Friday, August 04, 2006

Terjemahan: Lelaki Lwn Perempuan

Apabila bercakap tentang terjemahan, siapakah yang lebih baik diambil sebagai penterjemah? Bukankah perempuan lebih tekun duduk di depan komputer daripada lelaki? Ini bermakna projek terjemahan dapat diselesaikan mengikut jadual.

Jawapannya: Ambil penterjemah berdasarkan jantina pengarang.

Bagi menterjemahkan karya Arthur Conan Doyle, ambil penterjemah lelaki. Bagi menterjemah karya Jane Austen, ambil penterjemah perempuan.

Setuju?

.

Kedai Buku Besar

Siapakah yang menentukan buku-buku apa yang dijual di dalam rangkaian kedai-kedai buku seperti MPH, Kinokuniya, Borders, Times dan Popular?


Jawapannya: Orang itu dipanggil Pengurus Merchandising.


1. Pengurus Merchandisinglah orang yang bertugas mencari dan mendapatkan buku-buku dan barangan lain yang hendak dijual di dalam kedai-kedai buku ataupun yang sesuai konsep kedai-kedai bukunya. Jadi jika buku yang saudara terbitkan itu tidak diminati oleh Pengurus Merchandising, sakitlah saudara!


Jika Pengurus Merchandising itu bukan orang Melayu pula, macam mana dia hendak tahu siapa penerbit-penerbit Melayu, apa buku-buku Melayu yang sudah diterbitkan dan apa buku-buku yang disukai oleh orang-orang Melayu. Dia pun main letak sahaja, kemudian buku-buku itu tak laku, kemudian dia kata buku Melayu tak ada orang nak beli, lalu dia tak berminat menjual buku-buku Melayu dalam rangkaiannya.


Rangkaian MPH sekarang mempamerkan banyak buku Melayu, malah di sesetengah kedai MPH, stok bagi per judul buku Melayu lebih banyak daripada per judul Inggeris, khususnya di kedai-kedai MPH yang terletak di kawasan perumahan Melayu, hasilnya perolehan jualan judul Melayu mula mengatasi perolehan jualan buku Inggeris.


Kejayaan MPH mempromo buku-buku Melayu adalah dengan melantik seorang pengurus Melayu bagi menguruskan bisnes seksyen Melayu. Langkah ini ditiru oleh rangkaian Popular, itulah sebabnya seksyen buku Melayu dalam kedai-kedai Popular sudah semakin meningkat.


2. Pengurus Merchandisinglah yang berbincang dengan penerbit, pembekal, dan pengedar buku berkenaan syarat-syarat urusan jual beli buku. Pengurus Merchandising mempunyai kuasa meminta jumlah diskaun, jumlah naskhah minima, tempoh pembayaran dan lain-lain lagi.


3. Pengurus Merchandisinglah yang membuat pesanan berapa jumlah stok buku yang dikehendaki daripada penerbit ataupun pengedar, dan dia yang menentukan di kedai-kedai mana, dan di ruang mana sesuatu tajuk buku itu patut dipamerkan dalam kedai. Kalau dia memutuskan buku saudara diletakkan di rak depan pintu tandas, sakitlah saudara!
Jika penerbit buku saudara tidak pandai bekerjasama dengan Pengurus Merchandising rangkaian kedai-kedai besar, sakitlah buku saudara hendak masuk rangkaian itu.


4. Pengurus Merchandising juga mempunyai kuasa menentukan berapa banyak buku saudara yang boleh dipesan oleh mana-mana satu kedai. Jika
Pengurus Merchandising kata setiap kedai ambil 2 copy sahaja buku saudara, sakitlah, sebab kalau cuma 2 copy, buku saudara cuma terselit-selit sahaja di celah-celah buku lain.


Kalau
Pengurus Merchandising tidak yakin buku saudara dapat dijual, dia takkan ambil 20 copy, sebab ruang kedai sangat mahal, dan kedai buku bukan setor tempat menyimpan buku tak laku!


5. Pengurus Merchandising menguruskan segala urusan berkenaan stok daripada pembekal, pengedar ataupun penerbit dalam dan luar negeri.


6. Pengurus Merchandising menguruskan kemasukan data buku ataupun stok lain ke dalam sistem komputer.


7. Pengurus Merchandisinglah yang menentukan klasifikasi buku dan barang-barang lain yang dijual dalam kedai buku. Kalau dia kata buku saudara termasuk dalam kategori buku kanak-kanak, maka di rak itulah buku saudara akan diletakkan dalam kedai, walaupun sebenarnya buku saudara itu adalah untuk remaja!


