Friday, October 21, 2005

Bahasa Rendah lawan Bahasa Tinggi

Kata singkat: Gantikan kata singkat dengan kata standard.

ni (SALAH) = ini (BETUL)

tu (SALAH) = itu (BETUL)

je (SALAH) = sahaja (BETUL)

aje (SALAH) = sahaja (BETUL)

saja (SALAH) = sahaja (BETUL)

nak (SALAH) = hendak (BETUL)

tak (SALAH) = tidak (BETUL)

tapi (SALAH) = tetapi (BETUL)

dah (SALAH) = sudah (BETUL)

kan (Dia baik, kan?) (SALAH) = (Dia baik, bukan?) (BETUL)

ke?” (“Nak ke tak nak?”) (SALAH) = (hendak ataupun tidak?) (BETUL)

ke? (“Betul ke?”) (SALAH) = (“Betulkah?”) (BETUL)


Bahasa basahan: Gantikan bahasa basahan dengan bahasa standard.

bagi (SALAH) = beri (BETUL)

pulak (SALAH) = pula (BETUL)

jugak (SALAH) = juga (BETUL)

kecik (SALAH) = kecil (BETUL)

kot (SALAH) = mana tahu (BETUL)

jom (SALAH) = marilah (BETUL)

sorang (SALAH) = seorang (BETUL)

korang (SALAH) = kamu (BETUL)

kita orang (SALAH) = kami (BETUL)

tak aci (SALAH) = tak adil (BETUL)

cam ne (SALAH) = macam mana (BETUL)



Aminah: "Cikgu Din"

Kamu semua ingin berkongsi kegembiraan saya pada hari ini? Hari ini saya mahu senyum sehingga habis masa saya dalam kelas ini,” kata Cikgu Din sebaik sahaja dia masuk ke Tingkatan 1 Malinja.

Maafkan saya, Selamat Petang, semua!” kata Cikgu Din masih tersenyum

Selamat petang, cikgu.”

Apabila saya panggil, sila ke depan dan ambil kertas kamu,” Cikgu Din memberi arahan.

Tahniah kerana berjaya mendapatkan keputusan yang begitu buruk! Tolong beri kepada saya satu alasan mengapa kamu gagal,” sambung Cikgu Din.

Kelas serta-mert sunyi sepi. Cikgu Din terus tersenyum.

Berdiri di sisi meja kamu. Pelajar perempuan di sebelah kanan. Pelajar lelaki di sebelah kiri,” katanya.

Pelajar perempuan bergerak ke belakang kelas! Pelajar lelaki ke hadapan kelas!” kata Cikgu Din lagi, sambil terus tersenyum.

Saya mahu awak ingat saya sampai bila-bila. Saya juga mahu awak lulus sampai bila-bila. Ingat!” sambung Cikgu Din.

Cikgu mahu rotan kamikah?” tanya Akma.

Tidaklah, saya tidak mahu tangan saya sakit. Nanti saya tidak boleh menulis, semua orang akan susah,” kata Cikgu Din. Dia terus senyum.

Kira berapa jumlah kesalahan kamu, kemudian kamu darab dengan sepuluh. Selepas itu cari pasangan masing-masing. Saya beri kamu 1 minit dari sekarang!” Cikgu Din memberi arahan.

Ingat! Jika kamu salah mengira, kamu akan dikenakan denda yang lain. Kita mulakan sekarang,” kata Cikgu Din lagi.

Kamu semua lihat ke arah padang. Adakah kamu kasihan dengan Pakcik tukang kebun itu?” tanya Cikgu Din.

Kasihan, cikgu. Mesin pemotong rumput itu berat,” kedengaran satu suara menyahut.

Bagus! Kamu memang budak baik. Mari kita bantu Pakcik itu,” kata Cikgu Din. “Beratur seorang demi seorang. Kita bergerak ke padang!” arah Cikgu Din.

