Saturday, April 01, 2006

Gaya Kerja In-house

Entri ini ditulis untuk penulis-penulis baru.


Apa itu 'gaya kerja in-house'? Setiap syarikat penerbitan mempunyai cara masing-masing menjalankan bisnes mereka. Sebagai penulis, saudara perlu mencari maklumat berkenaan gaya kerja setiap penerbit yang ada kaitannya dengan karya saudara.


Sebagai contoh, Alaf21 mempunyai formulanya sendiri bagi menghasilkan novel-novel cinta yang 'hit' di pasaran. Formula itu digunakan bagi menilai dan mengedit manuskrip yang diterimanya. Ramai penulis terkenal tidak menyukai formula yang diamalkan oleh Alaf21 oleh itu mereka tidak mahu menghantar karya mereka kepada penerbit itu.


Walaupun formula Alaf21 itu tidak secocok dengan jiwa ramai penulis besar tetapi terbukti formula Alaf21 itu berjaya menghasilkan novel-novel yang laris di pasaran sehingga penulisnya menerima ratusan ribu wang royalti.


Jikalau saudara hendak menerbitkan novel saudara dengan Alaf21, lakukan dahulu kajian dengan membaca novel-novel Alaf21. Dari situ saudara akan mendapat gambaran ciri-ciri manuskrip yang dikehendaki oleh Alaf21.


Demikian juga jika saudara hendak menerbitkan karya saudara dengan Creative ataupun DBP. Baca novel-novel kedua-dua penerbit itu dahulu dan kaji ciri-ciri karya yang mereka terbitkan.


Jika saudara hendak menerbitkan novel saudara dengan PTS ONE dan PTS FORTUNA, saudara perlu menguasai teori dan teknik sastera Islami aliran surah Yusuf kerana PTS hanya menerima manuskrip yang ditulis mengggunakan teori itu.


Sesetengah penerbit bersikap reaktif, ertinya mereka menunggu penulis menghantarkan manuskrip kepada mereka, kemudian mereka akan menerima ataupun menolak manuskrip itu. DBP mengamalkan gaya kerja ini.


PTS dan KarnaDia adalah penerbit proaktif. Kedua-duanya merancang buku-buku yang hendak diterbitkan, kemudian mereka mencari penulis-penulisnya dan memberikan taklimat ataupun latihan kepada penulis-penulis itu tentang isi kandungan bagaimana yang mereka mahukan. Taklimat itu begitu detail sehingga jumlah muka surat buku yang dicari itu pun sudah ditetapkan dari awal lagi.


PTS mewajibkan semua bakal penulisnya menghadiri kursus-kursus penulisan yang diadakannya. Jika saudara pengarang besar sekalipun, saudara perlu hadir kursus disebabkan buku-buku terbitan PTS adalah ibarat kuih tempah.



Friday, March 31, 2006

Saiz Buku dan Saiz Kertas

Jika saudara pemain baru dalam bines penerbitan buku, saudara mungkin akan melakukan banyak kesilapan yang berkaitan dengan saiz buku.

Ada saiz-saiz buku yang menjimatkan penggunaan kertas manakala ada saiz buku membazirkan penggunaan kertas, alias menaikkan kos pengeluaran.

Kertas yang digunakan bagi mencetak buku datang dalam bentuk helaian, bukan gulungan. Pencetak akan mengira berapa helai kertas yang diperlukan bagi mencetak buku saudara.

Pencetak dapat memberikan maklumat berkenaan saiz buku yang tidak kos-efektif dari sudut penggunaan kertas. Ertinya saiz buku itu menyebabkan pembaziran pada perca kertas.

Perca kertas yang terbuang itu menguntungkan pencetak yang menjualnya kepada pembeli kertas terpakai! (Kita kenal seorang pembeli perca kertas yang mampu memandu Perdana!)

Saiz kertas pula ada kaitannya dengan jenis-jenis kertas. Jika saudara hendak menerbitkan novel cinta, saiz novel Alaf21 adalah yang paling kos-efektif, bagi kertas jenis simile.

Jadi, sebelum saudara memilih saiz buku, pergilah ke kilang cetak dan belajar hal-ehwal saiz buku dan perkaitannya dengan saiz kertas.



Etika Kulit Buku

Salah satu aktiviti sempena Pesta Buku adalah ceramah oleh seorang pakar design kulit buku dari Indonesia yang dipanggil Bapak Morenk. Orangnya sekitar 37 tahun, ganteng, berasal dari Aceh.

