Thursday, October 12, 2006

Buku Ala Kuih Tempah

Pada peringkat antarabangsa, buku-buku yang berjaya menjadi buku ‘hit’ dalam pasaran adalah ‘dicipta’ oleh para penerbit, bukan lagi ‘dilahirkan’ oleh penulis.


Di negara-negara maju, zaman penerbit duduk di meja pejabat menanti penulis datang membawa manuskrip sudah lama berakhir. Ini zaman bisnes penerbitan ala ‘kuih tempah’.


Strategi inilah yang ditiru oleh PTS. Itulah sebabnya PTS melabur dalam mengadakan secara percuma aktiviti kursus penulisan dan mentoring bagi mendapatkan bakat-bakat baru supaya mereka menghasilkan produk-produk baru yang dirancang oleh PTS.


Sebagai contoh, bagi program novel jibunsyi dan novel remaja, PTS mula melatih penulis-penulisnya seperti Ashadi Zain, Zafran, Haslisa Ramli dan Ida Rizyani sejak tahun 2004. Edisi remaja jibunsyi mereka mula diterbitkan ada tahun 2006, manakala hanya pada tahun 2007 edisi besar jibunsyi mereka dapat diterbitkan.


Proses kuih tempah ini juga dilakukan bagi program penerbitan bukan fiksyen PTS. Buku hit “Rahsia Bisnes Orang Cina” ditulis atas permintaan penerbit kepada Ann Wan Seng. Sekarang beliau sedang menulis buku “Rahsia Bagaimana Orang Cina Mengembangkan Wangnya”, juga atas permintaan kita.


Strategi inilah yang membolehkan PTS secara konsisten menghasilkan judul-judul baru setiap bulan, kerana jumlah penulis PTS kini sudah hampir 200 orang, masing-masing sudah tahu mereka menulis untuk siri PTS yang mana.


Strategi ini juga sekarang sudah mula dilakukan oleh ALAF21, dan pendatang baru KarnaDya. (KarnaDya akan mengadakan bengkel penulisan pada 18 Nov 2006, sila mendaftar.)


Cara kerja begini tidak sesuai dengan jiwa sasterawan yang sangat menghargai kebebasan dalam proses berkarya.


Faktor ini menyebabkan PTS bekerja keras membangunkan angkatan penulisnya sendiri yang terdiri daripada bakat-bakat terpendam dan baru sama sekali.


Hikmah di sebalik kesukaran cara kerja begini adalah kita menemui bakat-bakat besar daripada kelompok yang tidak disangka-sangka, yakni golongan terpelajar dan profesional seperti jurutera, akauntan, doktor, peguam dan pensyarah, yang memiliki bakat menulis semula jadi.




Wednesday, October 11, 2006

Dakwah dalam Novel: Prinsip Surah Yusuf

Mengikut teori sastera konvensional, penilaian dilakukan oleh manusia berdasarkan kayu-kayu ukur, yakni teori-teori sastera, ciptaan intelek manusia. Justeru sesebuah karya itu dikatakan karya sastera yang bermutu disebabkan ada individu-individu yang mengatakan begitu berdasarkan kayu ukur yang mereka cipta dan digunakan bagi menilai karya itu.


Apabila berdiskusi tentang novel Islami, menurut kayu ukur sasterawan aliran konvensional, mesej dakwah dalam novel tidak sepatutnya dituliskan dengan terang dan jelas. Sebaliknya mesej dakwah itu perlu disampaikan secara halus, samar-samar, dan terselindung di sebalik simbol-simbol. Justeru mereka menolak kehadiran petikan ayat-ayat Quran dan hadith dalam novel Islami.


Pada penilaian sasterawan konvensional, sastera itu lain, kitab agama itu lain. Disebabkan pandangan sebegitu, novel yang mengandungi unsur-unsur dakwah yang jelas dan terang diberi penilaian negatif, dianggap tidak bernilai sastera, tidak indah, malah dikategorikan ‘bukan sastera’.


Pada pandangan sasterawan konvensional, novel Islami hendaklah mendahulukan unsur-usur sasteranya, bukan unsur-unsur dakwahnya. Dengan demikian barulah novel itu dapat diterima sebagai bernilai sastera.


