Friday, April 07, 2006

Iklan

PTS FORTUNA mencari editor sastera Melayu klasik. Latihan akan diadakan pada hujung minggu. Calon yang memiliki laptop adalah pilihan diutamakan. Daftar di sini.



.

Iklan

Baca wacana falsafah klasik dan kontemporari dalam bahasa Melayu Tinggi di sini khalidjaafar

Blog ini mempunyai link bagus dalam bidang falsafah.


.

Surah Yusuf: Teknik Menggambarkan Watak

Salah satu aspek yang menarik dalam surah Yusuf adalah teknik menggambarkan watak-watak dalam sebuah kisah yang indah.


Dalam surah Yusuf tidak terdapat ayat-ayat yang menerangkan rupa bentuk tubuh badan setiap wataknya. Jadi kita tidak diberitahu, sebagai contoh, apakah warna mata, rambut ataupun kulit Nabi Yusuf dan semua watak lain. Malah kita tidak diberitahu usia ataupun pakaian yang mereka pakai.


Ayat-ayat naratif yang secara langsung menerangkan perwatakan Nabi Yusuf adalah seperti dibawah:


a. Demikianlah Tuhanmu memilihmu dan mengajarkan takwil mimpi kepadamu serta menyempurnakan nikmatnya kepadamu. (Yusuf, ayat 6)


b. Apabila Yusuf dewasa, kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. (Yusuf, ayat 22)


c. Sesungguhnya perempuan itu telah suka kepada Yusuf, dan Yusuf suka pula kepadanya, seandainya Yusuf tidak ingat kepada Tuhannya. (Yusuf, ayat 24)


d. Demikianlah Kami bebaskan Yusuf daripada kejahatan dan perbuatan keji. Sesungguhnya dia hamba Kami yang tulus ikhlas. (Yusuf, ayat 24)

e. Demikianlah Kami tempatkan Yusuf di bumi Mesir. Dia tinggal di mana yang dikehendakinya. (Yusuf, ayat 56)

f. Tatkala mereka masuk berjumpa Yusuf, lalu Yusuf menempatkan ibu bapanya di tempat tinggalnya. (Yusuf, ayat 99)


g. Kemudian Yusuf mendudukkan ibu bapanya di natas singgahsananya, lalu mereka tunduk kepada Yusuf. (Yusuf, ayat 100)


Ayat-ayat naratif yang secara langsung menerangkan perwatakan Zulaikha adalah:


a. Kemudian yang empunya rumah di mana dia tinggal, mengajaknya berbuat serong, lalu ditutupnya semua pintu....(Yusuf, ayat 23)


b. Sesungguhnya perempuan itu suka kepada Yusuf, dan Yusuf suka pula kepadanya, seandainya Yusuf tidak ingat kepada Tuhannya.... (Yusuf, 24)


c. Kedua-duanya berlari ke pintu, lalu perempuan itu menarik baju Yusuf dari belakang sehingga koyak. Setibanya di pintu, kedua-duanya terserempak dengan suaminya.... (Yusuf, ayat 25)


d. Tatkala perempuan itu (Zulaikha) mendengar perihal umpatan mereka, lalu dia mengundang mereka, dan disediakannya tempat duduk bersandar.... (Yusuf, ayat 31)


Analisis ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa, berdasarkan surah Yusuf, dalam membina perwatakan, apa yang penting adalah action dan dialog. Dalam erti kata lain, terangkan apa yang dilakukan oleh watak, dan apa yang dikatakannya.




Thursday, April 06, 2006

Tingkah Laku Pembeli Buku Melayu

Di kalangan orang Melayu yang menjadi pembeli buku-buku Inggeris, mereka membayar harga buku yang dibeli tanpa rasa marah ataupun kecewa meskipun harga buku-buku Inggeris mahal-mahal.


Tingkah laku seperti di bawah mungkin tidak pernah berlaku di kalangan pembeli buku-buku Inggeris.


Seorang ibu dan anak lelakinya datang ke booth PTS. Anak lelakinya memilih buku-buku yang diminatinya.


RM68.80 sen,” kata gadis petugas mesin kashier.


80 sen pun tak boleh kurang!” kata si ibu lalu mencampakkan wang syiling 80 sen ke atas meja kaunter, disaksikan pembeli-pembeli lain yang menunggu giliran membayar.


