Iklan: Blog Surah Yusuf
Bagi saudara yang perlu membaca semula entri tentang analisis surah Yusuf dan aplikasinya dalam penulisan novel Islami untuk PTS, baca sasteraislami.
.
PRESIDEN: Pn. Ainon Mohd. Misi UPTS: Membantu saudara menulis, menterjemah, mengedit, menerbit, menjual dan mengedar buku. Moto UPTS: Memandaikan bangsa.
Perempuan adalah pembeli terbesar buku-buku novel cinta, akhbar tabloid dan majalah terbitan tempatan dalam bahasa Melayu. Inilah faktor yang menyebabkan 90 peratus akhbar tabloid, majalah dan buku tempatan mentargetkan jualan mereka kepada wanita. Pasaran akhbar tabloid, majalah dan novel cinta adalah merata, dari bandar-bandar besar hingga ke ceruk-ceruk kampung.
Jika kita perhatikan gelagat perempuan membeli bahan bacaan, mula-mula mereka akan pergi ke bahagian akhbar tabloid, barangkali kerana harganya murah, kemudian mereka menuju ke bahagian majalah wanita, kemudian keluar semula! Remaja perempuan masuk ke kedai buku dan terus menuju tempat majalah hiburan, kemudian ke rak novel-novel cinta. Mereka tidak membeli akhbar tabloid ataupun majalah wanita.
Beberapa akhbar tabloid wanita dan majalah hiburan dicetak melebihi angka 300 ribu naskhah. Beberapa penulis novel cinta menerima royalti melebihi angka RM300 ribu bagi jualan karya-karya mereka pada tahun 2005 sahaja! Trend ini dapat dilihat secara positif mahupun negatif.
Secara positif kita tahu bahawa ramai wanita suka membaca. Tetapi isunya adalah apakah bahan-bahan yang dibaca oleh wanita kita itu bahan-bahan yang baik bagi kesihatan intelek, psikologi, emosi dan rohani wanita? (Sekadar nota sahaja: Trend peningkatan melonjak pasaran novel cinta juga secara kebetulan berlaku bersama-sama dengan trend peningkatan melonjak jumlah perceraian di kalangan pasangan Melayu dengan nisbah bagi 1 pasangan bukan Melayu bercerai, 3 pasangan Melayu bercerai.)
Siapakah wanita yang masuk ke kedai buku? Menurut seorang pegawai di sebuah rangkaian kedai buku terkenal, mereka berusia antara 16 tahun hingga lewat 30-an. Maklumat ini penting kepada penerbit seperti PTS, kerana ia digunakan bagi merancang jenis-jenis judul buku yang sesuai diterbitkan. Sebagai contoh, disebabkan perempuan 40 tahun ke atas amat kurang masuk ke kedai buku, maka, dari segi bisnes, buku seperti “PANDUAN MENOPAUS” ataupun “PANDUAN MENJAGA CUCU” tidak akan diterbitkan.
Pemerhatian yang kita lakukan mendapati pengunjung perempuan yang masuk gerai PTS di pesta buku PBAKL, mereka itu tidak membeli novel-novel cinta. Ini berdasarkan para pembeli novel cinta menjinjing beg plastik syarikat penerbit novel-novel itu. Pola ini serupa dengan maklumat yang kita perolehi daripada staf kedai-kedai buku besar yang juga perasan trend begini. Wanita yang membeli novel-novel cinta tidak membeli buku-buku lain, dan begitu juga sebaliknya.
Trend ini menimbulkan dua tanda tanya:
Pertama, apakah memang ada dua kumpulan pembaca wanita, dan kedua-duanya memilih buku-buku yang berlainan? Yang membaca novel cinta hanya membaca novel cinta, manakala yang membaca buku-buku umum hanya membaca buku-buku umum? Jika memang begitu, apakah ciri-ciri yang membezakan kedua-dua kumpulan itu?
