Saturday, August 19, 2006

Mengapa PTS Banyak PTS?

Salah satu pertanyaan yang sering diterima dari penulis yang baru hendak berkenalan dengan PTS adalah "Mengapa PTS banyak PTS? Mengapa tidak macam penerbit lain? - cuma 1 DBP, 1 ALAF21 dan 1 Creative."

Penulis-penulis baru keliru sebab mereka belum tahu buku mereka perlu dihantar kepada PTS yang mana, dan siapa yang menjaga buku mereka nanti. Hantar sahaja manuskrip saudara ke mana-mana anak syarikat, nanti pegawai yang menerimanya akan menghantarkannya kepada anak syarikat yang sesuai.

Lembaga Pengarah PTS meniru strategi bisnes MIZAN Indonesia. Dengan menubuhkan banyak anak syarikat, masing-masing dengan fokus produk yang berlainan, beberapa manfaat positif dapat dikekalkan:

(1) Setiap anak syarikat menjadi penerbit pakar, dengan staf yang berlualiti pakar bagi kategori buku yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Dengan cara ini kualiti dan varieti buku-buku terbitan masing-masing anak syarikat dapat ditingkatkan sepanjang masa.

(2) Staf setiap anak syarikat menikmati kebebasan berfikir secara kreatif dan eksperimental mencari idea-idea baru bagaimana mereka hendak membangunkan syarikat masing-masing menjadi penerbit besar. Strategi ini membolehkan Kumpulan PTS berkembang menjadi gergasi dalam tempoh yang lebih singkat, dengan izin Allah.

(3) Dengan menubuhkan banyak anak-anak syarikat, masing-masing dengan fokus produk masing-masing, PTS mencipta budaya kerja yang kurang kerenah birokrasinya, oleh itu buku-buku dapat diterbitkan dengan cepat.

(4) Dengan strategi ini, Lembaga Pengarah PTS percaya, setiap anak syarikat dapat mencipta peluang-peluang peningkatan kerjaya bagi staf masing-masing dalam organisasi PTS, tanpa perlu mencari kerjaya baru di tempat lain.

Berikut adalah senarai PTS dan pengkhususan masing-masing:

1. PTS Publications & Distributors. Ia mengedarkan buku-buku yang diterbitkan oleh anak-anak syarikat PTS. Pengurus: En. Zaharin zaharin@pts.com.my

2. PTS Millenia menerbitkan buku-buku motivasi dan bacaan popular.
Pengurus: En. Fauzul fauzul@pts.com.my

3. PTS Professional menerbitkan buku-buku akademik, bisnes, pengurusan dan pendidikan.
Pengurus: En Nazrul nazrul@pts.com.my

4. PTS One menerbitkan buku-buku bacaan remaja awal dan remaja.
Pengurus: Pn. Norhazizam norhazizam@pts.com.my

5. PTS Fortuna menerbitkan buku-buku sastera.
Editor: Cik Norashikin norashikin@pts.com.my

6. PTS Islamika menerbitkan buku-buku agama daripada khazanah klasik dalam bentuk kontemporari.
Pengurus: En. Faris faris@pts.com.my

7. PTS Litera Utama menerbitkan buku-buku IBS (International Best-sellers) secara bekerjasama dengan penerbit-penerbit Indonesia. Pemangku
Pengurus: En. Nazrul nazrul@pts.com.my

Banyak penulis PTS menulis untuk beberapa anak syarikat PTS secara serentak. Cara ini amat digalakkan.

Semua anak-anak syarikat PTS mengamalkan dasar-dasar yang sama dalam pengurusan hakcipta, di mana struktur royalti yang ditawarkan adalah berdasarkan garis panduan yang sama.


.

Lelaki Tampan dan Perempuan Cantik: Prinsip Surah Yusuf

Hero dan heroin yang terdiri daripada lelaki tampan dan perempuan jelita adalah salah satu unsur keindahan pada kisah surah Yusuf.

