Saturday, September 16, 2006

Hakcipta: Memberi Gambaran Palsu

Banyak "penulis" dan "penterjemah" buku-buku agama terbitan Malaysia, melakukan perbuatan memberi gambaran palsu tentang siapa sebenarnya penulis original isi kandungan dalam buku-buku mereka.

Punca perkara ini adalah, dalam buku-buku mereka itu terdapat:

1. Ayat-ayat terjemahan al-Quran dan hadith yang disalin bulat-bulat daripada kitab-kitab terjemahan yang dihasilkan oleh orang lain, majoritinya terjemahan ulamak Indonesia.

Ini mereka lakukan dengan tidak memberitahu pembaca bahawa terjemahan itu disalin bulat-bulat daripada kitab terjemahan orang lain. Perbuatan ini memberikan gambaran palsu seolah-olah terjemahan itu dilakukan oleh si ustaz Malaysia itu sendiri, sedangkan perkara itu tidak benar.

Cara yang betul apabila hendak menggunakan hasil kerja orang lain adalah dengan menyebut dalam buku itu sumber original terjemahan yang digunakan itu.

Sebagai contoh tulis nota seperti berikut pada bahagian awal buku itu:

"Semua teks terjemahan al-Quran dan hadith yang saya gunakan dalam buku ini adalah disalin daripada kitab (a) Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan (b) Ringkasan Shahih al-Bukhari, terbitan Penerbit Mizan, Bandung, 2006."

2. Ayat-ayat dalam teks buku itu yang disalin dan disadur daripada kitab-kitab Indonesia, dengan menggantikan perkataan-perkataan Bahasa Indonesia dengan perkataan-perkataan bahasa Melayu Malaysia.

Justeru, buku itu bukan karangan original si ustaz Malaysia itu sendiri, tetapi karangan ulamak Indonesia yang disadur (baca, dicuri). Dengan meletakkan namanya sendiri pada kulit buku itu sebagai "pengarang" ataupun "penyusun" buku tersebut, si ustaz itu memberi gambaran palsu, dengan kata lain berdusta, kepada pembacanya.

Perbuatan menyadur (baca, mencuri) ayat-ayat karangan penulis lain adalah kesalahan serius di sisi undang-undang hakcipta.


.

Hakcipta: Apa yang Diwaqafkan?

Apabila saudara hendak mewaqafkan ilmu yang terkandung dalam buku karya saudara, apakah sebenarnya maksud pewaqafan buku itu kepada para penerbit, para penterjemah dan para penulis yang menggunakan buku saudara itu?

1. Adakah saudara mengizinkan sesiapa sahaja mengulang cetak buku saudara itu termasuk mereka yang hendak memperdagangkan buku itu dan membuat keuntungan daripadanya?

Contoh yang terkenal adalah novel "SHIT" karya Shahnon Ahmad. Beliau mengizinkan sesiapa sahaja mengulang cetak novel itu, dan menjual serta membuat sebanyak-banyak keuntungan daripadanya, tanpa membayar royalti kepada beliau.

2. Adakah saudara hanya mengizinkan buku saudara itu disalin, difotokopi, dicetak, dan diedar bagi tujuan pendidikan dan menyebarkan ilmu di dalamnya, bukan bagi tujuan mendapat keuntungan kewangan?

Sebagai contoh, saudara membenarkan buku saudara itu difotokopi untuk bacaan peribadi, atapun difotokopi oleh guru-guru yang menggunakan buku itu bagi mengajar murid-muridnya.

Banyak kitab agama diwaqafkan oleh penulisnya bagi bagi tujuan penyebaran ilmu sahaja, tetapi apa yang dilakukan oleh para penerbit adalah kitab-kitab itu diulangcetak dan diperdagangkan bagi mengaut keuntungan kewangan dan menjadi kaya raya daripadanya.

3. Adakah saudara mengizinkan buku saudara itu diterjemahkan dan diperdagangkan oleh mana-mana penerbit yang mempunyai tujuan mencari keuntungan daripada terjemahan itu tanpa membayar sesen pun royalti kepada saudara?

4. Adakah saudara mengizinkan kandungan dalam buku saudara itu disalin dan diperakukan sebagai hasil tulisan original si penyalin?

Perkara ini paling berleluasa dilakukan oleh ustaz-ustaz Malaysia. Mereka menyalin isi kandungan kitab-kitab dan buku-buku agama hasil karya penulis dan penterjemah Indonesia, kemudian ustaz-ustaz Malaysia itu meletakkan namanya sendiri di luar bukunya itu, seolah-olah setiap ayat dalam buku itu adalah ayat-ayat ciptaannya sendiri.


.

Hakcipta: Apa itu Berne Convention

Berne Convention adalah perjanjian yang ditandantangi oleh 162 buah negara di mana masing-masing negara itu bersetuju melindungi harta intelek warga negara asing sebagaimana mereka melindungi harta intelek rakyat mereka sendiri.

Sebagai contoh, sebelum Malaysia masuk Berne Convention, undang-undang negara ini hanya melindungi hasil karya rakyat Malaysia dalam negara Malaysia sahaja. Kalau rakyat Malaysia hendak mencetak rompak buku-buku rakyat negara lain, mereka bebas melakukannya sebab karya asing tidak dilindungi negara ini.