8. Pengurus Merchandising mendapatkan maklumat terkini berkenaan buku dan industri penerbitan untuk disampaikan kepada semua pengurus kedai cawangan dan ketua-ketua bahagian operasi. Kalau Pengurus Merchandising mengatakan buku Melayu tak berapa laku, maka pengurus cawangan kedai takkan meletakkan buku-buku Melayu di depan pintu masuk.


9. Pengurus Merchandising berhubung dengan agensi-agen kerajaan yang berkaitan dengan perniagaan bahan bacaan dan alat tulis contohnya KDN, HEP, Majlis Perbandaran, Kastam dan sebagainya.


10. Pengurus Merchandising juga memberi latihan dan penerangan kepada pengurus-pengurus kedai cawangan dan staf kedai di barisan hadapan tentang buku-buku dan produk-produk lain yang dijual dalam kedai, umpamanya tentang cara mempamerkan buku dan sebagainya. Kalau fokus Pengurus Merchandising adalah mempamerkan buku-buku Inggeris, sakitlah buku Melayu saudara.


Jadi, kalau
Pengurus Merchandising tak berminat membaca buku Melayu, apatah lagi dengan isi kandungan buku-buku Melayu, dia takkan suruh pengurus kedai-kedai cawangan mempromo buku-buku Melayu dalam kedai-kedai cawangan. Sakitlah buku-buku Melayu.


11. Pengurus Merchandising juga melakukan lawatan ke kedai-kedai cawangan bagi mendapatkan maklumbalas dan komen daripada staf kedai berkenaan buku-buku dan lain-lain produk yang dijual dalam kedai.


12. Pengurus Merchandising juga senyap-senyap pergi melawat kedai-kedai syarikat lain, bagi mengetahui apa kekurangan syarikatnya sendiri yang perlu diperbaiki ataupun perlu ditingkatkan, daripada pelbagai sudut seperti stok, harga, promosi, service dan sebagainya.


13. Pengurus Merchandising juga berfungsi sebagai kumpulan sokongan untuk mana-mana bahagian lain dalam syarikat seperti bahagian pameran, bahagian kedai, bahagian pemasaran, dan bahagian operasi apabila diperlukan.


Pengurus Merchandising memikul tanggungjawab memilih apa yang kedai buku dapat jual. Bagi Pengurus Merchandising, jual, jual, jual. Kalau buku yang dipilih tak laku, Pengurus Merchandising akan dipersoal. Baginya apa buku pun dia tidak peduli, asalkan dapat dijual.


Jadi jikalau Pengurus Merchandising tidak berminat hendak membangunkan seksyen buku-buku Melayu, sakitlah penerbit Melayu! Tetapi penerbit Melayu jangan salahkan Pengurus Merchandising sahaja. Kalau rupa wajah buku-buku Melayu muram, macam buku nadir, ataupun designnya compang-camping, bagaimana buku seperti itu hendak laku dijual.


Dan jangan salahkan kedai buku bila buku tidak laku, jikalau penerbit sendiri tidak menghantar pegawainya selalu-selalu berjumpa
Pengurus Merchandising dan meminta tunjuk ajar beliau berkenaan buku yang bagaimana yang laku dijual dalam kedai-kedai besar.


Apabila saudara hendak menerbitkan buku-buku yang laku dijual dalam rangkaian kedai-kedai besar, saudara mesti pandai berurusan dengan Pengurus Merchandising, dan selalu dapatkan maklumat daripada mereka tentang tingkah laku dan citarasa pembeli buku-buku Melayu.


.

Wednesday, August 02, 2006

Terjemahan: Bukan 1 tetapi Banyak Versi

Apabila saudara hendak menterjemah sesebuah karya sastera, saudara mesti memilih untuk menterjemahkan karya itu bagi menghasilkan versi yang bagaimana, dan untuk bacaan siapa, yang saudara mahukan.


Sebagai contoh, saudara boleh menterjemahkan siri Sherlock Holmes untuk versi bacaan pelajar sekolah menengah. Ini bermakna saudara tidak perlu mengekalkan kesemua ciri-ciri asal karya itu. Saudara hanya perlu mengambil intipati cerita itu sahaja, dan tulis semula cerita itu sesuai dengan gaya bahasa yang digemari oleh pelajar-pelajar sekolah menengah.


