Saturday, October 29, 2005

Mengapa Editor Part-time Perlu Laptop

Untuk menjadi editor part-time di PTS, saudara mesti mempunyai laptop atas alasan berikut:

  1. PTS sentiasa berkejar dengan waktu. Waktu adalah modal yang amat penting jika PTS mahu menang dengan persaingan. Dengan memiliki laptop, produktiviti saudara lebih tinggi disebabkan laptop membolehkan saudara bekerja di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. Ini membantu PTS menepati jadual penerbitannya.

  2. Sesi-sesi latihan editing memerlukan saudara membawa komputer saudara sebab editing di PTS adalah on-screen, yakni tidak menggunakan kertas sama sekali. Saudara akan dilatih bagaimana melakukan on-screen editing.

  3. Pegawai PTS akan install software-software yang diperlukan untuk kerja-kerja editing dan layout ke dalam komputer saudara, yakni sebelum saudara dapat dilatih melakukan kerja-kerja editing dengan menggunakan software itu.

Bagi saudara yang belum pernah mengikuti kursus penulisan PTS, saudara tidak akan diambil menjadi editor part-time sebelum saudara ikuti kursus-kursus itu.

Bagi saudara yang sudah mengikuti kursus PTS, ia bukan jaminan saudara layak diambil menjadi editor part-time.

Kita akan nilai kemahiran bahasa saudara, apabila kita puas hati, saudara akan ditawarkan kerja-kerja part-time. Kriteria ketat ini adalah bagi memastikan kualiti editorial buku-buku terbitan PTS sentiasa terjaga.


Editor Kreatif Part-time

Perhatian! Perhatian!

Kita masih memerlukan 2 orang lagi editor part-time untuk projek-projek FORTUNA.

Syarat utama adalah mempunyai bakat kreatif. Adakah saudara pernah menghasilkan karya kreatif, kalau tidak terbit pun tidak mengapa.

Syarat kedua adalah penguasaan tatabahasa yang baik. Hantar contoh karya kepada saya, daripada contoh itu kita tahu taraf penguasaan tatabahasa saudara.

Adakah saudara mempunyai lap-top? Sdr. Boleh beli lap-top secara ansuran. Kita boleh beri maklumat siapa boleh dihubungi untuk urusan ini.

Editor kreatif juga diperlukan oleh PTS ONE yang menerbitkan karya-karya kreatif untuk remaja.

Latihan akan dimulakan selepas cuti raya. Bawa laptop sekali.

Daftar nama dalam kotak surat blog ini.

Bagi mentee-mentee yang berminat, tak payah hantar sample karya lagi, sebab saya sudah tahu bakat saudara.


Friday, October 28, 2005

Ashadi: "Ustazah Fatimah"

Kasihan Alif. Disebabkan dia tidak mahu menurut kemahuan Zamri, pipinya menjadi sasaran penampar si Zamri. Semua orang, pelajar dan guru, kenal siapa Zamri.

Baru tingkatan empat sudah hendak berlagak samseng,” Adi pernah mendengar seorang guru berkata.

Walaupun demikian, tiada tindakan tegas yang diambil terhadap Zamri, paling teruk pun, dia dihantar berjumpa dengan guru besar.

Mungkin Cikgu Hasan akan hukum dia,” seorang lagi guru pernah membuat andaian.

Andaian tinggal andaian. Cikgu Hasan selaku guru besar pun tidak menghukum Zamri. Sebabnya? Ayah Zamri merupakan penderma terbesar pada tabung PIBG sekolah.

Takkan awak semua tidak tahu, pagar sekolah kita yang baru diganti itu pun dibiayai sepenuhnya oleh bapa Zamri,” Cikgu Hasan pernah memberitahu dalam mesyuarat guru-guru. Semua guru sudah bosan dengan kerenah Zamri.

Biarlah budak itu lingkup. Kalau ditegur, nanti dia mengadu kepada ayahnya. Yang penting, gaji aku jalan,” fikir Cikgu Shamala, salah seorang guru di sekolah itu.

Begitulah juga jalur pemikiran guru-guru yang lain, sudah tidak ‘kuasa’ lagi hendak menasihati Zamri, kecuali Ustazah Fatimah.

