Friday, March 24, 2006

Notis


Harap Maklum!

Mulai hari Jumaat hingga Ahad blog ini tidak dapat di up-date kerana saya sibuk di Pesta Buku di PWTC dan juga akan ke Kuantan.


.

Thursday, March 23, 2006

Dato' Lat


Dato Lat akan hadir pada majlis pelancaran "Mambo di Kuale". Bawa kamera!



Tip Menjadi Selebriti Buku

Sempena Pesta Buku, para penerbit mengambil kesempatan memperkenalkan penulis masing-masing kepada pengunjung gerai.

Ramai peminat memang datang ke pesta sambil mengharapkan mereka berpeluang berjumpa dengan penulis kegemaran mereka.

Berikut adalah beberapa tip untuk saudara yang akan berada di booth penerbit saudara:

(a) Sudah menjadi fitrah manusia bahawa mereka percaya orang yang mereka minati dan kagumi mempunyai ciri-ciri yang positif pada penampilan dan personaliti. Jadi tampillah dengan pakaian yang smart dan wajah yang manis dan mesra supaya pertemuan itu meninggalkan kesan positif yang berkekalan pada peminat. Pastikan pakaian saudara bergosok, walaupun saudara seorang seniman komik dan kartun.

(b) Apabila diminta autograf, turunkan tandatangan saudara, walaupun pada buku orang lain, ataupun pada belakang bajunya. Katakan “Terima kasih!” sewaktu mengembalikan pen peminat itu.

(c) Apabila diajak ambil gambar, terus sahaja bersetuju. Selesai ambil gambar, katakan “Terima kasih!” dan bersalamanlah. Inilah sebabnya saudara perlu berpakaian smart, gambar saudara itu berharga kepada peminat.

(d) Jika saudara banyak buku, jika ditanya oleh peminat, buku yang mana dia patut beli, pilihkan judul yang sesuai dengan peminat itu dan terangkan rasionalnya. Ramai peminat mempunyai duit terhad oleh itu tidak mampu membeli semua buku saudara.

(e) Jika staf petugas booth yang memperkenalkan saudara kepada pengunjung, hulurkan tangan saudara kepada peminat, sebelum peminat menghulurkan tangannya kepada saudara. Mereka akan mendapat kesan saudara seorang pengarang yang ramah dan mesra dengan peminat.

Tip-tip ini adalah sebahagian daripada seni mempromosi personaliti saudara dan buku-buku karangan saudara.

Selamat bertemu peminat-peminat saudara!



Mambo di Kuale

Novel grafik "Mambo di Kuale" karya Sdr. Nur Azmi akan dilancarkan pada 29 Mac di Groundfloor PWTC jam 12 tengah hari, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pelancaran dilakukan oleh Presiden Pekartun, Yang Berbahagia Sdr. Zainal Buang Husein. Untuk previu dan maklumat lebih lanjut, klik ini: www.nurazmiworld.blogspot.com

Mari kita beramai-ramai meraikan "Mambo di Kuale".

Nota: MDK diterbitkan oleh Ameen Serve, penerbit buku hit "Jutawan Senyap". MDK sudah boleh dibeli di MPH.


.

Satu dan Satu

Ada beberapa orang Hos TV3 dan juga ada penulis baru di PTS yang keliru apabila menggunakan 2 frasa ini. Di bawah adalah makna yang betul:

(a) salah satunya = satu daripada beberapa yang lain (one of them)

(b) satu-satunya = hanya satu sahaja (one and only one)




Wednesday, March 22, 2006

Iklan Khidmat Masyarakat

Rakan-rakan kita akan ke 3 buah perkampungan Melayu di Kemboja pada 13 April 2006.

Kerana tidak mampu, majoriti keluarga Melayu di sana berkongsi satu telekung dan satu kain pelekat sembahyang untuk kegunaan seisi keluarga.

Saudara boleh bersedekah telekung, kain batik, ataupun kain pelekat. Bawa kiriman sedekah saudara itu dan titipkan di booth PTS pada Pesta Buku nanti. Tulis pada bungkusan itu "UNTUK PROJEK MELAYU KAMPUCHEA - Pn. Ainon Mohd."




Pesta Buku: Jangan Kecil Hati

Entri ini ditulis untuk semua penulis PTS

Sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur nanti, jika saudara datang ke booth PTS dan staf bertugas tidak kenal bahawa saudara adalah penulis PTS, jangan berkecil hati.

Terus sahaja beritahu salah seorang petugas yang ada, "Saya En. Fulan, penulis buku itu." Tunjukkan buku saudara yang dipamerkan di rak.

