Saturday, September 23, 2006

Hakcipta: Isu Hakcipta Penerbit

Katakanlah, penerbit saudara tidak berminat hendak mengulangcetak karya saudara, oleh itu saudara meminta supaya hak penerbitan karya itu dikembalikan kepada saudara sebab ada penerbit lain yang berminat. Penerbit saudara bersetuju dengan permintaan saudara itu.

Apakah yang saudara boleh lakukan dan tidak boleh lakukan di sisi undang-undang hakcipta?

1. Saudara boleh melakukan apa sahaja kepada karya saudara itu. Saudara boleh tokok, buang, edit semula, malah apa sahaja, supaya kualiti buku itu bertambah tinggi dan sesuai dengan keadaan semasa.

2. Saudara boleh gunakan tajuk yang sama walaupun tajuk itu dicipta oleh penerbit saudara, sebab tajuk buku tidak dilindungi oleh undang-undang hakcipta.

3. Ada beberapa perkara yang saudara tidak boleh lakukan sebab ia melibatkan hakcipta si penerbit. Perkara-perkara itu adalah:

(a) Saudara tidak boleh menggunakan kulit buku yang sama sebab kulit buku itu dibuat oleh si penerbit, oleh itu hakciptanya adalah milik si penerbit. Saudara mesti membuat kulit buku lain.

(b) Saudara tidak boleh menggunakan layout yang sama, sebab layout buku itu dibuat oleh si penerbit, oleh itu hakciptanya adalah milik si penerbit. Saudara mesti layout semula buku saudara itu.

(c) Saudara tidak boleh menggunakan apa jua rajah, ilustrasi ataupun gambar-gambar yang disediakan oleh si penerbit, kerana hakciptanya adalah milik si penerbit.

(d) Saudara tidak boleh menggunakan bahan-bahan yang dijadikan blurp buku itu, yakni apa yang tertulis pada kulit depan dan kulit belakang, apabila bahan-bahan itu disediakan oleh si penerbit, kerana hakciptanya adalah milik si penerbit.

(e) Apabila buku saudara itu ditulis bersama dengan pengarang lain, saudara tidak boleh menerbitkan semula bahagian yang ditulis oleh pengarang itu tanpa terlebih dahulu meminta izin bertulis daripadanya.

Perkara-perkara ini kelihatan kecil dan remeh, tetapi apabila saudara melakukan perbuatan melanggar hakcipta penerbit saudara, risikonya adalah maruah dan nama baik saudara. Perbuatan saudara itu akan menjadi bahan maklumat yang diperbualkan di kalangan para penerbit.

Jumlah penerbit tidak banyak. Semua penerbit saling kenal mengenali dan mereka sentiasa bertukar-tukar maklumat tentang peribadi dan tingkah laku para penulis.



.

Hakcipta: Apabila Karya Saudara Dicuri Orang

Katakanlah buku saudara dicuri orang. Si pencuri itu menerbitkan karya saudara dengan meletakkan namanya sebagai penulis, lalu diterbitkan sebagai buku dan diedarkan serta dijual.

Apakah tindakan yang saudara dapat lakukan? Saudara mempunyai dua pilihan:

1. Saudara membuat laporan polis.

Perbuatan mencuri hakcipta adalah jenayah mencuri, serupa seperti jenayah mencuri harta orang lain. Apabila saudara bawa kes saudara kepada pihak polis, maka si pencuri itu akan dibicarakan di bawah undang-undang kanun kesiksaan.

Apabila sabit kesalahan, dia dihukum sebagaimana kes pencurian yang biasa. Pilihan ini bukan pilihan popular disebabkan saudara tidak mendapat apa-apa gantirugi.

2. Saudara ambil tindakan sivil.

Dalam kes ini saudara ambil peguam bagi membawa kes saudara ke mahkamah sivil. Apabila terbukti, saudara boleh memohon kepada mahkamah supaya mengarahkan si pencuri membayar pelbagai macam gantirugi kepada saudara.