Kalau saudara hendak menterjemah Sherlock Holmes sebagai sebuah karya sastera Ingeris klasik, untuk bacaan para pengkaji sastera, maka saudara buatlah terjemahan lain bagi tujuan itu. Ini bermakna saudara perlu menterjemah setiap ayat dalam karya asalnya dan mengekalkan semua ciri-ciri gaya bahasa Inggeris klasik pada zaman itu.


Makanya, apabila saudara memohon hakcipta terjemahan daripada pemegang hakcipta, nyatakan dengan tepat terjemahan jenis apa yang saudara akan hasilkan.



Projek Sherlock Holmes

Karya Sir Arthur Conan Doyle yang bakal diterbitkan oleh PTS FORTUNA adalah:

1. A Study in Scarlet, 1887
2. The Sign of Four, 1890
3. The Adventures of Sherlock Holmes, 1892
4. The Memoirs of Sherlock Holmes, 1894
5. The Hound of Baskerville, 1902
6. The Return of Sherlock Holmes, 1904
7. The Valley of Fear, 1914
8. His Last Bow, 1917
9. The Case Book of Sherlock Holmes, 1927

Calon penterjemah yang dipilih untuk projek ini akan dihubungi melalui emel oleh Puan Ainon Mohd.

.

Terjemahan: Apa yang Dicari

Apabila mencari penterjemah, apakah kriteria paling atas - calon yang berminat ataupun calon yang berbakat?

Jawapannya: Calon yang berbakat.

Orang yang memiliki bakat belum tentu mempunyai minat. Manakala orang yang berminat belum tentu mempunyai bakat.

Bakat adalah anugerah Tuhan. Kalau ada, ada. Kalau tidak, tidak.

Minat mungkin datang daripada bakat, tetapi selalunya minat ditimbulkan oleh faktor-faktor luaran, seperti dorongan mencari wang, mencari nama, pengaruh sekitaran dan lain-lain. Maka seseorang itu mungkin mempunyai minat yang menggebu-gebu dalam bidang yang dia tidak mempunyai bakat.



Tuesday, August 01, 2006

Terjemahan: Gaya Klasik Lwn Gaya Moden

Apabila menterjemahkan karya yang ditulis 100 tahun yang lalu, seperti karya Sherlock Holmes, gaya bahasa dalam karya-karya itu sudah menjadi klasik pada masa ini.


Adakah terjemahan itu mesti dibuat menggunakan gaya bahasa Melayu klasik ataupun gaya bahasa Melayu moden?


Jawapannya: Gunakan bahasa Melayu moden.


100 tahun dahulu, Arthur Conan Doyle menulis menggunakan bahasa Inggeris moden dan kontemporari pada zamannya itu.


Karya Conan Doyle itu diterbitkan bersiri-siri dalam akhbar di London. Itulah gaya penulisan akhbar zaman itu.


Gaya moden 100 dahulu hendaklah diterjemahkan menjadi gaya moden kontemporari zaman ini. Bahasa moden Conan Doyle itu menjadi klasik 100 tahun kemudian, akibat fitrah perjalanan waktu, bukan pilihan sengaja Conan Doyle.


100 tahun dahulu, semasa Conan Doyle mengarang Sherlock Holmes, ayat-ayat yang panjang adalah gaya kontemporari dan moden bagi zaman itu.


Gaya bahasa tahun 2006 menggunakan ayat-ayat pendek. Tukar ayat-ayat Conan Doyle yang panjang dan berbelit-belit itu, yang menyebabkan orang tercungap-cungap membacanya sebelum berjumpa noktah, kepada ayat-ayat pendek dan ringkas.


Pada masa sekarang gaya bahasa asal Conan Doyle itu dilabelkan gaya bahasa klasik dan sudah tidak digunakan lagi oleh pengarang-pengarang zaman ini, malah menulis ayat-ayat yang panjang diaggap teknik penulisan yang 'salah'.




Monday, July 31, 2006

Bakat Begini yang Dicari!

Dah lamo den tak jumpo Holmes. Sojak nikah ni den jaghang jumpo dio. Syok dudok ghumah dengan bini. Apo laie den pun dah jadi toke. Holmes tu macam tulah kelakuan ee. Suko dudok soghang soghang tak campur oghang. Masih tinggal doket jalan Baker, colah-colah buku bughuk. Kojo hisap candu, sokojap mabuk sokojap soda. Tak habih beraghan mat jonin, den pun tak taulah apo nak jadi dongan dio.