Justeru, para pendukung teori-teori sastera konvensional berpegang pada pandangan bahawa novel Islami yang berkualiti adalah novel yang unsur-unsur dakwahnya lemah, cair, kelam, ambigus.


Mereka mengemukakan contoh mesej dakwah yang halus, yang simbolik, justeru dikatakan indah, adalah seperti yang terdapat dalam novel The Old Man and the Sea karya Hemmingway. Dalam novel itu pada hujung cerita, orang tua itu memikul tiang layar perahunya naik ke pantai dengan matahari petang di belakangnya, lalu bayang-bayang yang jatuh ke atas pasir pantai serupa dengan gambar salib.


Fenomena novel Ayat-ayat Cinta oleh Habiburrahman al-Sherazy yang terjual lebih 400 ribu naskhah di Indonesia membuktikan peminat sastera mahukan mesej dakwah yang terang dan jelas.


Angka jualan AAC adalah bukti bahawa pembaca sastera mahukan petikan ayat-ayat Quran dan hadith, mahukan dialog yang dengan jelas mengajak orang mencegah kejahatan dan melakukan kebaikan, yakni unsur-unsur yang ditolak oleh pemikir-pemikir sastera konvensional.


Dalam surah Yusuf, mesej dakwah dihadirkan dengan jelas dan terang, baik dalam ayat-ayat naratif mahupun dalam ayat-ayat dialog. Implikasinya adalah di sisi Tuhan, sesebuah kisah yang indah adalah kisah di mana mesej-mesej dakwahnya ditulis dengan jelas dan terang.


Justeru, apabila menilai apakah sesebuah novel itu Islami ataupun bukan Islami, maka kayu ukur yang digunakan seharusnya adalah ciptaan Tuhan, bukan kayu ukur ciptaan manusia.


Isu ini relevan dengan isu dasar dan senarai kriteria yang digunakan oleh panel hakim dalam pelbagai peraduan penulisan sastera Islami.


Nota: Ayat-ayat Cinta sudah diterbitkan semula di Malaysia dan boleh dibeli di semua kedai buku utama.

.



Penulis Menyamar "Dr."

Adakah saudara seorang penerbit, ataupun bekerja dengan syarikat penerbitan buku? Jika ya, berhati-hati apabila didatangi oleh pengarang yang mengaku memiliki ijazah PhD.


Kita dapat mengesan ada dua orang penulis buku motivasi yang menggunakan gelaran “Dr.” yang diragui ke-genuine-nan ijazahnya.


Jika masyarakat mendapat tahu saudara menerbitkan buku-buku yang ditulis oleh orang yang menyamar sebagai “Dr.”, risikonya adalah pada nama baik syarikat dan nama baik saudara sendiri sebagai orang bisnes.



.

Tuesday, October 10, 2006

Ketampanan dan Kejelitaan osial Pengarang

Seseorang itu memiliki dua jenis ketampanan / kejelitaan: (a) ketampanan fizikal seperti wajah yang tampan, dada yang bidang ataupun misai yang lebat dll aspek fizikal. (b) ketampanan sosial, yakni keelokan peribadi seseorang itu sebagaimana yang dinilai oleh orang lain.

Faktor-faktor yang mencipta ketampanan / kejelitaan sosial adalah:

a. Akhlak: Orang yang akhlaknya terpuji dilihat lebih tampan daripada dirinya yang sebenar. Sebagai contoh, penyanyi yang pandai mengaji Quran dilihat lebih tampan daripada dirinya yang sebenar.

b. Pendidikan: Antara seorang yang berkelulusan ijazah dan yang berkelulusan SPM, walaupun serupa wajahnya, si pemegang ijazah dipandang lebih tampan ataupun jelita.

c. Keturunan: Seorang 'tengku' dan seorang 'bukan tengku' yang serupa rupa wajahnya, si tengku dipandang lebih jelita.

d. Kedudukan sosial: Antara seorang CEO dan seorang kerani yang serupa rupa wajahnya, si CEO dipandang lebih tampan.

e. Pasangan hidup: Antara bisnesman yang kahwin doktor pakar dengan bisnesman yang kahwin artis, walaupun rupa paras kedua-duanya serupa, tetapi bisnesman yang kahwin doktor pakar dipandang lebih tampan.