Ketampanan Nabi Yusuf digambarkan dengan dua cara:

(a) Apabila perempuan-perempuan Palestina yang menjadi sahabat isteri al-Aziz terpandang Nabi Yusuf, mereka tidak percaya bahawa makhluk yang ada di depan mereka itu adalah manusia biasa. Mereka percaya yang mereka pandang itu adalah malaikat yang menyerupai manusia. Kata mereka, "Ini bukanlah manusia, tidak lain, ini malaikat yang mulia!" (ayat 31)

(b) Pada saat itu mereka masing-masing sedang memegang pisau buah, tetapi apabila mereka terpandang Nabi Yusuf, tanpa disedari, tangan mereka terluka oleh pisau yang dipegang. (ayat 31)

Kita tidak diberitahu tentang kejelitaan isteri al-Aziz tetapi ada disebutkan bahawa Nabi Yusuf tidak membalas cinta wanita itu disebabkan beliau takut kepada Allah (ayat 24). Dari sini kita dapat menyimpulkan bahawa wanita itu memiliki daya tarikan.

Berdasarkan surah Yusuf, bagi menghasilkan sebuah kisah yang indah, hero dan heroinnya hendaklah tampan dan jelita. Unsur ini amat jelas digunakan dalam industri filem.




.

Terbit Buku Kulit Tebal

Jika saudara hendak menerbitkan buku kulit tebal, barangkali saudara hendak tahu berapakah jumlah unit yang optimum saudara terbitkan dan bagaimana cara menjualnya.


Umumnya, buku-buku kulit tebal dibeli oleh perpustakaan. Pembeli individu bukan sasaran utama buku-buku kulit tebal disebabkan harga jualan edisi kulit tebal adalah sekitar RM10 lebih mahal. Oleh itu buku-buku kulit tebal Melayu sangat perlahan jualannya dalam kedai-kedai buku.


Jumlah perpustakaan awam di negara ini adalah sekitar 400 buah, maka 400 buah adalah jumlah yang selamat. Ini bermakna, jika saudara mencetak 2 ribu naskhah, beritahu pencetak itu saudara mahu 400 daripadanya dibuat kulit tebal.


Kos membuat kulit tebal adalah sekitar antara RM2 – RM3 ringgit lebih tinggi daripada kulit lembut, berdasarkan jenis-jenis kulit tebal itu.


Jika saudara hendak menerbitkan buku kulit tebal, dua faktor yang perlu diambil kira adalah:


(a) Adakah saudara dapat menjual buku itu dalam kedai-kedai elitis seperti rangakaian MPH dan KINOKUNIYA, sebab hanya pengunjung kedai-kedai elitis yang sedia membeli buku-buku mahal. Faktor ini menyebabkan kedai-kedai buku kecil tidak mahu mempamerkan buku-buku kulit tebal sebab ia merugikan ruang pameran dalam kedai.


(b) Adakah saudara dapat membekalkan buku saudara kepada perpustakaan-perpustakaan awam, sebab ia dilakukan melalui proses tender dan hanya kontraktor buku yang berdaftar dengan kementerian kewangan sahaja dapat membekalkan buku-buku ke perpustakaan.


Semua penulis ingin bukunya diterbitkan sebagai buku kulit tebal disebabkan prestij yang dikaitkan dengan buku-buku kulit tebal. Bagi penulis, kepuasan membaca namanya tercetak pada edisi kulit tebal adalah ibarat mempunyai Rolls Royce di halaman rumah.





Trend Jualan Terbaru Buku PTS

Data jualan buku-buku PTS sejak 6 bulan yang lalu menunjukkan perubahan arah angka yang amat ketara dan ini menimbulkan kejutan kepada pengurusan PTS.

Sehingga 2005, perolehan terbesar PTS adalah daripada judul-judul motivasi, dengan buku-buku Ahmad Fadzli Yusuf dan Dr. Danial Zainal Abidin mendahului nama-nama lain.

Tetapi sejak 6 bulan yang lalu, data menunjukkan perolehan daripada judul-judul bisnes mula meningkat dengan amat ketara sehingga telah mengatasi judul-judul motivasi!

Ini tidak bermakna jualan judul-judul motivasi turun. Tidak. Jualan buku-buku motivasi kekal aktif, cuma jualan buku-buku bisnes PTS yang melonjak naik mengatasi kenaikan jualan buku-buku motivasi
.