Selepas si ibu melangkah pergi, anak lelakinya berpatah balik ke belakang.


Maaf, kak, ya! Maaf, kak, ya!” kata kanak-kanak itu, sambil menunduk-nundukkan kepalanya, kepada gadis mesin kashier yang masih terpinga-pinga.



Pasaran Buku Melayu di Singapura: Update

Dalam pesta buku PBAKL lalu, seorang wakil daripada pengedar buku terbesar di Singapura, PMS Ltd, Mr. Samy, datang ke booth PTS bagi mencari peluang bisnes baru bagi pihak syarikatnya.

Kita sempat bertukar-tukar maklumat dengan beliau. Berikut adalah beberapa maklumat yang kami kongsi:

  1. PMS membekalkan buku-buku ke kedai-kedai buku superstore di seluruh Singapura. Menurut Mr. Samy, beliau percaya permintaan untuk judul-judul Melayu ada di Singapura, tetapi tidaklah besar.

  2. Menurut Mr. Samy lagi, superstore tidak meminta judul-judul Melayu disebabkan tidak ada permintaan. Tetapi beliau yakin, permintaan tidak ada disebabkan buku-buku Melayu tidak ada dalam superstore di sana. Ini kes ayam dengan telur.

  3. Sampai saat ini buku-buku Melayu tidak masuk ke superstore buku di Singapura disebabkan pembekal superstore tidak berminat membekalkan buku-buku Melayu.

  4. Pembekal superstore tidak berminat disebabkan mereka tidak tahu perkembangan terakhir buku-buku Melayu kerana kakitangannya tidak ada yang Melayu.

  5. Sampai hari ini, kuantiti buku-buku Melayu Malaysia yang masuk ke Singapura amat kecil, kerana buku-buku itu diimpot oleh satu dua agen Melayu dan Mamak yang kecil, yang beroperasi dari rumah. Mereka membekalkan buku Melayu ke dua tiga kedai-kedai buku kecil sahaja. Agen-agen kecil itu tidak membekalkan buku-buku ke superstore.

Mr. Samy berminat meneroka pasaran buku-buku Melayu di superstore buku negara itu apabila beliau nampak dengan mata kepalanya sendiri bagaimana larisnya buku-buku Melayu dalam pesta buku itu. Beliau memohon menjadi pengedar tunggal buku-buku PTS bagi Singapura dan Brunei.



Tuesday, April 04, 2006

Duit, Duit, Duit: Duit Buat Buku Melayu

Antara gosip pesta buku PBAKL yang kita dengar, sebuah penerbit mengutip RM135 ribu pada hari Sabtu yang penuh sesak itu! Jumlah kutipannya selama 10 hari pesta melebihi RM500 ribu.

Jangan kita katakan wang setengah juta itu digunakan bagi membeli bahan-bahan bacaan ringan, tidak bermutu, ataupun sampah. Tuduhan begini lazimnya dilontarkan oleh kita yang membeli dan membaca buku-buku berat bahasa, dan berat isinya.

Pandang begini: Mereka yang mengeluarkan wang itu, meskipun masih muda-muda belaka, sudah mempunyai tabiat positif, yakni tidak sayang hilang duit bagi ditukar dengan buku-buku Melayu.

Sekarang kita fikir begini: Mari kita tulis dan terbitkan buku-buku yang bermutu dan kita tawarkan kepada mereka bahan-bahan bacaan yang lebih tinggi mutu isi dan bahasanya.

Kita pandai mengkritik mereka yang membeli dan menggemari buku-buku yang kita labelkan sebagai sastera picisan, tetapi mana dia buku-buku yang bukan picisan itu?



.

Siapa Beli Buku PTS

Sempena pesta buku PBAKL, kita mengambil kesempatan menjalankan hitung kepala di booth PTS bagi mengetahui demografi pembeli buku-buku PTS.


Berikut adalah analisis kita:

a. 80% adalah pengunjung perempuan tetapi 40% sahaja yang membeli.

b. 60% adalah 25 tahun ke bawah.

c. 50% adalah pelajar sekolah menengah dan IPT.

d. Lelaki membeli buku bisnes, pengurusan, pembangunan diri dan rujukan universiti. 90% lelaki yang masuk booth membeli buku. 40% membeli lebih daripada 1 buku.

e. Pelajar sekolah menengah perempuan membeli buku-buku motivasi remaja, buku panduan berkasih sayang, dan novel teens.

f. Pelajar sekolah rendah perempuan membeli komik-komik ibadah dan novel teens.

g. Ibu-ibu muda membeli buku-buku parenting.