Begitu juga, di luar Malaysia, sesiapa sahaja boleh mencetak rompak karya rakyat Malaysia, undang-undang negara mereka tidak melindungi harta intelek rakyat Malaysia.

Apabila Malaysia masuk Berne Convention, keadaan ini bertukar. Malaysia mesti melindungi karya rakyat semua anggota konvensyen itu, dan mereka juga melindungi karya rakyat Malaysia.

Justeru, karya Indonesia dan semua 162 anggota Berne Convention adalah dilindungi di bawah undang-undang hakcipta negara Malaysia. Rakyat Malaysia tidak boleh mencuri harta intelek rakyat negara-negara anggota Berne Convention.

Berikut adalah senarai dan tarikh masuk negara-negara Islam ke dalam Berne Convention:

Algeria 1998
Bahrain 1997
Egypt 1977
Indonesia 1997
Jordan 1999
Lebanon 1947
Libya 1976
Malaysia 1990
Morocco 1917
Pakistan 1948
Saudi Arabia 2004
Syria 2004
Tunisia 1887
Turki 1952
Arab Emiriah 2004

.

Hakcipta Terjemahan Indonesia

Penerbit buku-buku Islam di Indonesia amat aktif menterjemahkan Quran, hadith, kitab-kitab klasik oleh imam-imam terdahulu dan buku-buku agama oleh ulamak-ulamak kontemporari dalam bahasa Arab yang diterbitkan di Mesir, Lubnan, Jordan, Damsyik, Mekah dan Madinah.

Buku-buku terjemahan Indonesia diimpot dan diedarkan oleh penerbit-penerbit buku agama di Malaysia dan dijual dengan meluasnya di negara ini.

Buku-buku terjemahan itu banyak dijadikan sumber penghasilan buku-buku agama yang kononnya adalah karya original yang "ditulis" ataupun "disusun" oleh ustaz-ustaz Malaysia, tetapi sebenarnya "disalin" ataupun "diciplak".

Boleh dikatakan semua buku-buku agama yang diterbitkan oleh penerbit buku-buku agama tradisional di Malaysia mengandungi bahan-bahan yang dicuri daripada buku-buku terjemahan Indonesia.

Amatlah mudah bagi mengetahui bahan curi dari Indonesia:

1. Terjemahan ayat-ayat Quran dan hadith itu bukan diterjemah sendiri oleh si ustaz Malaysia tetapi disalin daripada terjemahan Quran Indonesia. Ini dapat dikesan daripada uslub bahasa Indonesia yang terdapat dalam terjemahan itu.

2. Ayat-ayat dalam teks buku agama yang kononnya ditulis original oleh si ustaz Malaysia itu tetapi teks itu mengandungi uslub bahasa Indonesia.

Perbuatan menyalin (baca, mencuri) mana-mana bahagian daripada terjemahan Indonesia yang dilakukan oleh penulis buku-buku agama Malaysia adalah salah, baik di sisi syariah, mahupun di sisi undang-undang akta hakcipta negara ini.

Sehingga tahun 1990-an penerbit-penerbit Indonesia tidak menghormati undang-undang hakcipta, oleh itu mereka banyak menterjemahkan karya asing dengan tidak mendapatkan izin terlebih dahulu daripada pemilik hakcipta karya-karya itu. Punca utamanya adalah keengganan pemerintah Indonesia menandatangani dokumen Berne Convention yang dianggap tidak menguntungkan Indonesia.

Pada tahun 1997 Indonesia sudah menandatangani dokumen tersebut, dan ini mempunyai kesan positif ke atas industri terjemahan di Indonesia, di mana para penerbit negara itu sudah mengubah sikap mereka terhadap hakcipta karya asing yang hendak diterjemahkan. Justeru pada hari ini buku-buku terjemahan kontemporari yang dihasilkan oleh penerbit-penerbit utama di negara itu diterbitkan secara berlesen.


.

Mewaqafkan Hakcipta

Harta intelek, sebagaimana harta konvensional, boleh dijual, dibeli, dihadiahkan, dipindah milikkan, dan dapat diwaqafkan.

Ramai ulamak dulu-dulu tidak ambil pusing tentang karya mereka sebagai harta intelek. Mereka membenarkan sesiapa sahaja membaca dan menggunakan ilmu yang mereka sampaikan dalam buku-buku yang mereka tulis.

Mereka mewaqafkan buku-buku mereka kepada orang ramai dan hanya mengharapkan balasan daripada Allah sebagai ganjarannya. Ulamak dulu-dulu melakukan ini hanya dengan berniat dalam hati mereka sahaja.

Justeru kita tidak mempunyai bukti sah bagi mengetahui sama ada sesuatu buku itu sudah diwaqafkan hakciptanya ataupun tidak. Dalam keadaan seperti itu, saudara tidak boleh dengan sesuka hati menganggap sesuatu karya itu sudah diwaqafkan hakciptanya. Tunggu sehingga tamat tempoh 50 tahun selepas pengarangnya meninggal dunia, barulah secara automatik karya itu menjadi harta awam.