Kelemahan pilihan ini adalah kos guaman yang tinggi, di mana lazimnya penulis tidak mampu membiayai kos itu.

3. Saudara boleh meminta penerbit saudara yang mengambil tindakan sivil.

Penerbit saudara berhak membawa kes tuntutan sivil disebabkan saudara mempunyai perjanjian penerbitan dengan penerbit saudara. Apabila karya saudara dicuri orang, penerbit itu turut menanggung kerugian.

Kelebihan apabila tindakan sivil dibuat oleh penerbit adalah, lazimnya syarikat mempunyai sumber kewangan yang lebih besar daripada penulis, oleh itu penerbit mampu membiayai kos guaman.

Apabila penulis yang membuat tuntutan, pampasan dibayar kepada penulis, dan apabila penerbit yang membuat tuntutan, pampasan dibayar kepada penerbit.

Nota tambahan: Jika saudara dapati pencuri itu bukan orang yang mampu membayar pampasan besar, lebih baik saudara ambil tindakan jenayah, bukan sivil. Biar polis yang menguruskan kes saudara itu di bawah kanun keseksaan, di mana hukuman mandatori jenayah curi adalah penjara.



Hakcipta Kisah Hidup Saudara

Adakah kisah hidup saudara dilindungi oleh undang-undang hakcipta? Dalam erti lain, kalau orang lain menulis kisah hidup saudara, adakah saudara boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas penulis itu?

Kisah hidup saudara adalah sejarah. Apa jua jenis fakta, termasuk fakta-fakta sejarah, tidak dilindungi oleh undang-undang hakcipta. Justeru sesiapa sahaja boleh menulis kisah hidup orang lain. Kisah itu pula boleh ditulis dalam apa bentuk sahaja, sebagai biografi, sebagai buku bergambar, sebagai novel fiksyen, sebagai skrip drama, filem, animasi dan lain-lain.

Banyak tokoh selebriti yang kisah hidupnya ditulis oleh orang lain. Puteri Diana adalah antara individu yang kisah hidupnya paling banyak ditulis oleh orang-orang lain. Tidak ada undang-undang yang menghalang kisah hidupnya daripada ditulis oleh orang lain.

Jika saudara mahu, saudara oleh menulis kisah hidup mana-mana tokoh dan selebriti tanah air kita. Sesiapa yang hendak menahan saudara daripada menulis dan menerbitkan kisah hidupnya perlu membawa kesnya ke mahkamah bagi mendapatkan perintah mahkamah.

Mahkamah akan menimbangkan faktor-faktor yang saudara kemukakan bagi menyokong permohonan saudara menghalang buku itu daripada diedarkan kepada orang ramai, lazimnya disebabkan saudara dapat mengemukakan bukti-bukti bahawa buku itu mengandung bahan-bahan yang memfitnah dan menjatuhkan maruah saudara. (Ingat kes Rosmah Mansur berjaya menghalang Mokhtar Ahmad daripada terus mengedarkan buku yang ditulisnya.)

Apabila saudara menulis biografi orang lain, bagaimana dengan royaltinya? Adakah orang itu berhak meminta sebahagian daripada royalti daripada buku yang ditulis itu?

Jika orang itu tidak menandatangani sebarang perjanjian pembahagian royalti dengan si penulis, maka dia tidak berhak meminta bahagian royalti itu.

Kisah hidup saudara tidak termasuk di dalam senarai karya seni, disebabkan ia bukan karya seni. Yang dilindungi oleh undang-undang adalah bentuk-bentuk yang sudah dituliskan, ataupun dilukiskan, dirakamkan, difoto, ataupun dianotasikan.

Katakanlah, pada suatu hari saudara menceritakan kisah hidup saudara dengan seorang penulis. Kemudian si penulis itu menulis sebuah novel yang dalam ceritanya itu banyak persamaan dengan kisah hidup saudara. Apakah kedudukan novel itu?

Disebabkan setiap ayat dalam novel itu adalah dihasilkan oleh penulis tersebut maka di sisi undang-undang hakcipta, karya itu adalah karya si penulis, dan secara automatis hakcipta novel itu adalah miliknya.