Kata seorang penerbit besar, “Kalau tidak ada perempuan, kita semua tutup kedai!”





Iklan


Baca artikel tokoh ini
Mengapa Bahasa Melayu Diperlukan


.

Bagaimana Penerbit Bagus Boleh Gagal Menjual Buku

Buku saudara mungkin sudah betul daripada sudut kandungan dan pakejing. Penerbit yang saudara pilih pun sebuah penerbit yang sudah besar dan terkenal.


Banyak buku-buku penerbit saudara itu dapat dibeli di kedai-kedai buku besar seperti MPH, POPULAR dan Kinokuniya? Saudara yakin buku saudara akan berjaya di pasaran. Tetapi selepas 5 bulan buku saudara itu diterbitkan, ia masih tidak ada di MPH dan Kinokuniya?


Saudara hairan, buku penulis-penulis lain yang terbit kemudian sudah ada, buku saudara masih tidak ada. Padahal buku saudara diterbitkan dan diedarkan sendiri oleh penerbit yang sama.


Terfikir oleh saudara, kalau penerbit saudara tidak yakin buku saudara laku dijual, masakan buku saudara itu diterbitkannya. Jadi, di mana silapnya?


Biar kita terangkan bagaimana buku dijual di kedai-kedai buku.


Buku yang saudara nampak dipamerkan di kedai-kedai itu, sebenarnya buku-buku itu bukan diletakkan di rak-rak itu oleh pengedar ataupun oleh penerbit sendiri.


Semua buku yang ada dalam kedai buku dipilih oleh eksekutif syarikat retailer itu, yang menjalankan tugas-tugas 'book purchasing'. Mereka dipanggil 'book purchaser'. Jika book purchaser pilih buku saudara, itu berita baik, jika tidak, tidaklah.


Book purchaser tidak mungkin mengetahui semua jenis buku yang diterbitkan oleh puluhan penerbit yang ada di negara ini. Ambil sebagai contoh, nama Alaf21 sudah besar, tetapi ramai book purchaser masih tidak tahu bahawa Alaf21 menerbitkan buku-buku akademik juga.


Kalau saudara berpeluang berkawan-kawan dengan mana-mana book purchaser, cuba tanya soalan seperti “Ada ataupun tidak novel-novel fiksyen sejarah terbitan Malaysia?”


Jangan hairan jika book purchaser itu terkebil-kebil. Istilah 'fiksyen sejarah' itupun entah dia pernah dengar entahkan tidak.


Ataupun cuba tanya, “Apa nama penerbit buku-buku autobiografi tokoh-tokoh Malaysia?” Jika book purchaser itu tidak tahu rupa-rupanya ada buku-buku biografi tokoh-tokoh Malaysia, tentulah dia tidak tahu nama penerbit itu, dan tidak mungkin dia akan mencari buku-buku biografi itu bagi dipamerkan di dalam kedai-kedainya.


Eksekutif yang bertugas sebagai book purchaser selalu bertukar-tukar orangnya. Kita baru sahaja menjalin hubungan baik dengan book purchaser yang ada, top-top dia dipindahkan ke jabatan lain, ataupun berhenti kerja.


Apabila masuk orang baru, dia tidak tahu apa-apa tentang produk-produk dalam bahasa Melayu, barangkali dia cuma tahu novel-novel cinta oleh Creative dan Alaf21. Faktor ini pun sudah cukup memeningkan pegawai pemasaran si penerbit.


Retailer yang besar-besar lazimnya mempunyai satu orang book purchaser sahaja. Dia memilih buku untuk semua rangkaian kedai-kedainya.


Kalau book purchaser itu Cina ataupun India, peninglah kita sebagai penerbit buku Melayu! Lazimnya book purchaser Cina dan India memang tidak berminat pun hendak mengetahui citarasa pembaca buku-buku Melayu.


Jika book purchaser tidak tahu menahu tentang buku apa yang dicari oleh pembaca Melayu, bagaimanakah mereka pandai memilih buku-buku Melayu yang sepatutnya mereka pesan untuk dijual dalam kedai-kedai mereka?