Cikgu Din kemudian meminta Pakcik tukang kebun itu berehat di tepi padang.

Kamu semua masih ingat jumlah kiraan kamu tadi?”

Ingat!”

Setiap orang petik daun rumput dan susun. Satu susunan sepuluh helai sehingga cukup jumlah kiraan kamu. Ingat, jika kamu silap, jumlah itu akan menjadi dua kali ganda,” kata Cikgu Din.

Murid-murid Tingkatan 1 Malinja segera mencabut daun rumput di padang sepanjang pagi itu. Cikgu Din terus tersenyum.



Lagi-lagi Nasib Penulis

Seorang penulis novel berasa amat seronok dengan sikap penerbitnya yang dianggapnya sangat baik hati dan bertimbang rasa.

Awak tulis sahaja. Mana-mana bab yang sudah siap, bolehlah serahkan kepada saya, nanti saya terus bayar, tak payah tunggu lama-lama,” janji penerbit itu kepadanya.

Setiap kali si penulis menghantarkan bab-bab novel cintanya kepada penerbit itu, si penerbit segera membayar RM100 ataupun RM200, terpulang kepada jumlah bab yang diserahkan. Ada masanya dia menerima RM500.

Apabila akhirnya dia mendapat tahu novelnya sudah terbit, didapati namanya tidak tercetak pada novel itu. Yang dicetak adalah nama penulis lain! Maka berguling-guling dia menangis....

Apakan daya, si penulis main percaya sahaja kepada penerbit itu. Tidak ada sebarang dokumen yang membuktikan adanya sebarang persetujuan antara dia dengan penerbitnya.

Cerita seperti ini sentiasa berlaku antara penulis baru (baca 'penulis kecil') dengan penerbit kecil (baca 'penerbit tidak terkenal').

Salah satu tingkah laku penerbit kecil yang menyebabkan mereka tidak dapat membangun menjadi penerbit besar adalah, lazimnya mereka melakukan pelbagai perbuatan tidak beretika terhadap penulis. Akibatnya nama mereka menjadi busuk, dan mereka tidak dapat mengekalkan kesetiaan penulis-penulis yang pernah menerbitkan karya dengan mereka.

Salah satu tingkah laku penulis yang tidak puas hati terhadap penerbit mereka adalah, mereka itu bercakap dengan penulis-penulis lain berkenaan penerbit yang menipu mereka.

Dalam suatu kajian di Jepun, didapati seseorang yang tidak puas hati bercakap kepada 29 orang lain. Itu di Jepun, barangkali di Malaysia, lebih lagi!

Apabila saudara mahu menjadi penerbit berjaya, jaga etika perniagaan saudara sebagaimana saudara menjaga nyawa saudara.

Apabila saudara mahu menjadi penulis yang berjaya, jaga-jaga semasa memilih penerbit, sebagaimana saudara memilih bakal pasangan hidup saudara.


Tanda Bacaan pada Dialog

Ramai penulis tidak tahu cara menggunakan dan menaip tanda bacaan. Berikut adalah cara betul apabila menaip dialog:


Tanda (“) dan (”) sentiasa rapat.


Saya tidak suka, ” katanya. (SALAH)

Saya tidak suka,” katanya. (BETUL)


Kamu hendak ke mana? ” tanya Ramli. (SALAH)

Kamu hendak ke mana?” tanya Ramli. (BETUL)



Tanda koma (,) di hujung dialog.


Saya tidak suka.” Kata Mamat kepada Ramlah. (SALAH)

Saya tidak suka,” kata Mamat kepada Ramlah. (BETUL)


Huruf kecil selepas dialog.


Kamu mahu apa?” Tanya Mamat. (SALAH)

Kamu mahu apa?” tanya Mamat. (BETUL)



PTS FORTUNA: Ciri-ciri Wajib pada Novel Islami

Kita banyak menerima manuskrip daripada penulis-penulis novel tetapi selepas dibaca didapati tidak dapat diterima. Manuskrip-manuskrip itu dihantar oleh mereka yang belum pernah mengikuti kursus penulisan PTS.