.

Friday, September 22, 2006

Harta Intelek

Maklumat lanjut tentang apa itu hakcipta, klik di sini.

Undang-undang hakcipta Amerika.

Bagi mengetahui lebih lanjut tentang undang-undang harta intelek di Malaysia klik PERBADANAN HARTA INTELEK MALAYSIA.


.

Hakcipta: Cara Menguruskan Pewarisan

Harta intelek adalah amat besar nilai ekonominya. Ia mungkin lebih berharga daripada sebiji rumah banglo.

Apabila saudara meninggal dunia, royalti buku-buku saudara perlu difaraidkan kepada para pewaris saudara. Bagaimanakah ini dapat dilakukan?

Bukanlah pula tanggungjawab penerbit melaksanakan bahagian faraid harta para penulisnya. Justeru, saudara perlu merancang daripada sekarang bagaimana royalti saudara itu perlu diurus supaya semua yang berhak, mendapat bahagiannya.

Ada beberapa cara ini dapat dilakukan:

1. Saudara menubuhkan yayasan keluarga dan saudara mengarahkan kepada penerbit supaya membayar royalti kepada akaun yayasan. Anak-anak saudara yang menjadi lembaga pengarah yayasan itu akan mentadbir dan menentukan bagaimana royalti itu digunakan bagi kepentingan roh saudara dan anak cucu saudara.

2. Saudara melantik seorang penama, isteri ataupun anak, sebagai pemegang amanah dan saudara mengarahkan penerbit supaya membayar royalti kepada beliau. Orang itu akan menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemegang amanah dengan membahagi-bahagikan royalti itu kepada semua yang berhak menerimanya.

3. Saudara boleh mewaqafkan semua royalti saudara kepada mana-mana sekolah agama rakyat, ataupun rumah anak-anak yatim, ataupun tabung masjid, dan saudara mengarahkan penerbit supaya membayar royalti kepada penerima waqaf itu.

Walau apa sekalipun pilihan saudara, semua arahan saudara kepada penerbit hendaklah secara bertulis, dan sebaik-baiknya didraf dengan bantuan peguam.


.

Thursday, September 21, 2006

Hakcipta: Isu Ambil Gambar Karya Seni Orang Lain

Sebagai penerbit, saudara memerlukan gambarfoto dan lukisan bagi dijadikan hiasan kulit buku, oleh itu saudara perlu tahu secara am hakcipta karya seni milik orang lain.

Saudara mungkin bertanya, bolehkah saudara mengambil gambar Masjid Wilayah Persekutuan dan menggunakan gambar itu sebagai hiasan kulit buku tanpa mendapatkan izin jawatankuasa masjid itu? Jawabnya, boleh.

Hasil karya seni yang sengaja dipamerkan di tempat-tempat awam boleh saudara ambil gambarnya dan gunakan dalam buku saudara tanpa mendapatkan izin pencipta karya seni itu terlebih dahulu.

TETAPI, saudara tidak boleh menggunakan gambarfoto yang yang diambil oleh orang lain sebab gambarfoto itu dilindungi oleh undang-undang hakcipta. Saudara mesti ambil sendiri gambarfoto itu!

Bagi setiap gambarfoto yang saudara ambil, maka hakciptanya adalah milik saudara. Orang lain tidak boleh menggunakan gambarfoto itu tanpa mendapatkan izin bertulis daripada saudara terlebih dahulu.



.

Hakcipta: Isu Karya Masa Depan

Antara klausa-klausa yang terdapat dokumen perjanjian penerbitan yang digubal oleh sebuah penerbit novel yang terkenal, terdapat suatu klausa yang mempunyai implikasi legal seperti berikut:

a. Hakcipta novel itu diserahkan kepada si penerbit buat selama-lamanya.

b. Apa-apa juga novel lain yang akan ditulis oleh novelis itu pada masa depan, maka novel-novel itu tidak boleh diserahkan kepada penerbit lain, hanya boleh diserahkan kepada si penerbit itu sahaja, buat selama-lamanya.