Sepanjang PBAKL itu, kita dapati majoriti perempuan yang membeli buku-buku motivasi kejayaan kelihatan seperti pelajar-pelajar yang bercita-cita. Barangkali kerana itu mereka tidak membeli novel cinta.
Cabaran bagi penerbit seperti PTS adalah mencari jalan bagaimana hendak menjual buku-buku bermutu kepada perempuan yang sekarang hanya membaca novel-novel cinta. Mereka itu sudah mempunyai tabiat suka membaca dan tidak takut mengeluarkan wang bagi membeli kertas bercetak! Tetapi, apabila mereka masuk kedai buku mereka hanya pergi ke rak-rak novel cinta, mereka tidak pergi ke rak buku-buku lain.
Adakah saudara merancang akan membuka kedai buku? Jika ya, ambil perhatian perkara ini.
Maklumat yang ada pada kita mendapati sebuah rangkaian superstore buku yang terkenal, setiap tahun menanggung sekitar RM500,000 (lima ratus ribu) kos kerugian akibat buku rosak! Siapa kata masyarakat bandar yang terpelajar dan berwang tidak melakukan jenayah vandalisme ke atas buku?
Sumber daripada superstore itu memberitahu bahawa golongan yang paling banyak merosakkan buku-buku dalam rangkaian kedai bukunya adalah anak-anak yang dibawa masuk oleh ibu bapa mereka.
Anak-anak orang berwang itu menconteng-conteng dan mengoyakkan buku-buku semasa menunggu ibu bapa mereka selesai urusan membeli buku.
Semakin cantik dan mahal buku itu, semakin tinggi kemungkinan ia menjadi target anak-anak perosak itu. Disebabkan buku-buku impot lebih cantik-cantik dan mahal, tidak hairanlah buku-buku itu menjadi sasaran utama contengan dan koyakan.
Disebabkan buku-buku impot tidak boleh dikembalikan kepada penerbitnya, ini bermakna pengusaha kedai terpaksa menanggung kos kerugian itu. Jadi, bagaimakah pengurusan kedai mengendalikan kerugian itu jika tidak dengan menaikkan harga buku yang dijual?
Jika saudara suka membawa anak-anak ke kedai buku, jangan alpa. Sebagai orang yang berpelajaran, berwang, peminat buku, para ibu bapa tidak percaya apabila diberitahu oleh staf yang bertugas bahawa anaknya merosakkan buku walaupun buku yang dirosakkan itu ditunjukkan. Mereka lebih percaya cakap anak mereka yang tidak mengaku.
Jika saudara bercadang membuka kedai buku, ambil perhatian faktor ini semasa menentukan harga jualan buku-buku saudara!
Apa itu 'consumer terms'?
Sesetengah perkataan hanya digunakan oleh pakar-pakar ilmu sahaja. Perkataan seperti itu disebut 'istilah teknikal'. Jika saudara menulis buku sebagai seorang pakar bidang ilmu, untuk dibaca oleh anggota kelompok ilmu itu, sudah tentu saudara perlu meminjam istilah-istilah teknikal. Semak senarai istilah DBP bagi mendapatkan ejaannya yang betul dalam bahasa Melayu.
Sesetengah perkataan itu bunyinya macam amat teknikal, tetapi sebenarnya ia adalah sebahagian daripada bahasa umum. Sebagai contoh perkataan 'mobile phone' ataupun 'handphone' ataupun 'cell phone' adalah perkataan umum, yakni 'consumer terms'.
Nama-nama benda yang digunakan oleh orang ramai adalah dikategorikan sebagai istilah konsumer.
Teknologi benda-benda konsumer cepat berubah. Apabila teknologinya berubah, istilahnya ikut berubah. Hari ini SMS, kemudian MMS, besok lusa entah apa pula. Teknologi itu bertaraf 'pakai-buang', yakni hari ini dipakai, besok sudah dibuang. Justeru, nama-nama teknologi itu pun bertaraf pakai-buang.
