Saturday, August 27, 2005

Penulis Menjadi Jurulatih

Dato Dr. Fadhilah Kamsah adalah seorang penceramah atau 'speaker' dalam bidang pembangunan diri. Begitu juga Dr. Danial Zainal Abidin. Kerja mereka bercakap. Puan Ainon Mohd. adalah seorang jurulatih atau 'trainer' bidang penulisan. Seperti seorang 'coach' bola, kerja Puan Ainon bukan bercakap tetapi melatih.

Baik penceramah mahupun jurulatih, sebaik-baiknya masing-masing mempunyai buku berkenaan bidangnya, sebab:

  1. Buku saudara adalah satu lagi sumber pendapatan bagi saudara. Tanpa buku saudara bergantung semata-mata kepada yuran.

  2. Buku saudara adalah cara saudara mengiklankan kepakaran saudara. Antara orang-orang yang membaca buku saudara mungkin terdiri daripada individu-individu yang terlibat dengan tugas-tugas menganjurkan ceramah ataupun latihan di tempat kerja mereka.

  3. Buku saudara dapat dijadikan salah satu daripada bahan yang dibekalkan kepada para peserta seminar ataupun latihan.

  4. Buku saudara membolehkan saudara menaikkan yuran yang saudara kenakan disebabkan dengan membaca andungan buku itu orang dapat menilai taraf ilmu dan kepakaran saudara.

Apakah perbezaan antara penceramah dan jurulatih?

  1. Penceramah bercakap di depan ramai khalayak. Jurulatih bercakap di depan 30 ataupun 40 orang khalayak sahaja.

  2. Penceramah bercakap menggunakan mikrofon disebabkan dia bercakap dari atas pentas di dalam dewan. Jurulatih menggunakan suara biasa, seperti guru-guru, disebabkan dia menjalankan latihannya dalam bilik latihan yang kecil.

  3. Penceramah boleh bercakap dalam radio dan televisyen, kaset dan CD. Jurulatih tidak mungkin dapat menjalankan sesi latihan tanpa pelatih-pelatihnya berada di depannya.

Ada orang masih keliru berkenaan siapa penceramah dan siapa jurulatih. Akibatnya, apabila mereka memerlukan jurulatih, mereka mungkin mencari penceramah. Kemudian mereka berkata, “Kita sudah jemput Dr. Si Polan, tetapi tidak ada perubahan, staf kita masih tak pandai menjadi jurujual yang agresif!”

Apakah perkara utama yang membezakan penceramah dan jurulatih?

Objektif penceramah menyampaikan ceramahnya adalah memberi kesedaran dann kefahaman, yakni memberitahu dan menerangkan berkenaan sesuatu isu. Sebagai contoh, seorang penceramah bercakap tentang isu 'malu tidak kena tempatnya'. Jadi, mereka yang mendengar ceramahnya faham isu itu. Tetapi bukan bermakna apabila kita sudah faham maka kita dapat melakukannya.

Objektif jurulatih menjalankan sesi latihannya adalah memindahkan kemahiran yang beliau miliki kepada pelatih-pelatihnya. Sebagai contoh seorang jurulatih melatih para peserta bengkelnya teknik-teknik bagaimana mereka dapat mengawal rasa apabila membuat panggilan telefon pertama bagi mendapatkan tarikh temujanji dengan bakal pelanggan yang belum dikenali. Di sini, selepas dilatih, mereka bukan hanya sekadar faham, mereka dapat menggunakan teknik-teknik itu.



Friday, August 26, 2005

Penceramah Terbit Buku Sendiri

Apabila saudara menjadi penceramah yang mempunyai buku, ada beberapa cara saudara dapat mempromosi buku-buku saudara:

  1. Saudara boleh menjual sendiri buku-buku saudara setiap kali saudara menyampaikan ceramah. Lazimnya saudara boleh ambil buku-buku saudara daripada penerbit saudara pada harga pengedar, dan jual pada harga yang lebih tinggi.

  2. Sesetengah penerbit memberi peruntukan kepada penulis di mana penulis dibenarkan mengambil bukunya sehingga RM2 ribu ataupun lebih tanpa membayar tunai harga buku itu, sebaliknya ia akan ditolak sahaja daripada royalti penulis pada akhir tahun.