Jika saudara hendak mewaqafkan buku hakcipta buku saudara, bagaimanakah caranya?

Saudara hendaklah menyebut secara bertulis dalam bab "Dari Pengarang" bahawa saudara mewaqafkan hakcipta buku saudara itu, dan dengan hal yang demikian sesiapa sahaja boleh mengulang cetak seluruh ataupun sebahagian isi kandungan buku itu tanpa meminta izin daripada saudara terlebih dahulu.


.

Friday, September 15, 2006

Hakcipta Ayat-ayat Quran

Ayat-ayat Quran adalah harta awam disebabkan ia datang daripada Allah. Oleh itu sesiapa sahaja boleh menuliskan, mencetak, mengedar dan menjual aya-ayat Quran dengan tidak melanggar undang-undang hakcipta.

TETAPI

1. Tulisan khat Quran yang dihasilkan oleh pakar khat adalah karya seni yang dilindungi oleh undang-undang hakcipta.

Saudara tidak boleh men-download, menyalin ataupun meng-scan tulisan khat pakar khat lain dan menggunakannya dalam buku saudara tanpa mendapat izin daripada pemilik hakcipta karya khat itu.

Kita selalu berjumpa dalam sesuatu buku agama, terdapat beberapa ragam tulisan khat. Ini adalah bukti nyata bahawa penulis itu mengambil dan menggunakan tulisan khat daripada sumber-sumber yang berlainan.

Apabila saudara menulis ataupun menerbitkan buku-buku agama, saudara hendaklah menuliskan semula ayat-ayat Quran itu, bukan menyalin daripada CD ataupun internet yang mengandungi karya orang lain.

Ayat-ayat Quran itu hak Allah, tetapi khat itu dicipta oleh manusia, oleh itu ia adalah harta intelek manusia si pencipta khat itu, maka hukumnya tidak boleh dicuri.


2. Layout kitab Quran, ataupun kitab Ya-sin, ataupun kitab Muqaddam bukan harta awam.

Layout adalah karya seni, oleh hal yang demikian ia dilindungi oleh undang-undang hakcipta. Saudara tidak boleh menyalin layout yang dibuat oleh orang-orang lain tanpa mendapatkan izinnya terlebih dahulu.

Ayat-ayat Quran itu hak Allah, tetapi. seperti seni khat, layout itu dicipta oleh manusia, oleh itu ia adalah harta intelek manusia si pencipta khat itu, maka hukumnya tidaka boleh dicuri.

Apabila saudara hendak mencetak surah Ya-sin, maka hendaklah saudara menuliskan sendiri ayat-ayat Ya-sin itu dan membuat layout sendiri.


3. Terjemahan ayat-ayat Quran adalah bukan harta awam.

Walaupun ayat-ayat Quran adalah harta awam, tetapi terjemahannya adalah hasil karya manusia, oleh itu ia dilindungi oleh undang-undang hakcipta.

Justeru saudara tidak boleh menyalin bulat-bulat terjemahan orang lain dan memasukkannya dalam buku saudara tanpa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu daripada pemilik hakcipta terjemahan itu.



Hakcipta Karya Imam-imam Terdahulu

Entri ini ditulis khusus untuk penulis dan penerbit buku-buku agama.

Banyak buku agama klasik sudah menjadi harta awam disebabkan imam-imam yang mengarang kitab-kitab itu sudah lebih 50 tahun meninggal dunia.

Ambil sebagai contoh, kitab Riadhus Solihin karya yang ditulis dalam bahasa Arab oleh Imam Nawawi sudah menjadi harta awam.

1. Sesiapa sahaja boleh mencetak dan menjual karya original dalam bahasa Arab itu. Ia tidak melanggar undang-undang hakcipta.

Ingat, yang sudah menjadi harta awam adalah kitab original yang dalam bahasa Arab itu sahaja. Fakta ini seringkali tidak difahami oleh penulis dan penerbit di Malaysia. Jadi mereka mencuri-terbit terjemahan kitab itu yang dihasilkan oleh ulamak Indonesia.

2. Sesiapa sahaja boleh menterjemahkan karya original itu dan menerbitkannya, dan menjualnya.

Ia tidak melanggar undang-undang hakcipta. Ini yang dilakukan oleh 3 buah penerbit di Indonesia. Masing-masing menterjemah sendiri karya original Imam Nawawi itu lalu menerbitkan dan menjualnya.

Hakcipta terjemahan-terjemahan itu masih berkuat-kuasa, belum menjadi harta awam. Justeru ia dilindungi oleh undang-undang.

Adalah salah apabila ada mana-mana penulis menyalin terjemahan itu dan menggunakanya di dalam bukunya tanpa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu.

3. Sesiapa sahaja boleh menerbitkan semula karya original Imam Nawani itu dalam apa-apa jua bentuk edisi. Ia tidak melanggar undang-undang hakcipta.

Ini yang dilakukan oleh PTS ISLAMIKA apabila kitab itu diterjemahkan semula menggunakan Bahasa Melayu kontemporari dan diterbitkan secara bersiri-siri.