Majoriti yang bertugas di booth adalah staf Jabatan Pemasaran dan Khidmat Pelanggan. Jadi tidak hairan saudara mungkin tidak pernah berkenalan dengan mereka. Mereka sangat seronok apabila penulis sudi datang dan turut memeriahkan booth.

SMS editor saudara sebelum datang ke booth. Editor saudara akan cuba berada di booth pada hari itu bagi menerima kunjungan saudara.


.

Makluman!


Berita gumbira! Emel saya sudah pulih.

Kepada mentee-mentee yang banyak berusaha menghiburkan saya sepanjang saya stress dibuat oleh virus jahat itu, banyak-banyak terima kasih.

Saudara-saudara yang selalu menerima kiriman dari saya, tolong tulis emel kepada ainon@pts.com.my supaya dapat saya kutip alamat saudara.



.

Dato' Johan Jaaffar dan DBP

Ini satu lagi gosip:

Tempoh perkhidmatan pengerusi lembaga pengarah DBP, Tan Sri Kamarul Arifin, katanya sudah tamat dan belum diperpanjangkan sehingga hari ini.

Sementara menteri pelajaran masih belum menentukan siapa yang bakal menjadi pengerusi baru, timbalan pengerusi, yakni Dato' Johan Jaaffar, memangku tugas-tugas itu.

Dalam kolum beliau di Berita Minggu minggu lalu, Dato' Johan menyebut bahawa sepanjang tahun 2004 DBP hanya berjaya menerbitkan 265 judul buku sahaja.

Seingat kita, semasa Dato' JJ masih bertugas di DBP dahulu, yakni sebelum penswastaan DBP-Dawama, DBP menerbitkan sekitar 1000 judul setahun!

Suatu ayat menarik dalam kolum Dato JJ itu, beliau merayu kepada penerbit-penerbit kecil supaya, "Jangan tinggalkan DBP sendirian...."

Kepada Dato' JJ, kita hendak bertanya: Siapa tinggalkan siapa? (baca, "Siapa membeloti siapa?")


.

Notis! Notis!

Pertemuan Penerbit Indie

Encik-encik, Tuan-tuan dan Puan-puan penerbit indie,

Kita akan berkenalan sesama kita pada hari Ahad 26hb Mac, jam 3. 30 petang di sudut kopi di Dewan 2 PWTC. Kopi beli sendiri!

Saudara yang belum menghubungi saya, tolong tinggalkan nombor hp saudara di sini. Ataupun sms saya pada 012 3025971.

Objektif sesi perkenalan kita adalah:

1. Berkenalan sesama kita bagi menjalin networking yang efektif. Jangan lupa bawa kad bisnes lebih sikit.

2. Membentuk suatu kelab informal bagi membolehkan kita bertukar-tukar ilmu, pengalaman dan maklumat bisnes buku.

3. Merancang supaya pada pesta buku tahun 2007 para penerbit indie dapat berkongsi sama-sama menyewa booth-booth sendiri, jadi mudah dan murah!

4. Melantik Presiden kelab kita. Untuk sesi 2006-2007, saya menawarkan diri, setuju?

Semboyan kelab kita adalah: "Membangun Bersama-sama."

Nota: Ini bukan kelab penerbit indie perempuan sahaja! Penerbit lelaki pun kita ajak ikut serta.




.

MPH dan Buku Melayu

Ini gosip terbaru yang kita dengar:

Pihak pengurusan tertinggi rangkaian kedai buku superstore MPH akan meningkatkan lagi sokongan dan dukungannya kepada penerbit-penerbit buku-buku Melayu dengan memperuntukkan 6 halaman khusus berbahasa Melayu dalam setiap edisi majalah rasminya "Quill".

Quill diterbitkan secara berkala untuk ahli-ahli kelab buku MPH bagi mempromosi buku-buku yang dijual di dalam kedai-kedai bukunya. Suatu sumber mengatakan jumlah ahli kelab itu melebihi 50 ribu yang terdiri daripada anggota kelas menengah di bandar-bandar utama negara ini.

Bagaimanakah caranya saudara dapat menjadi ahli kelab buku MPH? Saudara hanya perlu mengisi borang di pejabat dalam kedai buku itu ataupun melalui laman web MPH.

MPH adalah satu-satunya (the one and only) rangkaian kedai buku korporat yang secara konsisten mendukung penulis-penulis tempatan dengan mengadakan pelbagai aktiviti promosi dalam kedai di mana para penulis tempatan dilibatkan secara aktif.