  3. Saudara juga boleh menjual buku-buku penulis lain yang saudara yakin akan dibeli oleh mereka yang hadir dalam kursus saudara.

  4. Sesetengah penerbit mempunyai pasukan pameran buku di mana mereka banyak membuat pameran buku bersama-sama penceramah yang terkenal. Cara ini lebih profesional dan amat baik untuk menjaga imej saudara kerana ketibaan saudara diiringi oleh pegawai-pegawai daripada penerbit saudara sendiri. Sebaik-baiknya saudara mencari penerbit seperti ini.

  5. Sesetengah penerbit juga bertindak sebagai pengurus publisiti penulis di mana mereka mempromosi nama-nama penulis mereka kepada para penganjur ceramah dan kepada media. Saudara patut menerbitkan buku saudara dengan penerbit seperti ini.

Sesetengah penceramah menerbitkan dan menjual sendiri buku yang mereka tulis. Apakah kelebihan dan kekurangan cara ini?

  1. Margin keuntungan saudara lebih besar sebab saudara tidak perlu memberi potongan harga kepada sesiapa. Kalau modal saudara RM2 dan saudara jual pada harga RM3, maka keuntungan saudara adalah RM1. Kalau saudara jual 3 ribu naskhah, saudara untung RM3 ribu.

  2. Mutu fizikal buku saudara menjadi rendah disebabkan saudara bukan penerbit profesional. Sebagai penulis, saudara pun mempunyai maruah, apabila buku saudara cantik, saudara berasa bangga dengan wajah buku saudara itu. Apabila buku tidak cantik, hendak meletakkan harga yang lebih pun saudara malu!

  3. Apabila saudara membawa sendiri buku saudara, imej saudara jatuh di mata hadirin yang sofisticated citarasanya.

  4. Walaupun margin keuntungan saudara lebih besar bagi setiap unit buku, tetapi jumlah jualan buku saudara lebih kecil dibandingkan dengan buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit profesional, disebabkan saudara tidak mempunyai keupayaan memasarkan buku saudara secara profesional. Yang jelas, buku saudara tidak dapat masuk kedai-kedai buku di seluruh negara. Akibatnya, apabila saudara tidak berceramah, buku saudara pun tidak bergerak dari dalam setor rumah saudara.

  5. Dengan menerbitkan buku sendiri, saudara memerlukan modal tunai bagi mencetak buku saudara.

  6. Sebagai penerbit yang tidak profesional, saudara mungkin tersalah membuat anggaran tentang jumlah yang perlu dicetak. Ada kemungkinan saudara terlebih cetak daripada jumlah yang dapat dijual.

Jika saudara hendak menjadi penceramah profesional, tulis dan terbitkan buku saudara secara profesional. Pada jangka masa panjang cara ini lebih menguntungkan saudara.



Penulis Menjadi Penceramah

Para penyanyi mempunyai dua sumber pendapatan utama, iaitu royalti daripada jualan albumnya, kedua, daripada yuran persembahan atau 'show'nya. Tentu sekali penyanyi-penyanyi top seperti Siti Norhaliza mempunyai sumber pendapatan ketiga yang amat besar, iaitu sebagai duta-duta produk dalam iklan dan aktiviti promosi produk-produk itu.

Penulis seperti Dr. Danial Zainal Abidin, Dr. Robiah K. Hamzah dan Dr. HM Tuah Arshad menjadi penceramah yang amat popular disebabkan buku-buku mereka mendapat sambutan amat baik dalam pasaran.

Jikalau saudara berminat menjadi penceramah, apakah tip-tip yang berguna kepada saudara?

  1. Pilih tema ceramah yang hendak saudara ceburi. Tulis buku yang selaras dengan bidang ceramah saudara. Katakanlah saudara hendak berceramah tentang psikologi kejayaan, tulislah buku dengan tajuk 'Psikologi Kejayaan'. Jangan saudara berceramah lain tajuk, buku saudara lain tajuknya, ia boleh menyebabkan hadirin sangsi akan kepakaran dan kebenaran kata-kata saudara dalam ceramah itu.