Ustazah Fatimah masih lagi menyimpan harapan terhadap Zamri. Dia yakin bahawa Zamri boleh dibentuk.

Pada suatu hari, Ustazah Fatimah seperti biasa masuk ke dalam kelas 4 Sains Kuning untuk mengajar subjek Pendidikan Islam.

Awak semua pernah dengar tentang konsep wasathiah?” Ustazah Fatimah bertanya.

Pernah, cikgu. Kami belajar tahun lepas,” jawab salah seorang pelajar 4 Sains Kuning, Amli.

Jadi, awak semua mesti tahu bahawa kita mesti bersederhana, bukan?” Ustazah Fatimah berjalan ke tengah kelas.

Semua pelajar menganggukkan kepala kecuali Zamri yang sedang tidur... berdengkur pula tu!

Fairos, tolong kejutkan Zamri,” kata Ustazah Fatimah kepada Fairos yang duduk di sebelah Zamri.

Mengapa awak kacau saya!” Zamri menepis tangan Fairos.

Ustazah yang suruh saya kejutkan awak.”

Kenapa awak tidur dalam kelas saya?” soal Ustazah Fatimah.

Seluruh kelas menantikan jawapan daripada Zamri yang dijangka akan ‘berbau’ kurang ajar.

Ustazah ni kecohlah! Ikut suka sayalah saya hendak tidurkah, hendak apakah, kenapa awak sibuk!” suara Zamri memenuhi ruang kelas 4 Sains Kuning.

Apa? Dia panggil Ustazah Fatimah ‘awak’?” Adi terkejut dengan jawapan yang keluar dari mulut Zamri.

Ustazah Fatimah masih cuba berlembut, “Zamri, awak tidak sayang pada ibu bapa awakkah?”

Ustazah jangan babitkan mak ayah saya!” jawapan Zamri boleh membuatkan sesiapa sahaja naik darah.

Bukan begitu. Mak dan ayah awak mengharapkan awak menjaga mereka apabila mereka tua nanti. Kalau awak terus bersikap begini, bagaimana awak hendak menjaga mak ayah awak nanti?” nasihat Ustazah Fatimah memang tepat pada masanya.

Sudahlah! Saya tidak mahu dengar lagi leteran ustazah!” Zamri ingin kembali tidur.

Kalau awak tidak mahu belajar, tolong keluar dari kelas saya!” Ustazah Fatimah mula berkeras.

Tidak! Saya tidak akan keluar dari kelas! Siapa ustazah, hendak paksa saya keluar kelas? Sedarlah sedikit, ayah saya yang bayar gaji ustazah!” keceluparan Zamri makin menjadi-jadi.

Ustazah Fatimah terdiam, terkejut, tidak sangka Zamri mengeluarkan kata-kata nista yang sebegitu rupa. Ustazah Fatimah tunduk dan kemudian keluar dari kelas 4 Sains Kuning.

Padan muka! Dia suruh kita keluar, dia yang keluar dahulu. Sekarang kita tahu siapa yang lagi hebat!” Zamri bermegah.

Seminggu lamanya Ustazah Fatimah tidak masuk mengajar kelas 4 Sains Kuning. Dia kemudiannya diganti oleh Ustaz Mahmud.



Gosip Duit Dunia Buku

Komuniti penerbit-penerbit buku tempatan sekarang sudah sibuk memikirkan bagaimana mereka akan menghadapi pelaksanaan bajet 2005. Ini disebabkan kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi pembelian buku untuk dibekalkan kepada rangkaian perpustakaan awam di seluruh negara tahun depan.

RM30 juta itu akan diuruskan oleh Perpustakaan Negara Malaysia. Termasuk dalam senarai utama yang akan menerima buku-buku itu adalah rangakaian perpustakaan-perpustakaan desa.

Satu lagi bajet besar untuk pembelian buku adalah perpustakaan sekolah-sekolah menengah dan rendah di seluruh negara juga. Bajet ini diberikan kepada Kementerian Pelajaran, yang akan memberikan peruntukan itu terus kepada sekolah-sekolah bagi melakukan pemilihan buku-buku sendiri. Banyak buku yang dibeli oleh perpustakaan awam juga dibeli oleh perpustakaan sekolah.

