Saturday, January 28, 2006

Singapore National Library Beli Manuskrip Melayu

Gosip dunia buku memberitahu kita bahawa Perpustakaan Negara Singapura sedang menghantar agennya ke Kuala Lumpur bagi membeli lesen 20 ribu judul buku-buku Melayu yang diterbitkan di negara ini.

Apakah mungkin ada sebanyak 20 ribu judul buku Melayu yang sudah terbit hingga kini, kita tidak pasti. Perpustakaan Negara Malaysia lebih tahu statistik ini.

PNS merancang menjadi pusat dokumentasi bagi seluruh dunia untuk segala jenis buku Melayu dalam bentuk digital.

Agen PNS sedang menemui setiap penerbit buku-buku Melayu negara ini bagi merundingkan proses pembelian lesen-lesen itu.

Jika saudara berminat melesenkan buku-buku saudara ke PNS, saudara dikehendaki menyediakan naskhah digitalnya.

Kita bertanya kepada Perpustakaan Negara Malaysia, “Apa sudah jadi?”



Friday, January 27, 2006

Mengubah Nasib Pekomik Tanah Air

Tulis Sdr. Abdullahjones dalam blognya:

“....Saya ada mendengar yang Saadon Ishak dan Tazidi Yusuf melukis di Colmar. Sebenarnya ia sedikit mendatangkan kesedihan kepada saya kerana dua nama besar ini akhirnya hanya menjadi pelukis jalanan. Jangan salah faham, saya tidak maksudkan yang pelukis jalanan sebagai kelas kedua. Cuma dalam kes Saadon dan Tazidi ianya menjadi satu cerita yang tidak sepatutnya berlaku. Kedua-duanya adalah nama besar satu ketika dulu dalam dunia humor Malaya.

Mungkin ada cerita lain yang berlaku sebalik kisah mereka, tetapi jika kita perhatikan secara luar, mereka adalah kisah malang kebanyakan pelukis di Malay(si)a. Kebanyakkannya hanya menjadi lembu tunai kepada tokeh-tokeh komik. Dipergunakan sepenuhnya ketika diperlukan.

Saya pernah melihat Ujang melukis muka orang di kompleks beli belah. Sepuluh ringgit sekeping rasanya. Saya malu melihat pelukis ternama seperti Ujang memgambil upah melukis muka orang.

Nan dan Kerengge sedikit beruntung kerana keduanya mempunyai kelulusan akademik. Yang lain hanya mengharapkan bakat dan ikhsan...." begitulah tulis Sdr. Abdullahjones.

Persepsi Sdr. Abdullahjones itu banyak betulnya.

Sebagai penerbit buku-buku bacaan umum, kita menggunakan banyak ilustrasi, dan ini bermakna kita banyak bergantung kepada para pekomik dan pekartun sebagai pembekal ilustrasi.

Sebagai orang industri, kita juga berminat melabur bagi membangunkan pasaran komik dan novel-novel grafik di negara ini dengan cara yang terancang, berdasarkan prinsip-prinsip perniagaan kita.

Para pekomik dan pekartun adalah kaum seniman. Jarang sekali ada kaum seniman yang pandai merancang bagaimana sepatutnya mereka mengeksploitasi keupayaan mencipta harta intelektual.

Sebagai penerbit, harta kita adalah para penulis yang meletakkan kepercayaan mereka kepada kita bagi menerbitkan karya-karya mereka. Kita berpegang pada prinsip: “Sesiapa yang menjadi rakan niaga kita mesti sama-sama buat duit dengan kita.”

Sudah sampai masanya kita penerbit dan kaum seniman duduk satu meja dan merancang produk-produk yang akan dihasilkan dan dipasarkan supaya kita membangun bersama-sama.





Aliran Realisme: Sudut Pandang Surah Yusuf

Jika saudara penulis muda, baru lepas belajar, barangkali saudara akan bertanya, mazhab dan aliran seni manakah lebih mudah dipelajari dan dipraktikkan bagi menuliskan novel Islami saudara? Mazhab Realisme ataupun Mazhab Surah Yusuf.

Karya-karya yang dianggap oleh sesetengah pengkritik sebagai novel Islami, seperti "Tok Guru" oleh Shahnon Ahmad "Imam" oleh Abdullah Hussain menggunakan teknik realisme.

Apakah ada perbezaan antara aliran realisme dan Mazhab Surah Yusuf? Barangkali mahzab baru digali ini dapat disebut dengan istilah aliran Realisme "Yusufisme".

Dalam Mazhab Surah Yusuf, dari sudut REALITI, produk yang saudara hasilkan mempunyai ciri-ciri surrealistik, yakni macam real, macam tak real. Untuk memahami unsur surrealisme ini saudara dapat lihat pada lukisan-lukisan surreal, dan saudara akan dapati unsur detail dalam lukisan-lukisan itu sengaja dikaburkan ataupun hampir dihilangkan.

Menghasilkan novel dengan menggunakan teknik-teknik dalam surah Yusuf menyebabkan dalam sesetengah situasi saudara tidak dibenarkan melukiskan babak itu secara detail, sebagai contoh babak-babak romantis tidak boleh dilukiskan secara detail.

Dalam sesetengah situasi, saudara boleh memberikan gambaran secara detail tetapi lebih baik tidak. Sebagai contoh, kalau saudara mahu saudara boleh memberikan gambaran detail tentang keadaan dalam sesebuah rumah, tetapi lebih baik tidak.

Berbanding dengan aliran Surah Yusuf, dalam aliran Realisme, saudara dikehendaki menghasilkan produk yang REAL, yang betul dari sudut REALITInya. Kalau sesuatu itu bulat, ia mesti digambarkan betul-betul bulat. Kalau lonjong, betul-betul lonjong. Sedikit pun tidak boleh tidak betul dari segi detailnya.