Sebagai penulis, bagimanakah caranya buku-buku saudara dapat dijual dalam rangkaian kedai-kedai MPH? Ada dua cara:

Pertama, penerbit saudara itu hendaklah juga menjadi pembekal kepada MPH, ataupun pengedar saudara hendaklah menjadi pembekal kepada MPH.

Banyak penulis mempunyai buku yang baik tetapi tidak dapat dijual melalui rangkaian MPH disebabkan dua faktor di atas. Jangan terkejut jika buku saudara yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sekalipun, tidak dijual di MPH! Mari kita tanya DAWAMA, mengapa....




Tuesday, March 21, 2006

Konflik dalam Cerita: Prinsip Surah Yusuf

Berdasarkan analisis surah Yusuf, konflik adalah unsur keindahan dalam sastera Islami. Ertinya, kisah yang indah hendaklah mempunyai unsur konflik di dalamnya. Tanpa konflik, cerita itu tidak dapat mencapai darjah keindahan yang lebih tinggi.

Berapakah jumlah konflik yang meninggalkan kesan optimum dalam sesebuah kisah yang indah? Dalam surah Yusuf terdapat lima konflik iaitu:

1. Konflik antara abang-abang Nabi Yusuf dengan ayah mereka, Nabi Yaakub, disebabkan mereka tidak puas hati dengan layanan yang mereka terima. Nabi Yusuf dan Nabi Bunyamin adalah anak kepada isteri kedua Nabi Yaakub selepas isteri pertamanya meninggal dunia.

2. Konflik antara abang-abang Nabi Yusuf dengan Nabi Yusuf disebabkan mereka cemburu melihat Nabi Yusuf amat dikasihi oleh ayah mereka.

3. Konflik antara Nabi Yusuf dengan Zulaikha disebabkan beliau menolak cinta wanita itu.

4. Konflik antara Nabi Yusuf dengan al-Aziz, suami Zulaikha, yang mengambil langkah menutup rahsia skandal isterinya dengan memenjarakan Nabi Yusuf.

5. Konflik antara Zulaikha dengan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada wanita-wanita Mesir yang mencercanya kerana jatuh cinta kepada hambanya sendiri.


Konflik-konflik dalam surah Yusuf mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Konflik yang paling signifikan dalam plot sastera Islami adalan konflik antara watak utama, yakni Nabi Yusuf dengan watak pembantu utama, yakni Zulaikha.

2. Konflik paling signifikan itu adalah antara watak lelaki dengan watak perempuan, yakni antara Nabi Yusuf dengan Siti Zulaikha.

3. Konflik yang paling signifikan adalah konflik antara keimanan seorang lelaki dengan kecintaan seorang perempuan.

4. Konflik yang mencipta kesan keindahan adalah konflik emosional dan psikologis, bukan konflik fizikal seperti pergaduhan dan peperangan.

Bersandarkan surah Yusuf, konflik-konflik yang melibatkan senjata dan perebutan harta serta kuasa, dianggap bukan bahan konflik yang dapat meninggikan mutu keindahan pada karya.




Buku Fikah Paling Mahal

Siapa kata buku-buku agama tidak dapat dijual dengan harga premium? Itu adalah pendapat pihak yang tidak pandai buat duit dengan menjual buku-buku agama!


Sebuah penerbit (PME Sdn. Bhd.) menerbitkan set buku fiqah yang mengajar perkara-perkara seperti cara wuduk dan solat, khusus bagi dijual secara direct selling ke sekolah-sekolah rendah.


Set itu mengandungi 5 buku bergambar saiz A4, dijual ke sekolah-sekolah rendah pada harga RM150.00.


Dijual pada harga yang sama adalah set siri tauhid dan set siri cerita-cerita nabi.






Monday, March 20, 2006

Tolong! Tolong!

Sampai saat ini jam 9.05 malam emel yang saudara-saudara hantar tak masuk kotak saya lagi! Tolong hantar semula!



.

Buku Cerita Paling Mahal

Kita sangka novel “The Missing Peice” oleh Dr. Fatimah Busu yang terbit dalam dua jilid dan berharga RM 120 itu adalah buku cerita paling mahal dalam Bahasa Melayu.


Salah.


Kisah-kisah pelayaran Sinbad yang diterbitkan dalam 7 jilid khusus untuk pasaran sekolah-sekolah rendah dijual pada harga RM245.00!




Kecemasan!

Kecemasan!


Tolong sampaikan maklumat ini kepada orang lain. Jika saudara menerima emel daripada nama orang sebenar, kononnya dia menghantar pictures, itu VIRUS! Saya menerima emel seperti itu, saya cuba buka, tidak dapat, akibatnya buku alamat emel saya terpadam! Kosong!


