Editor dan Rasuah
Seorang penulis novel pernah meminta nasihat apakah beliau perlu membeli buah tangan untuk diberikan kepada editor novelnya. Persoalan itu timbul disebabkan pada hari beliau pergi ke pejabat penerbit bagi mengambil cek royaltinya, si editor berkata, “Takkan tak ada apa-apa!”
Penulis tidak boleh memberi sebarang buah tangan kepada editornya, biar sebanyak mana sekalipun sumbangan editor itu kepada kejayaan bukunya dalam pasaran. Editor memang dibayar oleh syarikat bagi memastikan buku-buku yang dieditnya berjaya dalam pasaran.
Pengurusan syarikat hendaklah memastikan para editornya bersih daripada amalan menerima sebarang bentuk buah tangan daripada penulis. Tindakan tatatertib hendaklah diambil apabila terbukti seseorang editor itu menerima buah tangan daripada penulisnya.
Amalan penulis memberi buah tangan kepada editor bukunya adalah membahayakan kepentingan syarikat disebabkan faktor-faktor berikut:
Pada prinsipnya, apabila editor menerima buah tangan, itu adalah amalan RASUAH. Editor yang rasuah amat berbahaya kepada syarikat.
Buah tangan menyebabkan editor berasa serba salah apabila menerima manuskrip baru daripada penulis yang sama. Sekiranya manuskrip itu tidak layak diterbitkan, si editor malu alah hendak menolak manuskrip itu sebab dia sudah pernah menerima pemberian si penulis. Akibatnya, si editor akan meluluskan manuskrip yang tidak berkualiti.
Pemberian buah tangan merosakkan hubungan baik yang sihat antara editor dengan editor-editor lain. Buah tangan menyebabkan sesama editor saling cemburu mencemburui. Sesama editor menjadi saling curiga-mencurigai, umpat-mengumpat, dan dengki-mendengki. Akibatnya sesama editor tidak mahu tolong-menolong dan tidak mahu memberikan kerjasama kepada penulis yang berada di bawah jagaan editor-editor lain.
Pemberian buah tangan dari penulis menyebabkan masing-masing editor mengamalkan pilih kasih ke atas penulis-penulisnya. Mereka memberikan layanan istimewa kepada penulis yang memberi buah tangan yang mahal-mahal.
Amalan memberi buah tangan menyebabkan editor berasa tidak puas hati dengan penulis masing-masing yang tidak memberi buah tangan mahal, meskipun karya penulis itu laris di pasaran. Malah, sebenarnya, semakin laris karya si penulis, semakin editornya tidak puas hati mengapa buah tangan yang diterimanya tidak mahal.
Amalan itu menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan para penulis. Orang yang tidak puas hati tidak tutup mulut. Mereka bercakap kepada orang-orang lain, dan ini merosakkan imej syarikat.
Para penulis tidak patut berasa bersalah apabila mereka tidak memberi sebarang bentuk buah tangan kepada editornya setiap kali tiba musim pembayaran royalti.
Bagi mengelakkan rasuah, semua cek royalti hendaklah dihantar oleh Jabatan Kewangan terus kepada penulis, bukan diserahkan kepada editor supaya diambil sendiri oleh penulis dari tangan si editor. Amalan ini membuka pintu kepada pelbagai salah urus dan salah guna kuasa.
Bukanlah kerja staf Jabatan Editorial memegang dan menyimpan cek-cek penulis. Membenarkan amalan penulis datang sendiri dan mengambil cek daripada tangan editor bukunya adalah kesalahan kerja pada pihak Jabatan Kewangan.
Buah tangan adalah suatu jenis RASUAH. Orang yang memberi dan orang yang menerima RASUAH sama-sama membahayakan kepentingan syarikat, dan kehadiran mereka tidak diperlukan dalam syarikat.