Terjemahan yang dilakukan oleh PTS dilakukan oleh sekumpulan penterjemah PTS. Mereka adalah pemilik hakcipta ke atas terjemahan yang mereka hasilkan, dan hak itu dilindungi oleh undang-undang hakcipta negara ini.

Saudara tidak boleh menyalin terjemahan yang dibuat oleh orang-orang lain sebab terjemahan itu dilindungi oleh undang-undang hak cipta.

Justeru, saudara tidak boleh menyalin terjemahan yang dibuat oleh ulamak Indonesia, ataupun menyalin terjemahan terbitan PTS, dan memasukkan salinan tejemahan itu dalam buku saudara, tanpa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu daripada pihak yang memiliki hakcipta terjemahan tersebut.



.

Hakcipta: Membeli Ilustrasi

Jika saudara hendak menerbitkan buku untuk kanak-kanak belajar menulis, mengira, melukis, mewarna, saudara memerlukan lukisan-lukisan yang simpel tetapi banyak dalam buku-buku seperti itu.

Bayangkan sahaja betapa banyaknya lukisan simpel-simpel, macam gambar buah pisang, oren, kucing, sudu, bintang dan lain-lain, yang terdapat dalam buku matematik sekolah rendah.

Jika saudara menggunakan perkhidmatan pelukis, setiap lukisan simpel itu harganya adalah antara RM2 - RM5. Ini kos yang tinggi. Ia menyebabkan harga jualan buku itu tinggi, manakala buku kanak-kanak mesti dijual dengan harga rendah.

Ada jalan lain yang amat mudah. Saudara dapat membeli 1 set CD ilustrasi yang mengandungi 80 ribu ilustrasi dengan harga antara RM400 - RM500 sahaja. Segala macam lukisan untuk kegunaan penerbit buku-buku harga murah ada dalam CD itu.

Dalam pasaran, ada bermacam-macam CD yang mengandungi segala gambarfoto dan lukisan. Ia dapat dibeli daripada kedai-kedai CD yang specialist di Kuala Lumpur.

Saudara juga dapat membeli gambarfoto dan lukisan dari internet. Ilustrasi yang dibeli melalui internet lazimnya dibeli daripada agen-agen di Eropah dan Amerika, oleh itu harganya berlipat ganda lebih tinggi daripada CD dalam pasaran terbuka, namun kualiti seninya juga tinggi.

Apabila saudara sudah membeli bahan-bahan ilustrasi itu secara sah, saudara dibenarkan menggunakan bahan-bahan itu berulang-ulang kali tanpa had.

Ingat, jangan beli CD cetak rompak yang dijual pada harga RM40. Ia adalah barang curi, kita mungkin terlepas di dunia, tetapi tidak di akhirat.


.

Hakcipta: Bahan dari Internet

Apabila saudara ke kedai buku, saudara dapat melihat bagaimana kulit-kulit buku yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit buku agama tradisional menimbulkan kesangsian berkenaan taraf hakcipta bahan-bahan grafik yang digunakan bagi menghiasi kulit-kulit itu.

Penerbit buku-buku agama tradisional di negara kita ini lazimnya tidak mempunyai jabatan editorial mahupun jabatan grafik.

Justeru, dari manakah mereka mendapat bekalan bahan-bahan grafik yang digunakan pada buku-buku yang mereka terbitkan? Jawabnya, mereka mengupah orang luar bagi melakukan tugas-tugas membuat layout dan membuat kulit-kulit buku itu.

Orang-orang luar itu adalah individu-individu yang lazimnya tidak membeli bahan-bahan grafik secara sah disebabkan bahan-bahan itu mahal manakala upah yang dibayar oleh penerbit adalah murah.

Justeru mereka menggunakan (baca, mencuri) bahan-bahan daripada sumber-sumber seperti internet, CD cetak rompak, buku, majalah, kalendar dan seumpamanya, yang di-download ataupun di-scan.

Undang-undang hakcipta melindungi apa jua hasil karya seni, termasuk gambar foto dan lukisan, tanpa mengira dari mana gambar-gambar dan lukisan itu diambil, disalin, di-scan ataupun di-download.

Hukum mencuri tetap mencuri. Tidak ada istilah mencuri yang dibenarkan, ataupun mencuri yang tidak dibenarkan.


.

Thursday, September 14, 2006

Fakta Tidak Dilindungi oleh Undang-undang Hakcipta

Tema, idea dan fakta yang terkandung dalam buku yang saudara tulis itu tidak dilindungi oleh undang-undang hakcipta.

Ertinya, orang lain boleh menulis buku-buku lain yang mengandungi tema, idea-idea dan fakta-fakta yang serupa sebagaimana yang terdapat dalam buku saudara dengan menggunakan susunan ayat-ayat mereka sendiri.

Fakta lain. Rajah, peta, lukisan, gambar, dan carta adalah bukan fakta, tetapi karya seni.

Fakta adalah sesuatu yang dapat dibuktikan kebenarannya.

Rajah, peta, lukisan, gambar dan carta adalah hasil karya kreatif, oleh itu ia dilindungi oleh undang-undang hakcipta. Justeru, jangan salin rajah, peta, lukisan, gambar dan carta yang ada dalam buku-buku orang lain kerana perbuatan itu melanggar hakcipta. Sebaliknya lukis sendiri benda-benda itu. Kalau hendak menyalin juga, dapatkan izin bertulis terlebih dahulu.