Malah book purchaser bukan Melayu tidak mempunyai sebab mengapa mereka harus menjual buku-buku Melayu. Bagi book purchaser, yang penting dia pilih buku yang laris dijual, tidak timbul isu buku dalam bahasa apa.


Ini baru cerita book purchaser kedai-kedai superstore di Lembah Kelang. Bagaimana dengan cerita book purchaser di bandar-bandar lain? Adakah penerbit saudara itu kenal mereka? Sebanyak mana mereka tahu tentang produk-produk dalam bahasa Melayu yang sudah terbitkan?



Monday, April 03, 2006

Pengunjung Pesta Buku Tidak Sedar Mereka Dalam Bahaya

Pesta buku PBAKL telah diadakan di dewan yang tidak selamat!

Para pengunjung PBAKL tidak selamat daripada bahaya mati pijak memijak sesama sendiri ataupun hangus terbakar apabila berlaku sebarang suasana panik dan kecemasan kerana:

1. Dewan 2 tidak dipasang dengan sistem sprinkler!

2. Pintu keluar tidak cukup jumlah dan keluasannya.

3. Jambatan yang terlalu sempit.

4. Alat pemadam api tidak diletakkan di tempat yang mudah dilihat.

Bagaimanakah pihak penganjur boleh terlepas pandang perkara ini? Bagaimanakah pihak penganjur boleh menyewa dewan pameran yang tidak selamat?

Bagaimanakah pihak pengurusan dewan boleh menyewakan tempat pameran yang tidak selamat kepada orang ramai?

Bagaimanakah pihak bomba boleh meluluskan penggunaan dewan yang tidak dipasang dengan sistem sprinkler dan lain-lain ciri keselamatan untuk kegunaan orang ramai?

Bagaimanakah CF dapat dikeluarkan bagi dewan yang tidak memenuhi ciri-ciri keselamatan?

Bagaimana? Bagaimana?


Sasterawan Nisah Haron dan Pesta Buku

Pada masa nilai novel-novel cinta terjual sekitar RM500 ribu sepanjang Pesta Buku PBAKL yang lalu, bagaimanakah nasib sasterawan Melayu dan karya mereka? Baca catatan Puan Nisah Haron

Di manakah Pengarah Jabatan Pengembangan Sastera DBP menyorok?

Sasterawan Negara Dato A. Samad Said memilih booth PTS meskipun PTS hanya pengedar karya-karya beliau yang diterbitkan oleh WiraBukit.



.

Mat Som, Kampung Boy dan Mambo di Kuale

Kemunculan novel grafik "Mambo di Kuale" (2006) oleh Sdr. Nur Azmi terbitan Ameen Serve, layak diberi sorotan kerana MDK adalah novel grafik kedua selepas novel grafik pertama dalam bahasa Melayu, “Mat Som” oleh Lat (1989) terbitan Kampung Boy Sdn. Bhd., yakni 15 tahun lalu.


Di Austria, 60% buku yang terjual adalah dalam bentuk komik. Di Jepun, jumlah itu hampir 70%.


Menurut suatu laporan kajian yang pernah dijalankan di Indonesia, pembaca komik di sana adalah majoriti lelaki antara 10 hingga 36 tahun.


Dengan andaian keadaan di Malaysia mungkin tidak banyak berbeza daripada Indonesia, maka tidak hairanlah “Aku Budak Minang” dapat dijual sekitar 200 ribu naskhah hardcover.


Gosip terbaru yang kita dengar, baru-baru ini sebuah pengedar buku memesan 8000 naskhah ulangcetak “Lat - the Kampung Boy” terbitan Berita Publishing, hanya bagi membekalkan kedai buku di KLIA, yakni untuk pasaran pelancong yang akan pulang ke negara masing-masing.


Langkah Ameen menceburi sektor novel grafik membuka harapan kemungkinan ada penerbit Melayu yang dapat membangunkan sektor yang besar potensinya ini. Keupayaan membuka sektor ini menghendaki Ameen secara konsisten, setiap bulan, menerbitkan sekurang-kurangnya sebuah novel grafik, 12 buku setahun.



Buku Bisnes Hit

Analisis rekod judul jualan buku-buku PTS di pesta buku PBAKL tahun ini menunjukkan perubahan trend pembelian.

Sehingga pesta tahun lalu, judul-judul motivasi sentiasa mengatasi jualan judul-judul lain di gerai PTS.

