Saturday, August 26, 2006

Penerbit Cetak Duit

Beberapa penerbit buku-buku agama tradisional di negara ini, sejak tiga empat tahun lalu, sudah tidak membeli sebarang manuskrip lagi daripada ustaz-ustaz, sebagaimana lazimnya.

Sebaliknya mereka hanya mengulang cetak judul-judul buku agama yang sudah ada dalam setor mereka.

Apakah maknanya semua ini?

(1) Mereka boleh hidup dengan menerbitkan semula judul-judul lama dengan tidak mengeluarkan satu sen pun modal membeli manuskrip dan membuat layout. Mereka gelek sahaja filem-filem yang ada!

(2) Kos menerbitkan buku-buku itu jadi lebih murah manakala harga buku di pasaran rata-rata sudah naik. Ini bermakna mereka dua kali untung.

(3) Buku-buku agama dapat diulang cetak tanpa perlu disemak semula ataupun dibuat edisi baru disebabkan fakta-fakta agama tidak berubah-ubah.

(4) Strategi membeli manuskrip daripada ustaz-ustaz adalah amat menguntungkan sebab bayaran pembelian itu dibuat satu kali sahaja manakala buku-buku itu dapat diulang cetak berkali-kali.

(5) Mereka mempunyai stok judul yang banyak sehingga mereka mempunyai cukup jumlah judul-judul buku yang sudah lama ditulis tetapi masih dibeli oleh orang ramai.

Begitulah caranya penerbit buku-buku agama yang sudah mempunyai ratusan judul kini hidup dengan cara mudah mencetak duit!

Kasihan ustaz-ustaz itu..... Daripada hasil tulisan satu buku, si ustaz makan satu kali, tetapi penerbit makan berkali-kali!

.


Pengarang Selebriti, Perangai Selebriti

Seorang senior editor di sebuah penerbit novel cinta yang terkenal memberitahu, sejak akhir-akhir ini sudah timbul fenomena tingkah laku ala-ala selebriti di kalangan segelintir penulis novel cinta baru muncul, yang melihat dirinya sebagai pengarang selebriti.

Mereka tidak puas hati dengan layanan yang diterima daripada penerbit dengan membandingkan layanan yang pernah diberikan kepada pengarang-pengarang yang lebih senior.

Ada pula yang komplain kerana sewaktu Pesta Buku Kuala Lumpur, kehadiran mereka di gerai penerbit tidak diiringi sambutan dan gimik-gimik istimewa.

Teringat pula kita, di gerai PTS, bukan seorang dua penulis PTS yang tidak dapat hendak duduk pun di meja penulis sebab gerai sesak sangat. Mereka pun berdiri-diri sahaja dicelah-celah orang ramai yang bersesak-sesak di luar gerai sambil senyum-senyum memerhatikan buku mereka dibeli pengunjung.




.

Lukisan Alam Semula Jadi: Prinsip Surah Yusuf

Salah satu unsur yang tidak terdapat dalam teknik penceritaan dalam surah Yusuf adalah ayat-ayat yang menggambarkan lukisan alam semula jadi di tempat dan pada waktu sesuatu peristiwa itu berlaku.

Sebagai contoh, dalam peristiwa abang-abang Nabi Yusuf membawa beliau pergi keluar jauh dari rumah dan membuangnya ke dalam telaga, tidak ada maklumat berkenaan alam semula jadi tempat itu.

Ini berbeza dengan teknik penulisan dalam teori sastera konvensional, di mana bagi menciptakan setting yang realistik, penulis dikehendaki menggambarkan dengan tepat dan betul unsur-unsur alam semula jadi pada waktu dan di tempat di mana sesuatu peristiwa itu berlaku. Sebagai contoh, jika peristiwa itu berlaku pada waktu senja di tepi pantai, maka penulis dikehendaki menuliskan ayat-ayat yang menggambarkan keadaan tepi pantai pada waktu senja.

Maksud ayat-ayat lukisan alam semula jadi adalah seperti ayat-ayat berikut:

(a) Langit membiru dan angin malam sepoi-sepoi bahasa.
(b) Burung-burung beterbangan, daun-daun berguguran.
(c) Bulan mengambang di ufuk timur, sekali sekala wajahnya ditutup awan yang begerak.
(d) Matahari memancarkan sinar teriknya ke permukaan laut.
(e) Salju putih bagaikan kapas melitupi seluruh lembah dan angin sejuk menusuk hingga ke tulang sumsum.


