Friday, December 30, 2005

Notis: Bengkel KJ METHOD


Perhatian! Perhatian!


Kita akan mengadakan bengkel teknik menulis karya kreatif dengan menggunakan KJ METHOD.

Tarikh: 14 Januari 2006

Tempat: Sekolah al-Ikhlas, Taman Permata, KL

Waktu: 10 pagi – 5 petang


Para penulis kreatif yang berminat menulis untuk PTS FORTUNA dan PTS ONE tetapi belum sempat mengikuti bengkel KJ METHOD sebelum ini, saudara disarankan hadir.


Penulis cerita-cerita agama untuk PTS ISLAMICA juga disarankan hadir.


Penulis-penulis senior PTS yang hendak menyegarkan semula ingatan tentang KJ METHOD pun diajak ikut serta.


Kelebihan berkarya dengan menggunakan kaedah ini adalah ia membolehkan saudara menulis 4 ataupun 5 buah buku serentak.


Jika saudara tertinggal bengkel ini, bengkel akan datang adalah pada bulan Jun 2006.






Mungkinkah Fauziah Ashari dan Alaf21 Rujuk?

Salah satu topik yang diperbualkan oleh pemain-pemain dalam industri buku tanah air hari ini adalah persoalan apakah penulis-penulis novel cinta yang sangat terkenal hari ini, seperti Fauziah Ashari, Norhayati Berahim dan Aina Emir, selepas 'bercerai' dengan Alaf21 akan rujuk satu hari nanti.


Selepas bercerai dengan Alaf21, mereka bertiga menubuhkan syarikat penerbitan masing-masing. Fauziah Ashari menubuhkan Media Intens, Norhayati Berahim menubuhkan NB Kara manakala Aina Emir menubuhkan KaryaDya.


Kita meramalkan fonomena nama besar masuk pasaran dengan menjadi 'independent publishers' ini akan kekal begini buat beberapa lama, meskipun ada usaha daripada bekas-bekas penerbit mereka cuba memujuk ketiga-tiga orang Ratu Cinta itu kembali ke pangkuan lama, tetapi buat sehari dua ini, kemungkinan hal itu berlaku adalah tipis.


Maklumat yang kita peroleh daripada pasaran menunjukkan novel-novel terbaru mereka yang diterbitkan sendiri menerima sambutan amat baik daripada peminat-peminat mereka. Sebagai contoh, menurut sumber pasaran, novel Fauziah Ashari “Cinta Tiada Akhirnya” sudah terjual lebih 60,000 naskhah.


Dengan kejayaan seperti itu, mungkinkah Fauziah Ashari pulang ke pangkuan Alaf21?


Ataupun mungkinkah satu hari nanti Karangkraf dapat membeli Media Intens, memandangkan realiti statistik Malaysia yang menunjukkan 93% perniagaan baru ditutup dalam tempoh 3 tahun ia mula beroperasi.



Surah Yusuf Sebagai Model Novel Islami

Kisah Nabi Yusuf dibuka dengan ayat yang bermaksud, “Wahai Muhammad, kami ceritakan kepadamu seindah-indah kisah....”


Ayat pembukaan ini tidak digunakan bagi kisah nabi-nabi lain dalam Quran. Ayat ini menjadi ciri khusus kisah beliau seorang. Inilah ayat yang kita ambil sebagai bukti bahawa surah Yusuf layak dijadikan model novel Islami.


Lain-lain fakta tentang surah Yusuf yang memperkuat hujah terpilihya surah Yusuf sebagai model novel Islami adalah seperti yang diterangkan di bawah ini.


Nabi Yusuf adalah orang yang paling banyak diberi ayat dalam Quran. Nabi-nabi lain tidak diberi ayat sebanyak beliau. Sebanyak 111 ayat terdapat dalam surah Yusuf, dari ayat 4 hingga 101 adalah cerita tentang beliau. Dalam kitab Tafsir Pimpinan Rahman, surah ini mengambil 33 halaman.


