Saturday, July 29, 2006

Ujian Bakat Menterjemah

Kepada yang berminat menghasilkan karya terjemahan bagi terbitan PTS, terjemahkan teks di bawah dan emelkan kepada ainonmohd@gmail.com

Objektif ujian ini adalah bagi mengenalpasti bakat saudara. Daripada terjemahan yang salah sekalipun kita dapat mengesan apakah saudara memiliki bakat dan potensi. Jadi, terjemah sahaja, jangan khuatir membuat 'kesalahan'.

I had seen little of Holmes lately. My marriage had drifted us away from each other. My own complete happiness, and the home-centred interests which rise up around the man who first finds himself master of his own establishment, were sufficient to absorb all my attention, while Holmes, who loathed every form of society with his whole Bohemian soul, remained in our lodgings in Baker Street, buried among his old books, and alternating from week to week between cocaine and ambition, the drowsiness of the drug, and the fierce energy of his own keen nature.

He was still, as ever, deeply attracted by the study of crime, and occupied his immense faculties and extraordinary powers of observation in following out those clues, and clearing up those mysteries which had been abandoned as hopeless by the official police.

From time to time I heard some vague account of his doings: of his summons to Odessa in the case of the Trepoff murder, of his clearing up of the singular tragedy of the Atkinson brothers at Trincomalee, and finally of the mission which he had accomplished so delicately and successfully for the reigning family of Holland. Beyond these signs of his activity, however, which I merely shared with all the readers of the daily press, I knew little of my former friend and companion.

Hantar terjemahan saudara segera. Kita akan segera melakukan pemilihan calon penterjemah dan latihan akan dimulakan segera juga!


.

Buku Cerita-cerita Sejarah

PTS mencari peminat sejarah yang berminat menulis buku-buku sejarah tempatan untuk bacaan kanak-kanak 10 - 12 tahun.

Saudara mesti sanggup menghasilkan siri yang terdiri daripada 12 tajuk. Setiap buku ditulis 200 halaman, double-spacing.

Buku hendaklah ditulis menggunakan gaya buku cerita, dengan dialog yang banyak.

Tulis nama saudara dan alamat emel dalam komen entri ini.



Buku Panduan Kahwin Muda: Hidung Duit

Penulis perlu mempunyai jenis EQ yang disebut 'hidung duit' atau 'business sense'.

Seorang pelajar universiti mengambil keputusan kahwin muda, yakni semasa dia dan tunangnya masih belajar. Selepas hampir setahun berkahwin, banyaklah pengalaman tentang susah payah kahwin muda sambil belajar, lalu beliau bercadang menulis buku "Panduan Kahwin Muda" dengan tujuan hendak membantu mereka yang kahwin semasa masih di universiti.

Isi kandungan buku panduan kahwin muda itu, menarik sekali. Salah satu babnya akan menerangkan cara hendak memberitahu ibu bapa dia hendak kahwin.

Tetapi buku yang menarik belum tentu banyak yang memerlukannya. Sebagai contoh, buku bertajuk "Seni Membuat Keris Melayu" menarik tetapi jumlah orang yang memerlukannya amat kecil.

Berapa ramaikah penuntut universiti yang hendak kahwin semasa masih belajar? Dan bagi orang muda yang hendak kahwin muda, adakah mereka masuk kedai buku dan mencari buku panduan kahwin muda?

Hendak tak hendak, penulis perlu mempunyai sedikit EQ 'hidung duit', dengan itu dia dapat mengenal pasti jenis buku yang ada pasarannya.





Friday, July 28, 2006

Terjemahan: PTS Menawarkan Sistem Royalti

Royalti adalah bayaran yang saudara terima apabila saudara memegang hakcipta sesuatu karya. PTS FORTUNA menawarkan bayaran royalti bagi setiap judul karya terjemahan dalam projek siri sastera dunia.

Apabila karya terjemahan saudara diterbitkan oleh PTS FORTUNA, saudara akan menerima royalti, serupa sebagaimana yang diterima oleh penulis buku-buku karya original terbitan PTS yang lain.

Royalti dibayar selepas dikira jumlah naskhah yang terjual bagi sesuatu tahun itu. Apabila karya saudara laku banyak, maka banyaklah royalti yang saudara terima.

Apabila karya saudara laku dijual selama 20 tahun, maka tiap-tiap tahun selama 20 tahun saudara akan menerima royalti saudara.

Ini bermakna, PTS FORTUNA tidak mengamalkan sistem bayaran sebagaimana yang diamalkan oleh penerbit lain seperti DBP ataupun ITNM. Maka tidak timbul isu berapa sen upah terjemahan bagi setiap perkataan.


.

Terjemahan: Stail Natural

Terjemahan yang betul adalah terjemahan yang menggunakan gaya bahasa natural dalam bahasa Melayu.