Suatu perkara menarik yang beliau katakan adalah, “Kulit buku jangan berdusta!”

Beliau berkata demikian dalam konteks perlunya kulit cukup menarik minat bakal pembeli.




Pergi Ukur Saiz Buku

Dalam pertemuan penerbit indie minggu lalu, Pn. Samsiah Mohd. Nor, novelis dan pemilik Khalysa, menceritakan kekecewaannya.

Novel saya yang terbaik, itu yang tidak laku!” katanya.

Mengapa?”

Saiznya lebih besar daripada saiz novel Creative dan Alaf21,” katanya. “Akibatnya, novel saya diletakkan di rak buku-buku motivasi!”

Mengapa tidak laku?”

Pembaca novel tidak pergi ke rak buku-buku motivasi. Pembaca buku-buku motivasi tidak membeli novel!” katanya lagi.

Ibrah dalam peristiwa ini adalah, jika saudara baru hendak menjadi penerbit, pergilah ke kedai buku, bawa kayu ukur dan ukur betul-betul saiz buku kategori yang saudara hendak terbitkan itu. Ikut saiz buku-buku itu.

Katakanlah, saudara hendak menerbitkan buku novel remaja awal, pergilah ke MPH, ukur novel-novel PTS ONE, dan ikut saiz itu. Jangan lebih jangan kurang.

Dengan cara ini novel saudara itu nanti akan diletakkan di rak yang sama dengan novel-novel PTS ONE.

Salah satu pola fikir pemain baru dalam dunia penerbitan adalah mereka mahukan supaya bukunya lain daripada buku-buku penerbit lain. Saiznya lain, design kulitnya lain, rekaletaknya lain, harganya lain.

Akibatnya, bukunya terperosok duduk sendiri-sendiri di rak lain, terselit-selit antara buku-buku berjudul rencam. Lazimnya rak itu duduk di bahagian belakang ruang kedai, berdekatan dengan pintu tandas!



Penerbit Baru: Kreatif Tidak Kena Tempat

Dalam pertemuan penerbit indie minggu lalu, Pn. Hanizon Hussin dari PBJ Resources, sebuah pengedar alat-alat bantuan mengajar, menceritakan peristiwa ini:

Sebuah penerbit baru mahu melantik syarikatnya sebagai pengedar bagi buku terbitannya. Buku itu bersaiz A4.

Mengapa saiz buku ini begini besar?” tanya Pn. Hanizon.

Supaya buku ini tidak muat jika hendak dimasukkan ke dalam beg sekolah murid.”

Mengapa?”

Kalau tidak muat masuk beg sekolah, murid terpaksa pegang. Jadi murid-murid lain boleh nampak buku itu. Itu adalah strategi periklanan kami,” kata salesman penerbit baru itu.

Buku itu gagal dalam pasaran.



Saiz buku: PTS, KarnaDia dan al-Ameen Sepakat

Hasil pertemuan penerbit indie minggu lalu, PTS, KarnaDia dan al-Ameen bersetuju menggunakan saiz buka yang sama bagi kategori buku-buku yang serupa.


Isu saiz buku ini amat penting bagi para pengedar dan pekedai buku. Sebelum ini para penerbit indie menggunakan saiz in-house masing-masing, dan situasi begini tidak menguntungkan mana-mana pihak.


Pengedar buku seperti PerdanaMarketways menjual buku-buku secara langsung ke pusat-pusat sumber sekolah di seluruh negara. Buku-buku itu disusun dalam set-set khas, sebagai contoh buku-buku bagi kegunaan guru-guru kaunseling dijual sebagai set kaunseling.


Jika buku-buku itu tidak serupa saiznya, buku-buku itu tidak dapat dimasukkan ke dalam satu kotak. Jika dibungkus menggunakan sarung plastik, buku yang saiznya lebih tinggi akan rosak dan plastik itu akan pecah!



Thursday, March 30, 2006

Mungkinkah Pekomik Kaya?

Dalam ucapan pelancaran “Mambo di Kuale” presiden PEKARTUN, Tn. Hj. Zainal Buang Husein mengatakan, proses melukis novel grafik adalah menjerihkan.