Kita baca kritikan Faisal Tehrani terhadap detail-detail filem “Gila-Gila Pengantin” dalam artikelnya yang berjudul “Naratif Filem Melayu Bangang dan Membangangkan” (Kakiseni.com)

Tulis Faisal Tehrani, .....Kemudian ketidaktelitian pembikin filem sebetulnya menyumbang kepada kebangangan ini. Di dalam Gila-gila Pengantin ada banyak hal pula yang tidak ditelitikan. Saya pohon wang yang banyak itu janganlah dijadikan sesuatu yang cincai sahaja, buatlah filem yang logik. Saya kira kita sebagai penonton pun memang tidak meminta Titanic, Pearl Harbour, Hero, Devdas dari karyawan filem kita, cuma waras sedikit sahaja kalau mahu ‘bercerita’.

Hal-hal tidak teliti ini terserlah jelas. Ambil kira watak Aleya dan Johari di dalam Gila-gila Pengantin ketika berusia tujuh tahun, jika mereka berusia semuda itu, ini bermakna zaman kanak-kanak mereka di dekad awal 80-an. Takkanlah perlu diajar bagaimana reka baju dan pakaian di tahun 80-an, takkan juga perlu diajar bagaimana rupa dan semangat serta mekap dan dandanan rambut tahun 80-an?

Aleya juga menggunakan teksi di waktu malam hujan ribut sesuatu yang saya ketahui memang dielakkan oleh sebahagian besar wanita. Apatah lagi Aleya seorang gadis solo, kaya raya, ibu-bapa juga mewah lagaknya dan menginap seorang diri di sebuah rumah dua tingkat, memiliki laptop malangnya tidak memiliki kereta. Tolonglah bina watak dan perwatakan secara lebih khusus dan cermat.

Johari pula sebagai doktor gigi tidak meyakinkan penampilannya, pakaian dan gayanya tidak menampakkan wibawa seorang doktor gigi. Beliau seorang lelaki yang mempunyai penyakit lelah tetapi boleh pula berlarian mendaki bukit untuk menghalang perkahwinan Aleya dan Harun.

Setahu saya seorang pengarang fiksyen di negara ini tidak sampai boleh diterbitkan bukunya tanpa ditemui terlebih dahulu kecuali di Pustaka Wawasan dalam filem Gila-gila Pengantin.

Penerbit juga belum pernah rasa saya ke rumah penulis tanpa menelefon terlebih dahulu dan memberi sekadar satu naskah cenderamata kepada penulis. Juga majlis autograf dan pelancaran buku kanak-kanak hanya dikerumuni oleh orang dewasa. Jangan beri alasan ia filem komedi. Filem romantik komedi sekalipun mestilah logik dan mengambil kira segala yang kecil-kecil ini kerana yang kecil-kecil beginilah menyumbang kepada kelemahan besar.

Berhentilah buat filem bangang dan membangangkan. Tolonglah menghormati penonton kita. Tolonglah menghormati seni itu sendiri kerana ia satu simbol, lambang dan khazanah peradaban kita. Kita tidak mewariskan produk seni bangang kepada generasi mendatang.

Sayang sekali filem Gila-gila Pengantin tidak teliti disiapkan dan tidak tulen pula, ia sebenarnya sudah cukup menghiburkan dengan Juliana Banos semakin meningkat dan penampilan cameo lebih menyelamatkan aspek lakonan watak-watak utama dan pembantunya.

Pembikin filem tempatan - bukan minta banyak. Minta logik biasa sahaja. Wang, wang juga tetapi minta bertanggungjawablah kepada kerja anda sendiri. Dengan sendiri nanti anda akan belajar bertanggungjawab pula kepada penonton dan masyarakat serta akhirnya bangsa dan negara....." Begitulah antara bunyi petikan daripada tulisan Faisal Tehrani.

Apa yang dikatakan oleh Faisal Tehrani itu, walaupun amat pedas bunyinya bagi kita yang tidak biasa dengan gaya bahasa orang-orang Kakiseni.com, menunjukkan betapa sukarnya berkarya dengan mengamalkan aliran realisme tradisional. Setiap detail mesti betul, mesti tepat. Karya seni dan dunia sebenar mesti betul-betul serupa. Bak kata orang Sepanyol, mahunya peta Sepanyol mesti betul-betul serupa dengan negeri Sepanyol. Monalisa dalam lukisan saling tak tumpah dengan Monalisa orangnya.

Kita kembali kepada isu kita. Konsep 'realiti' dan 'realisme' itu memang mudah difahami, oleh sebab itu kita menyangka ia mudah dipraktikkan bagi tujuan menulis novel. Disebabkan realiti ada di depan kita, tuliskan sahaja apa yang benar-benar berlaku di depan kita itu. Teknik ini seumpama menghasilkan siri TV Realiti, ambil gambar apa yang terjadi dan siarkan sahaja apa yang sebenarnya terjadi.

Sebaliknya, konsep 'Yusufisme' itu tidak ada di depan kita, ia abstrak, maka kita mencipta gambaran bahawa konsep ini sukar difahami, justeru sukar dipraktikkan.

Disebabkan teknik-teknik dalam surah Yusuf itu baru sahaja mula dianalisis, digali dan ditemui, maka kita mencipta persepsi aliran ini sukar dipelajari dan sukar dipraktikkan. Persepsi itu mendorong kita gopoh-gapah menolak mempelajari teknik-teknik dalam aliran Yusufisme, apatah lagi mahu mencubanya. Belum dicuba sudah diambil keputusan teknik-teknik Yusufisme harus ditolak.

