Monday, June 18, 2007

Teori Surah Yusuf: Cinta Boleh, Asmara Tidak Boleh

Apabila membaca novel-novel cinta yang ada dalam pasaran sekarang, didapati pengarang novel-novel itu tidak membezakan antara cinta dan asmara.

Dalam teori sastera aliran Surah Yusuf, unsur cinta hadir dengan amat jelas, iaitu kisah cinta isteri al-Aziz kepada Nabi Yusuf. Unsur yang sama sekali tidak ada dalam surah Yusuf itu adalah unsur asmara ataupun romance.

Justeru, dalam teori Surah Yusuf, pengarang novel Islami tidak dibenarkan menerangkan babak-babak asmara, sebagai contoh babak di mana hero berasmara dengan heroin.

Ini berbeza dengan novel-novel cinta yang ada dalam pasaran sekarang, yang menjadikan babak asmara unsur wajib ada. Malah, babak-babak asmara itu menjurus kepada babak-babak di mana hero dan heroin bukan hanya berasmara, tetapi lebih daripada itu.

Dalam banyak novel-novel cinta Melayu hari ini, terdapat babak-babak yang penerbit filem Melayu pun tidak akan lakukan!