Friday, September 30, 2005

Notis

Kepada saudara yang berminat untuk ikut dalam program program penerbitan PTS FORTUNA 2006, sila mendaftar dari sekarang.

Tulis nama saudara dalam kotak SURAT blog ini. Berikan alamat emel dan nombor hp saudara.

Jika saudara sudah menjadi mentee saya, emel dan nombor hp tidak perlu.

Kita akan mengadakan pertemuan sepagi dalam bulan puasa nanti di tempat kursus biasa PTS di Taman Permata.

PTS FORTUNA belum mempunyai rancangan menerbitkan buku puisi klasik ataupun modern, ulasan dan kritikan sastera, skrip drama, televisyen dan filem ataupun sejarah perkembangan sastera.

Jika saudara berminat dalam sastera klasik seperti hikayat, saudara juga boleh mendaftar.


Jangan Lebih 2 Keping

Apabila saudara hendak menerbitkan buku ataupun majalah bacaan kanak-kanak, harganya tidak boleh lebih daripada RM10.00. Jikalau lebih, ibu bapa berasa harga itu amat mahal bagi buku kanak-kanak.

Apabila saudara hendak menerbitkan buku ataupun majalah bagi bacaan remaja, harga jualannya jangan lebih daripada RM15, sebab remaja tidak mempunyai banyak wang. Ini bermakna buku ataupun majalah saudara jangan lebih daripada 150 halaman bercetak.

Jika saudara menerbitkan buku ataupun majalah untuk bacaan gadis kilang dan gadis pejabat, harganya jangan lebih daripada RM20, sebab pendapatan mereka tidak tinggi.

Apabila menetapkan harga bagi kumpulan remaja dan gadis pejabat, jangan sampai mereka terpaksa mengeluarkan 2 keping wang merah. Daripada segi psikologi apa-apa buku yang dijual dengan harga lebih daripada RM20, mereka akan rasa buku saudara itu amat mahal walaupun perbezaan harga itu adalah antara RM19.90 dengan RM21.00

Jika saudara menerbitkan buku untuk golongan profesional dan orang bisnes, mereka mempunyai wang yang lebih banyak, jadi saudara boleh mencetak buku yang lebih tebal.

Jika saudara menerbitkan buku untuk perpustakaan, saudara boleh meletakkan harga yang lebih tinggi, sebab pustakawan yang membeli buku itu membayarnya dengan menggunakan wang kerajaan ataupun syarikat, bukan wangnya sendiri.


Hang Tuah Menangkap Harimau

Pernahkah saudara membaca Hikayat Hang Tuah? Jikalau pernah, tentulah saudara tidak pernah berjumpa dalam mana-mana bahagian hikayat itu diceritakan Hang Tuah menangkap harimau. Tetapi itulah yang terdapat dalam sebuah buku cerita yang dijual secara direct selling ke sekolah-sekolah rendah.

Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?

Di negara kita ini terdapat penerbit-penerbit yang kegiatannya adalah menerbitkan buku-buku cerita untuk dijual ke sekolah, terutamanya sekolah-sekolah luar bandar. Mereka mengupah penulis-penulis amatur bagi menuliskan cerita-cerita itu.

Buku-buku itu dijual secara berset-set pada harga yang 'tidak patut' ke sekolah-sekolah. Tidak patut sebab memang harganya amat mahal, tetapi dibeli juga oleh sekolah tanpa diperiksa terlebih dahulu isi kandungannya.



Nabila: "Cikgu Koh"

Baik, kamu boleh mula sekarang," kata Cikgu Koh seperti biasa.

Basri, saya sakit perut,” bisik Yahya di sebelah Basri.

Tahanlah sedikit. Nanti kamu dimarahi cikgu!”

Yahya mengerutkan keningnya yang lebat sambil menekan-nekan perut.

Kamu tidak ke tandaskah sebelum masuk tadi?” bisik Basri kepada Yahya, rakan sekelas yang duduk di sebelahnya.