Untuk maklumat saudara yang belum pernah hadir dalam kursus penulisan kreatif PTS, berikut adalah kriteria yang menyebabkan manuskrip novel ditolak:

  1. Watak utama novel itu bukan watak ideal menurut pandangan Islam, umpamanya watak itu seorang yang pendendam, ataupun watak itu mempunyai nilai-nilai yang tidak selaras dengan Islam, umpamanya watak itu tidak taat kepada suami.

  2. Cerita utama dalam novel itu bukan berdasarkan kisah sebenar, tetapi direka-reka semata-mata berdasarkan khayalan penulis. Umpamanya penulis tidak pernah kenal mana-mana penyanyi kelab malam tetapi cerita itu adalah berkenaan kehidupan seorang penyanyi kelab malam yang akhirnya bertaubat. Ataupun cerita itu berdasarkan kisah pasangan kahwin campur sedangkan penulis tidak pernah pengalaman ataupun melakukan penyelidikan ataupun kajian berkenaan gaya hidup pasangan kahwin campur.

  3. Dalam novel itu terdapat babak-babak pergaulan asmara lelaki perempuan yang tidak dibenarkan dalam Islam, sebagai contoh babak di mana pasangan bertunang yang berpegang-pegang tangan ataupun pasangan kekasih bersiar-siar bersama.

Tiga kriteria di atas adalah ujian asid bagi menilai manuskrip yang diterima. Ertinya, jika didapati ada salah satu unsur itu, maka manuskrip itu ditolak.

Ini bukan bermakna kita tidak mencari kisah-kisah cinta. Kita mencari kisah-kisah cinta yang ditulis dengan menggunakan tekni-teknik penulisan Islami. Inilah sebabnya saudara wajib hadir kursus penulisan PTS sebelum saudara menuliskan novel saudara.


Siti Norida: "Cikgu Kalsom"

Syyy! Cikgu datang! Cikgu datang!” suara ketua kelas memberi amaran.

Semua pelajar meluru ke tempat duduk masing-masing. Tiada suara yang kedengaran lagi.

Berdiri kelas, Assalamualaikum Puan Kalsom,” suara Amran ketua kelas 4 Tekun lantang kedengaran. Kemudian diikuti oleh rakan sekelasnya.

Walaikum salam,” jawab Cikgu Kalsom ringkas.

Seperti biasa setiap kali masuk ke kelas Cikgu Kalsom memastikan kelas tersusun rapi dan tiada sampah bertaburan.

Yam, cuba kamu tengok baju Puan Kalsom, saya rasa macam ada yang tidak kena sahaja,” Rosmah mencuit bahu kawan di sebelahnya, Mariam.

Eh! Betullah, saya rasa pun macam itu juga,” jawab Mariam.

Puan Kalsom menghadap ke papan hitam sambil menulis tajuk karangan hari itu. Telinganya masih kedengaran beberapa suara di belakang. Suara itu hilang bila beliau memalingkan mukanya ke belakang. Bukan Rosmah dan Mariam sahaja yang perasan perkara itu, ada beberapa pelajar lain juga. Terutamanya pelajar perempuan.

Rosmah, mengapa kamu tersenyum-senyum?” sergah Cikgu Klasom.

Tidak… tidak ada apa-apa, cikgu,” jawab Rosmah agak gugup.

Apa yang tidak kena agaknya, hari ini lain macam betul budak-budak ini,” bisik hati kecil Cikgu Kalsom. Berkerut dahi Cikgu Kalsom berfikir.

Semua berdiri!” kata Cikgu Kalsum dengan suara yang agak tinggi.

Pelajar-pelajar lelaki saling pandang memandang antara satu sama lain. Hakim, Idris dan Hisyam terpinga-pinga tidak tahu apa-apa.