f. Bidang kerjaya: Antara doktor dan akauntan yang serupa rupa wajahnya, si doktor dipandang lebih tampan.

g. Aktiviti sosial: Antara dua orang isteri menteri, yang satu suka menaungi aktiviti golongan kurang upaya, manakala yang satu lagi suka menaungi promosi fesyen, yang menaungi aktiviti golongan kurang upaya dipandang lebih cantik dan baik.

h. Perkahwinan: Bagi sesetengah jawatan, seperti kaunselor, kedudukan sebagai bujang, berkahwin, berpoligami ataupun bercerai dapat mempengaruhi ketampanan / kejelitaan sosial pemegang jawatan itu.

i. Persahabatan: Seseorang yang mempunyai ramai sahabat yang terdiri daripada individu-individu penting dalam masyarakat dilihat lebih tampan daripada mereka yang tidak.

j. Pertubuhan: Jenis pertubuhan yang dianggotai juga dapat meningkatkan ataupun menjatuhkan ketampanan sosial seseorang. Seorang ulamak muda yang tiba-tiba menjadi anggota sebuah parti politik sekular tidak akan dilihat tampan lagi, sebagaimana sebelumnya.

Dalam industri hiburan, peranan ketampanan fizikal sangat mempengaruhi jualan tiket filem, tiket konsert, kaset dan CD seseorang artis. Bagi artis perempuan, kejelitaan fizikal memainkan peranan yang lebih besar, ia dapat mengalahkan peranan bakat. Manakala peranan itu kurang bagi artis lelaki. Artis lelaki yang sudah tua dan tidak setampan model iklan sekalipun, apabila bakatnya besar, dapat kekal popular.

Namun begitu pengaruh ketampanan sosial juga memainkan peranannya ke atas artis perempuan. Perkahwinan seorang bekas penyanyi paling kaya dengan seorang duda yang latar belakangnya penuh kontroversi telah mencacatkan kejelitaan sosial penyanyi itu, yang sebelum itu amat tinggi, sehinggakan beliau kalah teruk dalam pemilihan penyanyi popular yang dianjurkan sebulan selepas perkahwinannya.

Bagaimana pula dengan jualan buku - apakah faktor ketampanan fizikal dan ketampanan sosial memainkan peranannya? YA dan TIDAK.

Dato' Dr. Fadhillah Kamsah memiliki ketampanan fizikal yang biasa-biasa sahaja, tetapi ketampanan sosial beliau adalah lebih tinggi daripada ketampanan fizikalnya.

Jika saudara menulis buku-buku motivasi dan pembangunan diri, dan saudara juga mempunyai rancangan hendak menjadi penceramah, maka ketampanan sosial saudara mempunyai pengaruh kuat ke atas jualan buku-buku saudara dan ke atas jumlah kehadiran pada ceramah-ceramah saudara.

Oleh itu, sebagai penceramah, elakkan daripada melakukan perbuatan yang mencacatkan ketampanan sosial saudara, seperti bergaduh dengan jiran sampai masuk surat khabar!

.

Monday, October 09, 2006

Menyusun Antologi

Catatan ini penting bagi editor buku.

Mengapakah kaset dan CD muzik menikmati jumlah jualan yang lebih banyak daripada buku? Kalau penulis berjaya menjual 3 ribu naskhah bukunya, dia sudah berbangga! Kalau penyanyi hanya berjaya menjual 3 ribu unit kaset dan CDnya, baginya itu adalah kegagalan yang mengaibkan.

Pandangan dan sentuhan pertama adalah kritikal dalam proses membuat keputusan.

Apabila saudara pergi ke kedai muzik, saudara mungkin meminta pembantu kedai memainkan dulu kaset sebelum membuat keputusan membelinya. Adakah saudara perasan, sebelum kaset itu disimpan semula, pembantu itu akan me-rewind kaset itu sebelum menyimpannya semula?

Penerbit muzik sentiasa meletakkan lagu yang terbaik sebagai lagu pertama dalam antologi muzik. Bagi memastikan lagu yang didengar oleh mana-mana bakal pembeli adalah lagu yang terbaik, justeru kaset yang sudah diuji mesti di-rewind semula, supaya setiap kali kaset itu diuji, hanya lagu pertama yang didengar!