Bagi mendapatkan faedah daripada RM30 juta itu, para penerbit mesti bekerja keras tahun ini bagi menghasilkan buku-buku baru yang belum dibeli sebelumnya oleh PNM. Buku-buku yang dibeli pada tahun 2005 tidak akan dibeli pada tahunn 2006.

Ini bermakna, para penulis yang buku mereka terbit tahun ini buku-buku itu berpeluang dibeli oleh PNM pada tahun depan. Buku-buku yang terbit tahun depan dibeli pada tahun 2007.


Thursday, October 27, 2005

Teknik Penulisan Kreatif

Bagi peserta yang mengikuti bengkel penulisan kreatif PTS pada 23 Oktober lalu, sesudah saya membaca contoh-contoh kad yang dihantar, ada 2 perkara yang saya perhatikan:

  1. Kebanyakan peserta sudah pandai menggunakan dialog sebagai alat menyampaikan cerita. Pada waktu yang sama, berlaku terlalu banyak dialog sehingga dialog yang tidak penting bagi perkembangan cerita pun dimasukkan juga. Apabila ini berlaku, cerita bergerak perlahan dan proses membaca jadi membosankan.

  2. Terlalu banyak dialog sehingga lupa untuk menerangkan tingkah laku watak sewaktu mengucapkan dialog. Ini menyebabkan cerita hampir-hampir menjadi skrip drama! Penerangan tingkah laku yang mengiringi dialog adalah amat penting disebabkan tingkah laku itu menjadi bukti kepada emosi yang dialami oleh watak sewaktu dia bercakap.

Ingatlah bahawa 24% teks dalam surah Yusuf adalah ayat-ayat penerangan.

Tidak cukup hanya dengan menulis apa yang dikatakan oleh watak. Terangkan apa yang dilakukan oleh watak itu sewaktu dia berkata-kata, baru watak menjadi hidup, seolah-olah pembaca dapat melihat watak itu di depan matanya.


Wednesday, October 26, 2005

Mas Hasifah: "Cikgu Zuki"

Murid-murid, kita perlu bertolak sekarang. Sila letak beg masing-masing di dalam bonet kereta saya,” Cikgu Zuki memberi arahan.

Kamu semua sudah makan?” tanya Cikgu Zuki.

Sudah,” jawab mereka serentak.

Bala, Kumar, Arun dan Suresh adalah murid tahun 5 yang mewakili sekolah mereka dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah. Mereka mengambil bahagian dalam acara balapan 100 meter dan 200 meter.

Di padang, masing-masing sudah bersedia untuk memulakan larian. Bala dan Kumar yang menyertai acara larian 100 meter sudah bersedia di garisan permulaan.

Satu! Dua!!” dengan kuat pegawai pelepas mengira sebelum membuat tembakan ke udara.

BANG!”

Semua peserta berlari dengan pantas untuk sampai di garisan penamat.

Selepas selesai menamatkan larian, Bala dan Kumar pergi bertemu Cikgu Zuki.

Tahniah, Bala. Awak mengharumkan nama sekolah,” kata Cikgu Zuki.

Kumar, awak jangan bersedih. Tahun hadapan awak boleh mencuba lagi,” kata Cikgu Zuki kepada Kumar pula. Kumar hanya menganggukkan kepala.

Kumar, mengapa seluar awak basah?” tanya Cikgu Zuki apabila terpandang seluar Kumar yang basah.

Sa… sa… saya terkencing,” jawab Kumar tergagap-gagap. “Saya terkencing sewaktu berlari tadi. Maafkan saya,” sambungnya lagi.

Cikgu Zuki hanya menggeleng-gelengkan kepala.


Remaja Menulis Buku untuk Remaja

Idea supaya penulis remaja ataupun penulis kanak-kanak diminta menulis buku-buku untuk bacaan golongan remaja dan kanak-kanak bukanlah suatu idea baru. Idea ini sudah dicuba di serata dunia.

