Friday, December 02, 2005

Dicari: Editor Orang Bandar Totok!

Ikan yang lahir dan besar dalam tasik tidak akan tahu dunia ikan-ikan yang lahir dan besar dalam laut, dan begitulah sebaliknya.

Kebanyakan penulis buku-buku Melayu adalah mereka yang lahir di kampung. Akibatnya kita tidak dapat menerbitkan buku-buku yang memenuhi citarasa mereka yang lahir dan dibesarkan dalam kota-kota besar seperti Kuala Lumpur.

Sebagaimana remaja yang lahir dan besar di Petaing Jaya tidak dapat menyelami citarasa dan jiwa remaja yang lahir di Kampung Bongek, begitulah sebaliknya.

Bagi penerbit, pasaran orang Melayu Bandar adalah pasaran orang yang berduit. Mereka mempunyai daya beli yang tinggi. Itulah sebabnya ASTRO sedang dengan agresifnya cuba menerbitkan rancangan-rancangan TV yang digemari oleh golongan Melayu Bandar.

Sebagaimana ASTRO, kita sebagai penerbit buku, perlu menerbitkan buku-buku yang memenuhi keperluan pasaran Melayu Bandar. Sebagai langkah pertama, tentu sekali kita memerlukan editor perolehan yang mempunyai latar belakang orang bandar totok!

Adakah saudara orang bandar totok? Adakah saudara suka buku? Jika ya, kita berminat berjumpa saudara.


Thursday, December 01, 2005

Projek Islamica

Perhatian! Perhatian!

Kepada semua anggota tim projek Riadhus Salihin, bengkel kita akan diadakan pada Sabtu 3 Disember 2005 di Taman Permata, mula jam 10 pagi.

Agenda bengkel:

1. Melaporkan kemajuan projek.

2. Membincangkan masalah-masalah teknikal yang dialami.

3. Mengenal pasti projek-projek hiliran yang dapat dihasilkan daripada projek induk RS.

4. Menyelaraskan kerja-kerja antara anggota tim.






Pengumuman Pertama: Sekolah Penerbitan PTS

Mulai suku ketiga tahun 2006, PTS akan membuka Sekolah Penerbitan dan menawarkan kursus peringkat sijil, diploma dan diploma tinggi dalam bidang penerbitan.

Kursus akan dilaksanakan separuh masa dengan kelas-kelas diadakan pada hari Sabtu dan hari Ahad.

Pada peringkat awal, Sekolah Penerbitan PTS akan menawarkan kursus dalam bidang editor bahasa dan teks pada peringkat sijil.

Kandungan kursus ini adalah:

a. Sistem ejaan:

  1. Sistem ejaan Melayu.

  2. Sistem ejaan kata pinjaman istilah Inggeris.

  3. Sistem ejaan kata pinjaman istilah Arab.

  4. Panduan meminjam perkataan-perkataan teknikal baru yang belum terdapat dalam Kamus Dewan.

  5. Sistem ejaan sendi nama dan sendi kata.

b. Sistem tanda bacaan:

  1. Sistem tanda bacaan dalam teks teknikal.

  2. Sistem tanda bacaan dalam teks kreatif.

c. Sistem tatabahasa:

  1. Struktur ayat yang betul dan yang salah.

  2. Sistem penggunaan sendi Bahasa Melayu.

  3. Sistem perenggan karangan.

d. Sistem nota kaki.

e. Sistem bibliografi

f. Sistem apendiks.

g. Sistem membuat petikan.

h. Sistem penomboran.

I. Pengenalan panduan menterjemah.

j. Panduan mengedit kesalahan ejaan dan tatabahasa pada skrin, tanpa menggunakan kertas dan pen.

k. Sistem indeks bacaan:

  1. Formula mengukur tahap kepayahan teks.

  2. Panduan mengurangkan tahap kepayahan teks.

Siapa yang patut memiliki sijil ini:

  1. Editor yang sudah bekerja tetapi sering kali keliru dengan pelbagai sistem yang sepatutnya digunakan di tempat kerja sebab belum pernah didedahkan dengan aspek-aspek mengedit bahasa yang betul.

  2. Sesiapa yang berminat mencari pekerjaan dalam industri penerbitan buku, majalah dan akhbar.

  3. Sesiapa yang berminat menjadi wartawan.

  4. Sesiapa yang berminat menjadi pengarang.

  5. Sesiapa yang berminat mencari pekerjaan dalam bidang periklanan.

  6. Sesiapa yang berminat menjadi penterjemah profesional.

Notis ini adalah pengumuman pertama. Dari masa ke masa pengumuman kedua dan ketiga akan disiarkan dengan memberikan maklumat lanjut berkenaan tarikh dan yuran.



Wednesday, November 30, 2005

Menerbitkan Buku Re-make

Dalam perbincangan kita dengan En. Norden Mohamed, Pengurus Besar Alaf21, beliau mengemukakan idea yang bagus, iaitu kemungkinan para pengarang besar negara kita ini membenarkan karya-karya mereka diterbitkan semula dalam edisi 're-make'.

Penerbitan re-make bukan idea baru dalam industri penerbitan filem dan muzik. Semua filem dan lagu-lagu yang pernah mendapat sambutan hangat diterbitkan semula dalam bentuk re-make.

