-buku nipis, tetapi buku-buku bacaan remaja dalam bahasa Melayu terus diterbitkan dalam bentuk nipis.

Pada tahun 60-an dan 70-an, buku kanak-kanak diterbitkan nipis disebabkan keadaan ekonomi waktu itu, yang menyebabkan daya beli ibu bapa rendah, oleh itu mereka tidak mampu membelikan anak-anak mereka buku bacaan yang tebal. Begitu juga, sekolah-sekolah pada waktu itu tidak berupaya membeli buku-buku tebal disebabkan kerajaan tidak mampu memberikan peruntukan besar.


Tetapi, keadaan ekonomi sudah bertambah baik sekarang. Ramai ibu bapa sudah mampu membelikan anak-anak mereka buku-buku yang tebal dan mahal, namun para penulis dan penerbit tidak mengambil kesempatan ini.


Buku-buku bacaan remaja yang nipis meninggalkan banyak kesan negatif, baik ke atas minda pengarang, apatah lagi ke atas minda kanak-kanak dan remaja awal yang membacanya.


Kesan negatif ke atas pengarang yang paling ketara adalah, apabila buku nipis, plot cerita tidak boleh panjang dan kompleks. Ini menyebabkan para pengarang Melayu tidak perlu mempunyai pemikiran yang tinggi dan kompleks bagi menghasilkan buku-buku bacaan remaja.

Plot yang ringkas dan pendek tidak memerlukan pengarang menjalankan penyelidikan ataupun pembacaan yang luas, cukuplah dengan menggunakan imaginasi simpel dan akal biasa sahaja. Justeru, para pengarang buku-buku bacaan remaja dalam bahasa Melayu hanya mampu menghasilkan cerita-cerita moral dengan tema yang sudah lama membasi, iaitu tema “jadilah kamu anak yang baik”.

Buku-buku nipis tidak dapat menghasilkan tema “jadilah anak yang berilmu pengetahuan” sebagaimana yang boleh berlaku apabila seseorang remaja itu banyak membaca buku-buku bacaan remaja karya Tom Clancy dan John Grisham. Kedua-dua pengarang itu amat popular di Indonesia, tentu sekali selain pengarang cerita-cerita Harry Porter.


Di Malaysia, hingga hari ini, untuk menjadi penulis buku remaja seseorang itu tidak perlu mempunyai pengetahuan tinggi ataupun pakar dalam sesuatu bidang ilmu.

Kesan negatif buku-buku nipis ke atas minda kanak-kanak dan remaja tidak perlu diperjelaskan. Cukup dengan sekadar kita mengatakan, buku-buku nipis memperbodoh remaja.

Anggapan bahawa kanak-kanak dan remaja hari ini tidak mampu membaca dan memahami isi kandungan buku-buku tebal adalah tidak berdasarkan ilmu psikologi kanak-kanak dan remaja. Anggapan itu sama tidak benarnya dengan sangkaan bahawa buku yang tebal semestinya susah dibaca dan difahami oleh remaja. Lihat sahaja bagaimana remaja awal perempuan dengan banyaknya membaca novel-novel cinta yang tebal-tebal.


Buku-buku bacaan yang kompleks dan mengandungi maklumat saintifik dan teknikal melatih otak remaja berfikir secara kompleks dan teknikal. Tetapi, bagi menghasilkan karya-karya seperti itu kita memerlukan penulis-penulis yang berpengetahuan tinggi dan memiliki bakat bercerita yang tinggi juga.


Di kalangan penerbit yang sudah menyedari perkara ini, mengapakah mereka masih menerbitkan buku bacaan remaja yang nipis? Perkara itu terpaksa dilakukan disebabkan sikap pentadbiran sekolah-sekolah rendah negara ini yang masih mahukan buku-buku nipis untuk perpustakaan. Sekolah-sekolah rendah mahu buku-buku bacaan yang nipis dan murah-murah. Jadi keadaan ini menghasilkan putaran negatif di mana sekolah mahukan buku nipis, lalu pengarang menerbitkan buku nipis, meskipun murid-murid mahu membaca buku-buku tebal.

Kita mencadangkan Kementerian Pelajaran mengeluarkan garis panduan baru kepada sekolah-sekolah rendah dalam memilih buku-buku bacaan untuk perpustakaan. Buku-buku yang kurang daripada 120 halaman sesuai untuk bacaan murid-murid darjah 2 dan 3. Bagi murid-murid darjah 4, 5 dan 6, buku-buku untuk mereka semestinya antara 200 hingga 300 halaman.