  2. Mulakan dengan menulis buku-buku saudara dulu, kemudian baru terjun ke dalam bisnes ceramah. Tiru strategi Sdr. Naim Jaafar. Beliau mula dengan menulis buku-bukunya tentang karisma. Kini mereka yang membaca buku-bukunya mula mengundang beliau datang memberi ceramah dan mengendalikan bengkel-bengkel karisma. Strategi yang serupa digunakan oleh Sdr. Fadzli Yusof bagi menembusi pasaran motivasi sekolah.

  3. Jangan cuba menjadi penceramah dahulu dengan harapan saudara akan menulis buku kemudian. Apabila saudara sudah sibuk bercakap dan berceramah, saudara tiada masa menulis lagi. Tulis buku sekarang, sebelum saudara sibuk berceramah. Nanti sambil saudara berceramah buku-buku saudara sudah sedia untuk dijual. Hadirin yang seronok mendengar ceramah saudara akan lebih terbuka bagi membeli buku-buku saudara. Mereka juga pulang dengan perasaan lebih puas hati disebabkan dapat membeli buku saudara. Mereka juga lebih faham apabila membacanya kerana sudah mengikuti ceramah berkenaan topik itu lebih dahulu.

  4. Penceramah yang tidak mempunyai buku cenderung dibayar dengan harga yang murah oleh penganjur dibandingkan dengan penceramah yang mempunyai buku. Ini serupa juga dengan penyanyi, di mana mereka yang mempunyai album menerima bayaran yang lebih tinggi.

  5. Mempunyai buku adalah lebih penting disebabkan, apabila saudara sudah terkenal, tetapi saudara sudah penat berceramah dan hendak berhenti berceramah, pendapatan daripada buku-buku saudara berjalan terus. Tanpa buku, saudara tidak dapat berhenti berceramah, sebab kalau saudara berhenti, pendapatan saudara juga berhenti. Nasib saudara serupa dengan nasih penyanyi kelab malam. Jadilah macam penyanyi 'recording artiste', sudah mati pun, warisnya masih menerima royalti daripada album mereka. Tulislah buku, lebih evergreen buku itu, lebih panjang pendapatan saudara.

Tanpa buku, pendapatan saudara rendah, oleh itu bagi menaikkan pendapatan, saudara akan melebihkan ceramah, akibatnya saudara terjekar ke sana terkejar ke sini menyampaikan ceramah, di surau, di masjid, di TV, di radio, sehingga saudara tiada masa menulis.



Ditipu Penerbit (lagi)

Penerbit saudara mempunyai pelbagai cara menipu saudara:

  1. Saudara diberitahu buku saudara dicetak 3 ribu naskhah, tetapi penerbit mencetak 5 ribu naskhah. Ini bermakna saudara tidak menerima royalti daripada 2 ribu naskhah itu.

  2. Penerbit memberitahu buku saudara tidak laku, tetapi buku saudara diulangcetak diam-diam.

  3. Saudara diberitahu buku saudara dijual kepada pengedar pada harga diskuan RM6 tetapi sebenarnya ia dijual pada harga RM7.

  4. Saudara diberitahu buku return yang rosak adalah 300 naskhah, tetapi sebenarnya cuma 20 naskhah.

  5. Penerbit menolak manuskrip saudara dengan alasan ia tidak sesuai diterbitkan, tetapi tidak lama kemudian penerbit menerbitkan bukunya sendiri yang seakan-akan manuskrip saudara.

  6. Apabila tiba musim membayar royalti, saudara diberitahu buku saudara yang laku dijual adalah 1 ribu naskhah, tetapi jumlah yang laku adalah 2 ribu naskhah.

  7. Penerbit mendapat kontrak membekalkan 1 ribu naskhah kepada projek kerajaan, tetapi perkara ini tidak dimaklumkan kepada saudara.

  8. Penerbit melesenkan buku saudara diterbitkan di Indonesia oleh penerbit Indonesia dengan perubahan pada nama pengarang, tetapi saudara tidak dimaklumkan.

Jikalau penerbit hendak menipu saudara, dia mempunyai banyak cara yang membolehkan saudara tidak dapat kesan dengan mudah. Itulah sebabnya saudara mesti berhati-hati memilih penerbit.


