Wednesday, June 13, 2007

Monolog dan Dialog dalam Surah Yusuf

Dalam novel, ada dua jenis dialog - ada dialog dan ada monolog.
Dalam surah Yusuf, 86% ayat-ayat dalam surah itu mengandungi dialog, manakala hanya ada 1 monolog.

Ayat 77: Mereka berkata, “Kalau dia (Bunyamin) mencuri, maka tidaklah pelik, kerana sesungguhnya saudara kandungnya (Ysusf) pernah juga mencuri dahulu.” (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakan kepada mereka, sambil berkata dalam hati, "Kamulah yang lebih buruk keadaannya, dan Allah maha mengetahui akan apa yang kamu katakan itu.”

Salah satu manfaat dialog yang banyak adalah ia memudahkan novel dialihkan menjadi skrip TV ataupun skrip filem, ataupun dikomikkan. Manakala, monolog menyebabkan novel sukar dialihkan menjadi skrip.

Monolog terdiri daripada 2 jenis:

(1) Monolog yang merupakan dialog dalam hati, yakni watak bercakap kepada orang lain tetapi dialog itu tidak diucapkan dengan mulut.

Contoh dialog dalam dalam hati: Dalam hatinya, Mamat berkata, "Budin... Budin... Mengapalah kamu bodoh benar." Bayangkan bagaimanakah monolog ini dapat dilakonkan.

(2) Apabila watak berkata-kata kepada dirinya sendiri, itulah adalah monolog juga.

Contoh dialog dengan diri sendiri: Dalam hatinya Mamat menyesali dirinya sendiri, "Sampai hati dia buat aku begini. Tidak mengapalah, Tuhan akan balas perbuatannya." Bayangkan bagaimanakah monolog ini dapat dilakonkan.

Monolog hanya dapat dibaca. Ia tidak dapat dilakonkan. Jadi, apabila saudara menulis buku cerita, ataupun novel, bagi tujuan dialihkan menjadi skrip TV ataupun filem, ataupun komik, monolog tidak sesuai.