Klausa Bercerai dengan Penerbit
Sekarang sudah sah ada sebuah penerbit yang menghendaki pengarang menyerahkan hak penerbitan karyanya kepada penerbit itu selama 15 tahun. Apakah implikasi tempoh 15 tahun itu?
Sebagai penulis, karya saudara adalah harta saudara, serupa seperti rumah, tanah dan kereta saudara. Sebagai pemilik rumah, adalah bodoh jikalau saudara setuju menyewakan rumah saudara kepada mana-mana individu bagi tempoh selama 15 tahun dengan tidak ada klausa yang memberi hak pada bila-bila masa saudara boleh minta si penyewa mengosongkan rumah saudara itu.
Ambil senario ini: Pada suatu hari nanti saudara mungkin hendak memulakan bisnes sendiri sebagai penerbit. Sebagai seorang penulis, saudara tentu hendak menerbitkan karya-karya saudara sendiri.
Contoh strategi ini adalah penerbit WIRA BUKIT milik A. Samad Said, yang hanya menerbitkan karya-karyanya sahaja. (PTS juga memulakan bisnes dengan menerbitkan buku-buku Puan Ainon Mohd. sendiri yang ditarik balik hak penerbitannya dari penerbit UTUSAN.) Memulakan bisnes penerbitan dengan cara ini amat murah!
Jika saudara tidak berminat hendak membuka bisnes sendiri, suami ataupun anak saudara mungkin berminat. Ambil contoh bagaimana besarnya manfaat yang dinikmati oleh WIRA BUKIT, apabila Helmy, anak lelaki A. Samad Said, dapat menjalankan bisnes yang maju dengan menerbitkan buku-buku ayahnya.
Jikalau buku-buku saudara sudah diikat oleh penerbit itu selama 15 tahun, saudara tidak dapat hendak memulakan bisnes dengan memanfaatkan buku-buku saudara yang sudah sedia ada dalam pasaran.
Baca semula klausa-klausa dalam dokumen yang saudara akan tandatangani itu. Jangan menyesal kemudian!
Bagi pihak penerbit pula, walaupun ia mahukan tempoh 15 tahun, tetapi klausa yang membolehkan mana-mana pihak menamatkan perjanjian itu sebelum tamat tempoh 15 tahun, mesti dimasukkan dengan jelas dan terang dalam dokumen tersebut.
Pada akhirnya, perjanjian penerbitan yang menguntungkan kedua-dua belah pihak, baik penerbit mahupun penulis, adalah perjanjian yang terbaik untuk bisnes.