Tidak sempat. Dua tiga orang sedang beratur. Loceng masuk kelas sudah berbunyi,” keluh Yahya.

Siapa yang bercakap? Senyap!” marah Cikgu Koh.

Basri tunduk menikus.

Setiap pagi Darjah 5 Merah menerima arahan Cikgu Koh supaya membuat latihan latih-tubi bahasa Inggeris. Basri tidak pernah ingat ajaran Cikgu Koh di papan hitam dalam kelas. Yang diingatnya, dia dan rakan-rakannya hanya disuruh membuat latihan bertubi-tubi. Setiap kali Cikgu Koh masuk kelas, masing-masing sibuk menandakan kertas soalan dengan pensel 2B.

Baiklah. Berhenti menulis. Masa sudah tamat,” kata Cikgu Koh selepas sejam berlalu.

Sebenarnya Basri sudah lupa nama penuh gurunya. Dia cuma ingat mereka semua memanggil guru Cina itu sebagai Cikgu Koh. Dalam kelas Basri pada tahun lima dahulu, hanya ada dua orang guru sahaja yang mengajar mereka. Cikgu Koh mengajar bahasa Inggeris. Cikgu Salleh mengajar semua mata pelajaran selebihnya untuk menduduki Peperiksaan Penilaian Darjah Lima (PMR).

Baik, sekarang saya bacakan jawapannya. Tandakan kertas jawapan kamu sendiri,” Cikgu Koh memberi arahan.

Bermulalah debaran jantung semua murid darjah 5M.

Nombor satu, A. Nombor dua, C. Nombor tiga, D,” Cikgu Koh mula membaca jawapan.

Pelajar sibuk menanda jawapan masing-masing.

Kalau salah, tandakan salah. Jangan tipu diri kamu sendiri !” Suara garau Cikgu Koh mengejutkan mereka. “ Kalau tipu, saya denda kamu!”

Basri menjeling ke sekeliling tanpa mengangkat kepala. Wah, semua pelajar tunduk kerana takut!

Sekarang kira berapa kesalahan kamu. Per lima puluh.”

Nombor satu. Siapa salah soalan nombor satu, sila berdiri,” kata Cikgu Koh seperti biasa.

Beberapa orang pelajar bangun. Cikgu Koh mula mendekati mereka seorang demi seorang sambil memberi ‘habuan’ dengan rotan tebal di tangannya.

Nombor dua. Siapa salah, bangun.”

Kali ini, Yahya dan Basri bangun.

Yahya mengepalkan tangannya sejurus sebelum menerima hadiah dari Cikgu Koh.

Yahya dan Basri duduk kembali. Berdesis mulut Basri ketika punggungnya mencecah kerusi papan yang keras.

Diam-diam di bawah meja, Basri menghulurkan tangan kepada Yahya.

Yahya menyambut tangan Basri lalu berkata, “Kita senasib.”

Sebaik sahaja Cikgu Koh keluar melalui pintu hadapan, Yahya berlari keluar ke tandas melalui pintu belakang. Basri tahu, tidak seperti dirinya, Yahya mengalami dua kesakitan pagi itu. Sakit perut yang memulas dan sakit dirotan oleh Cikgu Koh.


Wednesday, September 28, 2005

Teori Novel Islami dan Hikayat Hang Tuah

Apabila saudara menulis novel Islami, berikut adalah formula bagi menghasilkan kisah yang indah. Ciri-ciri keindahan pada Kisah Yusuf:

1. Jalan cerita Nabi Yusuf adalah panjang. Tempoh waktu kisah Nabi Yusuf adalah semenjak dia masih kecil sehingga dia dewasa, iaitu sehingga dia menjadi menteri di Mesir. Cuba lihat tempoh kisah Hang Tuah, ia serupa dengan ciri kepanjangan kisah Nabi Yusuf.