Namun idea ini belum dilakukan dalam dunia sastera Melayu. Di Indonesia sekalipun, karya-karya klasik moden diterbitkan semula persis bentuk lamanya, bukan dalam bentuk edisi re-make.

Adakah pengarang-pengarang kita seperti A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Adibah Amin dan Abdullah Hussain akan setuju jikalau karya-karya mereka diterbitkan semula dalam edisi re-make? Bagimana pula dalam kes pengarang yang sudah meninggal dunia seperti Usman Awang dan Keris Mas? Adakah pewaris hakcipta karya mereka akan membenarkan karya-karya itu diterbitkan semula dalam bentuk re-make?

Kita percaya idea En. Norden Mohamed itu baik untuk dunia sastera Melayu dan industri buku negara kita. Diharapkan para pengarang kita dapat melihat manfaat idea tersebut kepada mereka.


Tuesday, November 29, 2005

Trend Pasaran Kaset, CD dan Buku

Gosip terbaru yang kita dengar daripada dunia pasaran kaset, CD dan buku adalah TELAGA BIRU akan masuk ke dalam aktiviti penerbitan buku-buku motivasi cinta, kasih sayang dan keluarga bahagia dengan serius.

Sebelum ini TELAGA BIRU adalah penerbit kaset dan CD motivasi cinta dan kasih sayang yang terbesar di negara ini. Tidak ada mana-mana penerbit kaset dan CD motivasi yang dapat menandingi barisan tokoh-tokoh motivasi yang dimiliki oleh TB: Dato' Dr. Fadhillah Kamsah, Ustazah Noor Bahiyah, Dato' Dr. Mashitah Ibrahim, Ustaz Wan Sohor Bani Leman, sebut sahaja nama-nama selebriti motivasi di negara kita sekarang, produk mereka ada pada TB. Nama-nama selebriti itu adalah aset paling bernilai yang dimiliki oleh TB.

Kejayaan TELAGA BIRU terletak pada kepakaran yang dimiliki oleh pemiliknya, Haji Wahab Yusof. Beliau pernah bekerja dengan syarikat rakaman muzik yang amat terkenal di negara ini. Itulah sebabnya beliau amat berjaya dalam bisnes menerbitkan dan menjual kaset dan CD dan dalam waktu singkat TB membesar dengan pesatnya.

Tetapi mengapakah TELAGA BIRU tiba-tiba memasuki aktiviti menerbitkan buku, sedangkan bisnes penerbitan buku amat berbeza daripada penerbitan kaset dan CD?

Kita meramalkan, TB sedang mengalami masalah putaran dan hayat produk-produknya. Memang menjadi hukum alam, semua produk mempunyai tempoh hayatnya dalam pasaran, iaitu sekitar maksimum 5 tahun. Selepas 5 tahun pasaran bagi kategori produk itu akan turun.

Maklumat yang kita kutip daripada pasaran mendapati, 3 tahun yang lalu, para pengedar kaset-kaset motivasi boleh memesan sehingga 2 ribu unit kaset-kaset motivasi, nasyid, dan ceramah agama. Tetapi sejak akhir-akhir ini, jumlah pesanan itu jatuh menjunam-junam sehingga ada yang memesan 50 unit sahaja bagi produk yang baru diterbitkan.

Fenomena putaran hayat produk juga sedang dialami oleh novel-novel cinta remaja. Sebuah penerbit besar (bukan Alaf21) yang ikut terjun ke dalam penerbitan novel cinta, melaporkan kepada kita bahawa 3 tahun lalu mereka dapat mencetak dan menjual 10 ribu naskhah, kini hendak menghabiskan stok cetakan pertama 3 ribu naskhah pun sakit!

Bagaimana pula dengan putaran buku-buku motivasi yang sedang top sekarang ini? Berapa lama lagi sebelum permintaan bagi buku-buku motivasi sampai ke hujung putarannya?


Monday, November 28, 2005

Maklumat dari Pengurus Besar Alaf21

Dalam forum “Buat Duit dengan Menulis” yang diadakan di MPH Alpha Angle semalam, Ahad 27 Nov, beberapa maklumat menarik yang disampaikan oleh Pengurus Besar Alaf21, En. Norden Mohamed adalah:

1. Ada penulis Alaf yang sudah menerima hampir setengah juta ringgit royalti daripada novel-novelnya.

2. Adalah tidak benar novel-novel Alaf21 semata-mata mengemukakan tema cinta-cintaan, meskipun itu menjadi persepsi masyarakat.

3. Novel cinta saat ini sudah mulai menunjukkan tanda-tanda ia ‘lost its magic’, yakni sudah hampir sampai ke hujung zaman gemilangnya dari sudut angka jualan.

4. Novel-novel thriller seperti yang ditulis oleh Ramli Awang Murshid kini mulai meningkat jualannya, dan ada tanda-tanda pembaca perempuan pun sudah meminati genre ini.

5. Alaf sedang dengan serius mengembangkan produknya dengan menerbitkan novel-novel bertemakan selain cinta.

6. Novel-novel yang diterbitkan secara peribadi oleh penulis didapati tidak mendapat sambutan sehangat novel-novel yang diterbitkan oleh penerbit besar seperti Alaf21.

Maklumat ini berguna kepada saudara-saudara yang sedang mencari-cari genre mana yang saudara akan ceburi dalam dunia penulisan.