Haslisa, Ashadi, Ida Rizyani, Zafran dan Alif Firdaus adalah antara penulis-penulis yang sudah menghasilkan genre sastera Islami dengan menggunakan teknik-teknik surah Yusuf. Bakal menyongsong adalah karya-karya Abd. Latip, Mokhtar, Wan Nan, Nik Faridah, Norehan, Norhalilah, Shahrizan, Chef Zul, Hafez, Faizah, Zalisa, Saripah, E Zainun dan ramai lagi.





Thursday, January 26, 2006

Bengkel Islam Kontemporari


Perhatian! Perhatian!

Buku-buku Islam kontemporari adalah buku-buku agama yang ditulis berkenaan isu-isu yang menjadi sebahagian daripada gaya hidup zaman moden hari ini. Buku-buku dalam siri ini berbeza daripada buku-buku siri ISLAMICA yang difokuskan kepada tema dan topik-topik tradisional.

Bagi saudara yang berminat menulis buku-buku Islam kontemporari, sila hadir bengkel khas seperti berikut:

Tarikh: 12 Februari 2006

Tempat: Sekolah al-Ikhlas, Taman Permata, KL.

Waktu: 10 pagi – 5 petang.

Yuran: Gratis

Bengkel ini dikendalikan oleh pegawai-pegawai PTS Millenia. Untuk tempahan tempat duduk hubungi En. Fauzul 012 3804555 ataupun En. Faris 019 2862600.



Pekomik Bangkitlah!

Dari segi penguasaan teknologi, para pekomik adalah golongan seniman yang paling cepat menyesuaikan diri mereka dengan teknologi sofwer komputer yang berkaitan dengan kerja lukis-melukis.

Dari sisi lain, para pekomik di negara kita ini adalah antara golongan seniman yang paling tidak ambil pusing tentang harta intelektual mereka. Mereka juga tidak mempunyai persatuan rasmi yang dapat menjadi jurucakap bagi membangunkan karya komik sebagai harta intelektual dan memperjuangkan kebajikan dan kepentingan para pekomik. Itulah sebabnya penerbit-penerbit komik kaya-raya manakala pekomik tidak.

Ada pekomik yang berusaha mengatasi masalah dengan terjun ke dalam dunia bisnes dengan menjadi penerbit komik. Macam biasalah, apabila seniman menjadi bisnesman, jarang sekali yang berjaya. Tentang sejarah perkembangan dunia komik tanah air, maklumat lanjut dapat dibaca dalam blog Sdr. Kalamtimur.

Barangkali antara segelintir seniman yang berjaya menjadi bisnesman dunia penerbitan adalah Yusof Haslam dan Sdr. Jaafar Taib. Yusof Haslam menjadi penerbit filem dan drama TV manakala Jaafar Taib menjadi penerbit buku sastera dan majalah komik. Yusof Haslam adalah pelakon manakala Jaafar Taib pelukis, bukan pekomik. Kedua-duanya sudah menjadi jutawan.

Di satu pihak lain, ada seorang seniman lukis-melukis yang sudah menjadi jutawan. Beliau adalah Lat, tetapi beliau juga bukan pekomik, tetapi pekartun.

Mana dia pekomik yang menjadi jutawan? Para pekomik kita berjaya menjadikan orang-orang lain (baca penerbit) jutawan, itulah kejayaan para pekomik kita.

Para pekomik tanah air, bangkitlah!




Wednesday, January 25, 2006

Berita Baik untuk Peminat Novel Seram

Gosip-gosip dunia buku Melayu sekarang sedang rancak bercakap tentang sebuah penerbit korporat di negara kita yang dimiliki oleh negara jiran sedang merancang menerbitkan siri cerita-cerita khurafat.

Tema-tema tentang hantu-hantu Melayu seperti pontianak akan diterbitkan dalam bentuk novel. Begitu juga tema-tema amalan jampi, mentera, perdukunan, perbomohan, termasuk amalan pelbagai ilmu pengasih dan awet muda akan diperniagakan secara terancang.

Sekumpulan pengarang sedang sibuk menyiapkan manuskrip novel-novel ala-ala “Misteri Nusantara” itu atas permintaan penerbit tersebut.

Buku-buku novel seram itu ditargetkan kepada pembaca wanita kerana memang kaum wanita Melayu meminati cerita-cerita hantu. Para peminat siri “Bercakap dengan Jin” adalah target utama penerbit ini.

Alaf21, Creative, Rythm, Utusan, Media Intens, KaryaDia, Kakinovel, NB Kara, Buku Prima, ambil perhatian. Dalam masa sebulan dua ini, akan muncul novel-novel seram yang bakal menjadi pesaing kepada novel-novel cinta.

Dalam waktu semakin banyak penerbit milik orang tempatan berpusu-pusu masuk padang produk perempuan dengan menawarkan sekitar 20 judul novel cinta tiap-tiap bulan, diam-diam pelabur asing masuk padang yang sama dengan menawarkan produk yang sudah lama ditunggu-tunggu.





Tuesday, January 24, 2006

Penulis dan LHDN

Kaum penulis di negara ini mendapat layanan istimewa sewaktu Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan. Disebabkan beliau seorang yang kuat membaca buku dan suka sastera, beliau telah menerima beberapa cadangan dalam memorandum yang dihantar oleh persatuan-persatuan penulis.

Salah satu syor yang beliau terima dan laksanakan adalah skim galakan penulisan dalam Bahasa Melayu. Beliau telah memberi peruntukan di mana cukai pendapatan tidak dikenakan ke atas RM20 ribu pertama royalti dan honorarium yang diterima oleh penulis, dan RM12 ribu pertama oleh penterjemah buku-buku ilmu.