Tempoh Hakcipta

Selama manakah undang-undang hakcipta melindungi karya saudara daripada dicuri oleh penulis lain? Tempoh perlindungan itu berbeza daripada satu negara ke negara lain.

Karya yang diterbitkan di Amerika dilindungi sepanjang usia penulis, tambah 70 tahun selepas beliau meninggal dunia.

Karya yang diterbitkan di Britain dilindungi sepanjang usia penulis, tambah 50 tahun selepas beliau meninggal dunia.

Di Malaysia, tempoh itu serupa dengan di Britain.

Apabila sesebuah buku itu ditulis oleh ramai penulis, bagaimanakah tempoh perlindungannya? Dalam kes ini, tempoh itu adalah sehingga penulis terakhir meninggal dunia, tambah 50 tahun selepas tarikh itu.


.

Hakcipta: Isu Persamaan Jalan Cerita

Isu jalan cerita adalah isu yang menarik dalam undang-undang hakcipta.

Dari satu sudut, jalan cerita dilindungi oleh undang-undang. Justeru, sebagai contoh, katakanlah saudara menonton filem Puteri Gunung Ledang yang dilakonkan oleh Tiara Effendi. Kemudian saudara menulis buku cerita tentang puteri itu di mana jalan ceritanya betul-betul serupa 100 peratus dengan jalan cerita dalam filem tersebut. Dalam kes ini, apa yang saudara lakukan itu melanggar hakcipta.

Ambil pula kes ini: Katakanlah saudara membaca novel kisah benar Dari Kepala Batas ke New Haven karya Ashadi Zain. Selepas membaca novel itu saudara menulis novel yang 50 peratus jalan ceritanya mempunyai ciri-ciri macam jalan cerita dalam novel Ashadi Zain itu. Dalam kes ini saudara tidak melanggar hakcipta.

Filem Puteri Gunung Ledang adalah fiksyen. Jalan cerita filem PGL adalah dicipta oleh Tiara. Justeru, hak parenting ke atas jalan cerita filem PGL itu dimiliki oleh Tiara. Dengan demikian jalan cerita filem PGL dilindungi oleh undang-undang.

Namun cerita Puteri Gunung Ledang itu sendiri adalah harta awam. Sesiapa pun boleh menulis buku tentang mitos PGL tanpa melanggar hak cipta milik sesiapa. Tetapi saudara tidak boleh menulis cerita yang meniru jalan cerita PGL dalam filem PGL, tanpa terlebih dahulu meminta izin daripada Tiara.

Dalam kisah-kisah benar, memang banyak jalan cerita manusia mempunyai ciri-ciri persamaan, yakni tidak unik. Apa yang dialami oleh watak Khalili dalam novel Ashadi Zain itu, banyak juga dialami oleh ramai manusia lain, cuma detail pengalaman mereka itu tidak mungkin serupa. Namun jalan cerita utama manusia-manusia itu adalah serupa.




Wednesday, September 13, 2006

Idea dan Hakcipta

Idea-idea yang terkandung dalam buku tidak dilindungi oleh undang-undang hakcipta. Oleh itu tema tidak dilindungi. Sesiapa sahaja boleh menulis buku yang mengandungi idea-idea dan tema yang sudah ditulis oleh orang lain.

Tetapi jalan cerita dilindungi oleh hakcipta. Ini disebut 'parenting right' yakni penulis yang mencipta jalan cerita itu dianggap sebagai orang yang melahirkannya, dan jalan cerita itu ibarat anaknya.

Justeru saudara boleh menulis cerita-cerita yang temanya serupa tetapi jalan ceritanya berlainan. Jadi, selepas menonton filem Pontianak Sundal Malam, saudara boleh menulis buku cerita tentang pontianak tetapi jalan ceritanya tidak boleh serupa dengan jalan cerita dalam filem itu.



Lokasi dalam Novel

Menurut seorang penulis novel cinta terkenal, Puan Aina Emir, beliau dapati apabila dalam novel beliau ada unsur nama-nama sesuatu tempat, jualan novel itu di daerah tersebut jauh lebih tinggi daripada jualan di tempat-tempat lain.

Sebagai contoh, novel beliau yang menggunakan lokasi Kelantan terjual banyak di Kelantan. Manakala novelnya yang menggunakan lokasi Kuala Kangsar, banyak terjual di Perak.

Pemerhatian yang beliau lakukan ini mempunyai implikasi menarik apabila saudara menulis novel saudara.

1. Apabila saudara menggunakan satu sahaja lokasi, appeal novel itu lebih tinggi di suatu kawasan sahaja. Sebagai contoh, jangan gunakan Kelantan sebagai lokasi daripada awal cerita sehingga akhir cerita. Nanti novel itu cuma lebih popular di Kelantan.

2. Gunakan banyak lokasi, supaya novel itu mempunyai appeal ke atas kawasan pasaran yang lebih luas. Sebagai contoh, sesetengah peristiwa berlaku di Kelantan, ada yang berlaku di Johor, dan ada yang berlaku di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sesetengah kawasan mempunyai populasi pembeli buku yang lebih ramai daripada kawasan-kawasan lain. Ambil kira faktor ini apabila memilih lokasi.