Dibandingkan dengan nabi-nabi lain, maklumat tentang sejarah hidup Nabi Yusuf adalah yang paling banyak dalam Quran, iaitu sejak beliau kanak-kanak sehingga beliau menjadi penasihat dan perdana menteri kepada Raja Mesir. Tentang nabi-nabi lain kita tidak diberi banyak maklumat mengenai sejarah hidup mereka.


Cerita tentang Nabi Yusuf dalam Quran adalah cerita yang paling lengkap, paling panjang dan paling kompleks dibandingkan dengan cerita tentang nabi-nabi lain. Terdapat 5 sub-plot besar dalam jalinan plot utamanya.


Semua ayat tentang Nabi Yusuf dikumpulkan dalam satu surah khas, iaitu surah Yusuf, sedangkan ayat-ayat tentang nabi-nabi lain tidak terkumpul dalam satu surah.


Inilah ciri-ciri yang menjadi dasar mengapa kita berpandangan model novel Islam itu ada dalam Quran, dan model itu dapat digali dengan mengkaji ciri-ciri pada surah Yusuf.



Thursday, December 29, 2005

Hukum Menulis Novel sebagai Cara Berdakwah

Quran bukan sebuah novel. Nabi Muhammad tidak menyuruh sesiapa menulis novel. Sahabat-sahabat beliau tidak menulis novel.


Jadi, apakah aktiviti menulis novel itu dapat diterima sebagai salah satu cara kerja berdakwah?


Pada saat ini ada 2 kubu pendapat di kalangan ahli-ahli agama. Satu kubu berpendapat menulis novel itu harus, dibolehkan sebagai alat menyampaikan mesej Islam.


Satu kubu lagi berpendapat tidak boleh, bukan hanya menulis novel, malah menulis apa juga bentuk sastera, adalah tidak boleh.


Bagi mengikuti perang antara dua kubu ini, cuba saudara search 'sastera Islam' dalam blog.


Setakat saat ini, kita berpendapat seperti kubu pertama.


Inilah pendapat kita: Esensi novel adalah cerita. Apakah prinsip menggunakan cerita sebagai alat menyampaikan mesej Islam itu ada dalam Quran dan sunah?


Dalam Quran terdapat banyak sekali cerita, malah sebahagian besar kandungan Quran itu adalah cerita. Jelaslah dalam Quran mesej Islam juga disampaikan via cerita-cerita.


Dalam hadis terdapat banyak sekali cerita. Jelaslah Nabi Muhammad juga menyampaikan mesej Islam via cerita-cerita.


Jadi, menggunakan cerita bagi menyampaikan mesej Islam adalah sunah Quran dan sunah Nabi Muhammad. Inilah pendapat kita.


Kita perlu membangunkan teori dan teknik-teknik penulisan novel Islami, dan ini yang sedang kita usahakan. Asas teori dan teknik-teknik itu mesti bersumber daripada Quran dan hadis.


Salah satu isu dalam teori novel Islami adalah: Apakah menulis cerita fiksyen dapat diterima oleh sastera Islami.


Jikalau kita menulis novel fiksyen bagi menyampaikan mesej Islam, dari manakah disedut sumber hukum yang membolehkannya?


Quran bukan fiksyen. Hadis bukan ayat-ayat fiksyen.


Meskipun isi kandungan Quran bukan fiksyen, tetapi dalam Quran terdapat ayat-ayat yang mengandungi cerita-cerita anologi, seperti ayat cerita anologi yang bermaksud, orang yang berilmu tetapi tidak mengamalkan ilmunya adalah umpama keldai yang membawa kitab. Watak “keldai yang membawa kitab” adalah anologi kepada realiti. Ayat-ayat anologi banyak sekali dalam Quran.


Kita berpendapat, menuliskan cerita fiksyen yang berfungsi sebagai anologi kepada realiti, boleh diterima sebagai alat menyampaikan mesej Islam.


Akhirul-kalam, dalam isu sastera Islami, Allah-lah yang lebih mengetahui.



