Apabila saudara membaca kitab-kitab agama, saudara akan dapati teks hadis dalam Bahasa Melayunya susah dibaca. Ia berbelit-belit, dan banyak kali saudara tidak dapat hendak mengagak apa makna hadis itu.
Di bawah adalah suatu contoh:
“Janganlah engkau semua mempersangatkan dalam meminta sesuatu sebab demi Allah, tidaklah seseorang dari engkau semua itu meminta sesuatu, kemudian kerana permintaannya itu lalu dapat mengeluarkan sesuatu pemberian daripadaku untuknya, sedangkan saya tidak senang dengan cara memintanya, selanjutnya lalu diberkahi untuk orang tadi dalam apa-apa yang saya berikan.” (Riwayat Muslim)
Terjermahan hadis di atas bertentangan dengan prinsip-prinsip komunikasi bahasa yang diterangkan dalam Quran dan juga dalam hadis iaitu.
1. Quran itu disampaikan kepada Nabi Muihammad mengggunakan bahasa yang mudah dan jelas.
Ayat-ayat terjemahan Quran dan hadis mestilah menggunakan bahasa yang mudah dan jelas.
Ayat 'Janganlah engkau semua mempersangatkan dalam meminta sesuatu....' adalah menyalahi prinsip ini disebabkan ayat ini tidak mudah dan tidak jelas.
Maksud hadis ayat ini adalah 'Apabila saudara semua mengemukakan permintaan, jangan mendesak-desak....' Bukankah ayat ini mudah dan jelas?
2. Nabi Muhammad ada berpesan supaya apabila kita bercakap, kita bercakap menggunakan bahasa yang difahami oleh orang yang bercakap dengan kita itu.
Ayat, 'tidaklah seseorang dari engkau semua itu meminta sesuatu, kemudian kerana permintaannya itu lalu dapat mengeluarkan sesuatu pemberian daripadaku untuknya, sedangkan saya tidak senang dengan cara memintanya....'
Teks hadis di atas menyalahi prinsip kedua ini, di mana ia tidak dapat difahami oleh pembaca berpendidikan profesional sekalipun, apatah lagi jikalau pembaca hanya lulus sekolah menengah.
Maksud hadis itu adalah, 'apabila salah seorang daripada saudara-saudara semua meminta sesuatu, kemudian saya beri apa yang dimintanya, sedangkan saya tidak suka dengan cara dia mengemukakan permintaannya....' Bukankah ayat ini mudah dan jelas?
3. Hadis adalah kata-kata sebenar yang diucapkan oleh Nabi Muhammad yang dihafal secara verbatim oleh orang yang mendengar beliau bercakap.
Hadis adalah dialog Nabi Muhammad. Ini bermakna dialog hendaklah diterjemahkan sebagai dialog. Dialog dalam bahasa Arab hendaklah diterjemahkan menjadi dialog dalam Bahasa Melayu.
Ayat 'Janganlah engkau semua mempersangatkan dalam meminta sesuatu....' bukan ayat orang Melayu bercakap. Tidak ada orang Melayu bercakap begini.
4. Bahasa Quran adalah bahasa Arab tinggi. Nabi Muhammad bercakap menggunakan bahasa Arab tinggi.
Ayat 'tidaklah seseorang dari engkau semua itu meminta sesuatu, kemudian kerana permintaannya itu lalu dapat mengeluarkan sesuatu pemberian daripadaku untuknya, sedangkan saya tidak senang dengan cara memintanya....' bukan bahasa Melayu tinggi. Ini ayat bahasa Melayu yang buruk sekali.
Ayat 'apabila salah seorang daripada saudara-saudara semua meminta sesuatu, kemudian saya berikan apa yang dimintanya, sedangkan saya tidak suka dengan cara dia mengemukakan permintaannya....' adalah bahasa Melayu tinggi.
5. Quran menggunakan bahasa Arab kontemporari pada zaman Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad bercakap menggunakan bahasa Arab kontemporari zaman beliau. Itu bahasa yang digunakan oleh Quran, itulah juga bahasa yang digunakan oleh Nabi Muhammad, itulah juga bahasa yang digunakan oleh Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan Aisyah.
Ini bermakna, hadis hendaklah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu kontemporari tahun 2005, bukan bahasa Melayu klasik yang digunakan pada tahun 60-an.
Di bawah adalah contoh hadis yang ditulis menggunakan Bahasa Melayu tinggi kontemporari:
Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad pernah berkata, “Apabila seorang itu sudah meninggal dunia, semua pahala amalannya terhenti, kecuali tiga perkara sahaja, iaitu pahala sedekahnya yang sentiasa berterusan, ilmunya yang dapat dimanfaatkan oleh orang lain, dan anak yang baik agamanya, yang berdoa untuknya.” Hadis ini direkodkan oleh Imam Muslim.
Terjemahan ini memenuhi 5 prinsip bahasa komunikasi sebagaimana yang diterangkan dalam Quran dan dalam sunah.
Allah yang lebih tahu.