Ini bermakna, dalam teori sastera Islami aliran surah Yusuf, bagi menghasilkan sebuah kisah yang indah, gambaran alam semula jadi bukanlah unsur yang wajib dituliskan dalam karya. Ia adalah unsur pilihan, jika mahu boleh dilukiskan, jika tidak maka itu adalah lebih baik kerana ia selaras dengan teknik penceritaan surah Yusuf.

Allah-lah yang tahu mengapa unsur lukisan alam tidak ada dalam penceritaan kisah Nabi Yusuf. Kita hanya dapat melihat kelebihan-kelebihan praktikal prinsip ini seperti berikut:

(1) Dunia, pentas cerita, dan ruang gerak watak tidak menjadi sekecil pengalaman peribadi si penulis.
Disebab penulis sastera Islami tidak perlu melukiskan keadaan alam semula jadi di benua Afrika ataupun Latin Amerika, maka si penulis dengan bebas dapat membawa watak-wataknya pergi ke benua itu. Walaupun penulis tidak pernah pergi ke bulan ataupun masuk ke dalam dasar laut Antartika, dia masih boleh membawa watak-wataknya pergi ke bulan dan masuk ke dalam dasar laut kerana dia tidak perlu menceritakan pemandangan alam semula jadi di dasar laut Antartika.

Dalam teori sastera konvensional, dari sudut psikologi, penulis tidak berani mencipta jalan cerita yang berlaku di tempat-tempat yang dia belum pernah kunjungi disebabkan dia tidak dapat hendak mencipta ayat-ayat gambaran alam semula jadi tempat-tempat itu. Jadi mereka perlu mengeluarkan modal pergi ke Jerman ataupun Australia bagi menuliskan cerita yang berlaku di Jerman ataupun Australia. Untuk menuliskan cerita yang berlaku di Andalusia ataupun Bukhara, penulis mesti mengeluarkan biaya pergi ke Sepanyol ataupun Romania.

(2) Kisah indah itu bersifat 'bebas-waktu' dan 'bebas-ruang'.

Tanpa ayat-ayat yang menceritakan gambaran alam semula jadi, sebuah kisah yang indah itu dapat bersifat kekal indah sepanjang masa, ertinya keindahan itu tidak terfosil dalam konteks sesuatu periode ataupun tempat. Ia indah bila-bila sahaja dan di mana-mana sahaja.

Dalam teknik penulisan sastera konvensional, lukisan alam semula jadi yang terperinci menyebabkan apa yang dilukiskan itu ketinggalan waktu apabila keadaan alam semula jadi itu sudah berubah. Pantai yang digambarkan itu mungkin sudah ditebus-guna. Lombong mungkin sudah dikambus. Hutan sudah menjadi estet.

Contoh bagaimana sebuah kisah yang indah ditulis tanpa menggunakan gambaran alam semula jadi adalah novel jibunsyi Ashadi Zain Dari Kepala Batas ke New Haven di mana cerita itu berlaku di Malaysia, Amerika dan Australia.


.

Friday, August 25, 2006

Novel NBSI Ayat-ayat Cinta: Up-date

Novel National Best-Seller Indonesia 2005-2006 Ayat-ayat Cinta karya Habiburrahman el Shirazy hari ini siap dicetak di Kuala Lumpur dan akan masuk pasaran segara. Novel Indonesia itu laku lebih 400 ribu naskhah, jauh mengalahkan angka jualan Harry Potter dan DaVinci Code.

AAC cetakan Malaysia dilesen daripada PT Republika, Jakarta, oleh penerbit Ar-Risalah, anak syarikat penerbit buku-buku agama yang terkenal, Al-Hidayah di Jalan Ipoh, KL.

Nota: Saya sedang membaca karya terbaru El Shirazy Ketika Cinta Berbuah Surga yang dalam tempoh 12 bulan sudah dicetak 4 kali.


.

Tahniah: DBP Beli Sound System RM20 juta

Auditorium yang baru siap di Dewan Bahasa dan Pustaka dipasang dengan sistem bunyi paling terkini, lebih baik daripada sistem bunyi yang digunakan di Istana Budaya dan di auditorium Petronas.