Tahun ini judul-judul bisnes mengatasi jualan kategori-kategori lain. Judul TOP adalah Rahsia Bisnes Orang Cina oleh Ann Wan Seng.

Jumlah kutipan tunai di booth PTS jauh melepasi angka sasaran.

Ada gosip mengatakan sebuah booth penerbit terkenal berjaya mengutip jualan lebih RM70 ribu pada hari kedua pameran dibuka.

Tahniah kepada penganjur yang membuat promosi lebih baik tahun ini sehingga jumlah pengunjung meningkat dengan ketara sekali.



Iklan


Artikel Seni Menjadi Majikan 6 sudah terbit, baca
www.myorionet.com



.

Tindakan KDN Merampas Quran Terbitan Mesir dan Saudi Arab Memalukan

Antara penyewa booth di pesta buku adalah pempamer dari Mesir yang mempamerkan buku-buku agama dalam bahasa Arab, termasuk kitab al-Quran terbitan Mesir dan Saudi Arab.


Pegawai-pegawai KDN telah datang dan merampas kitab-kitab al-Quran itu di depan khalayak ramai, sedang pesta berjalan penuh sesak dan meriah sekali. Tahniah atas keefisienan pegawai-pegawai KDN menjalankan tanggungjawab mereka memastikan peraturan dan undang-undang negara kita dipatuhi oleh semua pempamer di pesta buku.


Kita difahamkan naskhah-naskhah al-Quran yang dipamerkan itu mempunyai cop kelulusan daripada pihak al-Azhar dan pihak berwajib di Saudi Arab.


Sebagai rakan pempamer dalam pesta buku itu, dan sebagai anggota IKATAN, kita membayangkan peserta dari Mesir itu tidak akan diam sahaja dan tutup mulut apabila mereka pulang ke negara mereka.


Tentu sekali mereka akan mengadukan peristiwa itu ke persatuan mereka, dan tidak mustahil ia diadukan ke al-Azhar, ke jabatan berkaitan di Saudi Arab dan ke media massa di sana.


Kita mahu menjadikan pesta buku kita betul-betul ANTARABANGSA, dengan maksud makin ramai peserta luar negara datang mempamerkan buku-buku terbitan luar negara. Dengan cara ini, penerbit Malaysia yang tidak mampu ke pesta buku Frankfurt berpeluang melesenkan harta intelek kita kepada penerbit-penerbit antarabangsa.


Gosip yang kita dengar mengatakan, pegawai-pegawai KDN itu membuat rampasan tersebut disebabkan mereka tidak percaya kepada mutu kerja penyemakan yang dibuat oleh al-Azhar dan Saudi Arab dibandingkan dengan mutu kerja ustaz-ustaz Malaysia yang semuanya dilantik sebagai penyemak free-lance sahaja oleh KDN sendiri.


Gosip yang kita dengar pula, TAFSIR PIMPINAN AR-RAHMAN, terbitan JAKIM, yang diluluskan oleh KDN, diharamkan bagi diimpot dan dijual di Brunei atas alasan pihak jabatan mufti negara itu menjumpai banyak kesilapan di dalamnya.




Sunday, April 02, 2006

Perbualan dengan En. Norden Mohamed

En. Norden Mohamed adalah pengurus besar Alaf21. Beliaulah pengurus besar syarikat penerbitan yang paling banyak berjalan-jalan sekitar dewan pameran dan melawat gerai-gerai orang lain. Pengurus besar lain pun berjalan-jalan juga tetapi tidak sebanyak beliau.

Buat kali ketiga semalam beliau datang menjenguk booth PTS dan dalam keadaan sesak-sesak itu kami sempat berbual-bual dengan suara tinggi kerana keadaan yang hingar-bingar.

Banyak sangat manuskrip novel cinta,” kata beliau.

Ya. Ya.”

9 dari 10 yang dihantar kepada Alaf, kita tolak.” Begitulah kata En. Norden.




Sejarah Kehadiran Pesta Buku

Semalam, Sabtu, jumlah pengunjung pesta buku mungkin mencecah 150 ribu. Kita belum pernah melihat begitu ramai orang datang ke pesta buku sebelum ini.

Diramalkan, hari ini Ahad, keadaan lebih sesak kerana hari ini hari terakhir pesta.

Barangkali faktor utama keadaan ini adalah faktor orang ramai sudah menerima gaji bulan Mac!