Bagi pelukis yang mahir, rata-rata mereka menghasilkan satu halaman satu hari,” kata beliau. “Ini bermakna bagi novel grafik setebal 200 halaman, ia mengambil masa 200 hari.”

Sdr Nur Azmi, dalam ucapannya memberitahu hadirin beliau mengambil masa 3 tahun menyiapkan “Mambo di Kuale”.

Katakanlah MDK berjaya dijual 10 ribu naskhah dalam masa 2 tahun, pada harga RM20. Dengan kadar royalti 10%, pekomik mendapat RM20 ribu. Ini bermakna dalam masa 3 tahun, nilai penghasilan beliau daripada MDK adalah sekitar RM7 ribu setahun, tidak sampai RM1 ribu sebulan.

Perkiraan yang simpel ini memberitahu kita ada 2 strategi bagi meningkatkan perolehan pekomik yang suka bekerja sendirian dari A sampai Z, yakni daripada mencipta cerita, storibod dan melukis, semua dibuat sendiri:

  1. Memilih penerbit yang mempunyai keupayaan memasarkan komiknya pada jumlah yang besar, sebagaimana komik AKU BUDAK MINANG oleh Ujang terbitan Creative yang sudah mencecah angka jualan 200 naskhah, hardcover RM32.

  2. Memfokuskan kualiti pada cerita, bukan pada lukisan, supaya proses lukisan yang kurang seninya sekalipun, justeru dapat cepat disiapkan. Dengan cara ini pekomik dapat menerbitkan 2 ataupun 3 buku setahun.

Pekomik-pekomik di negara maju dapat hidup selesa, malah kaya-raya. Sudah sampai masanya kita mencontohi cara kerja rakan-rakan kita di sana.



Pesta Buku dan Dosa-dosa Penerbit

Para penerbit karya kreatif elok baca apa kata novelis Nisah Harun.

Dalam blog Puan Nisah itu, novelis paling top sekarang, Sdr. Faisal Tehrani, ada meninggalkan komen yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan prestasi Pesta Buku sejak belakangan ini.

Perasaan Faisal Tehrani itu dikongsi oleh beberapa penulis kreatif lain yang kita temui sepanjang pesta.

Memang benar bahawa rata-rata para penyewa booth melaporkan jumlah jualan mereka meningkat tahun ini, selaras dengan kehadiran pengunjung yang juga meningkat.

Tetapi memang wajar apabila golongan sasterawan berasa amat tidak puas hati disebabkan, dalam pesta buku paling besar itu, mereka dan karya-karya mereka tidak mendapat dukungan serius daripada pihak seperti DBP yang bertanggungjawab mengembangkan sastera Melayu.

DBP lepas tangan. Itulah pendapat kita.



Jibam: Dari Novel ke Filem

Novel Melayu yang paling banyak terjual, JIBAM karya kartunis Ujang, akan difilemkan.

Gosip mengatakan shooting akan bermula Jun depan. Grand Brilliance mungkin menjadi pengedar filem yang bakal diterbitkan sendiri oleh Creative.

Skrip filem itu ditulis oleh Rosli Sofian, bekas editor majalah LELAKI.

Nota 1: Jika novel seperti JIBAM terbit di Hong Kong, Jepun ataupun Korea, barangkali sudah lama versi computer gamesnya berada di pasaran.


Kuasa Pasaran Bahasa Melayu

Ini adalah laporan yang dikeluarkan oleh badan audit dan penarafan, AC Nielsen:

Nilai iklan Bahasa Melayu di semua stesen TV percuma naik daripada RM226.7 juta pada 2004 ke RM236 juta pada 2005.

Dalam tempoh yang sama, nilai iklan bagi program-program televisyen bahasa Inggeris turun daripada RM163.8 juta ke RM130 juta.

Berdasarkan trend perkembangan terbaru ini, stesen TV9 yang akan memulakan siaran pada 22 April akan menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. ASTRO sudah meningkatkan jumlah program bahasa Melayunya.

Ini pula laporan yang dikeluarkan oleh badan Audit Bureau of Circulations (ABC): Jualan akhbar tabloid Bahasa Melayu sudah mengatasi akhbar bahasa Inggeris.



Wednesday, March 29, 2006

Iklan


Pada Sabtu 1 April 2006 akan diadakan pelancaran tiga buah buku di Laman Seni, Balai Senilukis Negara mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

AYAH KITA BOS oleh SiNagaNaga dan Tok Rimau
JONGKANG JONGKET oleh Mat Jan
ZINE SABOTAJ oleh Op, Jigo dan Amir Mukhriz

Masing-masing melancarkan buku masing-masing!