Ini adalah contoh bagaimana si penerbit melakukan niat penindasan yang luar biasa ke atas penulis-penulisnya sendiri.

Ramai penulis yang menerbitkan novel mereka dengan penerbit itu tidak membaca dengan teliti perjanjian penerbitan yang mereka tandatangani.

Ini ada berita baik!

Mengikut Peguam Nisah Haron, implikasi (b) seperti di atas menyebabkan dokumen perjanjian itu dengan sendirinya BATAL dan tidak sah, disebabkan sesuatu kontrak itu tidak boleh dibuat ke atas benda-benda yang belum wujud. Justeru karya masa depan adalah benda-benda yang belum wujud.

Dalam dokumen itu, si penerbit juga tidak menetapkan had tempoh kuatkuasa perjanjian itu.

Ini bermakna, semua perjanjian penerbitan yang selama ini ditandatangani oleh penerbit itu dengan para penulisnya adalah TIDAK SAH.



.

Wednesday, September 20, 2006

Hakcipta: Apa yang Tidak Dilindungi

Banyak orang keliru tentang apa yang dilindungi ataupun tidak dilindungi hakciptanya. Bahan-bahan yang tidak dilindungi oleh undang-undang hakcipta termasuklah:

1. Sebarang hasil kerja yang belum dituliskan, ataupun direkodkan, ataupun dilukiskan, ataupun dianotasikan.

Justeru, katakanlah pada suatu hari saudara berbual-bual tentang idea saudara, kemudian kawan saudara yang mendengar itu menulis sebuah novel berdasarkan idea saudara itu, maka perbuatan kawan saudara itu tidak melanggar undang-undang hakcipta. Justeru, hati-hati apabila saudara berbual-bual tentang idea saudara!


2. Judul, nama, frasa singkat, slogan dan cogan kata. Justeru judul buku saudara juga boleh digunakan oleh penulis lain.

Tetapi, apabila nama itu sudah didaftarkan sebagai trademark (TM), seperti Coca-Cola, Apple, ataupun KFC, maka ia dilindungi oleh undang-undang. Tetapi perlindungan itu terhad dalam konteks bisnes masing-masing. Jadi Apple adalah TM bagi barangan komputer, oleh itu pembuat komputer lain tidak boleh menggunakan apple bagi menamakan komputer mereka. Tetapi, pembuat aiskrim boleh menggunakan apple bagi menamakan aiskrimnya.

Contoh yang baik adalah, buku karya Aina Emir "Semalam Kubermimpi" tidak melanggar undang-undang hakcipta walaupun judul itu serupa dengan judul sebuah lagu yang dinyanyikan oleh P.Ramlee dan Saloma, "Malam Kubermimpi".


3. Idea, prosedur, kaedah, sistem, proses, konsep, prinsip, penemuan, dan alat penghasilan kerja.

Tetapi, apabila perkara-perkara itu sudah dituliskan huraiannya dan penerangannya, ataupun ia sudah diterangkan dalam bentuk lukisan, maka teks huraian dan lukisan itu dilindungi oleh undang-undang hakcipta.


.

Hakcipta: Syed Alwi lwn Dewan Bahasa dan Pustaka

Ada satu kes saman sivil yang relevan dengan penulis, editor dan penerbit, iaitu kes Syed Alwi lawan Dewan Bahasa dan Pustaka, di mana Syed Alwi menang.

Detail kes ini saya tidak ingat dengan tepat. Ia berlaku pada tahun 70-an, waktu itu saya bertugas di Bahagian Sastera DBP.

Dalam kes ini, Syed Alwi (sekarang Dato' Sasterawan Negara) menyerahkan sebuah skrip drama (kalau tak silap saya, Alang Rentak Seribu) kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dengan tujuan supaya skrip itu diterbitkan sebagai buku oleh DBP.