Apakah yang dikatakan bahasa natural?

Jawapannya: Melainkan diberitahu, pembaca mati-mati percaya karya itu adalah karya asli hasil tulisan orang Melayu.

Apabila menilai terjemahan, jawab pertanyaan ini:

a. Pernahkah kita mendengar orang Melayu berkata begitu?

b. Pernahkah kita membaca ayat seperti itu dalam sastera Melayu?

Jika jawapannya, "Orang Melayu tidak berkata begitu." ataupun "Itu bukan bahasa sastera Melayu." maka terjemahan itu SALAH.


.

Terjemahan Sasterawan Waras

Dewa mana yang bikin mereka sengit bersengketa?
Apollo, Putera Zeus bersama Leto.

Dia mengirim bala celaka kepada tentera,
kerana marah kepada Sang Raja - maka manusia
diragut maut selepas Agamemnon
menolak rayuan Pendita Apollo.

Kraises mendatangi kapal perang Akia,
mahu menebus anak perempuannya,
membawakan hadiah tak ternilai,
dan menjulang tinggi tongkat emas
berikatkan pita Dewa Pemanah dari jauh.

Si bapa merayu kepada tentera Akia,
merafak sembah kepada kedua jeneral, Putera Atreus:

"Agamemnon, Menelaus dan orang Argos yang berhati waja!
Moga Dewata di Kayangan memberikan kalian
kota Priam bagi ditakluki,
kemudian tuan-tuan selamat pulang.
Cuma, kembalikan puteri buah hatiku.
Nah! Terimalah hadiah dan tebusan ini.
Muliakan Apollo, Putera Zeus, dewa yang memanah dari jauh!"

Namun hati Agamemnon jengkel,
si raja itu mengusir Sang Pendeta dengan herdikan:

"Orang tua! Jangan kulihat lagi bayang-bayangmu di kapal ini.
Sekarang, jangan merayau-rayau.
Esok, jangan datang lagi.
Tongkat dan pita Dewa tidak akan menyelamatkan kamu.
Anak perempuanmu? Aku tidak akan lepaskan.
Dia akan bersamaku, menjadi tua di rumahku, di Argos,
yang jauh dari rumah bapanya.
Akan kujadikan abdi, keluar masuk bilik menenun.
Akan kupaksa tidur di sisiku.
Kau berhambus sekarang!
Jangan menggoda marahku, kalau kau mahu hidup."

Terjemahan puisi Homer dalam karya agungnya
The Illyad, oleh
Tuan Khalid Jaafar

.
.

Novel Realiti

Novel "Skandal" terbitan ALAF21, karya Richie Rahman, editor kanan di Karangkraf, sudah diulangcetak 9 kali!

"Skandal" ditulis berdasarkan pengetahuan sebenar pengarangnya tentang kehidupan kotor golongan elit dan kelas menengah Melayu di Kuala Lumpur. Novel ini akan difilemkan dan Richie terlibat secara langsung dalam pembikinan filem itu sebagai penasihat.

Novel Richie yang ke-2, "Ratu" juga menerima sambutan yang serupa hangatnya. Seperti "Skandal", novel "Ratu" menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, dan normal, dalam kehidupan kotor dunia ratu-ratu cantik.

Gosip-gosip mengatakan, bagi novel-novel ALAF yang mendapat sambutan hangat, setiap cetakan adalah 30 ribu naskhah.


.

Thursday, July 27, 2006

Jibunsyi dari PTS FORTUNA

PTS FORTUNA akan memperkenalkan 3 buah novel jibunsyi setiap bulan mulai Ogos ini.

Jibunsyi yang masuk kedai Ogos ini adalah karya:

'Dari Kepala Batas ke New Haven' oleh Ashadi Zain, seorang akauntan kanan.

'Cerita Satu Impian'
oleh Haslisa Ramli, seorang doktor perubatan.


'Tegar'
oleh Ahmad Zafran, seorang juruteknik.


Mereka menghasilkan jibunsyi masing-masing dengan menggunakan teknik penulisan dalam surah Yusuf.

.


Terjemahan: Menghasilkan Ayat-ayat Indah

Apabila saudara menulis ayat-ayat yang indah, dari manakah datangnya ayat-ayat yang indah itu?

Jawapannya: Dari memori saudara.

Manusia hanya dapat mengeluarkan ayat-ayat yang tersimpan dalam memorinya. Kita tidak akan dapat mencipta ayat-ayat yang belum pernah kita dengar ataupun baca.


Bagaimanakah kita mengisi memori dengan ayat-ayat yang indah? Dengan membaca, mendengar dan menyimpan ayat-ayat indah itu dalam peti ingatan.

Jika saudara banyak membaca sastera Inggeris, memori saudara penuh dengan ayat-ayat sastera Inggeris. Memori saudara kosong ayat-ayat indah sastera Melayu.

