Novel “Self-Publish” Jatuh Mutu
Sejak akhir-akhir ini semakin bertambah jumlah penulis novel-novel cinta yang selama ini menerbitkan karya mereka dengan Alaf21 dan Creative yang mengambil langkah menerbitkan sendiri novel terbaru mereka.
Salah seorang daripada mereka memberitahu mengapa beliau mengambil langkah menerbitkan karyanya sendiri. Menurut novelis itu, beliau mahukan 'kepuasan' menerbitkan karyanya sebagaimana yang ditulisnya, tanpa diedit oleh penerbit.
Menurut novelis itu lagi, beberapa editing yang dilakukan oleh penerbit amat tidak disetujuinya, tetapi beliau terpaksa mengalah. Faktor itulah yang mendorong beliau mencari kepuasan dengan menerbitkan sendiri novel cintanya yang terbaru.
Inilah maklumat yang kita peroleh daripada pengedar novel terbesar: Beliau menerima komplen daripada agen dan pembeli tentang novel-novel yang terbit dengan cara self-publish itu, bahawa kualiti novel-novel itu merosot dibandingkan dengan novel-novel pengarang yang sama yang diterbitkan oleh Alaf21 ataupun Creative.
Antara faktor-faktor yang menyebabkan kemerosotan kualiti itu adalah banyak kesalahan ejaan, banyak kesalahan tatabahasa, cerita kurang menarik dan kulit kurang cantik.
Seorang peminat kepada salah seorang novelis cinta itu berkata, “Macam novel itu bukan karyanya. Bahasanya lain sangat. Bila bahasanya tak sedap, ceritanya pun jadi kurang sedap dibaca.”
Nampaknya fenomena novelis cinta meninggalkan penerbit dan menjadi penulis self-publish menimbulkan kesan sama-sama rugi bagi penerbit mahupun penulis.
Dari sudut bisnes, penerbit tentu kecewa apabila penulis yang mereka bimbing sehingga menjadi terkenal dan kaya tiba-tiba mengambil tindakan menerbitkan sendiri karya baru mereka. Ambil kes di mana penerbit baru 3 bulan menerbitkan karya terbaru seorang novelisnya yang terkenal. Tiba-tiba novelis itu menerbitkan sendiri novelnya yang lebih terbaru. Pada pandangan penerbit itu, berilah peluang novel yang diterbikan oleh penerbit itu habis terjual di pasaran, barulah kemudian si novelis menerbitkan novel barunya, supaya kedua-dua novel itu tidak bersaing sama sendiri dalam pasaran.
Namun, dari kacamata penulis, tentu sekali mereka jauh hati apabila penerbit terlalu banyak menekan penulis supaya menerima sahaja apa jua bentuk editing yang dilakukan oleh penerbit.