Pegawai DBP pun menerima manuskrip itu, dan pengurusan DBP setuju menerbitkannya. Lalu skrip itupun dicetak dan diterbitkan sebagai buku.

Apa yang berlaku, buku itu sudah terbit tetapi dokumen perjanjian penerbitannya belum diserahkan kepada Syed Alwi bagi ditandatangani. (Editor, ingat perkara ini!)

Syed Alwi tidak berpuas hati dengan keadaan bukunya itu yang mengandungi banyak kecacatan dan kelemahan, lalu membawa kes itu ke mahkamah. (Penulis, ingat hak penulis!)

Keputusan mahkamah menyebelahi Syed Alwi di mana mahkamah memutuskan DBP tidak berhak menerbitkan manuskrip itu sebelum penulisnya memberikan keizinan secara bertulis dalam perjanjian penerbitan. Maksudnya, dalam kes itu DBP salah sebab telah menerbitkan buku itu tanpa izin.

DBP dikehendaki membayar RM10,000 kepada Syed Alwi. Banyak itu! (Penerbit, ingat ini!)


.

Tuesday, September 19, 2006

Hakcipta: Isu Produk Kompetatif

Memang tidak dapat dinafikan bahawa apabila penerbit menggubal klausa-klausa dalam perjanjian lesen penerbitannya, akan ada unsur-unsur yang lebih menguntungkan penerbit daripada menguntungkan penulis.

Ambil sahaja sebagai contoh klausa yang menyebut bahawa pengarang tidak boleh menulis buku B yang isi menyerupai isi buku A, dan menyerahkan buku B kepada penerbit lain. Klausa ini jelas menguntungkan penerbit dan merugikan penulis.

Katakanlah saudara menulis buku bertajuk "Hidup Tanpa Kad Kredit" dan menyerahkannya kepada PTS, maka saudara tidak boleh menulis buku lain yang bertajuk "Panduan Hidup Tanpa Hutang" dan menyerahkannya kepada penerbit KarnaDya, di mana isi kandungan buku itu 50% sudah ada dalam buku "Hidup Tanpa Kad Kredit" oleh itu buku "Panduan Hidup Tanpa Hutang" itu dikatakan menjadi pesaing kepada buku "Hidup Tanpa Kad Kredit".

Saudara mesti menyerahkan kedua-dua buku itu kepada PTS bagi menerbitkannya. Kalau saudara hendak menerbitkan sendiri buku itu pun, tidak boleh!

Klausa seperti ini memang digunakan oleh semua penerbit di seluruh dunia bagi menjaga kepentingan bisnes si penerbit.

Tetapi kalau saudara menulis buku lain, yang isi kandungannya tidak bersaing dengan buku "Hidup Tanpa Kad Kredit", maka saudara boleh menyerahkan buku itu kepada mana-mana penerbit pilihan saudara.



Hakcipta: Isu Karya yang Diterbitkan dalam Akhbar dan Majalah

Pernahkan saudara menerbitkan kartun, komik ataupun artikel dalam akhbar ataupun majalah?

Berkenaan isu hakcipta, penerbit akhbar seperti Kumpulan NST dan Kumpulan Utusan mengamalkan etika bisnes yang lazimnya selaras dengan undang-undang.

a. Bagi karya saudara yang diterbitkan dalam akhbar, tempoh hak menerbitkannya adalah 1 HARI sahaja, iaitu hari karya itu diterbitkan. Selepas hari itu saudara boleh menerbitkan karya itu dengan mana-mana penerbit yang saudara pilih dan dalam apa-apa bentuk yang saudara suka.

b. Bagi karya saudara yang diterbitkan dalam majalah mingguan, ataupun dwi-mingguan, ataupun bulanan, tempoh penerbitannya adalah serupa dengan tempoh penerbitan majalah itu. Jika majalah itu terbit setiap bulan, maka tempoh itu adalah 1 bulan. Selepas satu bulan saudara boleh menerbitkan karya itu dengan mana-mana penerbit yang saudara pilih dan dalam apa-apa bentuk yang saudara suka.