2. Watak utama dalam surah Yusuf adalah manusia yang ideal. Nabi Yusuf amat tampan dan baik. Bandingkan ini dengan Hang Tuah, manusia Melayu ideal bagi zamannya, dan dengan Superman yang juga watak ideal. Berdasarkan surah Yusuf sebagai model kisah indah yang dianjurkan dalam Islam, ini bermakna dalam novel Islami, orang jahat, seperti perompak, penjudi, pemabuk, pelacur, isteri nusyuz, lelaki dayus, penzina, ateis, pemimpin zalim, pembunuh diri, hipokrit, anak derhaka, pemalas, orang jahil, dan yang seumpama itu, termasuk simbol-simbol jahat seperti 'shit' tidak boleh dijadikan watak utama. Mereka hanya boleh dijadikan watak-watak pembantu yang berfungsi sebagai antitesis kepada watak utama.

3. Bahasa yang digunakan adalah bahasa Tinggi, meskipun dalam dialog anak bayi. Seluruh surah Yusuf adalah dalam bahasa Arab Tinggi. Hikayat Hang Tuah menggunakan bahasa standard seluruhnya. Juga menarik adalah filem-filem tahun 60an yang menggunakan bahasa standard. Penggunaan bahasa standard dalam dialog mencipta kesan surrealisme. Afiks 'sur' dalam bahasa Perancis bermakna 'lebih tinggi dari yang real'. Daripada sudut ini, novel Islami tidak dapat dikategorikan sebagai tergolong dalam aliran 'realisme'. (Kita akan bincangkan aspek teoretis ini dalam artikel lain, sila tunggu).

4. Banyak watak. Dalam kiah Nabi Yusuf terdapat banyak watak sampingan dan banyak jenis-jenis watak, daripada raja sampai kepada hamba, daripada bayi sampai kepada orang tua, daripada watak baik sampai kepada watak jahat. Dalam Hikayat Hang Tuah, jumlah dan jenis watak juga banyak.

5. Jalan cerita adalah kompleks. Banyak sub-plot (cerita-cerita kecil dalam cerita besar), sekurang-kuranya terdapat lima sub-plot besar dalam kisah Nabi Yusuf. Dalam Hikayat Hang Tuah, jumlah sub-plot adalah banyak, malah lebih banyak daripada jumlah sub-plot dalam kisah Nabi Yusuf.

6. Banyak jenis pengajaran. Pengajaran yang jelas dalam kisah Nabi Yusuf adalah yang baik dibalas baik, tetapi watak yang jahat tidak dihukum. Keinsafan datang dari dalam diri watak jahat itu sendiri. (Sila baca perbincangan kita tentang Hukum Karma dalam novel Islami dalam blog ini).

Tujuh ciri di atas terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, maka tidak hairanlah mengapa karya itu berjaya mencapai taraf karya agung dalam sastera Melayu sehingga hari ini.

Nota: Kita tidak mengatakan semua unsur dalam Hikayat Hang Tuah dapat diterima oleh teori novel Islami. Tanpa mengatakan apakah Hikayat Hang Tuah itu contoh karya Islam ataupun tidak, kita tidak dapat menolak bahawa karya itu memiliki ciri-ciri keindahan yang terdapat dalam surah Yusuf.



Monday, September 26, 2005

PTS FORTUNA

Pengumuman!

Bagi saudara yang berminat menulis novel, lembaga pengarah PTS sudah meluluskan penubuhan PTS FORTUNA Sdn. Bhd. yang akan beroperasi secara aktif mulai 2006 khusus menerbitkan karya-karya kreatif.

Walau bagaimanapun, seperti biasa, PTS mempunyai dasar penerbitan dan dasar editorialnya sendiri. Saudara perlu mendapatkan maklumat lanjut tentang kedua-dua perkara ini sebelum mula menulis untuk diterbitkan oleh PTS.



Ke Mana Pergi Achadiat Akasyah?

Sebelum Norhayati Berahim menjadi penulis novel cinta paling kaya, penulis novel cinta paling kaya adalah seorang lelaki yang bernama Achadiat Akasyah.