Pengurusan PTS dapat mengikuti prestasi jualan setiap judul hari demi hari disebabkan mulai bulan Januari 2006 kita telah menggantikan sistem pengurusan MYOB dengan sistem SAP dari Jerman yang lebih sesuai dengan perkembangan aktiviti syarikat.


.

Friday, August 18, 2006

Laman Rasmi dan Bisnes Buku

Awal bulan ini, sewaktu saya masuk supermarket buku GRAMEDIA di Bandung, saya gerun melihat banyaknya judul terjemahan dalam bahasa Indonesia, dan banyaknya nama-nama penerbit baru muncul yang menerbitkan buku-buku terjemahan yang tebal dan mahal.

Saya juga gerun melihat ramainya orang dalam supermarket buku itu pada hari Ahad.

Antara tujuan saya memasuki kedai-kedai buku utama di Bandung adalah bagi memeriksa sendiri buku-buku PTS yang sudah dilesenkan dan diterbitkan oleh MIZAN sebagai edisi Indonesia.

Pada suatu masa dahulu, urusan hendak mendapatkan lesen hakcipta terjemahan buku-buku penerbit luar negara adalah amat sukar dan mahal sehingga hanya penerbit besar seperti DBP dan Penerbit Oxford sahaja yang berupaya mendapatkan lesen hakcipta terjemahan.

Pada masa itu DBP terpaksa menghantar pegawainya ke pesta-pesta buku antarabangsa dan pergi ke gerai penerbit-penerbit luar negara itu bagi menemui pegawai undang-undang dan hakciptanya, dan berunding tentang lesen menterjemah.

DBP juga perlu mempunyai pegawai khas, lazimnya dia berkelulusan undang-undang, bagi menguruskan surat menyurat dan perjanjian lesen dan hak penerbitan.

Kekangan-kekangan itu menyebabkan dua kesan negatif ke atas industri buku:

a. Industri terjemahan berkembang amat lembap.

b. Kegiatan mencuri hakcipta berleluasa, seperti yang penah berlaku di Indonesia.

Pada hari ini, internet membolehkan penerbit mendapatkan lesen hakcipta dengan amat pantas. Penerbit tidak perlu pergi ke pesta-pesta buku antarabangsa. Penerbit tidak perlu mengambil pegawai lulusan undang-undang bagi menguruskan surat menyurat pelesenan.

Bukalah sahaja laman web penerbit luar negara itu dan terus tulis permohonan bagi mendapatkan lesen dan hakcipta penerbitan mana-mana judul buku yang dimahukan.

Dengan membuka laman web korporat saudara, penerbit luar negara itu sudah dapat menilai sama ada mereka patut menerima ataupun menolak permohonan saudara disebabkan laman web saudara menceritakan besar ataupun kecilnya bisnes saudara.

Melaburlah dalam pembinaan laman web yang berkualiti apabila saudara mahu terjun ke dalam sektor buku terjemahan.

Walaupun penerbit luar negara itu tidak tahu membaca web Melayu, tetapi hanya dengan meng-klik-klik web saudara itu mereka tahu kualiti bisnes penerbitan saudara.


.

Musim-musim Buku

Bulan puasa akan datang tidak lama lagi. Bulan Ramadhan datang dengan pelbagai kebaikan, termasuk rezeki yang melimpah-limpah bagi para penerbit.

Jika saudara buka laman web rasmi PTS, saudara dapat lihat judul-judul buku agama ulang cetak dan yang akan terbit.

Mulai saat ini dan sepanjang bulan puasa, jualan buku-buku agama melonjak, dan kemudian ia turun semula selepas hari raya ke paras normal. Begitulah ragam pasaran buku-buku Melayu.

Bagi saudara yang baru belajar menjadi penerbit, ambil ingatan bahawa pasaran buku mempunyai takwim atau kalendarnya sendiri.

Program penerbitan saudara sebaik-baiknya jangan bertentangan dengan kalendar buku. Sebagai contoh, sebulan dua sebelum bulan puasa jangan terbitkan buku-buku sastera yang berat-berat. Fokuskan kepada buku-buku agama sebab memang pembaca Melayu lebih banyak membeli buku-buku agama menjelang bulan puasa.

Siapa pula yang membaca buku sastera berat-berat dalam bulan puasa!