Di Asia baru ada dua unit sistem itu, satu di Hong Kong, satu di DBP. Tahniah! Tahniah!

Kalau RM20 juta itu digunakan bagi menterjemah dan menerbitkan buku dalam Bahasa Melayu, alangkah tepatnya keputusan itu dengan akta penubuhan DBP itu sendiri. DBP ditubuhkan bagi membangunkan bahasa Melayu.



Buku Tahan Gawat

Apabila saudara hendak hidup sepenuh masa sebagai penulis, salah satu perkara yang saudara perlu rancang adalah kategori buku-buku saudara.

Katakanlah saudara adalah penulis novel dewasa. Adakah saudara boleh hidup sepenuh masa daripada royalti 10 buah novel?

Pasaran novel dewasa tidak berapa kebal gawat ekonomi. Apabila berlaku gawat, pembaca dewasa mengurangkan jumlah pembelian novel disebabkan novel bukan bacaan wajib. Novel boleh tunggu, ia tidak basi. Kalau tidak dibeli sekarang, ia boleh dibeli kemudian.

Walau bagaimanapun, bahan-bahan bacaan untuk keperluan pendidikan anak-anak akan terus dibeli oleh ibu bapa. Itulah sebabnya buku-buku yang membantu pendidikan kanak-kanak adalah lebih tahan gawat. Buku-buku itu menjadi pelampung keselamatan saudara.

Isu buku tahan gawat adalah faktor mengapa PTS One ditubuhkan, iaitu bagi menerbitkan buku bacaan anak-anak dan remaja. Peranan PTS One adalah menjadi pelampung keselamatan kepada kumpulan PTS apabila tiba musim gawat.

Sebagai penulis novel dewasa, saudara perlu menulis karya kreatif lain seperti novel remaja, buku cerita kanak-kanak, buku cerita-cerita agama dan lain-lain. Semua buku itu menggunakan bakat yang sama, iaitu bakat menulis cerita.


.

Thursday, August 24, 2006

Lagi tentang Novel Cinta

Dalam suatu kajian rambang yang kita lakukan, seorang peminat tegar novel cinta membeli 53 buah novel yang ditulis oleh 28 pengarang, majoriti besar terbitan Alaf21 dan Creative.

Peminat ini seorang wanita bekerja berusia sekitar 35 tahun, berkahwin dan mempunyai 3 orang anak. Beliau membaca antara 1 - 2 buah novel cinta sebulan.

Beberapa perkara yang menarik untuk difikirkan oleh para penerbit:

(a) Dalam koleksi beliau tidak ada walau satu pun nama penulis bertaraf sasterawan. Adakah ini menunjukkan bahawa pembaca novel cinta adalah kelompok yang tidak berminat membaca sastera, kita tidak pasti. Pada masa ini sebuah penerbit novel cinta terkenal sudah mula melabur dalam penerbitan karya nama-nama sasterawan besar seperti Shahnon Ahmad dan Khatijah Hashim.

(b) Penulis yang novelnya paling banyak dibeli (koleksi lengkap) adalah Fauziah Ashari, Ramli Awang Murshid, Aina Emir, Aisya Sofea, Sharifah Abu Salem, Norhayati Berahim dan Anis Ayuni. Ini menunjukkan pembaca novel cinta berkenaan memilih nama penulis, bukan nama penerbit.

(c) Dalam almari koleksi beliau itu tidak terdapat buku-buku kategori lain, seperti buku motivasi, pembangunan diri ataupun buku-buku pengetahuan agama.

(d) Beliau membeli novel-novel cinta itu di kedai Mamak Jln. Tuanku Abd. Rahman, bukan di kedai buku elit seperti MPH dan Kinokuniya.

Perkara-perkara ini memberitahu banyak tentang sosiologi pembaca novel cinta tempatan dan ia perlu diambil kira dalam strategi pakejing dan pemasaran buku untuk kaum wanita.


.

Gosip Kampung Buku

Ada gosip-gosip mengatakan bangunan lama DBP akan dijadikan tapak kampung buku. Bangunan itu sudah lama kosong, sejak DBP pindah ke bangunan baru di belakangnya.