Mengapa awak tersengih-sengih?” Cikgu Kalsom mendekati Nabila.

Nabila tidak bersuara. Lidahnya agak kelu untuk berkata-kata. Cikgu Kalsom terus mendesak. Nabila terpaksa cakap walaupun dia takut, dia tidak suka Cikgu Kalsom memaksanya begitu.

Itu! Itu! Baju!...” jawab Nabila dengan suara yang agak perlahan, jarinya menuding ke arah baju Cikgu Kalsom.

Mengapa dengan baju aku?” bisik hati kecil Cikgu Kalsom.

Cikgu Kalsom tunduk memerhatikan baju yang dipakainya. Baju batik lukis kurung Johor yang dipakainya terlupa hendak diterbalikkan. Pelajar-pelajar melindung senyuman mereka dengan menutup mulut.

Merah padam muka Cikgu Kalsom.


Hakcipta: Apa itu “Fair Use”

Jikalau setiap kali kita membuat petikan daripada karya orang lain kita terpaksa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu daripada pemilik hakcipta karya berkenaan, tentulah hal ini amat menyukarkan. Itulah sebabnya dalam undang-undang hakcipta ada apa yang disebutkan sebagai “fair use” atau “penggunaan munasabah”.

Jadi, “fair use” (penggunaan munasabah) bermakna “memetik (to quote) ayat-ayat hasil kerja penulis lain tanpa perlu mendapatkan izin bertulis daripada pemilik hakcipta terlebih dahulu sebelum diterbitkan”.

Fair use” bukan bermakna kita boleh menyalin semula ayat-ayat hasil kerja penulis lain tanpa menggunakan cara-cara yang betul apabila membuat petikan, sebagaimana yang dilakukan dengan berleluasa oleh pengarang-pengarang buku agama di negara ini sekarang.

Petikan yang layak dipanggil “fair use” terdiri daripada 2 jenis:

  1. Petikan yang digunakan bagi tujuan penilaian, ulasan dan kritikan adalah layak dianggap “fair use”. Sebagai contoh, apabila kita hendak mengkritik karya terjemahan Quran yang dilakukan oleh JAKIM, maka munasabahlah kita memetik ayat-ayat terjemahan JAKIM yang diulas itu. Demikianlah halnya dengan petikan daripada hasil karya orang lain yang dinilai, diulas ataupun dikritik.

  2. Petikan yang digunakan dalam karya penyelidikan seperti tesis akademik dan laporan kajian yang diterbitkan dalam bentuk jurnal akademik adalah layak dianggap “fair use”. Tujuan penulisan tesis dan artikel jurnal akademik adalah bagi perkembangan ilmu pengetahuan. Ia yang tidak mendatangkan keuntungan kewangan kepada penulis. Maka munasabahlah petikan-petikan yang dilakukan itu layak dianggap “fair use” dan tidak diwajibkan mendapat izin daripada pemilik hakcipta.

Sesuatu petikan itu tidak lagi layak dikatakan “fair use” apabila dalam keadaan berikut:

  1. Saudara menulis buku dan dalam buku itu jumlah petikan-petikan yang saudara buat itu kurang 10% daripada kandungan buku, ataupun tidak melebihi 1,000 perkataam sahaja (whichever is less) tetapi saudara tidak memberikan maklumat sumber petikan yang saudara lakukan itu, maka perbuatan itu tidak layak dianggap “fair use”.

  2. Saudara menulis buku dan buku itu dijual bagi tujuan yang menguntungkan saudara. Dalam kes ini, saudara membuat petikan dengan menyebutkan sumber petikannya, tetapi apabila jumlah petikan-petikan itu melebihi 10% ataupun 1,000 perkataan, maka itu tidak lagi layak dianggap “fair use”, oleh itu wajib mendapatkan izin bertulis.