Dio memang goma buek hal kaji jenayah ni. Sampai bulek bijik mato dibuek ee, pasal minat bonar agak ee. Bondo yang polis tak boleh solosai pun dio nak buek jugo.


Macam-macam ceghito den dongha pasal dio. Dio kono panggil solosaikan kes bunoh Trepoff ke Odessalah, lopeh tu den dongha dia dapek solosaikan kes adik-beradik Atkinson dokek Triconmalee dan lopeh tu bejayo solosaikan kes kuago dighajo Holland.


Lain pado yang ini den tak tau amek. Kadang-kadang adolah terbaco dalam sughatkaba, lobih daghi tu den tau sikit amek pasal kawan lamo dan bokeh toman sobilik den ni.


Terjemahan Tuan
Khalid Jaafar dalam Tuan
Rastom.


.

Bakat Begini yang Dicari!

Lame juge le teman tak berjumpe dengan Holmes. Sejak teman berkahwin, teman rase hubungan teman dengan die udoh makin jauh. Ate, teman bahagie dengan bini teman. Keroje pun makin banyak. Maklumle, jadi ketue keluarge. Sibuk memanjang le gamaknye. Si Holmes ni pule, masih dengan tebiat lamanya. Susah bebenor nak bercampur dengan orang. Die tinggal lagi di rumah kami , berteman dengan buku-buku lamenye.


Die ni ketagihan dadah, tapi cuba juge berubat. Sempat juge die berangan-angan tinggi. Die tetap gemo dengan kes-kes jenayah ni. Suke bebenor. Die selalunye dapat selesaikan misteri kes-kes yang mata-mata jenuh memikio.


Kadang kale ade juge teman mendengar cerite die. Cerite die pergi Odessa siasat ke bunuh Trepoff dan juge cerite die selesai kes adik-beradik Atkinson di Trincomalee. Yang paling teman suke, cerite die selesaikan kes keluarga Raja Belande. Cemerlang khabonye. Lain dari itu, idak le teman tahu heinye.


Terjemahan oleh Yusri Adzir



Bakat Begini yang Dicari!

Holmes dah lama aku tak jumpa. Sejak aku bernikah aku rasa semakin renggang dengan dia. Bahagia yang aku rasa sejak berbini dan rasa gagah jadi ketua rumah buat aku selalu sebok, tapi Holmes, dengan perangai dia yang tak suka berguil dengan orang, la ni dok lagi di rumah kami di Baker Street, bergelumiang dengan buku buku buruk, sambil dok lawan ketagih candu, sambil dok layan angan angan besaq.

Lagu manapun dia teruih juga minat dok kaji jenayah. Dengan penuh jiwa raga dia cuba cari jejak jejak, sambil usaha selesai semua misteri yang polis tak boleh buat. Kadang kadang ada juga aku dengar cerita pasai dia; dia kena pi Odessa pasai kes bunuh Trepoff, dia bongkaq tragedi adik beradik Atkinson di Trincomalee, dan berjaya selesai masalah yang dok buat penin kepala keluarga diraja Belanda.

- klik Rastom

.

Bakat Begini yang Dicari!

Lamo do'oh dah ambo tak jumpa dengan Holmes. Ho la, lepas ambo nikoh tu gak, ambo ghaso sayup-sayup doh dengan dia. Buleh jadi sebab ambo ghaso sedap dok di ghumah dengan oghe tina ambo dan jugo doh sibuk kat ghumah, ambo jadi lagu tu, tapi Holmes ni pula dok bowa peghanga dia hok lamo tu, hok cagho oghe Bohemia tu laa, baso jenis oghe tak suka campo dengan oghe kampong.

Dia dudok ghumah lama di Jale Baker lagi, tapi dok peghabih maso baco buku, lepas tu dok cuba dok pelepas dari ketegih najis dadoh, tapi masih lagi dok berange-ange tinggi.Tapi dia masih dok beghehi kaji kes-kes jenayah, dok tolong polis selesai kes-kes beghat, ho'laa..hok polis tak gheti nak buat lagu mano doh tu.