Sampai saat ini para penerbit belum menerima sebarang tawaran membuka kedai dalam projek itu, jadi mungkin gosip itu masih pada peringkat gosip.

Salah satu infrastruktur yang perlu ditangani segera adalah tempat letak kereta, jika bangunan itu hendak dijadikan kampung buku yang mesra pengguna.


.

1500 Novel Inggeris Sebulan

Sebuah rangkaian kedai buku elit mempamerkan antara 1200 hingga 1500 judul baru novel Inggeris setiap bulan. Ya, judul baru, setiap bulan!

Novel-novel itu diimpot dari UK, USA, Australia dan Kanada.

Bandingkan ini dengan 25 judul baru novel Melayu setiap bulan.


.

Wednesday, August 23, 2006

2000 Novel Melayu

Hasil kajian yang kita lakukan mendapati, sebuah rangkaian kedai buku terbesar di negara ini mempamerkan antara 1500 hingga 2000 JUDUL novel Melayu pada satu-satu waktu!

Jumlah unit yang dipamerkan adalah antara 5000 hingga 6000. 90% adalah novel cinta.

Jumlah judul dan unit novel yang dipamerkan itu dinaikkan pada hari-hari:

(a) Hujung bulan apabila orang dapat gaji.

(b) Hujung minggu.

(c) Hari-hari cuti am.

Adakah saudara merancang hendak masuk ke dalam pasaran novel cinta?

Nota: Terima kasih kepada Sdr Ibnurabi kerana membantu kita dalam kajian ini.



.

Perkongsian Royalti

Apabila saudara berkongsi menulis 1 buku dengan dengan penulis-penulis lain, ada beberapa cara bagaimana royalti dibahagi-bahagikan:

(a) Semua penulis berpakat dan bersetuju formula pembahagian royalti mereka dan PTS ikut sahaja. Lazimnya penulis tidak selesa dengan cara ini sebab mereka malu hendak bercakap tentang duit dengan rakan penulis!

(b) PTS akan menilai sumbangan setiap penulis dan mencadangkan formula pembahagian royalti yang adil berdasarkan sumbangan masing-masing. Lazimnya inilah yang berlaku di PTS.

(c) PTS mencadangkan formula yang adil, tetapi ada penulis dengan rela hati memberikan lebih bahagiannya kepada rakan penulisnya. Katakanlah, PTS mencadangkan 50-50, tetapi penulis berasa dia cukup dengan 40 sahaja, maka diberikan tambahan 10 kepada rakannya.

Bilakah formula pembahagian itu ditetapkan?

Lazimnya formula itu ditetapkan selepas selesai kerja penulisan, sebab pada waktu itu barulah dapat diketahui senang susah sumbangan masing-masing penulis.


.

3 Novel Sulung PTS FORTUNA

PTS FORTUNA adalah anak syarikat kumpulan PTS yang fokus pada penerbitan sastera. Tiga novel sulung yang sudah ada di pasaran adalah genre jibunsyi yang ditulis menggunakan teknik Surah Yusuf dan KJ Method. klik di sini.

Selepas ini setiap bulan akan terbit lebih banyak novel jibunsyi.


.

Tuesday, August 22, 2006

Siapa Fred Suriya?

Fred Suriya adalah seorang gadis Peranchis yang sedang bekerja di Malaysia secara kontrak sebagai penterjemah selama 2 tahun. Beliau hanya tahu berbahasa Melayu lisan sahaja, cukup untuk berkomunikasi di jalanan.

Saya kebetulan berpeluang berkenalan dengan beliau lalu saya mencadangkan beliau menulis buku-buku cerita dalam bahasa Melayu dengan cara beliau mencipta jalan ceritanya secara detail dan kemudian Sdr. Ashadi Zain dan Dr. Haslisa Ramli menuliskan cerita sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

Lihat MATAHARA ditulis bersama Dr. Haslisa Ramli, dan 5 siri ADAM KECIL dan ADAM lagi ditulis bersama Sdr. Ashadi Zain.

Siri MATAHARA dan Siri ADAM KECIL akan terus terbit bersiri-siri sepanjang tahun. Bagi Siri ADAM, sudah ada penerbit yang berminat mengekspot siri itu ke Vietnam dalam bahasa Inggeris.


