Hanya 4 Orang Penulis Novel Cinta Bertahan
Cerita-cerita tentang kejayaan novel-novel cinta dalam pasaran menyebabkan banyak penulis baru berminat hendak menulis novel cinta, dengan harapan mereka dapat menikmati royalti yang besar.
Kejayaan sentiasa menjadi berita, manakala kegagalan tidak dipercakapkan orang. Berita tentang beberapa orang penulis novel cinta yang berjaya menjual puluhan ribu naskhah novel-novel mereka diceritakan dengan cara-cara yang memberi gambaran palsu tentang dunia novel cinta, seolah-olah semua penulis novel cinta dapat menikmati kejayaan begitu.
Inilah gambaran sebenar tentang jualan novel-novel cinta:
Hanya Alaf 21 dan Creative yang mempunyai pengalaman berjaya menjual novel-novel cinta pada jumlah yang melebihi 50 ribu naskhah bagi sesuatu judul. Ini bermakna, jika novel saudara diterbitkan oleh penerbit selain dua penerbit ini, peluang jualan novel saudara melebihi 50 ribu naskah tidaklah cerah.
Daripada berpuluh-puluh penulis novel cinta, sehingga hari ini hanya 4 orang sahaja yang secara konsisten dapat menghasilkan novel-novel yang tinggi jualannya.
Pola jualan novel cinta yang diterbitkan oleh penerbit terkenal adalah lebih kurang begini:
a. Novel pertama saudara mempunyai harapan dapat dijual dengan baik sebab pembaca memang mencari-cari sesuatu yang baru. Jualan novel pertama tidak semestinya mencerminkan kualiti dan bakat saudara sebagai karyawan yang berpotensi besar, sebaliknya novel saudara laku sebab nama saudara baru muncul. Inilah faktor yang mendorong penerbit sentiasa berusaha mencari bakat-bakat baru meskipun ia sudah mempunyai beberapa orang penulis yang berjaya.
b. Banyak penulis, apabila novel pertama mereka laku jualannya, mereka tergesa-gesa menyiapkan novel kedua kerana yakin novel kedua itu akan mengulangi kejayaan novel pertama. Akibatnya kerja tergesa-gesa, novel kedua itu tidak sebaik novel pertama. Apabila novel kedua saudara menghampakan pembaca, jualannya akan turun mendadak disebabkan pembaca yang sudah membacanya akan bercakap kepada rakan-rakan yang belum membaca supaya jangan membeli novel itu.
c. Novel ketiga saudara adalah peluang terakhir saudara menyelamatkan nama saudara daripada terkubur. Apabila novel kedua saudara tidak memenuhi pengharapan pembeli, ditambah pula novel ketiga saudara pun tidak betul-betul bagus, tamatlah riwayat nama saudara dalam minda penerbit saudara. Ini bermakna, saudara mesti melakukan banyak pembacaan dan kajian sebelum menuliskan novel ketiga saudara itu. Ia adalah pelampung keselamatan yang semestinya menyelamatkan nasib saudara sebagai penulis novel cinta.
Jika saudara seorang penerbit ataupun pengurus editorial, implikasi pola jualan seperti ini adalah, jangan gopoh hendak menerbitkan novel kedua pengarang yang sama. Ambil waktu bagi membaca dan menilai kualiti novel kedua itu. Jika perlu ditolak, tolak! Jika perlu diperbaiki, arahkan pengarang itu supaya memperbaikinya.