Apabila saudara menulis buku-buku tentang teknologi yang hayatnya pendek, jangan susah-susah hendak memelayukan nama-nama benda yang 'pakai-buang' itu. Terus sahaja pinjam nama-nama teknologi itu.
Saudara boleh kekalkan ejaan Inggerisnya, kalau mahu. Buku saudara itu pun hayatnya sama pendek dengan teknologi dan istilah itu.
Saudara boleh gunakan perkataan 'blog', 'blogger' 'spam', 'spammer' 'anti-spammer' dan semua perkataan yang sebenarnya adalah nama-nama barang-barang konsumer.
Yang penting, buku saudara itu mestilah ditulis menggunakan bahasa Melayu yang betul struktur nahunya, ayat-ayatnya pendek, tidak berbelit-belit.
Sebagai penulis, saudara boleh meminjam perkataan daripada mana-mana bahasa tanpa merujuk kepada mana-mana autoriti.
Penulis adalah autoriti bagi karya yang dihasilkannya. Isu sama ada perkataan yang dipinjamnya itu menyebabkan mutu karyanya bertambah tinggi, bertambah mudah difahami, bertambah laris jualannya, ataupun semakin jatuh, itu adalah risikonya.
Pembeli dan pembaca buku adalah juri final keberkesanan bahasa yang digunakan oleh sang penulis. Jika mereka tidak menyukai gaya bahasa saudara, mereka tidak akan membeli buku saudara, apatah lagi membacanya. Inilah yang berlaku kepada buku-buku agama, apabila golongan muda tidak mahu membeli apatah lagi membacanya.
Sebelum meminjam sesuatu perkataan baru, fikir untuk siapa saudara meminjam perkataan itu. Untuk diri saudara sendiri? Saudara mungkin suka perkataan 'sofistikated' tetapi makcik yang hendak membacanya mungkin tidak.
Dari sudut bisnes, jika saudara fikir perkataan pinjaman itu dapat melariskan lagi buku saudara, ya, silakan pinjam perkataan itu. Baik, sekarang saudara bertanya: Apa pula kata editor buku saudara?
Syarikat penerbit saudara mungkin tidak mempunyai dasar editorial yang jelas berkenaan kata pinjaman bagi buku-buku terbitannya. Editor di syarikat itu mungkin menggunakan citarasa peribadinya sahaja. Dia mungkin setuju dengan saudara ataupun mungkin tidak setuju.
Sesetengah penerbit mempunyai dasar editorial bahasa yang jelas. Editor-editor mereka mempunyai garis panduan bahasa in-house. Dalam kes begini, saudara perlu berbincang dengan editor manuskrip saudara.
Sebagai penulis, salah satu isu yang saudara hadapi adalah persoalan kata pinjaman. Saudara mungkin menulis buku yang bertajuk Mengarang Komputer Game ataupun Teknik Internet Marketing, tetapi saudara musykil apakah judul seperti itu boleh digunakan bagi buku-buku dalam bahasa Melayu.
Aktiviti meminjam perkataan, istilah teknikal dan frasa daripada bahasa-bahasa lain adalah harus, dibolehkan, yakni bukan perbuatan yang berdosa.
Tidak ada ayat Quran ataupun hadis yang menegah perbuatan meminjam perkataan, istilah ataupun frasa daripada bahasa-bahasa lain.
Mengikut kajian, dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu, ulama-ulama Melayu sudah meminjam lebih daripada 1,000 perkataan, istilah dan frasa daripada bahasa Arab.
Tidak ada kes di mana golongan ulama membuang perkataan pinjaman yang dipinjam sebelum kedatangan Islam, meskipun perkataan-perkataan itu berasal daripada pengaruh agama Hindu-Sanskerta. Perkataan-perkataan itu terus digunakan sampai sekarang dalam wacana agama Islam seperti puasa, pahala, syurga, dosa, neraka, derhaka dan banyak lagi.