Wednesday, August 24, 2005

Pencetak Merompak Penerbit

Salah satu risiko apabila buku saudara meletup-letup dalam pasaran adalah ia dicetak rompak. Dalam sejarah industri buku negara kita, pertama, buku yang paling banyak menjadi mangsa cetak rompak adalah buku Shahnon Ahmad “SHIT” dan kedua buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri.”

“SHIT” dirompak dengan bantuan pencetak buku dan dijual di pasaran terbuka, manakala “50 DALIL” dicetak menggunakan mesin fotokopi dan dijual dalam pasar gelap.

Buku-buku yang dicetak rompak adalah buku-buku yang permintaannya amat tinggi. Para pencetak buku memainkan peranan penting membolehkan perkara ini berlaku. Lebih penting lagi adalah terdapatnya pengedar, kedai buku dan individu-individu yang mahu menjual buku-buku cetak rompak itu.

Pada masa ini buku-buku cetak rompak yang paling banyak terjual dalam pasaran tempatan adalah buku-buku Cina dari Hong Kong dan Taiwan yang dicetak rompak di negara ini dan dijual secara terbuka dengan harga yang amat berpatutan berbanding dengan harga buku original yang diimpot.

Bagi merahsiakan kelarisan sesuatu buku, sesetengah penerbit sengaja tidak melancarkan buku-bukunya disebabkan mereka tidak mahu para perompak tahu bahawa buku itu laris di pasaran.

Berikut adalah beberapa panduan bagi mengurangkan risiko pencetak buku-buku saudara sendiri daripada mencetak-rompak buku saudara.

  1. Ambil semua filem dan plat daripada penerbit dan simpan sendiri. Jangan benarkan penerbit menyimpan barang-barang itu.

  2. Lantik pencetak yang rekodnya terkenal bersih. Siasat dahulu latar belakang mana-mana pencetak yang hendak saudara lantik.

  3. Lantik pencetak yang hanya membuat kerja-kerja mencetak sahaja. Dia tidak mempunyai syarikat lain. Ingat: Ada pencetak yang mempunyai anak syarikat membuat filem, anak syarikat penerbitan, dan juga anak syarikat pengedaran buku. Ini amat berbahaya. Dia dapat diam-diam mencetak buku saudara, dan dia dapat mengedarkan buku saudara!

Barangkali saudara ingin tahu mengapa novel-novel cinta remaja Alaf21 yang laku beratus ribu naskhah itu tidak dicetak rompak. Beginilah penerangannya:

  1. Alaf21 mencetak sendiri novel-novelnya.

  2. Tidak ada pengedar dan pekedai yang berani menjual buku cetak rompak Alaf21 disebabkan Karangkraf mempunyai senapang besar yang dapat diacukan ke kepala mereka. Karangkraf boleh ugut mereka lebih kurang begini, “Kalau kami dapat tahu kamu jual novel kami yang dicetak rompak, kamu takkan dapat bekalan 34 buah akhbar dan majalah kami yang lain!”

Buku-buku Cina dari Taiwan dan Hong Kong dicetak rompak dengan meleluasa di sini disebabkan penerbit asal tidak berupaya menghalang perkara itu daripada berlaku.



Wajah Penulis di Kulit Buku

Seorang profesor mahu supaya wajahnya dicetak pada kulit bukunya dengan alasan, “Ramai orang sudah kenal saya.”

Edward de Bono sudah menerbitkan 48 judul buku tentang Lateral Thinking dan sudah kaya-raya. Begitu kaya sehingga dia mampu membeli castle lama lalu ditukar menjadi kediaman rasminya.

Begitu terkenal namanya, tetapi gambarnya tidak pernah dijadikan sebahagian daripada wajah kulit buku-bukunya.

Kulit buku adalah sekeping kertas iklan yang digunakan oleh penerbit bagi menjual apa yang ada dalam buku. Oleh itu penerbit sangat berhati-hati memilih imej-imej yang dapat menjual buku.