Achadiat Akasyah menerbitkan sendiri novel-novelnya, oleh itu dia mendapat keuntungan yang lebih tinggi berbanding jikalau dia menggunakan penerbit profesional. Pada suatu masa permintaan bagi novel-novelnya begitu tinggi sehingga karyanya dijual di kedai buku paling berprestij di Kuala Lumpur, Kinokuniya! Dengan itu beliau mampu menikmati gaya hidup mewah.

Kemudian datang Norhayati Berahim!

Norhayati Berahim mula-mula menerbitkan karyanya dengan Creative, kemudian dengan Alaf21, kemudian dengan NZ, dan sekarang dia sudah membuka syarikat penerbitannya sendiri. Walau siapa pun yang menerbitkan novelnya, peminat-peminatnya tetap membelinya.

Hingga saat ini Norhayati Berahim masih mengekalkan kedudukannya sebagai “Ratu Novel Cinta” Malaysia.

Ke mana pergi Achadiat Akasyah?

Menurut maklumat pasaran yang kita terima, Achadiat Akasyah masih menulis dan menerbitkan novel, tetapi karyanya tidak bergerak lagi di kedai-kedai buku. Peminat-peminat Achadiat Akasyah sudah lari kepada Norhayati Berahim dan lain-lain penulis novel cinta.

Terkeluarnya Achadiat Akasyah daripada senarai penulis novel cinta terkaya di negara ini memberikan peringatan kepada semua penulis bacaan remaja – pembaca remaja boleh berubah citarasanya dengan cepat sekali!



99 Peratus Ditolak Penerbit

Di Eropah dan di Amerika, 99 peratus manuskrip yang dihantar ke penerbit ditolak oleh penerbit atas berbagai alasan. Di Malaysia pun keadaannya lebih kurang begitu.

Berikut adalah beberapa faktor mengapa manuskrip saudara ditolak:

  1. Kualiti manuskrip rendah.

  2. Topik-topik dalam manuskrip itu bukan topik-topik yang dicari oleh pembaca.

  3. Tema dalam manuskrip itu tidak selaras dengan program penerbitan si penerbit.

Penerbit-penerbit yang berjaya dalam pasaran mempunyai “FORMULA” bagi buku-buku mereka. Saudara perlu menulis mengikut formula penerbit saudara.

Alaf21 mempunyai formula sendiri bagi novel-novel cinta remaja terbitannya. Begitu juga penerbit Creatif bagi novel-novel yang diterbitkannya. Itu sebab novel-novel yang diterbitkan oleh kedua-dua gergasi itu mempunyai identiti sendiri.

Bagimanakah caranya saudara dapat mengetahui formula sesebuah penerbit itu?

Bagi mengetahui formula kejayaan novel-novel Alaf21, baca novel-novel Alaf21 dengan sikap mahu membuat analisis kandungannya. Daripada analisis itu saudara mendapat formula itu. Tulislah novel saudara menggunakan formula tersebut.

Sesetengah penerbit mewajibkan penulis menghadiri kursus dan taklimat yang diadakannya supaya saudara diberi penerangan jelas berkenaan formula yang mereka gunakan. Hadirilah kursus dan taklimat-taklimat itu.



Kata Singkat

Apabila saudara menulis karya kreatif, semua dialog hendaklah ditulis menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Ini bermakna tidak ada kata singkat dalam dialog.

Kata singkat: Gantikan kata singkat dengan kata standard.

ni (SALAH) = ini (BETUL)

tu (SALAH) = itu (BETUL)

je (SALAH) = sahaja (BETUL)

aje (SALAH) = sahaja (BETUL)

saja (SALAH) = sahaja (BETUL)

nak (SALAH) = hendak (BETUL)

tak (SALAH) = tidak (BETUL)

tapi (SALAH) = tetapi (BETUL)

dah (SALAH) = sudah (BETUL)

kan (Dia baik, kan?) (SALAH) = (Dia baik, bukan?) (BETUL)

ke?” (“Nak ke tak nak?”) (SALAH) = (hendak ataupun tidak?) (BETUL)

ke? (“Betul ke?”) (SALAH) = (“Betulkah?”) (BETUL)