Jika saudara memilih Sabah ataupun Sarawak sahaja sebagai lokasi, kedua-dua negara ini belum mempunyai pasaran novel yang besar. Maka perlu saudara tambahkan lokasi-lokasi lain dalam novel saudara itu dengan memasukkan tempat-tempat seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu, Pulau Pinang dan Kota Baru.


.


Tuesday, September 12, 2006

Nasib Buku dalam Kedai Buku

Sebagai penerbit, saudara mempunyai rancangan sendiri sewaktu mencipta konsep bagi buku-buku yang saudara terbitkan. Bagus.

Sebagai contoh, PTS menerbitkan novel-novel yang ditargetkan kepada peminat novel. Jadi saiz novel-novel itu dipastikan supaya elok-elok muat apabila diletakkan di rak novel, bersama-sama novel-novel cinta yang ada dalam kedai buku.

Logik PTS adalah, novel tentu diletakkan di rak novel.

Disebabkan novel PTS bukan novel cinta, tetapi novel jibunsyi, maka konsep kulitnya dibuat sebegitu rupa supaya amat berbeza daripada novel-novel cinta yang ada. Tujuannya adalah supaya sekali pandang sahaja, peminat novel tahu bahawa novel-novel PTS bukan novel cinta.

Apabila novel-novel PTS itu sampai ke kedai buku, macam-macam boleh berlaku.

Di sesetengah kedai buku, novel-novel PTS itu diletakkan di rak novel, bersama-sama dengan novel-novel cinta. Ini yang berlaku di MPH. Bagus.

Di sesetengah kedai buku, novel-novel PTS diletakkan di rak yang sudah dikhususkan untuk buku-buku PTS sahaja! Ini yang berlaku di kedai buku UKM, di kedai buku koperasi DBP dan banyak kedai lain.

Banyak kedai buku sudah membuka rak khusus untuk mempamerkan buku-buku PTS disebabkan jumlah buku PTS sudah banyak dan dapat memenuhi rak yang disediakan. Apatah lagi buku-buku PTS sudah mempunyai peminatnya sendiri yang setiap awal bulan akan masuk kedai terus tuju rak PTS bagi memeriksa apa buku terbaru dari PTS.

Aduhai..... asal sahaja buku itu buku PTS, maka di rak itulah diletakkan buku itu, tanpa mengambil kira apakah buku itu buku kanak-kanak, buku remaja, ataupun buku akademik. Inilah juga nasib yang berlaku pada buku-buku siri paperback PTS yang saiz dan wajah kulitnya dibuat supaya ia sesuai diletakkan di rak novel.

Setiap kedai mempunyai pembantu kedai yang ditugaskan menyusun buku-buku di rak buku. Ikut suka hati pembantu kedai itulah di mana dia hendak letakkan buku saudara.

Sebagai penerbit, kita tidak mempunyai hak menentukan di mana buku-buku kita sebaik-baiknya dipamerkan dalam kedai buku milik orang lain. Itu kedai dia, ikut suka dialah.

Pegawai pemasaran PTS cuba memberi maklumat kepada para pengurus kedai tentang novel PTS dengan berjumpa sendiri dengan pengurus-pengurus itu. Ini yang dapat dilakukan dengan kedai-kedai seperti MPH.

Tetapi tidak semua pengurus kedai dapat ditemui, khususnya mereka yang berada di bandar-bandar kecil, yang menerima bekalan buku-buku PTS daripada agen, bukan terus dari PTS.

Agen-agen itu pula, majoritinya (siapa lagi kalau bukan) Mamak, tidak melakukan kerja-kerja promosi dan pendidikan produk kepada kedai-kedai yang mereka bekalkan. Maka terpulanglah kepada idea petugas kedai-kedai itu di mana hendak diletakkannya novel-novel PTS.

Aduhai....


.

Monday, September 11, 2006

Bahasa Parokial dan Agenda Penerbit Buku Melayu

Sejak akhir-akhir ini ada semacam gerakan liberalisme bahasa dalam media TV, di mana banyak rancangan TV menggunakan bahasa Melayu parokial.

Di kalangan penerbit buku pun sudah ada liberalisme seperti ini, di mana terdapat novel-novel popular yang menggunakan bahasa Melayu parokial.

Perkataan parochial bermakna "kecil", "sempit", "kampung", "daerah".

Apabila seseorang itu dikatakan mempunyai mentaliti parokial, ertinya orang itu mempunyai cara berfikir dan pandangan yang sempit, kedaerahan, dan kekampungan.

Bahasa parokial adalah bahasa yang dituturkan dalam lingkungan sesuatu daerah sahaja. Bahasa basahan adalah bahasa parokial. Justeru, bahasa Melayu basahan orang Kuala Lumpur berlainan daripada bahasa Melayu basahan orang Melayu Singapura, orang Sabah ataupun orang Jakarta.

Bahasa parokial digunakan untuk komunikasi rendah dan hanya dapat menyampaikan mesej-mesej rendah. Ia adalah ibarat parang tumpul: Ia dapat digunakan tetapi kegunaannya amat terbatas.