Hujah: “Ramai orang sudah kenal saya.” tidak dapat dijadikan jaminan buku itu dapat dijual berpuluh-puluh ribu naskhah. Antara alasannya:

  1. Buku itu bukan hendak dijual kepada orang-orang yang mengenali pengarang sahaja.

  1. Pembeli buku tidak membeli buku berdasarkan alasan dia kenal pengarangnya.

  1. Wajah pengarang mungkin mencipta kesan negatif ke atas persepsi bakal pembeli.

Dalam dunia fesyen, model lelaki yang memperagakan pakaian di atas pentas dan dalam iklan tidak boleh lebih tua daripada 24 tahun meskipun pembeli sasaran pakaian itu adalah lelaki-lelaki yang lebih tua usianya.

Dalam dunia make-up, L'oreal pernah menggunakan wajah wanita 27 tahun bagi mengiklankan barangan penjagaan kulit untuk pembeli sasaran 30 tahun ke atas, hasilnya barangan itu tidak laku.



Huruf C dalam Bulatan ©

Kebanyakan penulis tahu bahawa smbol © adalah lambang hakcipta. Apabila simbol ini digunakan pada buku dengan teraan seperti di bawah:

© Zainal bin Bulat 2005

Simbol di atas bermakna pada tahun 2005 hakcipta isi kandungan buku itu adalah kepunyaan Zainal bin Bulat seorang sahaja.

Pada tahun 2005 Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan seminar berkenaan Kris Mas. Kertas kerja seminar itu dicetak dalam bentuk sebuah buku tebal tanpa terlebih dahulu mendapatkan persetujuan daripada penulis-penulis kertas kerja itu. Pada buku itu dicetak:

© Dewan Bahasa dan Pustaka

Adakah dengan mencetak tanda © dan meletakkan nama 'Dewan Bahasa dan Pustaka' di situ, maka secara automatik hakcipta kertas-kertas kerja itu sudah menjadi milik DBP?

Tidak. Tanda © yang tercetak pada buku itu tidak mempunyai implikasi undang-undang daripada segi pemilikan hakcipta buku itu. Hakcipta setiap kertas kerja yang dicetak dalam buku itu tetap berada di tangan penulisnya.

Hakcipta sesebuah karya itu terpindah apabila si pengarang menandatangani dokumen pindahmilik dengan pihak kedua.

Jadi ingatlah: Selagi saudara tidak menandatangani apa-apa perjanjian dengan penerbit, yang dengan jelas mengatakan saudara sudah memindahkan hakcipta kepada penerbit itu, hakcipta karya tersebut masih ada pada saudara. Saudara berhak melakukan apa sahaja kepada kertas kerja saudara. Malah kalau mahu, saudara boleh menyaman penerbit yang menerbitkan karya saudara tanpa terlebih dahulu menandatangani perjanjian penerbitan dengan saudara.

Bukti bahawa penerbit adalah pemilik hakcipta sesuatu karya adalah dokumen perjanjian yang ditandatangani secara sah dengan pemilik asal hakcipta karya itu.


Tagih Hutang Buku dengan Buku

Bisnes buku adalah bisnes yang hidup dengan hutang, hutang, hutang. Bisnes tutup pun disebabkan hutang.

Sebuah penerbit yang nilai jualan bukunya adalah sekitar RM5 juta setahun, sekurang-kurang dia berhutang RM500 ribu kepada pencetak, manakala agen-agen buku berhutang kepada penerbit sekitar RM2.5 juta!

Untuk membayar hutang kepada pencetak, penerbit mesti dapat menagih hutang daripada pengedar-pengedarnya. Senang cakap: Tarik hutang sana, bayar hutang sini.

Penerbit berhutang kepada pencetak. Dalam tempoh 3 bulan saudara mesti bayar pencetak, kalau tidak dia tidak mahu mencetak buku saudara lagi.

Penerbit juga berhutang kepada penulis, yang bukunya sudah dijual tetapi royaltinya belum dibayarkan.

Pencetak berhutang kepada pembekal kertas. Kalau dalam tempoh 3 bulan tidak dibayar, dia tidak dapat bekalan kertas.

Pengedar berhutang kepada penerbit. Kalau pengedar tidak mahu membayar hutangnya, penerbit akan masukkan dia ke dalam senarai hitam, akibatnya dia tidak mendapat bekalan buku-buku baru. Kalau tidak ada buku, pengedar hendak edar apa?

