Thursday, January 04, 2007

Surah Yusuf: Bab lawan Babak

Lazimnya, penulis merancang bab-bab dalam novelnya yang akan ditulis. Jadi, dalam sesebuah novel mungkin ada 7, 8, ataupun 12 bab. Ini adalah teknik konvensional menulis novel.

Novel yang distrukturkan mengikut bab-bab lebih sukar dialihkan ke skrin filem ataupun skrin TV disebabkan ia perlu distrukturkan semula kepada rangkaian babak sebelum dapat dituliskan skripnya. Ini memerlukan banyak pemikiran dan kreativiti pada pihak penulis skrip.

Novel yang mudah dialihkan menjadi skrip filem ataupun drama TV sejak awal sudah distrukturkan berdasarkan susunan babak. Setiap babak adalah satu episod, satu peristiwa.

Sususan episod-episod itu adalah kronologis. Tidak ada susunan plot yang jungkir-balik (istilah Malaysia, tunggang-terbalik). Ini bermakna, dalam novel yang ditulis untuk skrin, tidak ada plot falsh-back mahupun plot flash-forward.

Susunan plot kronologis adalah ciri dalam surah Yusuf.

.

.

Monday, January 01, 2007

Konflik dalam Kisah Cinta Surah Yusuf

Konflik adalah unsur wajib ada dalam sesebuah kisah cinta yang indah. Ertinya, tanpa konflik, tidak mungkin sesebuah kisah cinta itu mencapai taraf indah.

Dalam dunia sastera Melayu, konflik dalam kisah percintaan Qais dan Laila, dalam kisah percintaan Uda dan Dara, dalam novel Siti Nurbaya, dalam filem Ibu Mertuaku dan filem Antara Dua Darjat konflik itu adalah konflik pertentangan kelas sosial antara golongan berharta dan golongan miskin.

Dalam novel Salah Asuhan konflik itu adalah konflik pertentangan kelas antara darjat kaum penjajah Belanda dengan darjat kaum terjajah, yakni pribumi Minangkabau.

Dalam novel-novel cinta popular hari ini, konflik itu adalah konflik emosi antara individu-dengan-individu, yakni antara lelaki-dengan- perempuan, antara benci-dengan-cinta, bagi mendapatkan kasih sejati dan abadi.

Dalam siri komik dan animasi, pertentangan itu adalah pertentangan antara ‘yang baik’ dengan ‘yang jahat’.

Konflik dalam kisah cinta Nabi Yusuf adalah konflik yang tiada kaitan dengan pertentangan antara golongan kaya-dengan-miskin, tinggi-dengan-rendah, ataupun antara jahat-dengan-baik, ataupun antara benci-dengan-cinta.

Nabi Yusuf adalah lelaki yang ideal, yang baik. Isteri al-Aziz adalah majikan yang baik terhadap Nabi Yusuf sebagai hambanya.

Isteri al-Aziz sangat cinta kepada Nabi Yusuf. Sehingga tamat kisah mereka dalam surah itu, Nabi Yusuf tidak membenci perempuan itu, meskipun selepas dia difitnah oleh isteri al-Aziz sehingga dipenjarakan.

Meskipun Nabi Yusuf tidak pernah membenci isteri al-Aziz, kisah cinta itu tidak ditamatkan dengan mereka akhirnya berkahwin.

Inilah antara unsur-unsur yang menjadikan kisah cinta dalam surah Yusuf itu begitu indah.
.

.


PERHATIAN

Sunday, December 31, 2006

Surah Yusuf dan Unsur "kecacatan"

Kisah hidup Nabi Yusuf adalah kisah cinta yang paling indah pernah berlaku dalam sejarah manusia.

Akan hal ini, ia diperakukan oleh Allah sendiri dalam ayat ke-3 yang bermaksud, “Kami sampaikan kepadamu (wahai Muhammad), sebuah kisah yang paling indah.”

Banyak perkara menarik tentang prinsip dan teknik menulis novel Islami dapat digali daripada surah Yusuf.

Sebagai contoh, dalam surah Yusuf, tidak ada watak yang cacat anggota ataupun cacat mental. Semua watak dalam kisah Nabi Yusuf adalah manusia normal-normal belaka, kecuali Nabi Yusuf yang amat tampan dan amat beriman.

Walaupun Nabi Yaakub menjadi buta disebabkan banyaknya menangis mengenangkan anak kesayangannya yang dikatakan mati dimakan serigala oleh abang-abang Nabi Yusuf, tetapi penglihatan beliau kemudian pulih seperti sedia kala.

Ini bermakna, dari sudut pandang teori sastera Islami aliran surah Yusuf, unsur kecacatan bukan unsur keindahan.

Contoh kecacatan adalah:

(a) Cacat mental yang biasa berlaku seperti gila, hilang ingatan, bingung, lurus bendul, pelupa dan lain-lain.

(b) Cacat fizikal yang biasa berlaku seperti kudung, buta, pekak, bisu, sumbing, katik, terlalu gemuk, hitam ataupun tempang dan lain-lain.

(c) Cacat upaya yang biasa berlaku seperti sakit terlantar, sakit misteri dan lain-lain.

(d) Cacat psikologi yang biasa berlaku seperti egoistik, cemburu buta, kedekut, tamak harta, kuat berlagak, akal pendek, gopoh-gapah, dan lain-lain.

Kelemahan pada watak-watak yang terdapat dalam surah Yusuf adalah jenis yang jarang berlaku:

(a) Perempuan-perempuan bangsawan tergoda melihat lelaki muda yang amat tampan sehingga tidak sedar mereka terpotong jari mereka sendiri, meskipun lelaki itu adalah seorang yang amat rendah kedudukan sosialnya.

(b) Adik-beradik yang berebut kasih sayang ayah sehingga sanggup hendak membunuh adik mereka yang paling disayangi oleh ayah mereka.

(c) Seorang ayah yang tersangat sabar ke atas tingkah laku buruk anak-anaknya, sehingga dia tidak mengambil tindakan ke atas anak-anaknya meskipun mereka menderhaka kepadanya, sebaliknya dia cuma asyik menangis sehingga kedua-dua matanya menjadi buta dan dikatakan oleh orang kampungnya dia sudah jadi gila.

Tuhanlah yang lebih mengetahui.

.

.