Bagaimanakah sambutan pasaran kepada buku-buku seperti itu?

Didapati jualan buku remaja dan kanak-kanak yang ditulis oleh penulis-penulis remaja dan kanak-kanak tidak memberangsangkan.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan perkara ini

  1. Daya imaginasi remaja dan kanak-kanak adalah amat terbatas hanya disebabkan mereka itu masih amat muda. Mereka belum mempunyai banyak pengalaman, oleh itu mereka belum dapat mencipta pelbagai angan-angan yang membuka daya imaginasi pembaca remaja dan kanak-kanak.

  2. Bakat bercerita remaja dan kanak-kanak belum cukup berkembang oleh itu mereka belum dapat mencipta plot dan sub-plot cerita yang kompleks.

  3. Penguasaan bahasa remaja dan kanak-kanak juga belum cukup berkembang bagi membolehkan mereka menghasilkan pelbagai bentuk ayat-ayat dan perbendaharaan kata yang segar.

  4. Remaja dan kanak-kanak belum mempunyai ilmu-ilmu bantu yang penting bagi menghasilkan cerita-cerita yang menarik.

  5. Remaja dan kanak-kanak belum lama hidup oleh itu mereka belum mempunyai kebijaksaan atau 'wisdom' tentang manusia dan kehidupan yang dapat dijadikan mesej tersembunyi di sebalik cerita-cerita yang dihasilkan.

Penulis remaja dan kanak-kanak tidak dapat menghasikan cerita-cerita seperti siri Sang Kancil, Micky Mouse, Donald Duck, Harry Potter ataupun cerita-cerita Hans Christian Anderson.

Justeru siapakah yang lebih berupaya menghasilkan buku-buku cerita untuk bacaan remaja dan kanak? Jawapanya: Penulis dewasa yang memahami jiwa remaja dan jiwa kanak-kanak.


Tuesday, October 25, 2005

Mengapa Harus Tulis Cerita?

Cerita-cerita adalah evergreen, ertinya satu kali saudara tulis, buku-buku cerita mempunyai potensi diulang cetak berkali-kali selama bertahun-tahun.

Sebagai pelaburan, cerita-cerita mempunyai nilai masa depan yang tinggi. Sebagai contoh, siri cerita 5 sahabat karangan Enid Blyton sudah 35 tahun diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, dan sehingga hari ini siri itu masih diulang cetak.

Sesetengah siri cerita klasik masih terus menjadi kegemaran ramai di seluruh dunia walaupun ia sudah berusia ratusan tahun. Siri cerita-cerita perjalanan Sinbad, Aladin dengan lampu ajaibnya, dan Seribu satu Malam adalah contoh yang nyata, di samping cerita-cerita karya Hans Christian Anderson yang tahun 2004 genap 100 tahun usianya.

Cerita-cerita juga dapat diterbitkan semula dalam bentuk komik, animasi dan filem, dengan itu cerita-cerita dapat mempelbagaikan sumber royalti bagi pengarang.

Buku-buku cerita juga dapat diekspot dalam bentuk terjemahannya ke dalam pasaran negara-negara lain. Sebagai contoh, Korea dan Taiwan amat aktif menterjemahkan buku-buku cerita daripada Jepun.

Cerita-cerita yang evergreen dan berpotensi dapat diekspot mempunyai ciri-cirinya sendiri. (Kita akan bincangkan perkara ini dalam siri kursus dan bengkel penulisan kreatif selepas hari raya.)


Monday, October 24, 2005

Nabilah: Petikan dari Buku "Taman Orang Baik-Baik" karya Imam Nawawi

Inilah contoh teks agama yang ditulis semula oleh peserta bengkel agama ISLAMICA yang baru lepas.

19.2 Abu Aswad melaporkan, katanya, “Pada satu ketika saya datang ke kota Madinah. Waktu itu Madinah diserang wabak penyakit. Semasa saya duduk bersama Khalifah Umar bin Khattab, satu jenazah dibawa melalui orang ramai. Mereka memuji-muji jenazah itu.

Umar pun berkata, “Sudah pasti.”

