“Siapa-siapa yang saya sebutkan namanya sebentar lagi, sila ke hadapan kelas dan buat satu barisan lurus,” arah Cikgu Norman sambil memusing-musingkan rotan di tangannya.
“Sazali, Salina, Rashid, Rafeah, Zaidi dan Zubaidah, sila beratur secara berpasangan,” arah Cikgu Norman lagi.
Cikgu Norman adalah guru sementara yang baru selesai menduduki peperiksaan S.T.P.M. Walaupun dia belum ditauliahkan menjadi seorang guru sama ada daripada pihak universiti mahupun maktab, namun lagaknya mengatasi guru yang sudah ditauliahkan. Dia yang ditugaskan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada pelajar tingkatan tiga gemar mendenda para pelajarnya dengan pelbagai denda yang jarang sekali dilakukan oleh guru-guru lain.
“Nampaknya pasangan yang akan mencium tiang bendera pada hari ini sungguh padan sekali,” usik Cikgu Norman sambil mengerling sekilas pandang pada keenam-enam pelajarnya yang sudah bersiap sedia membuat barisan.
“Kamu tahu kesalahan yang telah kamu lakukan?” tanya Cikgu Norman sambil membetul-betulkan rambutnya yang terjurai di dahi.
Keenam-enam pelajar itu hanya menggeleng-gelengkan kepala.
“Karangan yang kamu hantar kepada saya semalam tidak mengikut kriteria yang saya tetapkan,” terang Cikgu Norman sambil telinganya mulai kemerah-merahan.
“Tidak mengikut kriteria?” Zubaidah yang sedang mengomel perlahan tidak sedar akan nada suaranya dapat didengari oleh Cikgu Norman yang kebetulan sedang berdiri bersebelahan dengannya.
“Benar, tuan puteri. Karangan kamu tidak mengikut kriteria yang saya tetapkan,” perli Cikgu Norman sambil menjeling ke arah Zubaidah dengan ekor matanya.
Zubaidah hanya tunduk ke lantai menahan perasan malu yang sedang bersarang di hatinya. Manakala rakan-rakannya yang lain masing-masing menutup mulut menahan gelak.
Zubaidah dapat merasakan banyak mata yang memandang ke arah mereka sewaktu berjalan berdua-dua menuju ke tiang bendera yang terletak betul-betul di hadapan bilik guru.
Cikgu Norman melangkah penuh bergaya dengan kasut kulitnya yang boleh dibuat cermin itu mengiringi mereka sambil mengangkat kening kepada guru-guru yang menjengah daripada tingkap bilik guru.
“Cium lama sedikit tiang bendera itu. Andaikan ianya buah hati kamu,” Cikgu Norman sengaja mengusik mereka sambil diiringi deraian tawanya.
Para pelajar yang berada dalam kelas berhampiran turut serta menjadi penonton dan tidak kurang pula yang bersorak sambil bertepuk tangan.
“Jikalau wangi tidak mengapa, ini bau karat sahaja,” Rafeah mula bersuara.
Selama beberapa bulan belajar dengan Cikgu Norman, Zubaidah sudah didenda sebanyak tiga kali dengan denda yang berlainan.
Salah satu denda yang membuatkan Zubaidah menjerit di dalam kelas ialah sewaktu Cikgu Norman menarik tali anak bajunya apabila dia gagal menjawab soalan yang diajukan oleh cikgu bujang itu. Manakala pelajar lelaki pula akan ditarik anak rambut sehingga terangkat mereka dengan sendirinya akibat menahan keperitan.
“Saya mahu kamu hiasi topi ijazah yang saya suruh kamu buat itu dengan kertas yang berwarna-warni. Jangan lupa sertakan corak mengikut kreativiti masing-masing,” Cikgu Norman memberi peringatan.
Sebenarnya mereka semua sudah diarahkan membuat topi ijazah masing-masing pada hari pertama Cikgu Norman masuk ke kelas lagi. Namun, tujuannya mereka sendiri tidak tahu. Pernah suatu hari Shahrul, selaku ketua kelas Tiga Bestari bertanya kepada Cikgu Norman akan objektif topi ijazah itu, namun jawapan yang diberikan sungguh menghampakan seisi kelas.
“Apa tujuan topi ijazah itu?” tanya Shahrul sambil berkerut kening.
“Itu adalah rahsia kerajaan Malaysia,” jawab Cikgu Norman sambil tersengih-sengih memandang para pelajarnya yang kelihatan terpinga-pinga.
Akhirnya pada suatu pagi yang dingin, mereka mengetahui kegunaan topi ijazah itu.
“Disebabkan kamu semua melakukan kesalahan yang sama, iaitu salah ejaan, maka kamu semua akan berkonvo secara beramai-ramai mengelilingi sekolah,” terang Cikgu Rosman.
Masing-masing mengeluarkan topi ijazah yang dihiasi dengan pelbagai corak daripada bawah meja sambil meletakkannya betul-betul di atas kepala.
“Tahniah daripada saya secara peribadinya kerana berjaya melalui konvokesyen pada usia yang muda,” usik Cikgu Norman sambil mukanya merah padam menahan gelak.
Semua pelajarnya beratur berdua-dua dengan memakai topi ijazah masing-masing sambil berjalan mengelilingi sekolah. Kasut yang selama ini ringan tiba-tiba menjadi berat apabila terpaksa melalui kelas demi kelas termasuk bilik guru. Ada sahaja sorakan dan gelak tawa daripada pelajar-pelajar dari kelas yang lain. Mereka semua hanya mampu menelan air liur sahaja melihatkan adegan dan gelagat yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar lain.
“Inilah cikgu yang saya akan kenang seumur hidup saya,” Zubaidah membuat pengakuan di hadapan Noraisyah, rakan sebiliknya sewaktu menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Sofia yang sedang menyisir rambut turut sama mendengar imbauan kisah silam di sekolah daripada Zubaidah sampai berair matanya dan tertunduk-tunduk sambil menekan-nekan perut kerana geli hati.