Dalam bulan puasa pula, cetak dan edarkan buku panduan umrah dan haji, sebab mereka yang akan naik haji mula membeli buku-buku itu selepas tamat mood hari raya.

Bulan raya sehingga bulan haji juga adalah bulan orang bertunang dan bersanding. Dalam bulan puasa ini mulakan mencetak buku-buku panduan suami isteri dan segala macam panduan menyediakan peralatan majlis perkahiwnan.

Takwim ini juga penting kepada para penulis. Jangan tulis buku panduan puasa dalam bulan puasa, nanti penerbit akan simpan manuskrip saudara itu sampai tahun depan baru diterbitkan. Jenuhlah saudara menunggu!



Fokus Bisnes PTS Litera Utama

Sebagaimana yang sudah disebut lebih awal dalam blog ini, PTS Litera Utama Sdn. Bhd. (PTS LITUM) adalah pelaburan bersama PTS dan MIZAN (Indonesia).

Target utama PTS LITUM adalah perpustakaan peribadi para peminat buku-buku 'international best-seller' (IBS) di Malaysia. PTS LITUM akan fokus menerbitkan edisi terjemahan buku-buku IBS kontemporari dan terkini.

PTS LITUM sedang bekerja keras dalam rangka membekalkan produk berkualiti khusus bagi memenuhi keperluan dan citarasa golongan kelas menengah dan terpelajar, yang majoritinya menyukai kedai-kedai buku elitis seperti MPH dan Kinokuniya.

Meskipun fokus PTS LITUM adalah buku-buku IBS, tetapi hanya judul-judul yang tidak bertentangan dengan nilai-nilai murni sahaja yang akan diterbitkan.

Sebagai permulaan, PTS LITUM sudah memilih judul-judul IBS yang terbukti mendapat sambutan hangat di Indonesia apabila diterjemahkan ke dalam bahasa itu. Dalam fasa terdekat ini, judul-judul itu terdiri daripada buku-buku bisnes, pengurusan, dan fiksyen. Dari masa ke masa lebih banyak kategori akan diterbitkan oleh PTS LITUM.



.

Karya Harta Awam: Kedudukan Hakcipta Terjemahan

Apabila PTS menerbitkan siri penyiasatan Sherlock Holmes karya Sir Arthur Conan Doyle, PTS tidak perlu mendapatkan izin bagi menterjemahkan karya-karya itu. PTS juga tidak perlu membayar royalti kepada waris Doyle. Ini disebabkan siri SH sudah menjadi harta awam.

Katakanlah siri SH itu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Tuan Rastom, PTS hanya membayar royalti kepada Tuan Rastom seorang, waris Doyle tidak menerima satu sen pun.

Apakah makna semua ini?

a. Hanya karya asal Sherlock Holmes, yang ditulis sendiri oleh mendiang Doyle, yang sudah bertaraf 'harta awam'. Karya original itu sahaja yang boleh diterbitkan semula oleh sesiapa tanpa meminta izin dan tanpa membayar royalti.

b. Ada penerbit di England yang menerbitkan siri SH edisi pelajar, maka hakcipta SH edisi pelajar itu bukan harta awam lagi. Maka jangan menterjemah SH ke dalam Bahasa Melayu berdasarkan edisi pelajar itu tanpa izin kerana perbuatan itu melanggar hakcipta.

c. Berpuluh-puluh negara sudah menterjemahkan siri SH ke dalam bahasa masing-masing, maka hakcipta terjemahan itu belum menjadi harta awam lagi. Maka jangan menterjemah SH berdasaran edisi terjemahan itu tanpa izin.

d. Katakanlah Tuan Rastom menterjemahkan siri SH ke dalam Bahasa Melayu, maka beliau mesti menterjemah dengan menggunakan edisi original. Hakcipta terjemahan adalah dimiliki oleh Tuan Rastom. Hanya selepas 50 tahun beliau meninggal dunia barulah terjemahannya itu menjadi harta awam.

e. Katakanlah ada penerbit ABC hendak menterjemah siri SH juga ke dalam Bahasa Melayu, silakan, no problem. Bagi edisi terjemahan itu hakciptanya dimiliki oleh pihak yang berkaitan. PTS mahupun Tuan Rastom tidak berhak menghalang mana-mana pihak lain menerbitkan terjemahan Bahasa Melayu mereka sendiri.