Tetapi saudara perlu waspada apabila menghantar karya ke akhbar tabloid dan majalah-majalah yang diterbitkan oleh syarikat milik individu. Lazimnya, dalam urusan hakcipta dan harta intelek orang awam, mereka tidak mengamalkan SOP (standard operating procedure) yang selaras dengan amalan WIPO (World Intellectual Property Organization) dan industri pada peringkat antarabangsa, meskipun Malaysia adalah anggota WIPO.

Sebagai contoh ada penerbit yang memberitahu pelukisnya bahawa mana-mana karya mereka yang diterbitkannya, maka secara automatis penerbit itu sudah membeli hakcipta kartun dan komik mereka itu buat selama-lamanya.

Isu ini perlu ditafsirkan oleh peguam undang-undang kontrak. Sesuatu kontrak itu sah apabila kedua-dua pihak bersetuju dan sama-sama menandatangani kontrak tersebut.

Jika saudara sebagai pelukis komik tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen bagi menyerahkan hakcipta komik saudara kepada penerbit itu, adakah penerbit itu boleh mendakwa dia sudah membeli hakcipta karya saudara itu buat selama-lamanya?

Kita minta pandangan peguam-peguam yang membaca entri ini.


.


Hakcipta: Isu Royalti

Banyak penulis tidak peduli hendak membaca dengan hati-hati dokumen perjanjian yang ditandatanganinya. Mereka main percaya bulat-bulat kepada baik hati si penerbit.

Salah satu mitos tentang royalti adalah: Kalau pengarang dibayar royalti, itu bermakna si pengarang kekal memiliki hakcipta bukunya.

Ada sebuah penerbit novel yang terkenal, yang dalam salah satu klausa pada dokumen perjanjian penerbitannya, membawa implikasi legal seperti di bawah:

a. Pengarang bersetuju memindahkan (baca, menjual) hakmilik novelnya kepada si penerbit, dan penerbit setuju membayar royalti kepada si pengarang.

b. Pengarang setuju dia tidak boleh menarik balik novelnya daripada penerbit itu dan menyerahkannya kepada penerbit lain, buat selama-lamanya.

Soal jual-beli hakcipta dan modus pembayaran jual-beli itu adalah 2 perkara yang berbeza. Dalam kes penerbit di atas, dia sudah membeli hakcipta si pengarang itu, cuma cara dia membayar pembelian itu adalah dengan royalti.

Penerbit buku-buku agama tradisional lazimnya membeli manuskrip dengan membayar kontan 1 kali sahaja kepada pengarang. Jadi si pengarang dibayar 2 atau 3 ribu ringgit sekaligus. Habis di situ.

Tetapi para pengarang novel tidaklah se-naif ustaz-ustaz, sebab ramai pengarang novel memiliki ijazah, lalu penerbit di atas mengabui mata mereka dengan menawarkan bayaran pembelian secara royalti. Sungguh kreatif penerbit itu!


.

Hakcipta: Isu Tempoh Izin Penerbitan

Apabila saudara menandatangani dokumen perjanjian penerbitan dengan penerbit saudara, baca betul-betul, ada ataupun tidak disebutkan dengan tepat dan jelas tempoh kuatkuasa perjanjian itu?

Apabila dokumen perjanjian penerbitan yang telah saudara tandatangani itu tidak menyebut dengan tepat tempoh kuatkuasa perjanjian itu, saudara masih mempunyai harapan menyelamatkan hakcipta karya-karya saudara itu daripada terlepas buat selama-lamanya kepada penerbit saudara.

Menurut Peguam Nisah Haron (dan beliau sudah mendapatkan pandangan peguam-peguam lain berkenaan perkara ini), sesuatu dokumen kontrak yang tidak menyebut tempoh kuatkuasa perjanjian itu adalah BATAL, yakni tidak sah, di sisi undang-undang.

Justeru saudara boleh menerbitkan semula karya saudara itu ataupun menyerahkannya kepada mana-mana penerbit lain.