Apa yang pernah berlaku adalah sebaliknya. Ahli-ahli linguistik Melayu aliran sekular Barat, dengan menggunakan kedudukan mereka dalam jawatankuasa bahasa Melayu yang ditubuhkan oleh kerajaan, telah membuang bunyi-bunyi fonetik dan fonologi Arab daripada sistem ejaan bahasa Melayu kontemporari, padahal bunyi-bunyi Arab itu sudah beratus tahun diterima sebagai bunyi-bunyi Melayu. Dalam nafas yang sama ahli-ahli linguistik sekular itu menerima bunyi-bunyi fonetik dan fonologi Inggeris.
Perjumpaan para ilustrator untuk projek-projek PTS Fortuna akan diadakan seperti berikut:
Tarikh: Ahad 23 April 2006
Tempat: Sekolah al-Ikhlas Taman Permata
Waktu: 10 pagi - 1 tengah hari.
Pengurus: Puan Norhazizam
Penyelaras: Sdr jOnOs
Hubungi Sdr jOnOs 012-9178770
.
Adakah saudara berminat mengedarkan sendiri buku-buku terbitan saudara?
Pilihan yang terbaik bagi penerbit adalah mengedarkan sendiri buku-buku yang saudara terbitkan. Memang ini melibatkan kerja yang banyak, pertambahan kakitangan, dan leceh.
Jika saudara mahu syarikat saudara membesar, saudara tidak ada pilihan, melainkan menubuhkan jabatan khidmat pelanggan, pengedaran dan pemasaran. Semua penerbit besar menggunakan khidmat pengedar profesional dan pada waktu yang sama mereka juga mengedarkan buku-buku mereka sendiri.
Pengedar-pengedar yang ada dalam pasaran mempunyai kekuatan masing-masing. Lazimnya mereka mengkhususkan jenis-jenis produk yang diedarkan. Sebagai contoh, syarikat Fajar terkenal sebagai pengedar novel-novel Melayu terbesar. Ertinya, Fajar tidak pandai mengedarkan buku-buku sekolah.
Syarikat al-Hidayah kuat dalam sektor buku-buku agama. Syarikat Mehraj kuat dalam sektor buku murid, manakala Crescent kuat dalam sektor buku-buku perpustakaan. Perdana Marketways kuat dalam sektor eksiklopedia dan set buku-buku rujukan jualan langsung ke sekolah. Ujana Ilmu pula menjual buku secara on-line.
Faktor pengkhususan inilah yang menyebabkan saudara mesti mengedarkan sendiri buku-buku saudara, walaupun saudara sudah melantik pengedar.
Bagi saudara yang memerlukan maklmumat tentang nama-nama pengedar, sila rujuk laman www.pts.com.my, klik pada PENGEDAR.
Kumpulan MPH adalah syarikat rangkaian superstore buku yang paling komited dalam usaha mempromosi pengarang, buku-buku dan penerbit tempatan yang menerbitkan buku-buku bahasa Melayu.
MPH akan mengadakan siri pesta buku-buku Melayu di lokasi-lokasi kedai MPH yang strategik di seluruh negara, mulai bulan Mei hingga Ogos 2006.
Ini adalah peluang baik bagi penerbit buku-buku Melayu mempromosi nama dan judul-judul terbitan mereka. Semua kerja-kerja menganjurkan pesta itu akan dijalankan oleh kakitangan MPH. Para penerbit akan dikenakan yuran, tetapi jumlahnya belum ditetapkan.
Penerbit dikehendaki melakukan 2 perkara sahaja:
Membekalkan stok buku-bukunya kepada MPH.
Mengadakan pelbagai aktiviti, seperti sesi berkenalan dengan pengarang dan seumpamanya, sepanjang pesta, khususnya pada hari Sabtu dan Ahad, bagi menarik pengunjung datang ke pesta.
Ini adalah salah satu daya usaha MPH membangunkan pasaran buku-buku bahasa Melayu.