Bagi tiap-tiap terjemahan, hakciptanya adalah milik si penterjemah itu. Sebagaimana undang-undang hakcipta melindungi karya asal, undang-undang itu melindungi karya terjemahan sebagai karya asal juga.


.

Karya Harta Awam

Karya yang ditulis oleh warganegara Amerika menjadi harta awam atau 'public domain' selepas 75 tahun pengarangnya meninggal dunia.

Apabila sesebuah karya itu menjadi public domain, ini bermakna tidak ada sesiapa yang memiliki hakcipta ke atas karya itu. Ini juga bermakna sesiapa sahaja boleh menerbitkan semua karya edisi asli itu dan mengedarkannya tanpa mendapatkan izin dan tanpa membayar royalti.

Di Britain, tempoh itu adalah 50 tahun. Di Malaysia juga tempohnya adalah 50 tahun.

.

Tuesday, August 15, 2006

Notis

Bonda saya yang sedang dirawat di ICU hospital KPJ Shah Alam menunjukkan sakitnya bertambah berat. Dengan hal yang demikian saya dalam keadaan sedih dan banyak berada di hospital. Blog ini tidak dapat saya update seperti biasanya. Lebih 100 emel juga tidak dapat saya proses sebagaimana biasanya.

Monday, August 14, 2006

Rakaman Tahniah

Blog ini merakamkan ucapan tahniah kepada Tuan Penasihat PTS, Prof. Dr. Abdullah Hassan yang akan menerima gelar 'Profesor Emeritus' daripada Universiti Sains Malaysia pada majlis konvokesyen hari Rabu 16 Ogos.

.

Sunday, August 13, 2006

Nama Penulis: Rugi tetapi Untung

Nama-nama penulis adalah harta mahal bagi sesebuah penerbit. Penerbit-penerbit kecil sukar berkembang jikalau ia tidak mempunyai nama-nama pengarang yang terkenal. Jadi, sesebuah penerbit itu bangga sekali apabila dalam senarai penulis-penulisnya terdapat banyak nama-nama penulis yang terkenal.

Nama-nama penulis terkenal menyebabkan penerbit menikmati 2 perkara:

1. Daripada sudut bisnes, apabila penerbit itu dipercayai oleh penulis-penulis terkenal, mudahlah penulis-penulis lain meletakkan kepercayaan kepada penerbit itu. Sebagai contoh, apabila penerbit ABC berjaya menerbitkan karya Prof DiRaja Ungku Aziz, maka penulis-penulis lain percaya penerbit itu adalah penerbit yang boleh dipercayai, hasilnya mereka mahu menyerahkan karya mereka bagi diterbitkan oleh penerbit ABC.

Tetapi, yang sebaliknya juga berlaku. Apabila penerbit itu menerbitkan karya penulis yang tidak mempunyai kredibiliti, orang ramai akan mempunyai persepsi negatif terhadap penerbit itu. Sebagai contoh, penerbit XYZ mempunyai nama-nama penulis yang terkenal, tetapi mereka terkenal sebagai penulis novel-novel picisan, seperti novel seram dan novel cabul, ini menyebabkan penulis-penulis besar tidak mahu menyerahkan karya mereka kepada penerbit XYZ itu.

2. Nama-nama penulis terkenal membantu 'branding' dan promosi nama penerbit itu. Buku karangan Ungku Aziz mudah dipromosikan disebabkan stesen-stesen TV dan akhbar suka mempromosikan buku yang ditulis oleh tokoh seperti beliau. Apabila tokoh seperti Ungku Aziz itu dan bukunya disorot oleh media, nama si penerbit ABC ikut 'tumpang semangkuk'.

Inilah faktor yang mendorong para penerbit itu berusaha keras mendapatkan peluang menerbitkan karya tokoh-tokoh terkenal. Buku yang diterbitkan itu sendiri mungkin tidak berapa laku jualannya, malah si penerbit mungkin rugi, tetapi nilai sebenar buku itu terletak pada 'nama baik' atau 'good will' si tokoh yang mengarang buku itu.



.