Para penerbit yang sekian lama menindas penulis-penulisnya tentu tidak suka dengan maklumat ini.

.

Lesen Hakcipta: Pandangan Peguam Nisah Haron

Semalam saya makan tengah hari dengan Puan Nisah Haron, peguam dan novelis terkenal. Pada 12 September lalu MABOPA mengundang beliau mengadakan bengkel kepada anggota-anggota MABOPA tentang dokumen perjanjian penerbitan.

Sebelum menjalankan bengkel itu beliau mendapatkan contoh-contoh dokumen perjanjian beberapa penerbit terkenal dan mengkajinya. Bagi pihak PTS, saya sendiri mengarahkan pegawai undang-undang PTS supaya menghantarkan kepada beliau dokumen itu.

Bagi penerbit lain, beliau tidak menerima kerjasama, lalu beliau mendapatkannya daripada penulis yang karyanya diterbitkan oleh penerbit-penerbit itu.

Menurut penilaian Puan Nisah Haron, perjanjian penerbitan PTS adalah yang paling baik. Menurut beliau hanya PTS yang meletakkan tempoh kuatkuasa perjanjian itu dengan jelas dan tepat, manakala penerbit-penerbit lain tidak meletakkan tempoh itu.

Menurut Puan Nisah, beberapa penerbit terkenal telah 'mengubah' dan 'memperbaiki' isi kandungan perjanjian mereka. TETAPI, apa yang berlaku, selepas 'diperbaiki' ternyata klausa-klausa dalam versi baru itu lebih menekan para penulis berbanding dengan versi lama.


.

Sunday, September 17, 2006

Pembelian Hakcipta: Eksploitasi Penulis Baru

Adakah saudara penulis yang baru kali pertama hendak menerbitkan karya saudara? Banyak penerbit tahu orang macam saudara teramat ingin melihat karya saudara terbit. Mereka juga tahu saudara tidak faham hakcipta.

Penerbit suka jika saudara setuju menyerahkan hakcipta karya saudara kepadanya dengan cara saudara menjual karya itu dan saudara dibayar sekali sahaja. Lazimnya orang macam saudara tidak berfikir panjang sebab saudara teramat ingin melihat karya saudara terbit.

Ada sebuah penerbit novel yang memaksa semua penulis baru menyerahkan hakcipta karya mereka kepadanya dan dibayar satu kali sahaja. Sesetengah penulis baru hanya dibayar RM750 sahaja sebagai bayaran pembelian novelnya. Selepas menerima wang RM750 itu, sampai bila-bila, selagi ada bulan dan matahari, mereka tidak berhak menerima satu sen pun lagi, walaupun novelnya itu diulang cetak berkali-kali.

Hasilnya, penerbit itu memiliki beratus-ratus hakcipta novel yang dikarang oleh novelis-novelis baru.


.

Hakcipta dan Kontrak Kerja

Apabila saudara bekerja dengan kerajaan ataupun syarikat, apa yang saudara tulis ataupun lukis dalam rangka menjalankan tugas-tugas rasmi saudara itu, hakciptanya dimiliki oleh majikan saudara kerana dalam kontrak kerja saudara itu sudah dipersetujui bahawa saudara dibayar gaji bagi melakukannya.

Katakanlah saudara seorang pelukis yang bekerja dengan sebuah penerbit majalah komik. Dalam kontrak kerja saudara itu sudah disebutkan bahawa saudara dikehendaki menghasilkan lukisan komik bagi majikan saudara.

Lazimnya, pelukis komik di negara ini tidak tahu bahawa mereka boleh berunding dengan bakal majikan mereka tentang hakcipta karya yang mereka hasilkan dalam rangka kontrak kerja mereka. Akibatnya selepas dua ataupun tiga tahun bekerja mereka mula berasa tidak puas hati dengan terma-terma kontrak kerja mereka lalu meletakkan jawatan.

Salah satu isu yang menimbulkan perasaan tidak puas hati mereka adalah di mana semua hakcipta hasil lukisan mereka menjadi milik majikan selama-lamanya. Ini menyebabkan mereka berasa diperah dan dieksploitasi oleh majikan.