Wednesday, December 28, 2005

Babak Romantis adalah Babak Terlarang dalam Sastera Islami

Tiga kisah cinta agung dalam Quran adalah Cinta Adam kepada Hawa, cinta Sulaiman kepada Balqis dan cinta Zulaikha kepada Yusuf. Kehadiran kisah-kisah cinta dalam Quran adalah indikasi bahawa kisah cinta dapat berfungsi sebagai salah satu alat menyampaikan mesej Islam.


Jadi, isu apakah novel cinta dapat dijadikan salah satu alat berdakwah, jawapannya tentu sekali, boleh. Jika tidak masakan dalam Quran terdapat surah Yusuf.


Kita berpendapat, model novel cinta Islami adalah kisah percintaan Zulaikha-Yusuf sebagaimana yang disampaikan melalui ayat-ayat surah Yusuf.


Dengan mengambil surah Yusuf sebagai model, maka dapat disedut suatu prinsip pada pemilihan ayat dalam sastera Islami, iaitu jenis kategori ayat-ayat yang dibenarkan bagi novel-novel cinta Islami adalah mematuhi kategori ayat-ayat dalam surah Yusuf.


Berdasarkan jenis-jenis ayat dalam surah Yusuf, novel cinta Islami tidak menerima ayat-ayat yang menerangkan fisik ketampanan lelaki mahupun kejelitaan perempuan - suatu hal yang menjadi ciri umum pada novel-novel cinta non-Islami.


Sebagai contoh, dalam surah Yusuf tidak terdapat ayat-ayat yang menerangkan sifat-sifat fisik manusia, sehingga kita tidak diberitahu, umpamanya, apakah warna mata dan rambut Nabi Yusuf. Demikian juga halnya dengan fisik Zulaikha, kita tidak diberitahu apakah warna kulitnya ataupun bentuk badannya.


Demikian juga dalam surah Yusuf tidak terdapat ayat-ayat yang menerangkan pakaian yang dipakai oleh Yusuf mahupun Zulaikha, justeru pakaian watak-watak lain. Kita tidak diberitahu bagaimana pakaian yang dipakai oleh Zulaikha pada hari dia berjaya memerangkap Yusuf masuk ke dalam kamarnya.


Dalam novel-novel cinta non-Islami, pembaca bukan sekadar diberitahu ciri-ciri fisik watak-watak utamanya, malah turut diberitahu dengan detail pakaian watak-watak itu, terutama pakaian yang dipakai dalam babak-babak terlarang.


Kita lihat pula isu ayat-ayat yang digunakan bagi mencipta kesan romantis. Novel cinta sentiasa dikaitkan dengan babak-babak 'romantis'.


Apakah babak-babak romantis diterima oleh sastera Islam? Persoalan ini amat penting bagi para penulis novel cinta Islami.


Kembali kepada surah Yusuf, dalam surah itu tidak ada babak romantis seperti babak di mana lelaki dan perempuan duduk berdua, apatah lagi babak-babak yang lebih intim daripada setakat duduk berdua. Ini adalah indikasi bahawa novel cinta Islami menerima cinta sebagai materi cerita, tetapi ia menolak babak-babak romantis.



Harry Potter Ditolak Pemimpin Gereja

Pemimpin-pemimpin gereja tidak dapat melihat bagaimana ratusan juta kanak-kanak di seluruh dunia yang menggemari sastera ala Harry Potter dapat menghubungkan, baik secara sedar mahupun di bawah sedar, cerita-cerita yang mereka baca itu dengan nilai-nilai ketuhanan.


Menurut pandangan Gereja, buku-buku Harry Potter menggalakkan kanak-kanak mempercayai kewujudan pelbagai jenis 'ghosts' baru dalam buku-buku itu, yang dicipta oleh pengarangnya, bukan menggalakkan mereka yakin akan kewujudan Tuhan. Dari sudut pandang ini, cerita-cerita Harry Potter adalah anti-Tuhan.

Kita berpendapat buku-buku sastera remaja yang mengandungi mesej-mesej khurafat tidak diterima sebagai sastera Islami. Daripada sudut ini, cerita-cerita Harry Potter jelas mengandungi unsur-unsur khurafat, maka ia dengan sendirinya tertolak.