Begitulah terbatasnya fungsi bahasa Melayu parokial: Hendak digunakan bagi berdoa pun sudah tidak dapat.

Bahasa parokial ini lebih luas penggunaannya di kalangan para remaja yang menulis dalam blog. Kita dapat lihat kerendahan kandungan maklumat dan pemikiran blog-blog yang menggunakan bahasa Melayu parokial, dibandingkan dengan kandungan blog-blog para remaja yang menggunakan bahasa Melayu standard.

Bahasa Tinggi dapat digunakan baik bagi tujuan komunikasi rendah mahupun komunikasi tinggi. Ia dapat menyampaikan semua jenis mesej, daripada mesej yang simpel-simpel sehinggalah kepada mesej-mesej kompleks, seperti mesej agama, falsafah dan sains.

Alat membataskan fungsi. Apabila parangnya tumpul, hasil kerjanya buruk sekali. Demikianlah bahasa. Apabila seseorang itu menulis dengan menggunakan bahasa parokial sebagai alat berfikir dan alat menyampaikan pemikiran, maka dengan sendirinya hasil pemikirannya menjadi buruk sekali.

Penerbit buku-buku Melayu hendaknya jangan terikut-ikut dengan liberalsime bahasa Melayu yang sedang dipromosikan oleh media elektronik. Sebagai penerbit buku, kita jangan terikut-ikut tingkah laku golongan pemodal kapitalistik yang tidak mempunyai agenda membangunkan daya fikir bangsa.


.

Sunday, September 10, 2006

Penulis dan Pemikiran Kritis

Entri ini ditulis untuk mentee-mentee SifuPTS yang sedang bekerja keras hendak hidup sebagai penulis sepenuh masa.

Percayalah, penulis dapat hidup daripada royalti buku-bukunya. Ini bermakna saudara perlu mempunyai banyak buku yang laku dijual bertahun-tahun, supaya setiap buku mendatangkan perolehan yang berterusan.

Kata pepatah Tamil, satu batang pokok getah tidak jadi sebuah estet. Maka, tulislah banyak buku, jangan berhenti menulis, istiqamah.

Sebuah buku novel remaja mungkin mendatangkan royalti RM2 ribu setahun, tulis 10 buku, royalti saudara RM20 ribu setahun.

Fokus. Fokus. Fokus.

Saudara mungkin dilahirkan dengan bakat menulis yang tinggi. Tetapi bakat sahaja tidak menjamin buku-buku saudara itu laku berpuluh-puluh tahun dalam pasaran.

Buku-buku yang hayat pasarannya panjang ditulis dengan berpandukan formula-formula yang dihasilkan oleh kajian pakar-pakar pemasaran buku. Gunakan formula-formula itu, jangan main untung-untungan, dengan ikut fikiran sendiri yang belum melakukan sebarang kajian berkenaan book-trade.

Ada penulis yang bakatnya besar tetapi karya besarnya tidak siap-siap. Situasi ini tentu sekali tidak membolehkannya hidup sepenuh masa sebagai penulis.

Salah satu punca yang menyebabkan ada penulis berbakat besar yang tidak dapat menghasilkan banyak buku adalah habit berfikir secara kritis.

Apabila kita suka berfikir secara kritis, lazimnya fikiran kritis kita itu dihalakan kepada kerja-kerja orang lain. Kita sibuk berfikir tentang kerja orang lain, dan mengkritik kerja-kerja orang lain, bukan berfikir bagaimana hendak menyiapkan kerja-kerja kita sendiri. Jadi, fokus kita lari, lari daripada kerja sendiri kepada kerja orang lain!

Habit berfikir secara kritis juga menyebabkan kita memulakan fikiran dengan sikap ragu apakah pendapat dan hasil kerja orang-orang lain itu betul, lalu kita mencari-cari perkara-perkara yang tidak kita setujui bagi membuktikan keraguan kita itu betul.

Apabila kita ragu, dan kemudian kita terjumpa point-point yang tidak kita setujui, kita akan menolak semua sekali apa yang kita baca dalam tulisan orang itu. Kita hendak membuang air mandi si bayi dalam baldi itu, tapi bersama-sama air mandi itu kita buang bayinya sekali! Yang tinggal di tangan kita adalah baldi kosong. Jadi kita tidak memperoleh sebarang manfaat daripada tulisan orang lain itu.

Tujuan pemikiran kritis adalah hendak membuktikan kerja orang lain salah. Kalau pun kita berjaya membuktikan kerja orang lain salah, kerja kita sendiri tidak semestinya betul.

Apabila kita pandai mengkritik kerja orang lain, kadang-kadang benda-benda yang kita kritik itu bukan pun benda-benda yang berdosa hukumnya, yang haram, yang tidak ikut Quran dan sunnah, tetapi kita kritik juga bagaikan benda-benda itu dosa besar.

Sekurang-kurangnya orang-orang lain itu sudah menghasilkan banyak kerja, yang mungkin lemah, tetapi tidaklah semuanya lemah belaka. Mana kerja kita? Penghasilan kita sendiri tidak ada kait-mengaitnya dengan kelemahan kerja-kerja orang lain.

