Tema Evergreen dan Royalti Berpanjangan
Tema dan persoalan yang baik adalah:
1. Tema itu tahan sepanjang zaman.
Bagi sesetengah tema cerita, hayatnya adalah sepanjang zaman, sesetengah tema tidak. Tema dan persoalan dalam kisah Nabi Yusuf adalah contoh tema yang hayatnya sepanjang zaman.
Buku cerita jenis ini dapat dijual dalam tempoh waktu yang lama. Malah ia boleh bertahan dalam pasaran sehingga menjadi klasik. Tema jenis ini membolehkan buku cerita saudara itu laku dijual berpuluh-puluh tahun.
Tema cerita dalam Hikayat Hang Tuah juga mempunyai hayat sepanjang zaman. Sehingga hari ini buku hikayat itu masih dicetak dan dijual.
Begitu juga tema cerita dalam novel "Di Bawah Lindungan Kaabah", "Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck", "Siti Nurbaya" dan "Salah Asuhan". Tema-tema dalam buku-buku itu masih dapat dinikmati sehingga hari ini walaupun ia mula-mula terbit 40 tahun yang lalu.
Tema cerita-cerita Pak Pandir, Bawang Putih Bawang Merah dan Si Tanggang juga mempunyai hayat sepanjang zaman. Sehingga hari ini cerita-cerita itu masih ditulis semula oleh ramai pengarang dan diterbitkan berkali-kali.
Sebaliknya, sesetengah cerita temanya trendi. Sebagai contoh, tema cerita kejayaan seorang remaja perempuan menubuhkan pasukan futsal yang menjadi juara adalah tema trendi, sebab sukan itu sukan trendi. Apabila sukan futsal sudah hilang glamournya, maka buku itu pun tamat hayat pasarannya.
Sesetengah cerita bertemakan teknologi kontemporari yang singkat usianya. Sebagai contoh cerita yang seputar pc, disket, CD, handphone, sms, mms, emel, blog dan lain-lain. Tema seperti ini cepat menjadi out-of-date, yakni ketinggalan zaman.
2. Tema cerita itu menarik kepada semua golongan.
Sesetengah tema cerita hanya disukai oleh satu kelompok pembaca, manakala kebanyakan pembaca lain tidak suka. Ini mengecilkan pasaran buku saudara itu, ertinya jualan dan royalti saudara juga akan terkesan.
Tema yang disukai oleh baik remaja lelaki mahupun remaja perempuan adalah tema yang besar pasarannya. Tema dan cerita siri Harry Potter adalah contoh tema jenis ini.
Sebaliknya, cerita berkenaan seorang budak lelaki yang pandai bermain chess hanya diminati oleh mereka yang sukakan permainan cess kerana hanya mereka yang dapat mengaitkan diri mereka dengan cerita itu.
Sesetengah tema hanya diminati oleh kanak-kanak perempuan. Cerita tentang nasib malang yang menimpa seorang budak perempuan yang suka melawa dan perasan dirinya lawa hanya diminati oleh budak-budak perempuan manakala budak lelaki tidak suka.
Sesetengah tema juga mempunyai kelompok peminat yang terbatas. Tema cinta pandang pertama, tema cinta teraniaya, tema cinta palsu dan seumpamanya, hanya diminati oleh pembaca perempuan.
Sesetengah tema hanya diminati oleh remaja bandar dan remaja anak orang-orang berada. Sebagai contoh, tema budaya birthday parti, play station, cinta internet, holiday ke luar negara, bunga valentine, picnic keluarga, dan lain-lain gaya hidup kota besar, tidak diminati oleh remaja luar bandar. Buku jenis ini tidak dapat dipasarkan di luar bandar-bandar besar.
3. Tema itu bukan hanya menarik bagi sesuatu kaum sahaja.
Sesetengah tema cerita hanya menarik kepada orang Malaysia sahaja. Ini menyebabkan cerita itu tidak sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain ataupun diekspot ke negara lain.
Tema cerita tentang masalah identiti seorang anak perempuan Cina yang diangkat oleh keluarga India, sebab kulitnya yang putih dan matanya yang sepet sedangkan namanya Parameswary, tidak sesuai diterjemahkan ke dalam bahasa Thai ataupun bahasa Vietnam sebab kes seperti itu tidak berlaku di sana.
Tema sepasang remaja Melayu kena tangkap khalwat di tepi pantai waktu malam, kemudian dipaksa kahwin, memang tidak dapat diterjemahkan dan diekspot ke mana-mana disebabkan tema cerita itu amat lokal.
Apabila saudara mahu buku saudara diekspot ke Indonesia, Thailand, Vietnam dan Kampuchea, maka tema cerita saudara perlu memiliki ciri-ciri yang dapat diidentifikasi oleh pembaca di negara-negara itu.
Bisnes syarikat penerbitan saudara bergantung kepada apa kandungan buku-buku yang saudara tulis. Jika buku saudara mempunyai hayat pasaran yang panjang, maka ia amat baik bagi bisnes penerbit saudara.
Apabila perniagaan penerbit saudara bagus dan berkembang sihat, ini bermakna nasib buku-buku saudara juga ikut berkembang sihat. Apabila buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit saudara cepat tamat tempoh lakunya, syarikat itu tidak dapat bertahan lama, ia akan gulung tikar.
Inilah salah satu faktor penting yang diambil kira oleh mana-mana penerbit sewaktu menilai sama ada mahu menerbitkan buku saudara ataupun tidak.
.