Persepsi sesetengah orang Malaysia tentang apa-apa yang Indonesia amat dipengaruhi oleh keadaan para PATI yang ada di negara ini. Namun bagi mereka yang mempunyai banyak kontak dengan Jakarta, mereka melihat Indonesia daripada banyak sudut peluang membuat duit.
Dalam pesta buku PBAKL lalu, penerbit dan pengedar SA Majeed mempamerkan sekitar 60 buah judul buku-buku pertanian bermutu tinggi. Gosip-gosip mengatakan SA Majeed menerbitkan semua judul-judul itu secara berlesen daripada penerbit asalnya di Indonesia.
Langkah SA Majeed itu adalah berdasarkan peluang yang tercipta apabila pentadiran perdana menteri sekarang memberikan fokus utama kepada sektor pertaanian. Ada juga gosip yang mengatakan SA Majeed menerima kontrak kerajaan bagi membekalkan buku-buku pertanian lalu mereka menyelesaikan masalah itu dengan cara melesen sahaja dari Indonesia.
Sewaktu pesta buku Jakarta 2005, kita berjumpa dengan berpuluh-puluh orang industri buku Malaysia di pesta itu. Keadaan itu mencerminkan realiti bahawa orang-orang bisnes pergi ke tempat-tempat di mana di situ ada peluang membuat banyak duit.
Indonesia adalah lubuk emas. Ini dapat kita lihat dengan trend terbaru dalam sektor industri hiburan yang aktif mengimpot filem dan artis-artis negara itu.
Isu bahasa asing dalam novel Melayu banyak terdapat dalam buku-buku yang diterbitkan, baik oleh DBP, apatah lagi oleh penerbit lain. Sesetengah penerbit menerima unsur bahasa asing berdasarkan hujah bahawa itu adalah cermin keadaan sebenar. Pandangan ini adalah pandangan aliran realisme.
Menurut aliran realisme, jika dalam kehidupan sebenar sememangya watak yang digambarkan itu bercakap menggunakan bahasa Melayu bercampur Inggeris, maka dalam novel, dialog begitu boleh diterima.
Bagaimanakah sikap kita sebagai penulis dan editor terhadap unsur-unsur bahasa asing?
Di dalam surah Yusuf, seluruh kisah itu dituliskan dalam bahasa Arab Tinggi. Tidak terdapat ayat-ayat dialog yang bercampur aduk dengan unsur-unsur bahasa asing.
Dalam sudut pandang surah Yusuf, karya yang indah adalah karya yang ditulis menggunakan 100% bahasa tinggi. Justeru, kita tidak menerima ayat-ayat yang bercampur aduk dengan unsur-unsur bahasa basahan, bahasa pasar, ataupun bahasa slanga.
Jika saudara menulis novel, sekiranya ada watak bukan Melayu dalam cerita itu, bagaimanakah cara menyampaikan dialog watak-watak seperti itu?
Jangan tulis sebagaimana yang mereka ucapkan. Sebagai contoh:
a. “Lu sulah makan?” Ah Chong bertanya kepada Budin. (SALAH)
b. “Darling, it's okey bukan, kalau kita tak jadi kahwin?” kata Rozie kepada Amran. (SALAH)
c. “Ayah, happy birthday!” kata Mimi kepada ayahnya, melalui telefon. (SALAH)
Tulis semula dialog itu menggunakan bahasa Melayu Tinggi. Sebagai contoh:
“En. Budin sudah makan?” Ah Chong bertanya kepada Budin. (BETUL)
“Kekasihku, engkau tidak terkejut bukan, jika kita tidak jadi berkahwin?” kata Rozie kepada Amran. (BETUL)
“Selamat menyambut hari jadi, ayah,” kata Mimi kepada ayahnya, melalui telefon. (BETUL)
Lihat pada konteks ceritanya. Lihat contoh ini:
a. “Awak mahu limau?” tanya Ah Chong kepada Budin. “Rimau? Awak gilakah?” kata Budin. (BETUL)
b. “Tuan hendak ke mana?” gadis kaunter tiket itu bertanya kepada palancong Arab itu. “Bitalin,” jawab si pelancong. Gadis itu terpinga-pinga. “Bi-ta-lin!” lelaki Arab itu mula hilang sabar. Kemudian lelaki Arab itu mengeluarkan pen dan buku notanya lalu menuliskan “petaling” di atas kertas, barulah gadis itu sedar orang Arab tidak pandai mengucapkan sesetengah bunyi dalam bahasa Melayu. (BETUL)
Unsur bahasa asing yang menjadi isu pokok dalam cerita sahaja yang mesti dituliskan dalam cerita, dengan disertai penerangannya.