Perbuatan menyalin ayat-ayat hasil kerja pengarang ataupun penterjemah lain tanpa melakukan 'acknowledgement', walaupun hanya sepotong ayat sekalipun, apatah lagi apabila jumlahnya kurang daripada 10% ataupun kurang daripada 1,000 perkataan, adalah salah dan melanggar undang-undang hakcipta. Perbuatan itu disebut dengan istilah “plagiarisme”.

Masih ingatkah saudara kontroversi sajak “Ini Nasi Yang Kusuap” oleh Masuri SN? Hanya disebabkan bait pertama puisinya itu yang kebetulan berbunyi “Ini nasi yang kusuap...” mempunyai semacam persamaan dengan sebuah puisi Inggeris yang berbunyi “This bread I eat...” (saya tidak ingat nama penyair Inggeris itu) hingga saat ini penyair besar itu dianggap telah melakukan jenayah intelektual yang disebut plagiarisme.



Wednesday, October 19, 2005

Hakcipta: “Memetik” lawan “Menggunakan”

Ramai pengarang tempatan keliru tentang peraturan membuat petikan daripada buku lain. Akibatnya mereka melakukan pelanggaran hakcipta.

Akal biasa (common sense) orang yang tidak memahami undang-undang hakcipta mengatakan “memetik” (to quote) adalah serupa sahaja dengan “menyalin dan menggunakan” bahan daripada hasil karya orang lain. Pemahaman begini adalah salah.

Apabila saudara membuat “petikan” (quotation) daripada buku yang ditulis oleh pengarang lain, saudara mestilah menggunakan prosedur petikan yang betul. Saudara mesti menyebut:

  1. Tajuk buku asal yang saudara petik.

  2. Nombor halaman dari mana petikan itu saudara ambil.

  3. Nama pengarang, apabila petikan itu adalah karya asli.

  4. Nama penterjemah, apabila petikan itu adalah karya terjemahan.

  5. Tahun terbitan buku asal.

  6. Edisi terbitan buku asal.

  7. Nama syarikat penerbit buku asal, serta nama bandar di mana syarikat itu berada.

Tujuh maklumat itu hendaklah diberikan dengan menggunakan 3 cara:

a. Ditulis pada hujung petikan, ataupun

b. Ditulis sebagai nota kaki, ataupun

c. Ditulis pada senarai rujukan atau bibliografi.

Apabila saudara membaca buku-buku agama yang dihasilkan oleh pengarang-pengarang Malaysia dan diterbitkan di Malaysia, lazimnya saudara dapat mengesan uslub Bahasa Indonesia dalam buku itu. Ini adalah bukti bahawa dalam buku itu terdapat perbuatan “menyalin” (baca 'mencuri') ayat-ayat daripada hasil kerja penulis-penulis ataupun penterjemah-penterjemah Indonesia. Orang Melayu Malaysia tidak mungkin menghasilkan ayat-ayat Bahasa Indonesia, kecuali jika dia mempunyai pertalian rapat dengan negara itu, umpamanya dia pernah lama belajar di sana.

Perbuatan yang dilakukan oleh ramai pengarang buku agama di negara ini bukan “memetik” disebabkan ayat-ayat yang mereka salin daripada karya asal Indonesia itu tidak dituliskan maklumat sumber yang mereka ambil.

Apabila saudara menggunakan teks terjemahan Quran dari “Tafsir ar-Rahman” yang diterbitkan oleh JAKIM, saudara tetap perlu menyatakan dalam buku saudara bahawa semua terjemahan yang saudara gunakan itu dipetik daripada “Tafsir ar-Rahman” oleh JAKIM. Apabila saudara tidak menyatakan fakta itu, saudara memberi gambaran palsu bahawa teks terjemahan itu adalah hasil terjemahan saudara sendiri. (Memberi gambaran palsu adalah perbuatan berdusta.)