Garis panduan ini dapat memaksa para pengarang menghasilkan bahan-bahan bacaan yang isi kandungannya kompleks dan penuh dengan maklumat teknikal yang terperinci. Ini memaksa para pengarang melakukan pembacaan yang luas dan menjalankan penyelidikan sebelum mula mengarang.



Sunday, September 11, 2005

Berapa Lama Penulis Boleh Kaya?

Jika saudara penulis baru, saudara tentu mahu tahu, apakah penulis-penulis kreatif yang kini sedang menikmati zaman kegemilangan novel Melayu akan dapat menikmati pendapatan daripada royalti daripada novel-novel mereka secara berterusan. Senang cakap: Jika sekarang mereka boleh mendapat lebih daripada RM100 ribu setahun, adakah pendapatan seperti itu dapat dinikmati selama berpuluh-puluh tahun lagi?

Pendapatan penulis datang daripada pelbagai punca, bukan daripada jualan buku-buku mereka sahaja. Sumber-sumber pendapatan penulis adalah:

  1. Royalti buku edisi originalnya.

  2. Royalti daripada edisi ringkas buku original.

  3. Royalti daripada edisi komik buku original.

  4. Royalti daripada edisi downloadable dari internet.

  5. Royalti daripada edisi e-book.

  6. Royalti daripada edisi terjemahan ke dalam pelbagai bahasa.

  7. Royalti daripada edisi paperback, softcover dan hardcover.

  8. Royalti daripada edisi buku audio.

  9. Royalti apabila karya itu difilemkan.

  10. Royalti apabila karya itu ditelenovelakan.

  11. Royalti apabila buku itu dianimasikan.

  12. Royalti apabila filem ataupun telenovela itu diterbitkan dan diedarkan dalam bentuk VCD.

  13. Royalti apabila filem ataupun telenovela itu di-dubbing ke dalam bahasa-bahasa asing dan diekspot keluar negara.

  14. Royalti apabila buku itu di-merchandise-kan.

  15. Royalti apabila pengarang-pengarang lain menghasilkan siri lanjutan daripada konsep buku original.

  16. Royalti daripada modul-modul kursus yang dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan daripada karya original.

  17. Royalti daripada jualan pelbagai poster, banner, bunting yang menggunakan bahan daripada karya original.

  1. Honorarium apabila penulis muncul sebagai tetamu undangan dalam pelbagai ceramah, seminar, kursus, bengkel, majlis-majlis perasmian, pelancaran, pembukaan, kempen dan banyak lagi.

  2. Royalti apabila penulis melesenkan penggunaan nama dirinya pada buku-buku hasil penulisan penulis-penulis lain.

  3. Royalti daripada penggunaan namanya secara komersial untuk pelbagai bisnes dan produk.

Apabila saudara menulis buku, jangan hanya merancang bagaimana hendak menghasilkan buku-buku saudara itu. Ambil banyak waktu dan daya fikir bagi merancang KEJAYAAN buku-buku saudara.

Ingatlah, buku yang baik apabila dinilai daripada sudut nilai harta intelektualnya adalah buku yang mempunyai ciri-ciri yang membolehkan ia dieksploitasi dengan pelbagai cara, oleh pelbagai pihak.

Kita sekarang sudah berada dalam zaman harta intelektual.




Ayat-ayat Terlarang dalam Novel Islami

Berdakwah dengan menggunakan cerita adalah sunah Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW. Dalam Quran terdapat banyak cerita, daripada yang amat ringkas kepada yang panjang. Dalam hadith-hadith Nabi Muhammad SAW juga terdapat banyak cerita.

Apakah ada apa yang dikatakan novel cinta Islami? Isu ini adalah isu pokok. Kita berpendapat, ada! Cerita Yusuf dan Zulaikha adalah cerita cinta, maka berdasarkan fakta inilah kita berpendapat demikian. Isu kedua yang penting adalah, apakah ciri-ciri novel cinta Islami? Kita berpendapat ciri-ciri novel cinta Islami adalah juga ciri-ciri novel Islami.

Apabila saudara menulis novel cinta Islami, ayat-ayat yang saudara hasilkan terdiri daripada 2 jenis iaitu:

  1. Ayat-ayat naratif.

  2. Ayat-ayat dialog.

Kedua-dua jenis ayat itu digunakan dalam surah Yusuf. Berikut adalah hasil analisis ke atas teks surah Yusuf.