Layanan yang diberikan kepada kaum penulis ini amat istimewa. Bayangkan seorang jutawan menulis buku, RM20 ribu pertama royaltinya adalah bebas cukai! Seniman bidang-bidang lain tidak menerima layanan istimewa ini. Di zaman Anwar Ibrahim juga, persatuan-persatuan yang memperjuangkan perkembangan Bahasa Melayu mendapat dukungan kuat daripada beliau.

Bagi saudara-saudara yang belum pernah menerima royalti ataupun honorarium daripada hasil karya saudara yang diterbitkan, barangkali saudara tidak ambil pusing urusan membayar cukai pendapatan daripada royalti itu.

Walaupun RM20 pertama itu bebas cukai tetapi saudara mesti mengisytiharkan pendapatan itu apabila saudara mengisi borang cukai.

Ada penulis menyangka LHDN tidak akan tahu jika dia tidak mengisytiharkan pendapatan royalti dan honorariumnya. Sangkaan ini salah. Setiap ringgit yang saudara terima itu LHDN tahu! Jadi jangan sorokkan maklumat berkenaan royalti yang saudara terima.

Bagaimanakah LHDN dapat mengetahui pendapatan saudara? Begini, undang-undang negara ini mewajibkan semua syarikat penerbit buku, akhbar dan majalah melaporkan kepada LHDN jumlah wang yang mereka bayar kepada penulis. Jadi, setiap tahun, penerbit saudara menghantar maklumat kepada LHDN berapa banyak royalti dan honorarium yang dibayar kepada saudara!

Jika saudara menerbitkan karya-karya saudara dengan banyak penerbit, tiap-tiap penerbit itu melaporkan jumlah royalti dan honorarium yang mereka bayar kepada saudara.

Kumpulkan dan simpan dalam fail semua dokumen pembayaran royalti. Kepilkan dokumen-dokumen itu apabila saudara mengisi borang cukai pendapatan.

Simpan semua resit saudara membeli buku, akhbar, majalah, komputer, bil internet dan lain-lain alat kerja yang saudara gunakan bagi menghasilkan karya-karya saudara. Gunakan bil-bil itu bagi memohon potongan cukai.

Jika saudara sudah beberapa tahun menerima royalti melebihi RM20 ribu setahun, tetapi belum pernah mengisytiharkannya, tahun ini saudara isytiharkan.

Saudara tidak dapat lari daripada berdepan dengan pegawai-pegawai LHDN, lambat laun mereka akan dapat cari saudara. Waktu itu denda yang saudara kena bayar mungkin lebih banyak daripada jumlah cukai.



Lagi Novelis Perempuan akan Menjadi Penerbit

Gosip-gosip dunia buku Melayu mendengar khabar angin seorang lagi novelis wanita yang terkenal akan terjun ke dalam dunia perniagaan sebagai penerbit sebelum akhir 2006 ini.

Memang cerita-cerita berkenaan larisnya novel-novel cinta dan ratusan ribu ringgit royalti yang diterima oleh novelis-novelis cinta amat menggoda kalangan novelis-novelis itu sendiri bagi menceburi bidang penerbitan.

Bayangkanlah, mengikut perkiraan royalti tahun 2005, salah seorang penulis novel cinta bestseller dikatakan mengutip RM375 ribu. Wang itu adalah royalti, bagaimana kalau seseorang itu menerbitkan sendiri novelnya, bukankah dia akan menerima royalti ditambah dengan margin keuntungan perniagaan pula. Tentu lebih banyak wangnya!

Jika perkahwinan antara novelis dan syarikat penerbit yang ada sekarang ini begitu baik sehingga membolehkan si pengarang mengutip ratusan ribu royalti setiap tahun, apakah ada rasional yang menyokong pihak novelis memilih mahu bercerai dan hidup sendiri?

Menjadi penerbit ada banyak risikonya dan ada baiknya bagi pengarang. Jika saudara menerima RM375 ribu, hanya RM20 ribu sahaja yang bebas cukai pendapatan. Bagi RM355 ribu lagi, cukai pendapatannya sudah lebih 30%. Ini bermakna saudara akan membayar sekitar RM100 ribu kepada LHDN.

Saudara tidak dapat lari daripada membayar cukai pendapatan peribadi daripada jumlah royalti saudara. Tetapi jika saudara mempunyai “sendirian berhad” penasihat percukaian saudara dapat memberikan pelbagai cara bagaimana saudara dapat mengurangkan cukai yang saudara mesti bayar.

Namun, elok diingat statistik Pendaftar Syarikat yang menunjukkan 93% perniagaan tutup dalam tempoh 3 tahun ia mula beroperasi. Ini statistik.




Dinsman dan Teater Surah Yusuf

Seniman teater terkenal Sdr. Dinsman akan mementaskan teater Surah Yusuf, berkemungkinan tahun ini, di Istana Budaya.

Menurut beliau, disebabkan jadual pementasan Istana Budaya amat sesak, ada kemungkinan juga teater itu diganjakkan ke 2007. Namun pihak Istana Budaya masih cuba mencari tarikhnya tahun ini.

Kos pementasan teater ini dianggarkan RM100 ribu. (Ah!... kalaulah wang itu diberikan kepada PTS bagi menerbitkan buku-buku yang ditulis berdasarkan prinsip dan teknik-teknik dalam surah Yusuf.... )

Suatu perkara yang menarik adalah isu penampilan watak Nabi Yusuf. Menurut Sdr. Dinsman beliau sudah mengemukakan persoalan ini kepada Imam masjid DBP, Tuan Haji Jajuli Abd. Rahman (bukan Imam Masjid Negara) beliau mengatakan watak Nabi Yusuf boleh muncul di atas pentas. Mengapa? Menurut tuan imam masjid DBP itu, tidak ada nas yang mengatakan tidak boleh.