Undang-undang hakcipta karya terjemahan adalah serupa dengan undang-undang hakcipta karya asli. Saudara tidak dibenarkan menyalin, mencedok dan menggunakan ayat-ayat yang dihasilkan oleh orang lain, tanpa mengira sama ada ayat-ayat itu datang daripada karya asli ataupun ayat-ayat terjemahan karya asli itu, melainkan dengan izin bertulis daripada pemiliknya.

Walaupun JAKIM membenarkan “Tafsir ar-Rahman” digunakan sebagai hak awam, tetapi 'acknowledgement' tetap hendaklah diberikan kepada JAKIM apabila ia digunakan, dengan demikian kita tidak memberi gambaran palsu seolah-olah teks terjemahan itu adalah hasil kerja kita sendiri.



Tuesday, October 18, 2005

Pengumuman: Sesi Latihan Editor

Perhatian! Perhatian!

Bagi mentee-mentee yang sudah mendaftar bagi mengikuti latihan editor part-time, seminggu selepas hari raya, tolong ambil cuti satu hari.

Kita akan buat satu sesi latihan khas untuk semua calon editor. Lebih cepat pandai mengedit, lebih cepat kerja editing dapat diserahkan.

Jangan lupa, wajib bawa laptop!

Kita memerlukan satu orang editor part-time lagi untuk buku-buku ISLAMICA.



Pengumuman: Sesi Inkubator Lepas Raya

Perhatian! Perhatian!

Notis ini hanya untuk mentee-mentee yang sudah mengikuti kursus pengenalan sahaja. Bagi yang belum, perlu ikuti dahulu kursus pengenalan.

Kepada mentee-mentee projek PTS FORTUNA dan PTS ISLAMICA yang dijalankan pada 15 dan 16 Oktober lalu, sila ambil perhatian.

Seminggu lepas raya kita akan mulakan sesi inkubator. Bagi mentee-mentee yang tidak berkerja sepenuh masa, kita akan adakan sesi pada hari-hari biasa.

Bagi mentee-mentee yang bekerja, cuba ambil cuti satu hari. Ini lebih penting untuk kumpulan ISLAMICA. Kita perlu siapkan projek sekarang cepat. Banyak set baru hendak dikerjakan tahun ini juga.

Sila mendaftar dalam kotak surat bagi mentee-mentee yang dapat datang pada hari biasa.

Sesi bermula jam 10 pagi. Siapa cepat pandai boleh balik cepat, kalau tidak, balik jam 5 petang! (Sesiapa yang teruk sangat uslub Arabnya, mungkin perlu masuk sesi pemulihan.)

Tiap sesi hanya 2 orang sahaja dapat ikuti, itu sebab kita perlu jalankan sesi sepanjang minggu, tak kira hari kerja ataupun hari minggu.

Bagi yang ada laptop, bawa laptop.



Sunday, October 16, 2005

KDN dan Buku Agama

Adakah saudara penulis ataupun penerbit buku-buku agama?

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantau kegiatan penerbitan dan penyebaran bahan-bahan Quran dalam negara ini. Sebuah unit yang dipanggil Unit Penyemakan Teks al-Quran ditubuhkan khusus bagi menjalankan tugas itu.

Banyak penerbit tidak tahu bahawa hanya terjemahan Quran yang dihasilkan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sebagaimana yang terdapat dalam kitab “Tafsir Ar-Rahman” terbitan JAKIM, yang boleh digunakan dalam apa-apa buku agama yang dijual dalam negara ini.

Jika saudara menulis apa-apa buku yang di dalamnya saudara menggunakan teks dari Quran, saudara tidak boleh menggunakan terjemahan selain terjemahan JAKIM.

Universiti Kebangsaan Malaysia tidak membenarkan tesis dan desertasi menggunakan terjemahan selain terjemahan JAKIM.