Fungsi ayat-ayat naratif dalam surah Yusuf adalah seperti berikut:

  1. Ayat pembukaan (ayat 1)

  2. Menyatakan tujuan Tuhan (pengarang) menceritakan kisah Nabi Yusuf kepada pembaca (cth. ayat 2, 3,7)

  3. Menerangkan apa Tuhan (pengarang) lakukan ke atas watak-watak (cth. Ayat 15, 24, 34)

  4. Menerangkan apa yang dilakukan oleh watak-watak (cth. ayat 15, 16, 18)

  1. Menyimpulkan kisah Nabi Yusuf dan pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalamnya.

  2. Menutup cerita.

Apabila saudara menulis novel cinta Islami, hati-hati supaya saudara tidak menghasilkan ayat-ayat naratif bagi tujuan selain daripada yang di atas. Daripada analisis di atas jelas sekali di dalam surah Yusuf, ayat-ayat naratif tidak digunakan bagi tujuan berikut:

  1. Menerangkan bentuk dan sifat-sifat tubuh badan manusia.

  2. Menerangkan babak-babak dan aksi bercumbu-cumbuan.

Dalam surah Yusuf, dialog tidak digunakan bagi fungsi ekspresif berikut:

  1. Ekspresi bercumbu. (pada pendapat kita, ayat 23: “Marilah ke mari!” yang diucapkan oleh Siti Zulaikha kepada Nabi Yusuf bukan ekspresi bercumbu, sebaliknya ayat perintah manipulatif daripada seorang majikan perempuan kepada budaknya.)

  2. Ekspresi mencela, mencerca, memaki-hamun.

  3. Ekspresi peristiwa keganasan.

  4. Ekspresi luahan rasa cinta dan rindu dendam.

Fungsi (1) dan (4) di atas perlu diberi tekanan di sini. Disebabkan novel cinta sudah tentu banyak mengandungi babak-babak percintaan, penulis novel cinta Islami harus sentiasa berhati-hati supaya dalam keghairahan bercerita, jangan melanggar peraturan (1) dan (4).

Surah Yusuf terdiri daripada 111 ayat. Daripada jumlah itu 86 ayat adalah ayat dialog, iaitu 74 peratus. Fungsi ekspresif dialog dalam surah Yusuf adalah seperti berikut:

1. Memberitahu apa yang dialami. Cth: Yusuf memberitahu ayahnya tentang mimpinya. (ayat 4)

2. Memberitahu maklumat tentang karektor-karektor lain. (ayat 5)

3. Meluahkan perasaan tidak puas hati. (ayat 8)

4. Membuat rancangan jahat. (ayat 10)

5. Menipu (ayat 11)

6. Membantah (ayat 13)

7. Mengarah (ayat 21)

8. Mengajak (ayat 23)

9. Menolak ajakan (ayat 23)

10. Menghargai jasa (ayat 23)

11. Menuduh (ayat 25)

12. Membela diri (ayat 26)

13. Memarahi (ayat 28)

14. Mencela (ayat 30)

15. Menyatakan kekaguman (ayat 31)

16. Berkomunikasi dengan Tuhan (ayat 33)

17. Meminta bantuan (ayat 36)

18. Menyampaikan pengetahuan (ayat 37)

19. Menerangkan dirinya sendiri (ayat 38)

20. Mempengaruhi dan menukur pendapat (39 & 40)

21. Mengatakan tidak tahu dan memberi alasan (ayat 44)

22. Menawarkan diri (ayat 45)

23. Menyeru, memanggil (ayat 46)

24. Melaporkan (ayat 46)

25. Mengarah persiapan menghadapi kesusahan (ayat 47)

26. Menyiasat (ayat 51)

27. Memberi kesaksian (ayat 51)

28. Mengakui kesalahan (ayat 51)

29. Membela diri (ayat 52)

30. Mengiktiraf kelebihan (ayat 54)

31. Menawarkan diri (ayat 55)

32. Menerangkan kebolehan diri (ayat 55)

33. Memujuk untuk mendapatkan sesuatu (ayat 59 & 60)

34. Mengancam (ayat 60)

35. Mengalah kepada ancaman (ayat 61)

36. Menyatakan harapan dan ramalan (ayat 62)

37. Berjanji (ayat 63)

38. Menyatakan rasa tidak percaya (ayat 64)

39. Menyebut peristiwa lalu, mengungkit (ayat 64)

40. Menolak permintaan (ayat 66)

41. Mengenakan syarat ke atas janji (ayat 66)

42. Berpesan (ayat 67)

43. Memberi peringatan (ayat 67)

44. Memperkenalkan diri (ayat 69)

65. Menghibur (ayat 69)

66. Menawarkan ganjaran (ayat 72)

67. Menafikan (ayat 73)

68. Meminta maklumat (ayat 74)

69. Memberi maklumat (ayat 75)

70. Dialog internal - monolog (ayat 77)

71. Tawar menawar (ayat 78)

72. Mempertahankan pendirian (ayat 79)

73. Menyatakan rasa bersalah (ayat 80)

74. Menyatakan pendirian (ayat 80)

75. Menyatakan harapan (ayat 83)

76. Menyatakan rasa tidak percaya (ayat 83)

77. Menyatakan kesedihan (ayat 84)

78. Minta simpati (ayat 88)

79. Mengingatkan kesalahan (ayat 89)

80. Meminta kepastian (ayat 90)

81. Memberi kemaafan (ayat 92)

82. Menempelak (ayat 96)

83. Mempersilakan (ayat 99)

84. Menggesa (ayat 99)

85. Bersyukur dan memuji Tuhan (ayat 100)

86. Berdoa (ayat 101)

Jelas sekali tidak terdapat dalam surah Yusuf, dialog bercumbu-rayu. Apabila saudara menulis novel cinta Islami, hasil analisis di atas menjadi sangat relevan.



Langkah Pertama Mengedarkan Buku

Apabila saudara hendak menjadi penerbit buku, saudara mempunyai dua pilihan:

  1. Menyerahkan buku saudara kepada pengedar tunggal.

  2. Mengedarkan sendiri buku-buku saudara.

Apabila saudara merancang hendak menyerahkan buku-buku saudara kepada pengedar tunggal, implikasinya banyak. Kita tidak menggalakkan saudara menggunakan pengedar tunggal, tetapi jika saudara mengambil keputusan sebaliknya, ada beberapa panduan yang saudara elok lakukan. Pertama saudara jangan terbit buku sebelum berunding dengan pengedar tunggal itu beberapa perkara:

  1. Rundingkan dahulu terma-terma bisnes antara saudara dengan pengedar itu. Yang paling penting adalah struktur diskaun.

  2. Maklumkan kepada pengedar buku-buku jenis apa yang saudara akan terbitkan dan tanya pendapatnya sama ada buku saudara itu ada pasarannya. Para pengedar amat tahu pasaran buku tempatan.

  3. Tanya dahulu berapa jumlah naskhah yang pengedar itu sanggup ambil. Jangan cetak lebih banyak daripada jumlah itu.

  4. Jangan berunding dengan satu pengedar sahaja. Berunding dengan beberapa pengedar dan buat perbandingan. Pilih pengedar yang dapat saudara percayai.

  5. Siasat etika bisnes pengedar-pengedar itu supaya saudara tidak terpilih pengedar yang menyebabkan bisnes saudara mengalami pelbagai masalah, terutama dalam isu bayaran. Maklumat ini mudah diperoleh daripada para penerbit.

  6. Pengedar yang paling besar belum tentu paling sesuai mengedarkan buku saudara. Setiap pengedar mempunyai kekuatan masing-masing dalam bidang masing-masing. Jika saudara menerbitkan buku bacaan umum, jangan lantik pengedar yang kuat dalam bidang buku-buku sekolah dan begitu juga sebaliknya.

Lazimnya orang yang suka melantik pengedar tunggal adalah penulis yang menerbitkan karyanya sendiri, suatu hal yang mudah difahami mengapa mereka berbuat begitu.

Elok saudara tahu bahawa tidak ada penulis yang menerbitkan karya sendiri, kemudian menyerahkan bukunya kepada pengedar tunggal, yang akhirnya berjaya menikmati kemakmuran hasil daripada daya usahanya itu.



Tanda Bacaan pada Dialog

Apabila saudara menulis karya kreatif, ada beberapa kesilapan pada tanda bacaan yang lazimnya dilakukan. Ini melambatkan kerja-kerja mengedit.

Tanda (“) dan (”) sentiasa rapat.