MyNews.com adalah fenomena terbaru yang muncul dalam industri pe-retail-an buku, majalah dan surat khabar di negara ini.
Maklumat pasaran yang kita perolehi mendapati pada masa ini terdapat sekitar 70 buah kedai MyNews.com di Lembah Kelang. Gosip-gosip yang kita dengar mengatakan jumlah itu akan naik kepada 80 buah sebelum hujung tahun 2006, dan akan terus naik serta merebak ke bandar-bandar madya di seluruh Malaysia.
Fenomena MyNews.com adalah ancaman terbesar yang sedang dihadapi oleh kedai-kedai buku kecil indie tradisional kepunyaan Mamak yang selama ini menjadi pemain utama sektor retail majalah dan surat khabar dalam kompleks. Di beberapa buah kompleks kita dapati ruang yang dulu disewa oleh kedai majalah Mamak sudah diambil alih oleh MyNews.com.
MyNews.com hanya membuka rangkaian cawangannya di dalam bangunan-bangunan shopping kompleks, airport dan kompleks pejabat sahaja, dengan target pembelinya golongan kelas menengah urban.
Rangkaian MyNews.com hanya menjual buku-buku dan majalah yang laris sahaja. Kiraan rambang yang kita jalankan di beberapa buah cawangannya mendapati rangkaian itu mempamerkan lebih 200 judul majalah Melayu, Inggeris dan Cina.
Kiraan yang kita buat di rak-rak bukunya menunjukkan ruang yang disediakan untuk buku cuma muat bagi meletakkan 60 buah judul bagi semua jenis buku, bukan hanya buku-buku Melayu.
Buku-buku Melayu yang dijual di MyNews.com pula adalah novel-novel cinta, dengan didominasi oleh judul-judul terbitan Creative dan Alaf21. Kita percaya, situasi ini berlaku disebabkan book purchaser rangkaian itu tidak mempunyai maklumat berkenaan pelbagai kategori buku Melayu yang sudah mula terdapat dalam pasaran, selain novel-novel cinta.
Maklumat yang kita perolehi juga mendapati, disebabkan faktor ruang yang amat terhad, setiap bulan pengurusan MyNews.com meletakkan 5 judul buku baru sahaja bagi menggantikan 5 judul yang sudah turun jualannya. Ini adalah cabaran utama bagi para penerbit tempatan, yakni bagaimana mereka dapat meletakkan judul-judul terbitan masing-masing di rak-rak rangkaian itu.
Bagi penerbit-penerbit indie, jika saudara hendak ikut menerbitkan novel-novel cinta ala-ala Alaf21, bagaimakah peluang saudara mahu bertanding dengan Creative dan Alaf21 bagi mendapatkan ruang untuk novel saudara itu dalam rangkaian kedai MyNews.com, memandangkan setiap bulan antara 15 hingga 20 judul novel baru diterbitkan oleh pelbagai penerbit?
Jika saudara hendak masuk ke dalam sektor majalah pula, maklumat yang kita perolehi menunjukkan, bagi majalah baru muncul, pengurusan MyNews.com meletakkan majalah baru selama 3 bulan berturut-turut sahaja. Jika dalam masa 3 bulan majalah baru itu laris terjual maka MyNews.com akan meneruskan langganannya, jika tidak, tidaklah.