Buku-buku terbitan tempatan yang mengandungi terjemahan Quran yang bukan terjemahan JAKIM boleh diarahkan oleh JAKIM supaya ditarik balik dari pasaran dan dibakar!

Apakah jenis-jenis buku yang mesti mendapat kelulusan KDN?

  1. Sebarang buku terjemahan seluruh Quran.

  2. Sebarang buku yang 50% daripada isinya mengandungi teks Quran, tanpa mengira ketebalan buku itu, contohnya buku surah Ya-Sin, mesti mendapatkan kelulusan KDN.

  3. Buku yang mengandungi surah-surah pilihan dari Quran, seperti buku muqadam.

Penerbit dikehendaki menghantar seluruh manuskrip buku kepada KDN bagi disemak dan diluluskan. Kelulusan dibuat oleh sebuah jawatankuasa khas. JKK itu cuma bermesyuarat 2 kali setahun!

Yuran yang dikenakan adalah RM300 bagi satu judul, tanpa mengira buku itu nipis ataupun tebal.

Jika buku saudara sudah diluluskan oleh autoriti luar negara sekalipun, saudara dikehendaki menghantar manuskrip saudara itu ke KDN bagi disemak dan diluluskan.

Jadi, sebagai langkah keselamatan dan peringatan, walaupun buku saudara hanya mengandungi sepotong ayat terjemahan teks Quran, gunakan terjemahan JAKIM.


Satu Pokok Getah

Satu pokok getah tidak jadi satu estet. Itu adalah pepatah Tamil. Makna pepatah ini adalah, barang berharga tidak dapat menghasilkan kekayaan jikalau jumlahnya sedikit.

Sebagai pengarang, saudara tidak dapat hidup selesa jikalau saudara hanya mempunyai satu ataupun dua karya yang baik. Saudara perlu menghasilkan banyak karya.

Cuba saudara berfikir begini: Sebuah buku menghasilkan RM5 ribu royalti setahun. Ini bermakna untuk mendapat RM100 ribu royalti setahun, saudara perlu mempunyai 20 buah karya.

Jika saudara menulis 2 buah buku setahun, dalam masa 10 tahun baru saudara mempunyai 20 buah buku.

Tulis buku-buku evergreen. Royalti saudara dapat meningkat: Tahun 1 tulis 2 buku (royalti RM10k), Tahun 2 tulis 2 buku lagi, jadi saudara ada 4 buku (royalti RM20k), Tahun 3 – 6 buku (royalti RM30k), Tahun 4 – 8 buku (royalti RM40k) dan begitulah seterusnya.

Bagi mengetahui jenis-jenis buku yang dapat menjadi evergreen dalam pasaran, saudara perlu menghadiri kursus PTS di mana dalam kursus itu saudara akan diberi maklumat tentang industri dan pasaran buku di negara ini.

Saudara juga akan dilatih bagaimana cara menulis 2 ataupun 3 buku setahun. Lagipun, jika saudara berminat menerbitkan karya saudara dengan PTS, saudara diwajibkan menghadiri kursus PTS.


Buku Lama Wajah Lama

Salah satu perkembangan terbaru dalam dunia perbukuan di Indonesia adalah penerbitan semula karya-karya klasik moden dan sambutan hangat yang diterima oleh karya-karya itu.

Karya "Salah Asuhan" oleh Abdoel Muis, "Siti Norbaya" oleh Marah Roesli, "Tenggelamnya Kapal Van der Wjick" oleh Hamka, "Layar Terkembang" oleh Sutan Takdir Alisjahbana, "Kerikil Tadjam" oleh Chairil Anwar dan lain-lain semuanya tiba-tiba muncul semula sebiji-sebiji macam rupa asal kali pertama karya-karya itu diterbitkan dahulu. Semuanya terjual laris.

Memang para penerbit di Indonesia lebih kreatif berbanding kita kita di sini dalam banyak hal, dan banyak perkara dapat dipelajari daripada mereka.