Saya tidak suka, ” katanya. (SALAH)

Saya tidak suka,” katanya. (BETUL)


Kamu hendak ke mana? ” tanya Ramli. (SALAH)

Kamu hendak ke mana?” tanya Ramli. (SALAH)


Tanda koma (,) di hujung dialog.


Saya tidak suka.” Kata Mamat kepada Ramlah. (SALAH)

Saya tidak suka,” kata Mamat kepada Ramlah. (BETUL)


Huruf kecil selepas dialog.


Kamu mahu apa?” Tanya Mamat. (SALAH)

Kamu mahu apa?” tanya Mamat. (BETUL)


Tanda noktah (.) tidak boleh diiringi oleh tanda lain.


Apakah yang dapat dilakukan?.” (SALAH)

Apakah yang dapat dilakukan?” (BETUL)


?, (SALAH)

.? (SALAH)

,? (SALAH)

!. (SALAH)

.! (SALAH)

,. (SALAH)

;. (SALAH)


Tanda koma (,) di hujung dialog.


Kalau begitu, bolehlah.” Dia berkata. (SALAH)

Kalau begitu, bolehlah,” dia berkata. (BETUL)


Tanda koma (,) sebelum nama khas.


Kamu hendak ke mana Mamat?” tanya Atan. (SALAH)

Kamu hendak ke mana, Mamat?” (BETUL)


Saya tidak kisah Mat, apa kamu fikir,” kata Atan. (SALAH)

Saya tidak kisah, Mat, apa kamu fikir,” kata Atan. (BETUL)


Tanda koma (,) sebelum nama panggilan.


Apa khabar kak,” saya bertanya. (SALAH)

Apa khabar, kak,” saya bertanya. (BETUL)


Awak hendak ke mana sayang?” katanya. (SALAH)

Awak hendak ke mana, sayang?” katanya. (BETUL)


Beginilah bang, saya akan tarik diri,” jawab Mamat. (SALAH)

Beginilah, bang, saya akan tarik diri,” jawab Mamat. (BETUL)


Banyak cantik! Aku tak ingin dengan kau!” kata Siti.

Aku tidak sudi dengan kamu!” kata Siti.


Tanda soal tidak boleh diikuti oleh koma (,) ataupun noktah (.)


Apa khabar?.” (SALAH)

Apa khabar?” (BETUL)


Apa khabar?,” Karim bertanya. (SALAH)

Apa khabar?” Karim bertanya. (BETUL)


Tanda seruan (!) tidak boleh diikuti oleh koma (,) ataupun noktah (.)


Alamak!.” (SALAH)

Alamak!” (BETUL)


Bedebah kamu!.” (SALAH)

Bedebah kamu!” (BETUL)


Tanda seruan (!) dan tanda soal (?) hanya digunakan sekali.


Aduhai!!!” (SALAH)

Aduhai!” (BETUL)


Apa??” (SALAH)

Apa?” (BETUL)


Tanda seruan (!) dan tanda soal (?) tidak boleh digunakan bersama.


Apa?!” (SALAH)

Apa?” (BETUL)


Apa!?” (SALAH)

Apa!” (BETUL)


Jumlah titik di akhir ayat.

Empat titik sederet digunakan di hujung ayat yang tidak diselesaikan. Titik keempat adalah noktah.


Begitulah nasib Labu dan Labi...... (SALAH)

Begitulah nasi Labu dan Labi.... (BETUL)


Tiga titik sederet (...) dan koma (,) digunakan untuk ayat yang tidak diselesaikan.


Tetapi saya tak....” Asmah tidak sempat menghabiskan kata-katanya. (SALAH)

Tetapi saya tak...,” Asmah tidak sempat menghabiskan kata-katanya. (BETUL)


Tiga titik sederet (...) dan 'space' bagi menunjukkan kata-kata orang yang gagap ataupun dalam ketakutan.


Be...be...lum!” kata Ali dengan gugup. (SALAH)

Be... be... lum!” kata Ali dengan gugup. (BETUL)


Saya.....saya.....tak mahu!” jawabnya. (SALAH)

Saya... saya... tak mahu!” jawabnya. (BETUL)


Titik tidak tidak boleh diikuti oleh tanda soal (?) ataupun tanda seruan (!)


Siapa kamu...?” (SALAH)

Siapa kamu?” (BETUL)


Mengapakah malangnya nasibku....!” (SALAH)

Mengapakah malangnya nasibku!” (BETUL)