.

Penulis Pandai Jual Buku

Seorang penulis pernah mencetak sendiri buku motivasinya dan berjaya menjual sendiri semua 10 ribu naskhah dalam tempoh kurang setahun dengan cara menemui individu-individu seperti wakil rakyatnya sendiri supaya membeli 4 ribu naskah untuk diedarkan percuma, pergi dari sekolah ke sekolah memberi ceramah motivasi sambil mempromosikan bukunya, dan lain-lain inisiatif.

Jadi apabila bukunya itu diterbitkan oleh penerbit profesional, dan dia mendapati bukunya hanya terjual 1,800 naskhah bagi tahun pertama, beliau amat kecewa dengan jumlah royalti yang diterimanya lalu menelefon dan memarahi staf bahagian kewangan yang kebetulan menerima panggilan itu. Beliau mengatakan penerbitnya itu bodoh, tidak pandai menjual bukunya.

Prosedur menerbitkan dan menjual 600 judul buku setahun dengan menggunakan sistem pengedaran seluruh negara (termasuk juga Singapura, Brunei dan Indonesia) tidak serupa dengan prosedur menjual 1 judul terbitan sendiri.

Bagi mengelakkan risiko kerugian, beberapa SOP (Standard Operating Procedure) dilaksanakan dengan ketatnya oleh Jabatan Kewangan:

(a) Bagi mengelakkan duit tunai lesap, staf bahagian pemasaran tidak dibenarkan sama sekali memegang wang tunai syarikat. Peraturan ini menyebabkan staf jabatan pemasaran tidak dapat menjual buku secara tunai, semuanya mesti melalui prosedur PO (purchasing order).

(b) Bagi mengelakkan kena tipu, buku tidak boleh dibekalkan kepada mana-mana individu kecuali pembekalan itu mematuhi SOP. Ini bermakna kalau pun ada mana-mana wakil rakyat yang memesan 4 ribu naskhah, buku itu tidak akan dihantar kepadanya melainkan pesanan itu dibuat dengan mematuhi SOP.

(c) Bagi mengelakkan ejen-ejen sah tidak membayar hutang, walaupun ada ejen yang membuat pesanan 4 ribu naskhah, sebelum buku itu dihantar, agen itu mesti membayar dahulu hutang lamanya. Selagi hutang lama tidak dibayar, biar buku tidak laku, itu lebih selamat.

Prosedur menjual aiskrim 1 kotak dengan menaiki motosikal tidak serupa dengan prosedur kilang aiskrim menjual 3 juta kotak aiskrim setahun. Begitu juga, penulis yang pandai menjual buku yang ditulis dan diterbitkannya sendiri, dia belum tentu pandai menjual 600 judul buku yang ditulis oleh lebih 200 orang penulis lain.


.

Jakim Serbu MPH

Minggu lalu, pada hari Jumaat, pegawai-pegawai JAKIM menyerbu MPH Taman Maluri, Kuala Lumpur, dan mengangkut 1 beg plastik buku-buku yang hendak diperiksa status halal haramnya.

Sehari sebelum itu JAKIM menyerbu MPH Mid-Valley dan mengangkut 2 beg plastik.

Yang diangkut oleh JAKIM adalah buku-buku yang bertemakan agama, termasuk buku terbitan PTS. JAKIM tidak pula mengangkut produk-produk selain buku agama, yang secara terang-terangan, di dalamnya mengandungi banyak imej-imej yang haram ditengok.

Alahai JAKIM! JAKIM!.....

.

Peminat Penulis

Salah satu strategi bagi menjadi penulis yang mampu hidup dengan menulis sepenuh masa adalah dengan membangunkan kelompok peminat buku-buku karya saudara.

Peminat-peminat saudara memainkan 2 peranan penting:

(a) Orang-orang yang meminati karya saudara berfungsi sebagai pasaran terjamin bagi semua buku saudara. Mereka membeli buku saudara dan menjadikannya koleksi peribadi. Semakin banyak jumlah peminat saudara, semakin besar pasaran terjamin bagi karya-karya saudara.

(b) Para peminat saudara berfungsi sebagai promoter dan salesman bagi nama dan buku-buku saudara kepada orang-orang di sekeliling mereka.