Kemudian jenazah lain pula dibawa. Orang ramai memuji-muji lagi jenazah yang kedua itu.

Umar berkata lagi, “Sudah pasti.”

Selepas itu ada jenazah yang ketiga dibawa melalui mereka. Orang ramai menyebut-nyebut tentang kejahatannya.

Umar berkata, “Sudah pasti.”

Saya pun bertanya kepada Khalifah Umar, ‘Wahai ketua orang-orang yang beriman. Apa maknanya sudah pasti?’

Umar menjawab, ‘Saya sebut apa yang disebut oleh Nabi Muhammad iaitu, ‘Setiap orang Islam yang diakui oleh empat orang bahawa dia adalah orang yang baik, Allah akan masukkan dia ke dalam syurga.’

Umar berkata lagi, ‘Kami sahabat-sahabat beliau pun bertanya kepada beliau, ‘Bagaimana kalau diakui oleh tiga orang sahaja?’

Nabi menjawab, ‘Tiga orang pun begitu juga.’

Kami terus bertanya, ‘Kalau dua orang sahaja?’

Nabi menjawab, ‘Dua orang pun begitu juga.’

Kata Khalifah Umar lagi, ‘Selepas itu kami tidak bertanya lagi bagaimana jika seorang sahaja yang mengakuinya.”

Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari.



Sunday, October 23, 2005

Hukum Menulis Cerita Rakyat

Apa itu cerita-cerita rakyat?

Cerita-cerita rakyat adalah cerita-cerita yang kita warisi turun-temurun daripada datuk nenek kita. Semua bangsa mempunyai cerita rakyat masing-masing.

Walaupun pada asalnya cerita rakyat diwariskan dari mulut ke mulut, tetapi banyak cerita rakyat kini sudah dibukukan. Cerita rakyat seperti Si Luncai, Lebai Malang, Pak Pandir, Si Tanggang adalah cerita-cerita rakyat yang menjadi popular kerana dibukukan.

Sesetengah cerita rakyat adalah panjang dan plotnya kompleks, oleh itu dinamakan 'hikayat', seperti Hikayat Malim Deman, Hikayat Panji Semerang dan lain-lain lagi.

Sesetengah cerita rakyat sudah dicipta semenjak pengarang Melayu masih 'jakun' yakni sebelum datuk nenek kita masuk agama Hindu ataupun Islam, umpamanya cerita Si Tanggang. Namun, walaupun kita sekarang sudah Islam, tetapi cerita itu kekal tidak 'diislamkan' sehingga hari ini.

Unsur kejakunan yang paling nyata dalam cerita Si Tanggang adalah perbuatan ibu Si Tanggang yang menyumpah anaknya menjadi batu.

Dalam cerita-cerita rakyat yang panjang-panjang, terdapat unsur dewa-dewa dan pelbagai unsur khurafat. Seperti cerita Si Tanggang yang kekal tidak diislamkan sehingga hari ini, demikian juga halnya dengan cerita-cerita hikayat itu.

Jadi, kita lihat dalam cerita-cerita itu semua tidak ada perbuatan mengucapkan salam, berdoa, bersembahyang, berpuasa, bertaubat dan seumpamanya dilakukan oleh watak-watak dalam cerita-cerita itu.

Apabila kita masuk ke dalam bilik perpustakaan sekolah-sekolah rendah negara kita, hampir 50 peratus buku yang terdapat di dalamnya adalah buku-buku cerita. Buku-buku cerita rakyat, baik cerita tempatan mahupun cerita rakyat yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, merupakan sekitar 70% daripada kesemua buku-buku cerita itu.

Buku-buku cerita rakyat itu popular di kalangan murid-murid sekolah rendah. Akibatnya, tidak ada kanak-kanak perempuan yang tidak kenal cerita-cerita Sang Kancil ataupun Cinderela.

Sebagai penulis Islami, apakah kita dibolehkan mencipta dan mengarang buku-buku cerita rakyat? Kita akan bincangkan isu ini dalam bengkel penulisan PTS yang bakal diadakan slepasa cuti raya nanti.

Bagi saudara yang berminat, sila mendaftar dalam kotak surat blog ini.