Dari tempayan yang berisi budu, hanya budu yang keluar, takkan keluar madu!

Syarat kedua menjadi penterjemah sastera bukanlah diploma ataupun pengalaman menterjemah untuk ITNM, ataupun banyak membaca sastera Inggeris, tetapi berapa banyak buku Sastera Melayu Tinggi yang saudara baca.


.

Terjemahan: Betul Tetapi Salah

Jika saudara baca terjemahan novel Geisya terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia, ITNM, saudara akan faham apa yang dikatakan terjemahan yang 'betul' tetapi sebenarnya SALAH!

Contoh ayat terjemahan yang betul tetapi SALAH:

She surrendered her virginity to the highest bidder. Dia menyerahkan kedaraannya kepada pembida tertinggi. Ayat ini betul tatabahasanya, tetapi hanya sasterawan sewel sahaja menghasilkan ayat begini dalam bahasa Melayu.

Syarat pertama menjadi penterjemah sastera bukanlah memiliki diploma, tetapi memiliki bakat sastera.


.

Wednesday, July 26, 2006

Bagaimana PTS Memilih Penterjemah

+ PTS akan mula masuk pasaran novel terjemahan pada 2007.

+ Judul-judul novel yang diterjemahkan dipilih oleh PTS.

+ Penterjemah dipilih oleh SifuPTS. Selepas dipilih calon penterjemah akan dilatih oleh SifuPTS.

+ Hakcipta karya terjemahan kekal dipegang oleh penterjemah. PTS akan memegang hak menerbitkannya sahaja.


.

Bagaimana PTS Menjalankan Strategi Penerbitannya

Entri ini ditulis bagi saudara yang baru masuk blog ini....

PTS menjalankan bisnes dengan cara kerja yang amat berlainan dengan penerbit-penerbit konvensional seperti DBP dan lain-lain. Tidak seperti DBP yang bekerja secara pasif di mana pegawai-pegawainya duduk di meja pejabat masing-masing dan menanti orang menghantar manuskrip, PTS merancang buku-buku yang akan diterbitkan 2 tahun lebih awal.

Buku yang diterbitkan pada tahun 2006 sudah mula dirancang pada tahun 2004. Mengapa 2 tahun lebih awal? Sebab PTS melabur dalam proses pendidikan pengarang-pengarangnya melalui aktiviti kursus dan mentoring.

Semua penulis yang hendak menulis untuk PTS wajib hadir kursus PTS. Inilah cara bagaimana PTS mendapatkan judul-judul buku yang laku dalam pasaran.

Dalam kursus-kursus PTS itulah saudara akan diberi maklumat program penerbitan yang ada dan yang akan dimulakan.



Korelasi antara Kursus dan Kejayaan

Entri ini ditulis untuk saudara yang hendak menjadi penulis....

Jumlah penulis PTS sehingga hari ini adalah hampir 200 orang penulis. Analisis data bayaran royalti bagi tahun 2005 yang kita lakukan menunjukkan seramai 20 penulis berkongsi 70% daripada jumlah total royalti yang dibayar.

Semua 20 orang penulis itu mempunyai lebih daripada 3 buah buku tiap seorang.

Kita juga melakukan analisis korelasi antara jumlah kehadiran kursus dengan royalti. Didapati penulis yang lebih kerap hadir kursus menerima royalti yang lebih tinggi.

Begitu juga didapati penulis yang lebih kerap berinteraksi dengan editor-editor PTS menerima royalti yang lebih tinggi.


.

Terjemahan Sastera: Gaya ataupun Kesan?

Dalam teks sastera, pengarang menggunakan gaya penulisan. Di samping itu, gaya tersebut mencipta kesan ke atas emosi pembaca.

Yang manakah yang mesti dikekalkan dalam terjemahan?

a. Kekalkan gaya asal pengarang itu atas alasan ia adalah identiti pengarang tersebut,

ataupun,

b. Cipta semula suatu gaya baru semata-mata bagi mengekalkan kesan emosi yang serupa?

Jawapannya: Kekalkan kesan emosi.

Kita mencari penterjemah yang dilahirkan dengan bakat sastera semulajadi sebab dengan bakat itulah dia pandai mencipta ayat-ayat yang mampu menghasilkan pelbagai kesan emosi ke atas pembaca.



Tuesday, July 25, 2006

Terjemahan Sastera: Makna ataupun Keindahan?

Apabila menterjemahkan karya sastera, yang manakah yang dipentingkan?

a. Makna yang tepat,

ataupun


b. Terjemahan yang indah?


Jawapannya: Terjemahan yang indah.

Syarat menjadi penterjemah sastera: Saudara mesti mempunyai bakat menghasilkan ayat-ayat yang indah dalam bahasa Melayu.


.