Sewaktu sedang menjalankan tinjauan, kita mendapati majalah-majalah terbitan Kumpulan Utusan tidak terjual dalam rangkaian MyNews.com. Mengapa, agaknya?
Surah Yusuf terdiri daripada 111 ayat. Daripada jumlah itu 86 buah ayat adalah ayat yang mengandungi dialog.
Salah satu ciri yang menarik pada surah Yusuf adalah teknik penulisan dialog yang meletakkan pekata di depan dialog sahaja.
Istilah 'pekata' merujuk kepada watak yang berkata. Sebagai contoh dalam ayat dialog “Apa khabar?” kata Mamat. Mamat adalah pekata. Dalam surah Yusuf, semua pekata disebutkan sebelum dialog seperti contoh-contoh berikut:
a. Lalu dia (Zulaikha) berkata kepada Yusuf, “Keluarlah! Temui perempuan-perempuan itu.” (Yusuf, ayat 31)
b. Mereka berkata, “Maha suci Allah, dia bukan manusia. Tidak lain, dia malaikat yang mulia.” (Yusuf, ayat 31)
c. (Zulaikha) berkata lagi, “Tidak ada lain, kecuali dia dipenjarakan ataupun disiksa dengan siksaan yang pedih.”
d. (Al-Aziz) berkata kepada (Zulaika), “Ini semua tipu daya kamu! Sesungguhnya tipu daya kamu itu amat berbahaya.”
e. Berkata Yusuf, “Dialah yang mengajak saya.” (Yusuf, ayat 26)
Dalam surah Yusuf, tidak terdapat teknik penulisan dialog yang meletakkan pekata selepas dialog seperti dalam contoh-contoh berikut:
a. “Berapa hari kamu akan pergi?” tanya Kamaruddin.
b. “Tiga bulan,” jawab Jamal.
c. “Sejak pelayaran Bahtera Sejahtera, sudah dua pekan, kami tidak bertegur sapa,” Pak Munsyi mereka-reka cerita.
d. “Mungkin mereka sibuk dengan urusan lain, kita tidak harus berburuk sangka,” ulas Imam Sufaat. “Tetapi, lain pula apa yang hamba dengar,” katanya lagi.
Mengapa Tuhan sentiasa meletakkan pekata di depan dialog, hanya Tuhanlah yang lebih mengetahui.
Nota: Kita mencari penulis yang dapat menghasilkan karya menggunakan teknik ini sepenuhnya.
Dalam sidang pra-kongres di Pulau Pinang kelmarin, kita bercakap-cakap dengan sasterawan Azizi Hj. Abdullah. Lebih kurang begini jalan perbualan itu:
“Apa buat sekarang?” beliau bertanya selepas lama kami tidak berjumpa.
“Saya sedang membangunkan angkatan penulis novel Islami yang menggunakan surah Yusuf sebagai panduan.”
Beliau memandang tepat ke dalam mata saya. Bibirnya terkatup rapat.
Karya-karya Azizi Hj Abdullah, bersama nama-nama lain seperti Kemala, Shafie Abu Bakar, Shahnon Ahmad, Mohd. Affandi Hassan, Ali Hj. Ahmad dan S. Othman Kelantan umumnya diterima sebagai Islamik oleh pengkritik sastera Islami tanah air.
“PTS akan mula menerbitkan novel-novel Islami aliran surah Yusuf mulai Jun, insyaAllah,” kata saya.
“Tidakkah itu menyempitkan? Kalau semuanya mesti ikut surah Yusuf, bukankah itu akan menyekat perkembangan sastera?” beliau bertanya.
Saya katakan, “Objektif PTS bukan mahu menyempitkan ataupun mengembangkan sastera. Objektif PTS adalah melahirkan novel-novel Islami yang menerapkan teknik-teknik yang digunakan dalam surah Yusuf.”