Semua jenis buku dan pengarang mempunyai khalayak peminat masing-masing, bukan hanya pengarang kreatif sahaja. Dr. Danial Zainal Abidin adalah contoh pengarang buku-buku motivasi al-Quran yang mempunyai banyak peminat. Buku kanak-kanak pun mempunyai peminat mereka sendiri.


.

Monday, August 21, 2006

Kucing dengan Anjing dalam Industri Buku

Barangkali kalau ada 2 buah persatuan yang bermusuhan, tidak boleh lawan permusuhan antara Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dengan Persatuan Penjual Buku Malaysia!

Begitu teruk permusuhan mereka sehingga apabila MABOPA hendak mengadakan perjumpaan dengan persatuan penjual buku, itu pun tak dapat.

Presiden kedua-dua persatuan ini adalah tokoh Cina. Jangankan hendak berjumpa dan bermesyuarat, baru hendak memilih tempat mesyuarat pun mereka berdua sudah bergaduh dalam telefon, mula-mula dalam bahasa Inggeris, lama-lama dalam bahasa Cina!

Anggota MABOPA terdiri daripada penerbit semua bangsa dan bahasa, dengan majoritinya penerbit Cina. MABOPA adalah persatuan yang diuruskan dengan baik sekali.

Persatuan Penjual Buku Malaysia terdiri daripada para pemilik kedai buku dan pengedar, daripada semua bangsa, majoritinya Cina.

Mengapakah mereka bermusuhan - bukankah kedua-dua saling bergantungan?

Bukankah penerbit buku tidak mungkin hidup kalau buku-buku yang diterbitkan tidak dijual melalui kedai-kedai buku? Kedai buku mustahil hidup kalau penerbit tidak membekalkan buku kepada mereka.

Pergaduhan antara dua persatuan ini sudah berpuluh tahun lamanya. Walaupun masing-masing sudah berkali-kali mengganti presiden, tetapi pergaduhan itu tidak pernah berhenti.

Anggota MABOPA tidak puas hati dengan sikap para penjual buku yang meminta potongan harga yang melampau, yang mencekik leher penerbit. Para penjual buku pula mahukan potongan yang lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang. Macam mana tidak bergaduh?

Struktur potongan harga yang ada hari ini amat tidak sihat bagi industri buku negara kita. Diharap pihak kerajaan dapat campur tangan supaya keadaan ini diperbaiki demi menggalakkan perkembangan industri itu sendiri.

Nota: PTS adalah anggota MABOPA.



.

Duit Buku Buat Membeli Kurma

Apabila tiba bulan puasa, penerbit yang bukunya banyak dibekalkan kepada pengedar dan kedai buku milik Mamak-mamak memang pening kepala. Bulan puasa adalah bulan paling sakit bagi penerbit buku-buku Melayu.

Lazimnya penerbit Melayu membayar bonus pada bulan puasa bagi membantu staf berhari raya dengan selesa. Ini bermakna gaji dan bonus dibayar serentak. Kalau jumlah gaji bulanan RM100 ribu, bermakna pada bulan puasa mesti bayar RM100 bonus, paling minima.

Tahun ini bulan puasa juga jatuh dalam musim penerbit membayar royalti kepada penulis. Bagi penerbit buku-buku Melayu, hampir 100% penulisnya adalah Melayu, oleh itu mereka memang mengharapkan cek royalti bagi membantu perbelanjaan hari raya.

Bulan puasa juga lazimnya bulan lembaga pengarah suka mengeluarkan cek-cek dividen kepada pemegang saham sebab mereka sendiri adalah antara pemegang saham.

Pencetak bukan Melayu yang mempunyai banyak pekerja Melayu juga lazimnya mengeluarkan perbelanjaan tambahan sebagai 'angpau' hari raya. Jadi mereka akan kejar penerbit supaya membayar bil-bil percetakan buku lebih banyak daripada bulan-bulan biasa. Kalau biasanya mereka puas hati dengan cek RM40 ribu, pada bulan puasa mereka minta lebih banyak.

TETAPI.....

Pada bulan puasalah lazimnya bulan paling payah hendak mengutip hutang daripada pengedar dan kedai buku Mamak!