.

Ujang Up-date

Semalam sekali lagi saya ke booth Creative hendak berjumpa dengan En. Jaafar Taib bagi menyampaikan salam dan pesan Sdr. Abdullah Jones. Beliau tidak ada.

Saya ternampak Sdr Ujang sedang melukis kartun di meja khasnya.

Di sisinya tersusun AKU BUDAK MINANG hardcover RM32.

"Sudah berapa terjual?"

"Hampir 200 ribu," jawab Ujang sambil terus melukis. Dia tidak pandang pun muka saya.

Di dinding terpamer novelnya JIBAM paperback RM10.90.

"Berapa JIBAM sudah terjual?"

"Hampir 250 ribu," jawab Ujang, sambil terus melukis.


Nota: Bagi menghubungi Sdr Ujang malimpelita@hotmail.com


.

Skim Pinjaman Buku Teks: Siapa Untung, Siapa Rugi

Sebelum ini hanya murid-murid miskin sahaja menerima bantuan di bawah skim pinjaman buku teks.

Apabila menteri pelajaran membuat pengumuman bahawa semua murid akan diberi kemudahan skim pinjaman buku teks, ibu bapa menerima berita ini dengan gembira.

Tetapi, apakah kesan langkah kerajaan itu kepada industri buku negara ini?

Para kontraktor yang terlibat dalam skim pinjaman buku teks mendapat keuntungan tambahan. Ada gosip mengatakan pemilik saham sebuah penerbit yang terlibat sebagai pembekal skim buku teks mendapat keuntungan RM3 juta.

Kalau ada pihak yang untung, tentu ada pihak yang rugi. Siapakah yang terpukul teruk oleh dasar baru skim ini?

Yang paling rugi adalah para pekedai buku yang selama ini banyak menjual buku-buku dan peralatan sekolah.

Sebelum ini, setiap tahun kedai-kedai itu membuat untung menjual buku-buku teks kepada murid-murid yang tidak layak menerima buku pinjaman. Dengan skim pijaman 100% ini mereka menanggung kemerosotan jualan yang besar.

Salah sebuah syarikat yang terpukul adalah rangkaian POPULAR disebabkan bisnes rangkaian itu sebelum ini banyak difokuskan kepada sektor buku-buku dan peralatan sekolah.

Pukulan yang dialami oleh POPULAR itu menghasilkan kesan positif kepada penerbit buku-buku Melayu!

Kini POPULAR mula secara agresif meningkatkan merchandising judul-judul Melayu di dalam rangkaian kedai-kedainya bagi mengatasi kesan kemerosotan perolehan daripada buku-buku teks!



Iklan


Jangan lupa hari ini Rabu 29, ada majlis pelancaran novel grafik "Mambo di Kuale" karya Sdr Nur Azmi di PWTC, jam 12.00 tengah hari oleh Yang Berbahagia En. Zainal Buang Husein, presiden PEKARTUN.



.

Monday, March 27, 2006

DBP: Makin Berbedak, Makin Hitam

Bak kata pepatah Minangkabau: Makin berbedak, makin hitam.

Orang berbedak supaya nampak makin putih, bukan supaya makin hitam. Tetapi itulah yang terjadi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur semenjak penswastaan organisasi itu.


Kita dijanjikan kononnya penswastaan akan meningkatkan jumlah buku-buku terbitan DBP, tetapi seperti yang pernah dikatakan oleh bekas pengarah penerbitan DBP, Dato' Dr. Anwar Ridhuan, dalam suatu seminar, jumlah judul penerbitan DBP selepas penswastaan menurun daripada 1000 ke 400 judul setahun. Keadaan itu makin parah, apabila Dato' Johan Jaaffar dalam kolumnya, menulis bahawa pada 2004 DBP hanya menerbitkan 265 judul.

Di pesta buku yang sedang berjalan sekarang, bayang-bayang DBP pun tidak kelihatan lagi! Tidak ada satu acara pun yang dikendalikan oleh DBP bagi mempromosi buku-bukunya.


.

Keluhan Tn. Hj. Pakeer

Syarikat Fajar adalah pengedar novel terbesar sekarang. Tidak ada penerbit novel yang tidak mahu berkenalan dengan beliau.