Hidup teater Islami!



Monday, January 23, 2006

Simbol-simbol Material dalam Surah Yusuf

Dalam dunia sebenar, kita mengetahui seseorang itu kaya dengan melihat kepada simbol-simbol kekayaan yang ada pada orang itu, umpamanya jenis kereta yang dipandunya. Sesetengah jenis kereta adalah simbol kekayaan, sebagai contoh, kereta brand Mercedes ataupun BMW.

Novelis-novelis yang berkarya menggunakan teknik konvensional menceritakan dengan terperinci simbol-simbol kekayaan watak-watak dalam novelnya.

Bagi menggambarkan watak-watak kaya, diterangkan kawasan perumahan di mana watak itu tinggal, jenis rumahnya, keadaan di dalam dan di luar rumahnya, keretanya, pakaiannya, perhiasan badannya, di mana dia berbelanja, di mana dia suka minum kopi, di mana dia main golf, pelbagai maklmuat tentang gaya hidupnya diberikan dengan terperinci.

Dalam kursus-kursus penulisan konvensional, para pembimbing daripada mazhab aliran sastera realisme, menghendaki penulis-penulis muda belajar menggambarkan realiti dengan sereal-realnya.

Inilah yang mendorong sesetengah penulis aliran konvensional pergi ke tempat-tempat yang tidak elok sebelum memulakan penulisan novelnya, atas alasan kalau si penulis sendiri tidak pergi ke tempat-tempat itu dan membuat kajian di sana, akibatnya nanti karya yang dihasilkannya itu tidak cukup 'real'!

Teknik sastera realisme ini bunyinya mudah, tetapi bagi penulis-penulis muda, sering kali teknik ini 'impossible'!

Andaikanlah saudara seorang penulis perempuan sudah berusia 57 tahun, sudah bertudung labuh, tetapi dalam novel yang saudara tulis ada watak seorang GRO di sebuah kelab orang-orang elit. Bagaimanakah saudara dapat memberikan gambaran terperinci keadaan dalam kelab itu sedangkan saudara sendiri tidak pernah pergi ke tempat-tempat seperti itu. Kalau terpaksa juga memasuki kelab-kelab seperti itu, dengan memakai tudung labuh, bagaimana mahu dapat masuk? Impossible!

Jika saudara orang miskin bagaimana mungkin saudara dapat memberikan gambaran terperinci cara hidup orang-orang yang kaya-raya, melainkan saudara menuliskan ayat-ayat klise, ataupun berdasarkan apa yang saudara tonton dalam televisyen. Tetapi skrip drama-drama televisyen pun ditulis oleh orang-orang 'miskin', maka itulah sebabnya gaya hidup orang kaya dalam drama Melayu TV kita tidak betul!

Sebaliknya pun begitu juga. Jika saudara anak orang kaya, bagaimana mungkin saudara dapat memberikan gambaran detail tentang gaya hidup orang-orang miskin. Saudara akan lakukan yang serupa, menulis ayat-ayat klise dan berdasarkan apa yang saudara tonton di televisyen.

Jikalau saudara tidak pernah ke Kathmandu, dengan berpandukan teknik penulisan konvensional, saudara dengan sendiri tidak berani mencipta plot cerita di mana hero dan heroinnya pergi berbulan madu di Kathmandu.

Apabila saudara menulis novel dengan berpandukan teknik surah Yusuf, perlukah saudara berikan maklumat yang tepat tentang simbol-simbol kekayaan yang dimiliki oleh seseorang hartawan itu? Perlukah saudara menggambarkan dengan tepat senibina hotel di Kathmandu tempat hero dan heroin dalam novel saudara itu berbulan madu?

Tidak perlu! Sekali lagi, TIDAK PERLU!

Salah satu unsur yang menarik dalam surah Yusuf adalah ketiadaan deskripsi terperinci tentang simbol-simbol kekayaan.

Zulaikha adalah isteri al-Aziz, seorang yang bepengaruh di Mesir. Nabi Yusuf dijual sebagai hamba dan kemudian dibeli oleh al-Aziz dan dibesarkan dalam rumah hartawan itu.

Ada dua ayat yang memberi maklumat tentang rumah al-Aziz dan perabot dalam rumah itu. Hanya dua maklumat itu sahaja. Pertama rumah al-Aziz mempunyai banyak pintu. Kedua, dalam rumah itu ada tempat duduk bersandar bagi para tetamu. Tetapi kita tidak diberi maklumat tentang bahan dan rupa bentuk pintu-pintu itu mahupun tempat duduk bersandar itu.

a. “....dia (Zulaikha) mengajaknya berbuat serong, lalu ditutupnya semua pintu, dan berkata, “Mari ke mari!...” (Yusuf, ayat 23) Daripada ayat ini kita dapat membayangkan rumah Zulaika mempunyai banyak pintu, maknanya rumah itu besar. Lebih daripada itu kita tidak diberitahu berkenaan lokasi dan ciri-ciri fizikal rumahnya.

Ini bermakna saudara tidak perlu menuliskan ayat-ayat seperti “Datuk Rahimy turun dari kereta Mercedes 320-nya lalu masuk ke dalam rumah banglo tiga tingkat, di mana dia menyorokkan isteri ketiganya, Rosmaria, yang terletak di kawasan elit Ukay Heights.”