Isunya bagi kita sekarang adalah, kita perlu menghasilkan karya-karya sastera remaja dengan acuan kita sendiri. Kita jangan malas menulis, dan hanya rajin mencari jalan pintas dengan menterjemah produk-produk daripada budaya-budaya asing, seperti menterjemah komik-komik dari Taiwan, Korea dan Jepun, sebagaimana yang sekarang sedang aktif dijalankan. Sebagaimana siri Harry Potter juga, komik-komik itu tidak mengandungi mesej-mesej ketuhanan.

Bagi menerbitkan sastera remaja dengan acuan kita sendiri, PTS sudah menggerakkan seangkatan penulis baru yang akan menghasilkan siri ala Harry Potter kita sendiri mulai 2006.


Adalah menjadi misi PTS, walau apa sekalipun buku yang diterbitkannya, wajah Tuhan tetap dengan jelas ditampilkan di dalamnya.


Sudah sampai masanya para penerbit buku di Malaysia berkerja dan menguruskan bisnes dengan menggunakan strategi-strategi baru, bukan lagi meneruskan cara-cara lama. Dalam tahun 70-an dan 80-an, sewaktu siri Enid Blyton meletup-letup di England, kita aktif menterjemah siri Enid Blyton. Sekarang, apabila Harry Potter meletup-letup di sana, kita aktif menerbitkan semula Harry Potter, yang dibawa masuk via Jakarta.



Tuesday, December 27, 2005

Iklan: Penulis Siri ADAM KECIL dicari


Perhatian! Perhatian!


Mentee-mentee yang berminat ikut berkarya untuk siri ADAM KECIL, sila mendaftar dalam blog ini.

Siri ADAM KECIL sedang dicetak sekarang. Ia adalah karya bersama Sdr Ashadi Zain dan Fred Suriya. Fred adalah gadis Perancis yang baru memeluk Islam dan sekarang tinggal di Janda Baik.

ADAM KECIL sedang dirancang supaya menjadi ala-ala Doraemon Melayu. Hingga saat ini 30 cerita sudah siap ditulis dan akan diterbitkan bersiri-siri setiap bulan.


Kita merancang siri ini diterbitkan setiap bulan selama 15 tahun.


Kumpulan ADAM KECIL diketuai oleh Sdr Ashadi Zain.





Editor Mesti Pandai Mengurus Bakat Pengarang

Adakah saudara merancang mahu terjun ke dalam dunia penerbitan? Jika ya, ini ada pesanan yang saudara mesti beri perhatian serius.


Membuka syarikat penerbitan tidak serupa dengan membuka syarikat pembuatan, walaupun penerbitan adalah sejenis aktiviti pembuatan, yakni kita membuat buku.


Jikalau saudara membuka kilang membuat kicap, kacang soya dan lain-lain bahan mentah menjadi modal utama saudara. Kemudian saudara memerlukan mesin pembotolan dan pekerja yang menggunakan tenaga empat keratnya.


Banyak bisnes tidak menggunakan bahan mentah sebagai modal utama. Ia menggunakan bakat-bakat manusia sebagai modal utamanya. Bisnes seperti itu termasuk dalam kategori industri kreatif. Industri hiburan, periklanan, softwer komputer, dan penerbitan termasuk dalam industri ini.


Mengurus kacang soya dan mesin pembotolan adalah amat mudah. Kalau kacang soya habis, beli lagi. Kalau mesin rosak, baiki ataupun beli mesin baru. Mengurus pekerja tulang empat kerat adalah mudah. Bayar gajinya, bayar EPFnya, SOCSOnya, insurans kesihatannya, bonusnya, bayar elaun dan komisennya, dan jaga keselamatannya di tempat kerja.


Para penulis adalah manusia berjiwa seni. Mengurus manusia seni adalah kemahiran yang tidak banyak diterangkan dalam buku-buku teks pengurusan.


Dalam syarikat penerbitan, tugas mengurus pengarang banyak dilakukan oleh editor yang memproses manuskrip pengarang itu. Salah satu faktor utama mengapa pengarang lari adalah perasaan tidak puas hati dengan tingkah laku editor yang menguruskan bukunya.