Saya susah,” kata Tn. Hj. Pakeer, pemilik Fajar, sewaktu beliau datang ke booth PTS.

Mengapa, tuan haji?”

Ada orang tuduh saya pujuk Norhayati Berahim, Fauziah Ashari dan Aina Emir supaya tinggalkan Creative dan Alaf21. Dia orang kata, saya keluarkan duit, tolong mereka cetak novel-novel mereka. Itulah yang bikin saya susah!” Dahinya berkerut-kerut dan kepalanya menggeleng-geleng ke kiri ke kanan.

Apa sebab dia orang tuduh macam itu? Mesti ada sebab!”

Ini dulu punya cerita,” katanya.

Cerita apa?”

Dulu memang betul.... Saya keluar duit, tolong Ahadiat Akasyah cetak novel-novelnya. Tapi... itu Norhayati Berahim, Fauziah Ashari dan Aina Emir, semua cetak sendiri. Dia orang banyak duit. Dia orang minta saya edar, saya edarlah....”

"Tapi, mengapa tuan haji susah hati?"

"Saya takut Creative dan Alaf21 fikir saya tikam dia orang. Maklumlah saya pun edar novel-novel Creative dan Alaf21. Nanti susah saya mahu cari makan sama dia orang...."



Godam

Dalam pesta buku semalam, saya duduk di meja pelanggan gerai PTS dengan Puan Nursalamah Abdullah, setiausaha Koperasi Buku Malaysia.

Datang seorang budiman, lalu duduk.

"Saya mencari buku untuk menambah pengetahuan saya tentang bahasa Melayu," katanya sambil menunjuk ke arah rak kamus-kamus PTS.

"Tesaurus Ainon Mohd. dan Abdullah Hassan itu tidak bagus!" kata budiman itu.

"Apa yang tidak bagus?" tanya Puan Nursalamah.

"Perkataan 'godam' tidak ada di dalamnya," jawab budiman itu.

Saya mengeluarkan buku nota dan mencatatkan rungutan budiman itu. Dia memerhatikan saya menulis.

"Encik hendak tahu? Inilah Puan Ainon Mohd.," kata Puan Norsalamah sambil ketawa.

"Yakah?"

"Ya," kata Puan Nursalamah.

"Kalau macam ini, saya beli tesaurus itu. Minta Puan Ainon tandatangani, boleh?"

"Boleh! Terima kasih."

Lelaki budiman itu pun segera bangun lalu mengambil tesaurus saya dan saya pun menurunkan autograf saya pada buku yang tidak bagus itu!


.

Buku Melayu dan Sewa Superstore Buku

Menurut satu sumber, sewa ruang kedai di kompleks membeli-belah Midvalley adalah RM16 satu kaki persegi, manakala di KLCC adalah RM23. Menurut sumber itu lagi, kadar sewa itu akan dinaikkan lagi.

Apabila kita perhatikan rak-rak dalam kedai buku elitis, nilai harga buku-buku impot yang diletakkan pada rak buku boleh naik sehingga antara RM600 hingga RM1000 bagi setiap kaki.

Berapakah nilai harga buku-buku Melayu yang mengisi ruang yang sama?

Maklumat ini berguna kepada para penerbit buku tempatan yang mahu membekalkan buku-buku terbitannya kepada operator rangkaian kedai-kedai buku yang ada dalam kompleks-konpleks membeli-belah bandar utama.

Jika penerbit mahukan buku-buku Melayu dijual dalam kedai-kedai buku seperti MPH dan Kinokuniya, maka perolehan daripada jualan buku-buku Melayu mestilah membolehkan pihak pengurusan membayar sewa ruang lantai yang digunakan bagi meletakkan rak-rak buku Melayu.

Ada dua strategi bagi membolehkan buku-buku Melayu masuk kedai-kedai buku dalam kompleks elitis.

Pertama, harga jualannya dinaikkan semahal harga buku-buku impot. Ini tidak mustahil dilakukan. Buku terjemahan DaVinci Code yang diimpot dari Indonesia terjual di Kinokuniya dan Popular pada harga yang lebih tinggi daripada harga novel tempatan. Buku-buku A. Samad Said terbitan Wira Bukit yang diedarkan oleh PTS dapat dijual dalam MPH meskipun harganya tinggi.