Berdasarkan teknik surah Yusuf, cukup dengan menulis “Datuk Rahimy turun dari keretanya lalu memasuki rumah di mana dia meyorokkan Rosmaria, isteri ketiganya.”

b. “Tatkala perempuan itu (Zulaikha) mendengar perihal umpatan mereka, lalu dia mengundang mereka, dan disediakannya tempat duduk bersandar, lalu dia berkata kepada Yusuf, “Keluarlah!....” (Yusuf, ayat 31) Daripada ayat ini kita hanya dapat membayangkan kemewahan dalam rumah Zulaikha.

Pada suatu masa Nabi Yusuf dilantik menjadi menteri yang menjaga perbendaharaan kerajaan Mesir. Ada ayat yang menerangkan Nabi Yusuf mempunyai tempat tinggal dan ada ayat yang memberitahu Nabi Yusuf mempunyai singgahsana tetapi seperti pada ayat 23 dan 31, kita tidak diberitahu bagaimana rupa bentuk tempat tinggal Nabi Yusuf ataupun rupa bentuk singgahsananya.

a. “....lalu Yusuf menempatkan ibu bapanya di tempat tinggalnya dan berkata,....” (Yusuf, ayat 99)

b. “....Kemudian Yusuf mendudukkan ibu bapanya di atas singgahsananya, lalu mereka sujud....” (Yusuf, ayat 100)

Dalam ayat 99 dan 100 ini, kita tidak diberitahu secara terperinci bagaimana rupa bentuk rumah dan singgahsana ataupun tempat duduk Nabi Yusuf yang pada waktu itu menjadi menteri perbendaharaan negeri Mesir.

Justeru, berdasarkan ayat-ayat di atas, dengan berpandukan teknik surah Yusuf, dalam penulisan novel Islami, penulis tidak perlu memberi gambaran terperinci berkenaan lambang-lambang kekayaan ataupun kemiskinan watak-watak dalam novelnya.

Dalam teori novel Islami, yang penting, yang mesti dilukiskan dengan terperinci, adalah WATAK dan DIALOG. Simbol-simbol material tidak penting. Mengapa? Tuhanlah yang lebih tahu.



Mengapa Jangan Merancang Buku yang Hendak Ditulis

Majoriti penulis baru memberikan fokus kepada merancang “buku apa” yang hendak ditulis dengan tidak memberikan perhatian kepada faktor-faktor lain seperti kesesuaian karya yang hendak ditulis itu dengan keperluan pembaca sasaran dan kehendak pasaran.

Ini menyebabkan kebanyakan karya sulung penulis-penulis baru ditolak oleh penerbit. Apabila ini berlaku, baik penulis mahupun penerbit, kedua-dua pihak mengalami kerugian.

Penulis rugi disebabkan manuskrip yang siap ditulis dengan susah payah itu tidak terbit, oleh itu penulis tidak mendapat royalti. Penerbit pula rugi sebab walaupun ada penulis menghantar manuskrip tetapi ia tidak sesuai diterbitkan, oleh itu manuskrip tersebut tidak dapat dijual dan dijadikan wang.

PTS cuba mengurangkan kerugian ini dengan mewajibkan semua penulisnya menghadiri pelbagai kursus sebelum mereka memulakan kerja-kerja penulisan.

Bahagian pertama dalam kursus itu menerangkan bagaimana buku-buku diperdagangkan dalam pasaran terbuka supaya penulis faham faktor-faktor yang boleh menyebabkan buku-buku yang baik isinya tetapi gagal dijual dalam pasaran.

Dalam bahagian kedua diterangkan trend-trend pasaran buku di Malaysia. Maklumat ini membantu bakal-bakal penulis memilih kategori buku yang sesuai dengan minat dan bakat mereka.

Dalam bahagian ketiga mereka diberi penerangan tentang strategi dan cara-cara menghasilkan buku-buku yang evergreen dan mudah dipasarkan oleh penerbit. Dengan pengetahuan ini penulis-penulis dapat belajar bukan hanya “bagaimana merancang buku” yang hendak ditulis tetapi juga “bagaimana merancang kejayaan buku” yang akan ditulis.

Inilah yang menjadikan penulis-penulis baru yang mengikuti pelbagai kursus PTS berjaya menerbitkan semua buku yang mereka tulis, daripada buku pertama kepada setiap buku yang berikutnya. Buku-buku mereka bukan hanya dapat diterbitkan, malah menerima sambutan baik dalam pasaran.

Jadi, jangan rancang buku saudara, sebaliknya rancanglah kejayaan buku saudara itu! Ini bermakna saudara berbincang terlebih dahulu dengan penerbit saudara tentang buku yang hendak saudara tulis.

Di PTS, sesudah saudara mengikuti kursus, barulah saudara mendapat lampu hijau bagi mula menuliskan buku-buku yang judul dan isi kadungannya sudah diluluskan terlebih dahulu oleh editor saudara. Inilah rahsia bagaimana PTS berjaya memperkenalkan lepas seorang, seorang lagi penulis baru ke dalam pasaran dengan buku masing-masing memenuhi kehendak pembaca sasaran, sehingga membolehkan 70% judul PTS diulang cetak dalam tempoh 12 bulan selepas diterbitkan.





Sunday, January 22, 2006

Ukuran dan Bilangan dalam Surah Yusuf

Seni menggambarkan keadaan sesuatu perkara adalah bukti bakat kepengarangan seseorang novelis. Dalam menerangkan sesuatu keadaan yang serupa, berlainan novelis, berlainan kesan yang ditimbulkan oleh perbezaaan ayat-ayat yang mereka gunakan. Semakin pandai novelis menggambarkan sesuatu keadaan, semakin indah kisah itu dan semakin berkesan novelnya.