Mengapa? Majoriti Mamak-mamak yang besar itu menjalankan bisnes mengimpot kurma berkontena-kontena menjelang bulan puasa. Kurma dibeli secara tunai, maka mereka gunakan duit yang sepatutnya dibayarkan kepada penerbit untuk mengimpot kurma.

Jikalau saudara baru belajar menjadi penerbit, pastikan saudara sudah menyimpan wang secukupnya sebelum tiba bulan puasa bagi perbelanjaan yang naik 3 kali lipat pada bulan mulia itu, sedangkan kutipan hutang turun!


.


Sunday, August 20, 2006

Risiko Menerbitkan 1 Buku

Entri ini ditulis bagi menerangkan risiko menerbitkan 1 judul buku.

Ambil senario ini:

(a) Saudara mungkin anak seorang sasterawan besar, oleh itu saudara hendak menerbitkan karya teragung ayah saudara. Saudara percaya nama besar ayah saudara itu dapat memudahkan pemasaran bukunya.

(b) Saudara mungkin seorang sasterawan yang mempunyai banyak peminat. Sebelum ini banyak karya saudara yang diserahkan kepada penerbit profesional, sekarang saudara fikir saudara hendak mencuba menerbitkan karya saudara sendiri.

(c) Saudara mungkin penulis baru dan saudara gagal mencari penerbit, jadi saudara mengambil keputusan menerbitkan sendiri buku saudara. Kebetulan saudara mempunyai RM10 ribu dalam simpanan, maka bolehlah saudara gunakan untuk mencetak buku saudara itu.

Berikut adalah risiko yang saudara hadapi:

1. Saudara tidak dapat mencari pengedar profesional yang mahu mengambil semua stok buku yang saudara sudah cetak itu bagi disimpan di dalam setornya. Akibatnya beribu naskhah buku saudara itu berlonggok dalam rumah saudara. Ingat, setor pengedar bukan tempat saudara menyimpan buku saudara yang tidak laku.

2. Ada pengedar yang mahu mengambil buku saudara, tapi cuma 10 ataupun 50 unit sahaja untuk cuba diedarkan, kalau laku, barulah dia ambil sejumlah lagi dari waktu ke waktu.

3. Saudara cuba mengedar sendiri dengan membawa buku saudara dari kedai ke kedai, tetapi saudara dapati saudara tidak sanggup meneruskan cara itu sebab hasilnya amat mengecewakan. Ingat, kedai buku orang lain bukan tempat saudara menyimpan buku saudara yang tidak laku.

Mungkin nama saudara terkenal, tetapi pengedar belum tentu berminat mengedarkan buku saudara. Faktor utama adalah saudara cuma menerbitkan 1 buku. Kalau saudara menerbitkan 1 buku setiap bulan, barulah pengedar berminat. Ini disebabkan oleh logik angka semata-mata.

Keuntungan daripada menjual 10 biji buku habis begitu sahaja jika ada 1 buku yang gagal dikutip hutangnya!

Baca 'sifir' di bawah:


a. Saudara membekalkan buku sdr itu kepada pengedar pada harga RM10.00. Apabila buku itu sudah dihantar ke kedai, pengedar mesti bayar RM10.00 itu kepada saudara.

b. Pengedar menjual kepada kedai pada harga RM11.00 (untung RM1.00 kalau kedai bayar hutang).

c. Kedai jual RM15.00 kepada pembeli.

c. Untuk dapat untung RM10.00 pengedar mesti jual 10 unit (modalnya RM100.00!)

d. Apabila 10 unit buku itu sudah dijual ke kedai, dan kedai sudah jual, tapi kalau kedai tak bayar hutang kepada si pengedar, si pengedar mesti bayar saudara RM100.00!

e. Kedai yang tak bayar hutang untung RM150.00.

f. Saudara dapat RM100.00.

g. Pengedar RUGI RM100.00 ++

Masalah si pengedar gagal mengutip hutang bukan masalah saudara. Bayar mesti bayar sebab pengedar sudah ambil buku itu dari saudara dan sudah dijualkannya ke kedai buku.

Risiko gagal mengutip hutang sentiasa ada dalam bisnes. Yang membolehkan pengedar hidup adalah "volume'. Apabila ada volume, barulah risiko itu dapat dikongsi oleh judul-judul lain.