Kedua, buku-buku Melayu itu boleh dijual pada harga sederhana seperti sekarang, tetapi jualannya mestilah lebih banyak. Ini yang berlaku pada novel-novel sastera pop Creative dan novel cinta Alaf21.

Ruang dalam kedai buku bukan setor simpanan buku-buku Melayu yang tidak laku. DBP dan ITNM perlu disedarkan akan hal ini supaya kedua-dua institusi buku negara itu mengubah pola fikir dan cara kerja mereka.

Antara faktor-faktor yang menyebabkan buku-buku Melayu terbitan DBP dan ITNM tidak terdapat dalam kedai-kedai buku elitis adalah disebabkan buku-buku mereka tidak dipakejkan dengan cara-cara yang betul.

Rupa wajah buku-buku DBP dan ITNM tidak menarik, oleh itu tidak membantu MHP dan Kinokuniya mendapatkan perolehan jualan tinggi bagi membolehkan pihak pengurusan kedua-dua superstore itu membayar sewa yang tinggi.



4 Novel RM10 pun Tidak Susut

Syarikat Fajar adalah pengedar novel-novel Melayu terbesar di negara ini. Di gerai syarikat itu ada dibuat tawaran jualan habis-habisan bagi novel-novel stok lama.

Pada waktu pagi novel-novel Ahadiat Akasyah ditawarkan pada harga RM10 bagi 3 judul, pilih mana suka.

Pada waktu petang tawaran itu dinaikkan kepada RM10 bagi 4 judul, pilih mana suka.

Sehingga jam 5 petang, longgokan novel-novel itu masih tidak susut!

15 tahun lalu Ahadiat Akasyah adalah penulis novel Melayu paling laris, sekaligus paling kaya. Beliau adalah penerbit indie yang amat berjaya dengan menerbitkan karya-karyanya sendiri, lama mendahului langkah serupa yang diambil oleh Norhayati Berahim, Fauziah Ashari, Aina Emir, dan Shamsiah Mohd. Nor.


.

Gosip Buku Lagi

Ini gosip terhangat di pasaran!

Jaga-jaga penerbit indie yang cuba survive dalam pasaran novel cinta. Saudara-saudara bukan hanya terpaksa bersaing 4 penjuru, yakni dengan gergasi Creative dan Alaf21, dengan pemain ikut-ikutan Utusan, Times dan Rythm, dan juga bersaing sama sendiri.

Angin sedang bertiup mengatakan penerbit-penerbit indie akan bersaing dengan pemain baru yang tidak disangka-sangka.


KRU Production khabarnya akan melancarkan novel-novel remaja yang dipakej menggunakan nama-nama Erra Fazira, Rosyam Nor, Apek dan lain-lain bintang yang sedang nge-TOP sekarang.

Ertinya, sebagai penerbit indie, saudara bukan hanya mesti berlawan nama penerbit lawan nama penerbit, judul novel lawan sesama judul novel, nama novelis lawan sesama nama novelis. Saudara harus berlawan dengan nama-nama terbesar daripada kalangan selebriti dunia filem dan televisyen.



Penerbit Paling Kaya

Jauhari sahaja kenal maknikam.

Hanya orang buku kenal wajah Tuan Hj. Hishamuddin Yaacob, pemilik saham terbesar Kumpulan Karangkraf, sekaligus penerbit Melayu terkaya di Malaysia.


Puluhan ribu pengunjung gerai-gerai Karangkraf dan Alaf21 semalam tidak tahu bahawasanya lelaki berambut genjur dan sudah beruban putih yang memakai T-Shirt biasa yang sibuk melayan kerenah pelanggannya itu adalah Tn. Hj. Hishamuddin sendiri.

Patutlah anak-anak buahnya amat kuat bekerja dan Karangkraf kaya-raya!




95 ribu

Menurut En. Jamil Labak, jumlah pengunjung Pesta Buku pada hari Ahad semalan sahaja, sehingga jam 6 petang adalah lebih 95 ribu orang. Memandangkan waktu itu masih ada pengunjung datang kerana pesta ditutup jam 9 malam, maka ada kemungkinan jumlah itu mungkin mencapai 100 orang.

Tahun lalu, jumlah pengunjung tertinggi bagi satu hari adalah 70 ribu.

Encik Jamil Labak adalah Setiausaha IKATAN, nama rasmi persatuan penerbit bumiputera, dan juga penyelaras pesta buku.



.