Teknik yang digunakan oleh Allah bagi menggambarkan keelokan rupa paras Nabi Yusuf menghasilkan kisah Yusuf & Zulaikha yang amat indah.

Dalam menulis novel Islami, perlukah saudara menerangkan fakta-fakta ukuran sesuatu yang saudara gambarkan? Umpamanya, jikalau sesuatu itu tinggi, perlukah saudara menerangkan berapa meter tingginya?

Katakanlah, saudara hendak menerangkan watak utama dalam novel saudara, seorang penghidap penyakit batuk kering, yang pernah tinggal di hospital. Bagaimanakah saudara hendak menerangkan keadaan lamanya dia tinggal di hospital. Perlukah saudara menerangkan jumlah sebenar hari dia masuk wad? Jika perlu, mengapa? Jika tidak perlu, mengapa?

Jikalau saudara hendak menggambarkan seseorang itu mempunyai wang yang banyak, yang kaya, perlukah saudara menerangkan jumlah sebenar pendapatannya, ataupun nilai sebenar hartanya? Jika dia mampu membeli kereta mahal, perlukah saudara menerangkan harga sebenar kereta yang dibelinya itu?


Jikalau saudara hendak menggambarkan seseorang itu masih muda, ataupun sudah sangat tua, perlukah saudara terangkan usia sebenar orang itu?


Suatu unsur yang menarik dalam surah Yusuf adalah aspek ukuran seperti ukuran jarak ruang, jarak waktu, nilai matawang, umur, sukatan berat, sukatan jumlah dan bilangan unit.


Analisis surah Yusuf menunjukkan, dalam menyampaikan kisah hidup Nabi Yusuf, apabila Allah menggambarkan sifat sesuatu, ukuran-ukuran yang diberikan itu adalah tidak tepat atau tidak spesifik.


1. Ukuran jarak: Jikalau sesuatu itu dekat ataupun jauh, perlukah saudara terangkan dengan tepat berapa kilometer jaraknyanya? Tidak perlu, berdasarkan “....buanglah dia ke negeri yang jauh....” (Yusuf, ayat 9)


2. Ukuran harga: Jikalau sesuatu itu mahal, perlukah saudara menerangkan dengan tepat berapa ringgit harganya? Tidak perlu, berdasarkan “....mereka jual Yusuf dengan harga yang murah, beberapa dirham sahaja....” (Yusuf, ayat 20), “....Hendaklah kamu letakkan wang harga gandum....” (Yusuf, ayat 62)


3. Ukuran waktu: Jikalau sesuatu itu sekejap ataupun lama, perlukah saudara menerangkan dengan tepat berapa bilangan hari ataupun berapa tahun tempoh waktunya? Tidak perlu, berdasarkan “....mereka penjarakan Yusuf, hingga beberapa waktu.” (Yusuf, ayat 35), dan “....sehingga Yusuf tinggal dalam penjara beberapa tahun.” (Yusuf, ayat 42)


4. Ukuran jumlah: Jikalau sesuatu itu banyak ataupun sedikit, perlukah saudara menerangkan dengan tepat berapa jumlah unitnya? Tidak perlu, berdasarkan “....kecuali sedikit yang kamu simpan.” (Yusuf, ayat 48), “....lalu ditutup segala pintu....” (Yusuf, ayat 23) “....kami minta tambah sekadar muatan seekor unta....” (Yusuf, ayat 65), “....hendaklah masuk dari beberapa pintu....” (Yusuf, ayat 67), “....penuhkanlah sukatan untuk kami,” (Yusuf, ayat 88)


5. Ukuran berat: Jikalau sesuatu itu berat, perlukah saudara menerangkan dengan tepat berapa kilogram timbangannya? Tidak perlu, berdasarkan “....seberat seekor unta....” (Yusuf, ayat 72)


6. Ukuran usia: Jikalau seseorang itu tua ataupun muda, perlukah saudara menerangkan dengan tepat berapa tahun usinya? Tidak perlu, berdasarkan “....apabila Yusuf dewasa....” (Yusuf, ayat 22),


Di satu pihak lain, terdapat ukuran bilangan jumlah yang diberikan dengan tepat dalam surah Yusuf seperti dalam ayat-ayat “....melihat 11 bintang....” (Yusuf, ayat 4), “....mereka suruh seorang daripada mereka....” (Yusuf, ayat 19), “Bersama Yusuf telah masuk 2 orang pemuda ke dalam penjara....” (Yusuf, ayat 36), “....7 ekor sapi.... 7 tangkai gandum....” (Yusuf, ayat 43), “....kamu bercucuk tanam 7 tahun....” (Yusuf, ayat 47), “....7 tahun kemarau....” (Yusuf, ayat 48) dan “....telah putih kedua biji mata ayahnya...” (Yusuf, ayat 84)


Kita masih perlu mencari formula yang digunakan dalam surah Yusuf bagi mengenalpasti dalam keadaan bagaimana ukuran-ukuran tidak perlu diberikan dengan tepat, dan dalam keadaan bagaimana ukuran itu harus diderikan dengan tepat.


Ambil sahaja kes ukuran waktu. Ada kalanya ukuran waktu itu tidak tepat, seperti pada ayat “....mereka penjarakan Yusuf, hingga beberapa waktu.” (Yusuf, ayat 35), dan “....sehingga Yusuf tinggal dalam penjara beberapa tahun.” (Yusuf, ayat 42).


Ada kalanya ukuran waktu itu diberikan dengan tepat, “....kamu bercucuk tanam 7 tahun....” (Yusuf, ayat 47), “....7 tahun kemarau....” (Yusuf, ayat 48) dan “....telah putih kedua biji mata ayahnya...” (Yusuf, ayat 84).