Dengar cighito dia ada gi sampai ke puncok Odessa, sebab nak selesai kes bunuh Trepoff. Lepas tu ada juga denga kabar dia selesai kes nyayo adik-beradik Atkinson di Tricomalee, dan hok so lagi tu dia sampai buleh selesai kes Keluarga Raja Belando.

Terjemahan oleh Alang Bidara.


.

Bakat Begini Dapat Digilap

Sudah lama aku tidak ketemu Holmes. Perkahwinanku telah menjarakkan kami berdua. Kebahagian yang kukecapi dan keseronokan menempuh alam rumahtangga, menyebabkan aku lebih banyak menumpukan masa di rumah. Sementara Holmes, dengan jiwa bebasnya yang tidak gemar bergaul dengan masyarakat, masih menetap di rumah kami di Baker Street.

Holmes aysik dengan timbunan buku-buku lamanya. Kadang-kadang dia khayal antara sedutan najis candu dan kadang-kadang dia tenggelam dalam dunia angan-angannya. Seperti lazimnya, dia amat tertarik dengan hal-hal jenayah. Dia banyak membantu menyelesaikan kes-kes yang memeningkan kepala pihak polis dengan menggunakan kelebihan pengamatan dan ketelitiannya menjejak petunjuk.

Dari semasa ke semasa, aku terdengar berbagai kisah mengenai dirinya; cerita pemergiannya ke Odessa bagi menyelesaikan kes pembunuhan Trepoff, kisah dia menyelesaikan kes penganiayaan adik-beradik Atkinson di Trincomalee, dan juga mengenai kejayaan misinya membantu keluarga diraja Belanda. Walau bagaimanapun, kisah-kisah ini kebanyakannya kuketahui melalui akhbar. Selain daripada itu, aku tidak mempunyai banyak maklumat mengenai sahabat dan teman lamaku itu.

Terjemahan oleh Sazmy

.

Dari Dapur KRU Production

Ini ada berita baik bagi saudara yang berminat menulis dan membaca buku-buku seram, cerita-cerita hantu, misteri dan aksi tendang terajang.


KRU akan masuk secara serius ke dalam penerbitan buku-buku genre tersebut bagi memeriahkan lagi dunia buku dan bacaan dalam bahasa Melayu. Jika saudara hendak menjadi pengarang terkenal genre ini, hubungi KRU!


KRU mempunyai goodwill yang baik dengan artis-artis jelita dan tampan yang mempunyai ramai peminat. KRU yakin, dengan menggunakan nama-nama artis pujaan ramai pada buku-buku yang mereka terbitkan, buku-buku terbitannya dapat dijual kepada peminat masing-masing artis.


Jurucakap KRU memberitahu buku-buku terbitan KRU Production adalah jenis popular iaitu buku-buku horror, fantasi, thriller, action-packed dan misteri dengan strategi pemasaran yang belum pernah dibuat oleh mana-mana penerbit, yakni dengan menggandingkan buku-buku terbitannya dengan nama-nama artis-artis selebriti Malaysia.


Sebagai contoh, buku “Badang” adalah buku teen-action yang digandingkan dengan nama Adam AF2. Sumpahan Fasha” adalah buku thriller hantu yang digandingkan dengan nama Fasha Sandha.


Dalam pembikinan adalah siri aksi thriller yang digandingkan dengan nama Erra Fazira. “Pemburu Puaka” pula adalah buku aksi seram yang digandingkan dengan nama Yusry KRU.
Masih dalam proses pembikinan adalah siri teen action thriller, action komedi dan juga buku-buku movie tie-in.



Sunday, July 30, 2006

IKATAN: Aib! Sungguh Aib!

IKATAN adalah nama singkat persatuan penerbit Bumiputera.


Semalam sah gosip-gosip yang kita dengar selama ini bahawa pendaftaran IKATAN telah dibatalkan!


Alasannya: Sudah 4 tahun berturut-turut IKATAN tidak menghantar laporan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) disebabkan ia tidak mengadakan mesyuarat agung.


Mengapa sudah 4 tahun tidak ada mesyuarat agung?


Setiap tahun IKATAN menjadi pengurus Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan membuat keuntungan beratus ribu ringgit daripada wang sewa gerai yang mahal.


Apakah ada kaitan antara wang yang banyak itu dengan mesyuarat agung yang tidak diadakan sejak 4 tahun yang lalu?



Novel Cinta

Kepada para penekun novel cinta, baca arah anak panah perkembangan terbaru novel cinta di Amerika.

.