Lazimnya penerbit buku Melayu tidak berfikir sebagaimana penerbit muzik. Dalam industri muzik, penerbitlah yang menentukan susunan antologi dalam kaset dan CD, bukan pencipta lagu ataupun penyanyi.

Sebaliknya, dalam industri buku Melayu, penerbit ikut sahaja susunan yang dibuat oleh penulis. Lazimnya penulis membuat susunan bukunya dengan tidak memasukkan strategi pemasaran dan penjualan bukunya. Akibatnya, buku itu tidak disusun dengan objektif yang selaras dengan bisnes jualan buku.

Adakah saudara sedang menyusun buku antologi? Antologi saudara mungkin antologi artikel, puisi, cerita-cerita, cerpen ataupun catatan travelogue.

Ada beberapa cara menyusun antologi:

(a) Ikut kronologi

Di sini karya yang ditulis paling awal diletakkan paling di depan, dan karya yang ditulis paling lewat diletakkan pada bahagian terakhir.

Risiko teknik ini adalah item pertama itu bukan item yang paling baik mutunya. Pada logiknya, cerpen yang ditulis sewaktu penulis itu masih muda tidak sebaik cerpen yang ditulis pada usia lebih dewasa.

(b) Ikut tema-tema

Di sini semua item dikumpulkan berdasarkan tema-temanya. Pilihlah tema yang paling menarik sebagai tema pertama. Antara item dalam tema itu, pilih item yang terbaik dan letakkan sebagai item pertama.

(c) Ikut pengarang

Di sini, item-item itu dihasilkan oleh beberapa penulis. Semua item dikumpulkan berdasarkan penulis.

Pilih pengarang yang paling terkenal sebagai pengarang pertama. Antara karyanya, pilih yang terbaik sebagai item pertama.

Jikalau saudara sedang menulis buku antologi catatan pengembaraan - travelogue - susun item-itemnya supaya catatan-catatan yang paling menarik diletakkan pada bahagian awal buku itu.

Editor buku-buku antologi perlu menerangkan kepada penulis mengapa susunan yang dibuat oleh penulis belum tentu disetujui oleh penerbit. Jangan ikut sahaja apa yang ada dalam manuskrip yang dihantar oleh penulis.


.

Sunday, October 08, 2006

Inul, Buku dan Ramadhan

Menurut Bapak Dr. Haidar Bagir, Presiden Mizan Group, tangkah laku pembeli buku di Indonesia dan di Malaysia amat berbeda pada bulan Ramadhan.


Di Indonesia, bulan Ramadhan adalah bulan jualan buku paling rancak bagi sepanjan tahun. Pada bulan itu para penerbit betul-betul menuai hasil pelaburan mereka.


Pembelian buku di sana naik paling tinggi sepanjang Ramadhan di Indonesia. Malah masuk sahaja bulan Rajab, jualan buku mula meningkat lebih tinggi daripada sebelumnya.


Para penerbit di sana menawarkan pakej set-set buku dengan diskaun yang menarik kepada agen dan kedai-kedai buku.


Kedai-kedai buku pula sibuk mengadakan SALE buku. Mereka juga menyediakan hamper-hamper buku bagi para pelanggan mereka dengan diskaun yang menarik.


Menurut Dr. Haidar, trend membaca sepanjang bulan Rajab dan Ramadhan amat ketara sejak 10 tahun yang lalu. Ini disebabkan banyak penceramah popular di Jakarta menyarankan supaya ibadah membaca dilakukan dengan lebih aktif sepanjang bulan Ramadhan bagi menggantikan pelbagai aktiviti yang tidak cocok dengan bulan suci itu.


Di Indonesia, sepanjang bulan Ramadhan, semua pusat hiburan tutup! Penari dangdut Inul pun memakai tudung dan pergi kelas mengaji pada bulan mulia itu.


Di Malaysia, keadaan adalah sebaliknya. Jualan buku Melayu pada bulan Ramadham jatuh teruk! Orang Melayu membelanjakan wang mereka bagi membeli persiapan hari raya.