Terjemahan: Bahasa Mana Lebih Penting?

Apabila saudara mahu menjadi penterjemah, tentu sekali saudara perlu mengusai 2 bahasa, yakni bahasa sumber dan bahasa sasaran.

Jikalau saudara hendak menterjemah karya Sherlock Holmes ke dalam bahasa Melayu, bahasa yang manakah yang wajib saudara kuasai dengan lebih baik, bahasa Inggeris ataupun bahasa Melayu?

Jawapannya: Bahasa Melayu!

Ya, saudara wajib menguasai bahasa Melayu dengan baiknya. Kalau bahasa Inggeris saudara kurang baik, itu tidak menyebabkan saudara hilang kelayakan menterjemah.


.

Status Karya Terjemahan

Undang-undang hakcipta melindungi karya terjemahan serupa seperti karya asal. Orang lain tidak boleh mencuri karya terjemahan sebagaimana karya asal tidak boleh dicuri.

Jelaslah bahawa dari sudut undang-undang harta intelek, karya terjemahan adalah 'karya asal'.

Hakcipta karya asal adalah pada pengarang asal. Hakcipta terjemahannya adalah pada penterjemahnya.

Apabila sesebuah karya itu diterjemahkan oleh 5 orang penterjemah, maka setiap penterjemah memegang hakcipta terjemahan masing-masing.

.

Iklan: Projek Terjemahan Sastera Dunia PTS

PTS akan masuk pasaran novel terjemahan pada tahun 2007. Jika saudara serius mahu mencipta untuk diri saudara harta intelek yang evergreen dalam bidang ini, tinggalkan nama saudara dalam komen.

Syarat:

1. Mempunyai bakat semula jadi sebagai penulis kreatif.
2. Menguasai Bahasa Melayu Tinggi dengan baik.
3. Hadir siri kursus terjemahan PTS.

Sdr boleh memilih menterjemah daripada apa jua bahasa: Arab, Inggeris, Jepun, Cina dll.


.

Monday, July 24, 2006

Peluang untuk Penterjemah

Adakah saudara peminat buku-buku siri penyiasatan Sherlock Holmes? Buku-buku itu sudah menjadi harta awam.

Jika saudara berminat menterjemah buku siri Sherlock Holmes, hubungi Puan Ainon Mohd. Kita berminat menjadi penerbit saudara.

Jangan mula menterjemah sebelum menghubungi kita dahulu!

.

Sunday, July 23, 2006

Faisal Tehrani Tolak Konsep Sejarah Barat

Dalam forum pada bengkel penulisan novel sejarah anjuran Yayasan Warisan Johor Ahad lalu, Faisal Tehrani menolak konsep dan definisi apa itu 'sejarah' yang digunapakai oleh panel pakar YWJ.

Pada dasarnya panel pakar YWJ menggunakan konsep dan definisi sejarah ciptaan Barat yang menggunakan metodologi logik. Dalam konsep sejarah Barat, tarikh, tokoh dan peristiwa adalah sangat penting.

Faisal mengemukakan metodologi mithali yang dikemukakan oleh Yusuf al-Qardawi di mana intipati sejarah dari sudut pandang Islam adalah komponen ideologi dan pengajaran, berdasarkan bagaimana al-Quran mengungkapkan peristiwa-peristiwa sejarah di dalamnya.

Menurut Faisal, konsep dan definisi sejarah yang dicipta oleh Barat adalah 'sempit' dan 'lapuk' dan sudah 'purba'.



ALAF: Jangan Lawan Gergasi

PTS menerima banyak sinopsis yang temanya adalah kisah percintaan, oleh itu kita tolak, sebab PTS tidak akan masuk sektor novel cinta yang sudah sinonim dengan nama ALAF21.

Bisnes menerbitkan buku adalah serupa dengan bisnes produk-produk lain. Apabila sesuatu kategori produk itu sudah ada "pemain gergasinya" maka sebagai suatu strategi bisnes, kita jangan masuk padang di mana gergasi itu bermain-main, nanti kita mati dipijaknya.

ALAF21 adalah gergasi dalam padang novel cinta. Oleh itu "budak kecil" jangan masuk padang ALAF21.

Walaupun PTS sudah dianggap "budak besar", namun PTS besar dalam kategori buku-buku motivasi, pendidikan dan bisnes, bukan dalam novel cinta.

Kalau PTS hendak ikut menerbitkan novel-novel cinta, dalam bidang itu PTS tetap "budak kecil" dan kita tidak akan mampu berlawan dengan gergasi ALAF21.

Mulai bulan Ogos depan PTS akan mula masuk pasaran novel, TETAPI bukan novel cinta. PTS akan memperkenalkan genre yang dipanggil dengan istilah JIBUNSYI di Jepun, yang ditulis menggunakan teknik surah Yusuf.



.