Sebenarnya semua orang berhak berunding tentang terma-terma dalam kontrak kerja mereka. Para pelukis komik boleh merundingkan perkara-perkara berikut:

Sebagai contoh:

1. Pelukis setuju dia tidak menerima sebarang royalti apabila komik itu dicetak kali pertama bagi terbitan bulan berkenaan sahaja. Ini kerana majikan sudah membayar gaji dan imbuhan-imbuhan lain kepada pelukis.

2. Apabila komik itu diterbitkan semula dalam apa juga edisi, maka majikan hendaklah membayar royalti kepada pelukis. Jumlah royalti itu boleh dirundingkan, lazimnya jumlah itu lebih rendah daripada kadar pasaran. Terma ini dapat menghiburkan hati pelukis dan mengurangkan perasaan tidak puas hati.

3. Selepas 10 tahun, hakcipta komik-komik itu diserahkan semula kepada pelukis. Jika majikan hendak menerbitkan semula, maka pelukis boleh melesenkan hakciptanya kepada majikan itu dengan terma-terma yang dipersetujui bersama.

4. Apabila syarikat itu berdepan dengan masalah bangkerap ataupun akan dijual kepada pihak lain, majikan bersetuju menyerahkan semula semua hakcipta hasil karya pelukis.

Salah satu masalah yang dihadapi oleh penerbit komik adalah pelukis yang meletakkan jawatan selepas beberapa tahun bekerja. Keadaan ini merugikan kedua-dua belah pihak, baik majikan mahupun pelukis.

Dengan merundingkan terma-terma kontrak kerja berdasarkan prinsip SAMA-SAMA UNTUNG, diharapkan isu pelukis meletakkan jawatan dapat diatasi.


.

Apa yang Ada Hakcipta?

Undang-undang hakcipta melindungi semua jenis karya seni. Tetapi apakah benda-benda yang termasuk dalam istilah "karya seni"?

Apa-apa sahaja yang saudara tulis adalah karya seni, justeru secara automatis ia dilindungi oleh undang-undang hakcipta, waima surat-surat peribadi yang saudara hantar kepada kekasih saudara melalui emel! Malah semua tulisan dalam emel dan SMS adalah dilindungi hakciptanya.

Semua tulisan yang saudara terbitkan dalam blog saudara adalah dilindungi di bawah undang-undang hakcipta. Malah semua tulisan dalam diari saudara adalah dilindungi.

Di bawah undang-undang hakcipta, saudara tidak perlu mendaftarkan karya saudara di mana-mana pejabat kerajaan bagi mendapatkan perlindungan hakcipta. Perlindungan itu diberi secara automatis.

Undang-undang hakcipta bukan melindungi hasil tulisan yang sudah diterbitkan sahaja. Semua tulisan saudara yang tidak diterbitkan tetap dilindungi.

Kesukaran berlaku apabila karya saudara dicuri oleh orang lain, iaitu apabila saudara hendak membawa kes saudara ke mahkamah maka saudara perlu membuktikan karya itu adalah karya saudara. Maka simpan semua bukti yang dapat mengesahkan bahawa karya itu saudara yang menulisya.

Katakanlah saudara pernah menulis lalu mengirimkan sebuah puisi cinta kepada bekas kekasih saudara dengan menggunakan SMS. Kemudian bekas kekasih saudara menyerahkan puisi itu kepada seorang pencipta lagu, lalu puisi itu dijadikan senikata lagunya.

Apabila lagu itu dirakamkan, nama bekas kekasih saudara ditulis sebagai pencipta senikata lagu itu. Kemudian lagu itu meletup dalam pasaran dan bekas kekasih saudara menerima beribu-ribu ringgit royalti daripada penerbit lagu itu.

Perbuatan ini adalah melanggar hakcipta saudara. Tetapi bagaimanakah saudara hendak membuktikan bahawa senikata lagu itu adalah hasil karya saudara?


.