Sehingga kita dapat memahami formula di sebalik perbezaan itu, Tuhan-lah yang lebih mengetahui.



Memulakan Cerita: Teknik Surah Yusuf

Jikalau saudara baru belajar menulis novel, lazimnya mencipta ayat pertama adalah masalah pertama saudara. Dalam bengkel-bengkel penulisan kreatif konvensional yang dikendalikan untuk penulis-penulis muda, masalah ini tidak diberikan jawapannya oleh para pembimbing bengkel.

Jawapan kepada masalah ini ada dalam teori novel Islami mazhab surah Yusuf. Berdasarkan surah Yusuf, ayat pertama novel saudara adalah dialog watak utama dalam novel saudara.


Dalam kisah Nabi Yusuf, cerita dibuka dengan Nabi Yusuf berkata kepada ayahnya, lebih kurang begini maksudnya, “Ayahanda, malam tadi anakanda bermimpi, sebelas bintang, matahari dan bulan, semuanya sujud kepada anakanda.”


Sekarang timbul isu, apakah intipati maklumat yang terdapat dalam dialog pertama itu?


Berdasarkan surah Yusuf, isi dialog pertama itu adalah, Nabi Yusuf sebagai watak utama, mengemukakan suatu persoalan yang dia tidak tahu apa jawapannya.


Jadi, sebagai contoh, saudara boleh memulakan novel dengan dialog-dialog seperti di bawah di mana watak utama mengemukakan persoalan yang tidak difahami apa maknanya:


a. “Mengapakah nama saya 'bin Abdul Wabah' sedangkan nama Abang Long dan Abang Ngah 'bin Sulaiman'?” Faiz bertanya kepada ibunya yang sedang mengilatkan kasut-kasut kulit Tuan Jim, pengurus ladang getah di mana ibunya bekerja sebagai amah dalam rumah orang Inggeris itu.


b. “Tidakkah boleh saya berhenti sekolah dan tinggal di rumah menjaga adik-adik?” tanya Rosmini kepada ayahnya, seminggu selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser rahim. “Saya sudah pandai memasak nasi, membasuh baju dan mengemas rumah. Kita tidak perlu pindah dan tinggal dengan nenek,” katanya lagi, sambil menghembus-hembus api kayu di bawah kuali buruk yang digunakan ayahnya bagi menggoreng telur dadar untuk mereka makan anak beranak.


c. “Mengapa Makcik Ramlah tidur dalam bilik dengan ayah? Mengapa pula emak tidur dengan kami?” Kamaliah yang baru berusia tujuh tahun bertanya kepada ibunya. “Suruhlah Makcik Ramlah yang tidur dengan kami di sini,” katanya lagi.


Dengan berpandukan surah Yusuf, teknik mencipta ayat pertama novel menjadi mudah sekali. Quran itu sebuah buku panduan hidup seharian, sehingga bagi tujuan menulis novel sekalipun, novelis-novelis Islami dapat menggunakan buku Allah itu sebagai manual teknikal.




Pesara Hendak Menjadi Penerbit

Disebabkan usia 56 tahun adalah terlalu muda bagi bersara, majoriti lelaki yang hampir tiba pada tarikh persaraan tergoda dengan idea memulakan bisnes dengan menggunakan wang EPFnya sebagai modal.

Jikalau saudara sekarang bertugas dalam bidang perbukuan, saudara mungkin memikir-mikirkan idea hendak menceburkan diri ke dalam dunia penerbitan buku apabila saudara bersara nanti.

Kita tidak menggalakkan pesara menggunakan wang EPFnya sebagai modal bisnes – apa jua jenis bisnesnya.

Simpan wang EPF saudara itu dalam mana-mana pelaburan amanah saham yang banyak ditawarkan oleh institusi kewangan. Lebih baik simpan dalam LUTH. Jangan sentuh wang itu. Makan dividennya sahaja sebagai tambahan kepada duit pencen bulanan saudara.

Gunakan masa yang banyak selepas bersara untuk menebus hutang-hutang lama kita kepada Tuhan dan kepada masyarakat, maklumlah semasa bekerja semua orang pun amat sibuk dengan urusan dunia.

Orang lain bekerja dan berjimat cermat kerana hendak mempunyai simpanan wang tunai yang banyak apabila sudah tua.

Saudara pula, selepas berpuluh-puluh tahun menyimpan ratusan ribu ringgit dalam tabung EPF, saudara hendak 'perjudikan' wang itu dalam aktiviti yang saudara tidak mempunyai bakat dan kemahiran. Kalau saudara mempunyai bakat dan dorongan dalaman yang kuat mahu menjadi usahawan, saudara takkan makan gaji sampai tempoh persaraan!

Cuba buat sedikit tinjauan rambang di kalangan para pesara: Berapa ramaikah pesara yang menggunakan wang EPFnya sebagai modal bisnes, akhirnya dia berjaya dalam bisnesnya itu. Berapa ramai pula yang semua wang EPFnya yang dijadikan modal bisnes hangus begitu sahaja, satu ringgit pun tak tinggal lagi.

Simpan wang EPF saudara. Menjadi penerbit buku bukan kerja yang sesuai bagi pesara – pesara DBP sekalipun! (Selama saudara bekerja di DBP, apa kemahiran yang DBP telah ajarkan tentang bisnes perbukuan kepada saudara?) Noktah.

Jangan ambil kes blogger ini sebagai mantan DBP yang dapat menjadi penerbit. Si blogger (gila) ini meletakkan jawatan (notis 24 jam) pada usia 38 tahun, sebab dia tidak tahan hendak tunggu sampai 56 tahun baru mula berniaga.