Disebabkan editor dapat menyebabkan pengarang lari, maka itulah sebabnya faktor personaliti calon editor mesti diberi keutamaan apabila mengambil editor. Pilih editor yang mempunyai EQ tinggi meskipun ijazahnya hanya setakat 'pas-pasan', kata orang Indonesia. Pilih editor yang mempunyai bakat interpersonal yang tinggi.


Apabila penerbit tersalah mengambil editor, kesilapan itu sangat serius implikasinya dari sudut bisnes.


Dalam undang-undang buruh, majikan tidak dibolehkan memecat editor disebabkan pengarang yang dijaga oleh editor itu lari ke penerbit lain. Editor itu tidak boleh dipecat meskipun nilai karya-karya pengarang yang lari itu sudah terjual lebih RM3 juta!


Mana-mana majikan dibenarkan oleh undang-undang memecat pegawai keselamatannya selepas 3 kali dia didapati tertidur di tempat kerjanya. Sebaliknya, majikan dalam bidang penerbitan buku tidak dibolehkan memecat editornya yang menyebabkan 3 orang pengarang yang di bawah tanggungjawab editor itu, lari ke penerbit lain yang menjadi pesaing!



Sunday, December 25, 2005

Mengapa Sudah Besar Mahu Makin Besar

Bagi orang biasa-biasa, yang dinamakan 'jutawan' adalah orang yang memiliki wang tunai lebih sejuta dalam banknya pada bila-bila waktu.

Sebenarnya, jutawan-jutawan tidak mempunyai wang berjuta dalam bank. Mengapa?

Sebab mereka melaburkan semula semua wang mereka ke dalam bisnesnya supaya bisnesnya semakin besar. Pada mata orang biasa, tingkah laku itu dilihat sebagai 'tamak harta dunia'.

Bagi penulis muda seperti saudara, tentulah saudara hairan mengapa syarikat-syarikat penerbit seperti Kumpulan Karangkraf yang sudah bernilai lebih RM200 juta setahun masih mahu membeli penerbit yang lebih kecil tetapi memiliki produk yang bagus-bagus.

Lazimnya orang bukan bisnes menyangka, tujuan membuka bisnes adalah supaya banyak wang dalam bank hasil keuntungan bisnes yang dapat disimpan dalam bentuk tunai.

Tetapi bagi orang bisnes, wang tidak boleh disimpan dalam bentuk tunai dalam bank. Di bawah bantal pun tak boleh! Kalau disimpan juga, setiap tahun lebih 30% daripada jumlah tunai itu mesti diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai cukai keuntungan! Jadi orang yang mempunyai wang ada masalah besar:

Di mana wang itu hendak 'di-parking' – itu istilah orang-orang bisnes yang sudah kaya. Wang itu mesti dibelanjakan, kalau tidak kerajaan ambil 30% ataupun lebih.

Inilah sebabnya, bisnes yang besar TERPAKSA makin tambah besar. Wang itu mesti dibelanjakan dengan cara membeli mesin baru, beli bangunan baru, ambil staf baru, buat projek baru, beli syarikat baru, bayar bonus, bayar dividen, dan macam-macam lagi.

Bagi penerbit buku macam PTS, kita mesti melaburkan keuntungan hasil jualan buku bagi mencetak lebih banyak judul baru dan membuka anak-anak syarikat baru yang akan memasuki sektor-sektor baru dalam industri buku tanah air seperti membuka PTS FORTUNA dan PTS ISLAMICA. Kedua-dua anak syarikat ini akan mula melancarkan produk-produknya mulai 2006.

Dengan cara ini kita dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor penerbitan buku-buku Melayu. Ingat saudara, graduan Melayu tidak dapat kerja bukan disebabkan mereka tidak fasih berbahasa Inggeris, TETAPI sebab kerjanya yang tidak ada! Yang fasih berbahasa Inggeris balik dari England dan Amerika pun susah mendapatkan pekerjaan....