Biarkan orang lain menghasilkan kerja-kerja yang banyak kelemahannya di sana sini. Bagi setiap kerjanya yang baik, meskipun masih ada kelemahannya, orang itu sudah pun mendapat pahalanya.

Bagi kita, kita terus fokus pada menghasilkan kerja-kerja kita sendiri. Sikap inilah yang membantu kita menjadi penulis produktif, yang dapat menulis 2 buah buku setahun, yang laku dijual bertahun-tahun, yang akhirnya, insyaAllah, membolehkan kita hidup selesa sebagai penulis sepenuh masa.

Bagi saudara yang teruk kena kritik, ingatlah, saudara menulis untuk dinilai oleh Allah. Yang penting Allah suka apa yang saudara tulis dalam karya saudara itu. Banyak karya yang disukai manusia, tetapi tidak disukai Allah dan Rasulnya. Jadi, jangan patah semangat apabila penilaian manusia tidak selaras dengan penilaian Allah.

Allah-lah yang lebih mengetahui.


.

Tema Keluarga: Prinsip Surah Yusuf

Teori sastera konvensional tidak menerangkan kepada penulis apa tema-tema yang dapat melahirkan kisah-kisah yang indah, yang dapat kekal indah sepanjang zaman, yang dapat dinikmati oleh semua pembaca tanpa mengira bangsa, usia, agama mahupun kebudayaanya.

Mengikut teori sastera Islami aliran surah Yusuf, salah satu ciri pada tema utama dalam kisah yang indah adalah tema hubungan kekeluargaan.

Kisah Nabi Yusuf adalah kisah tentang apa yang terjadi dalam keluarga Nabi Yaakub suami isteri dengan 11 orang anak-anaknya. Dari mula kisah ini dibuka sehingga kisah ini tamat diceritakan, ia adalah perjalanan hidup keluarga Yaakub.

Dalam trend sastera konvensional hari ini, tema keluarga sudah dianggap passe, tidak trendi, sudah ketinggalan zaman. Dengan itu dalam novel-novel moden hari ini, watak-watak utamanya dicabut daripada akar kaum keluarganya menjadikan watak-watak itu sebagai individu-individu yang tidak berkeluarga ataupun mempunyai kaum kerabat lagi. Jadi kita lihat dalam novel SALINA karya A Samad Said, watak utama Salina tidak diceritakan latar belakang ahli-ahli keluarga dan sanak saudaranya.

Kita dapat melihat kelebihan karya yang mengambil tema perjalanan hidup sesebuah keluarga:

1. Tema keluarga adalah tema yang stabil. Ia stabil, tidak trendi, dan ia bersifat evergreen. Kisah Nabi Yusuf dan keluarganya sudah lebih seribu tahun usianya, dan ia masih kekal dibaca dan dinikmati sehingga hari ini.

Novel yang menjadikan tema keluarga sebagai tema utamanya dapat menjadi harta intelek yang panjang hayat pasarannya. Dengan demikian ia dapat dijual selama berpuluh-puluh tahun dan membawa hasil royalti yang berpanjangan.

2. Tema keluarga adalah tema universal. Ia bukan tema regional dan lokal. Tema-tema lokal, pasarannya pun lokal, oleh itu royaltinya kecil.

Justeru, cerita-cerita perjalanan hidup sesebuah keluarga dapat dinikmati oleh semua bangsa, dalam apa jua bahasa, justeru karya itu dapat diterjemahkan dan diekspot ke dalam bahasa-bahasa lain.

3. Tema keluarga menjadikan cerita itu dapat dibaca dan dinikmati oleh setiap anggota keluarga. Ia dapat dibaca generasi demi generasi. Kisah keluarga Nabi Yusuf dapat dibaca dan dinikmati oleh ibu bapa dan anak-anaknya.

Novel-novel tema keluarga, yang dulu dibaca oleh si ayah sewaktu dia remaja, kini novel-novel itu dapat pula dibaca dan dinikmati oleh anak-anaknya, malah cucu-cucunya. Pasaran novel jenis ini adalah lebih besar daripada pasaran novel yang tidak dapat dinikmati oleh semua anggota keluarga.

4. Tema keluarga adalah tema yang produktif. Sesetengah tema sukar menghasilkan produk-produknya. Namun tema keluarga adalah tema yang amat 'friendly', sesiapa sahaja dapat mencari bahan-bahan cerita kekeluargaan di sekelilingnya. Justeru mereka dapat menggunakan cerita perjalanan hidup keluarga mereka sendiri.

Tema perang sukar dihasilkan oleh penulis yang tidak mempunyai pengalaman berperang ataupun pengetahuan tentang ilmu peperangan, meskipun penulis itu dilahirkan dengan bakat kreatif yang besar. Demikian juga halnya dengan tema-tema sains, undang-undang, sejarah, penyakit mental dan seumpamanya.

Tentu sekali masih banyak kelebihan tema keluarga. Allah jualah yang lebih tahu mengapa apabila Dia hendak menunjukkan kisah yang indah, maka kisah yang dipilihNya adalah kisah keluarga Nabi Yaakub suami isteri dan anak-anaknya.


.