Tiga orang mentee menulis kepada saya bertanyakan apakah pictures yang saya hantar kepada mereka, yang juga gagal dibuka. Saya tidak pernah menghantar pictures kepada sesiapa.


Virus jenis ini bekerja dengan memasuki buku alamat emel kita, menyalin alamat2 yang ada di dalamnya dan menghantarkan virus itu kepada komputer orang lain menggunakan nama-nama yang disalinnya.


Kepada saudara yang perlu menerima berbagai surat daripada saya, tolong kirim emel kepada saya supaya saya dapat mengutip alamat-alamat saudara. Kirim kepada ainon@pts.com.my




Sunday, March 19, 2006

Buku dan Kategori Buku

Adakah saudara penulis ataupun penerbit baru? Jika ya, barangkali saudara perlu lebih banyak maklumat bagi memahami beberapa isu yang menjadi hambatan kepada para penulis dan penerbit buku di negara kita.


Salah satu isu itu adalah jenis-jenis kategori buku yang ada dalam minda pihak pengurusan kedai-kedai buku. Susun atur buku-buku dalam kedai buku adalah berdasarkan jenis-jenis kategori buku. Jadi, buku-buku agama ada rak sendiri, buku-buku hobi ada rak sendiri, buku-buku ulang kaji peperiksaan ada rak sendiri.


Katakanlah saudara hendak menerbitkan sebuah buku fiksyen sejarah yang bertajuk “Fatamorgana Si Kitol” ditulis oleh seorang yang bernama Rohaina Raimi, yakni bukan penulis terkenal. Kandungan buku itu menarik dan saudara yakin ia dapat dijual di kedai buku.


Apakah faktor-faktor yang mungkin menggagalkan buku seperti itu dalam pasaran?


Disebabkan buku-buku fiksyen sejarah hampir tidak ada di kedai-kedai buku, petugas yang bertanggungjawab menyusun buku-buku di rak-rak kedai buku itu pun tidak tahu di rak mana buku “Fatamorgana Si Kitol” hendak diletakkannya – di rak novel bersama-sama dengan novel cinta tidak sesuai, di rak buku cerita kanak-kanak tidak sesuai, di rak Malaysiana tidak sesuai, di rak buku agama tidak sesuai....


Isu kategori buku adalah isu penting. Apabila saudara menerbitkan buku yang belum ada kategorinya di kedai buku, akibatnya buku saudara terkonteng-konteng sendirian, terselit-selit antara buku-buku lain yang juga tidak ada kategorinya.


Sebagai penerbit baru, banyak yang kita dapat pelajari daripada Creative dan Alaf21. Creative berjaya mencipta kategori “sastera popular” manakala Alaf21 berjaya mencipta kategori “novel cinta remaja”. Sebelum itu tidak ada rak-rak yang dikhaskan bagi kategori buku sastera pop dan novel cinta remaja.


Sekarang, penerbit-penerbit lain dengan mudah dapat menumpang hasil usaha Creative dan Alaf21 itu. Apabila NB Kara, KakiNovel, KarnaDia, Media Intens, Utusan, Rythm, Times dan lain-lain menerbitan novel, petugas kedai buku dapat terus meletakkan novel-novel itu di rak di mana novel-novel Creative dan Alaf21 diletakkan.


Creative dan Alaf21 berjaya mencipta kategori khas bagi produk mereka dengan cara menerbitkan berpuluh-puluh produk dalam kategori itu. Jumlah yang begitu banyak mendorong pengurusan kedai-kedai buku terpaksa memberikan rak-rak khas bagi novel-novel terbitan mereka.


Apabila produk Creative dan Alaf21 diberi rak-rak khas, hal itu memberikan kesan positif kepada pengunjung kedai-kedai buku yang terpandang pada barisan novel-novel itu, sehingga turut terciptalah kategori 'sastera popular' dan 'novel cinta remaja' dalam minda para pengunjung kedai. Dengan itu barulah produk-produk Creative dan Alaf21 meninggalkan kesan mendalam pada peminat-peminatnya.


Nah! Sekarang kita kembali kepada isu novel fiksyen sejarah. Sebuah buku fiksyen sejarah tidak dapat mencipta kategori khusus bagi dirinya. Kedai-kedai buku tidak akan memperuntukkan rak khusus bagi kategori 'fiksyen sejarah' disebabkan ada sebuah buku baru terbit yang berjudul “Fatamorgana Si Kitol”.


Bak kata pepatah Tamil, “Satu batang pokok getah takkan menjadi sebuah estet.”




Iklan


Seni Menjadi Majikan 5 sudah terbit di
www.myorionet.com





.