Kedai buku berhutang kepada pengedar. Kalau dia tidak membayar hutangnya, akibatnya kedai bukunya tidak mendapat buku-buku baru. Dia hendak jual apa? Sudah jadi perangai pembeli buku, setiap kali dia masuk kedai buku, dia hendak tengok buku-buku baru dipamerkan. Pembaca buku tidak akan membeli buku yang serupa dua kali. Lainlah pembeli rokok!

Runner buku berhutang kepada kedai buku. Kalau dia tidak bayar hutang, lain kali dia tidak diberi buku-buku baru.

Walaupun menjual buku tidak serupa dengan menjual rokok, tetapi cara-cara menagih hutang buku serupa dengan menagih hutang rokok.

Cuba saudara perhatikan bagaimana salesman pengedar rokok menagih hutang dari pekedai. Dia datang dengan van yang membawa bekalan rokok baru. Tiba di kedai, dia turun membawa buku invois sahaja. Rokok ditinggalkan sahaja dalam van. Dia masuk kedai, dia kira berapa kotak rokok yang tidak habis dijual, kemudian dia menyerahkan sekeping kertas kepada tuan punya kedai. Tuan punya kedai membaca kertas itu, membuka laci, mengeluarkan wang tunai lalu membayar hutang rokoknya. Sesudah itu barulah salesman rokok itu pergi ke van dan menurunkan bekalan kotak-kotak rokok baru lalu diserahkan kepada tuan punya kedai.

Jangan saudara pergi menagih hutang daripada kedai ataupun pengedar dengan tangan kosong. Macam-macam alasan akan saudara terima daripadanya mengapa dia belum dapat membayar hutang saudara. Buat sakit hati sahaja!

Jadi, kalau saudara hendak menjadi penerbit, saudara mesti setiap bulan menerbitkan buku baru yang laku. Kalau tidak, saudara tidak mempunyai pistol berpeluru hidup yang hendak saudara acukan muncungnya ke dahi si penghutang. “Cakap: Nak matikah, nak bayar hutangkah? Pilih!”

Tunjukkan kepada pekedai itu senaskhah buku baru saudara yang cantik dan menarik isinya, yang akan laris dalam kedai bukunya. Biar meleleh air liurnya. Kalau dia hendak buku baru saudara, biar dia bayar dulu hutang yang ada! Selagi dia tidak membayar hutangnya, jangan hantar buku ke kedainya.


Tuesday, August 23, 2005

Panduan Mencari Penerbit yang Kredibel

Jikalau saudara baru belajar menulis, ini ada beberapa panduan am tentang bagaimana hendak mengurangkan risiko tersalah serah manuskrip kepada penerbit yang tidak kredibel:

1. Jangan serahkan manuskrip kepada individu yang baru hendak cuba-cuba menerbitkan buku. Dia mungkin bukan penipu, tetapi disebabkan dia baru belajar menjadi penerbit, kemungkinan dia gagal dalam bisnes penerbitannya adalah besar, oleh itu risiko yang saudara ambil adalah amat tinggi.

2. Jangan serahkan manuskrip saudara kepada penerbit yang 'one-man show' di mana dia membuat semua keputusan tentang manuskrip saudara. Dialah tawkay, dialah yang pegang buku cek, dialah yang memilih manuskrip, dan dialah yang pergi ke bank. Individu seperti itu amat berkuasa dan jika dia hendak menipu saudara, memang mudah dia melakukannya, sebab semua rekod perniagaan dia simpan.

3. Jangan serahkan manuskrip disebabkan saudara percaya kepada orang itu. Walaupun dia sahabat baik saudara, itu bukan jaminan dia akan berjaya menjaga kepercayaan saudara.

4. Jangan serahkan manuskrip kepada sesiapa sebelum saudara bertanya kepada orang yang lebih berpengalaman akan latar belakang penerbit itu. Dapatkan maklumat adakah penerbit itu membayar royalti tanpa ditagih, adakah dia menyediakan dokumen perjanjian penerbitan.

5. Tip mudah yang amat berguna adalah tanya adakah ketua eksekutif penerbit itu seorang yang semata-mata makan gaji dengan syarikat tersebut. Jika benar, itu bermakna risiko saudara ditipu oleh orang yang makan gaji adalah rendah disebabkan dia hanya makan gaji. Lainlah kalau dia tuan punya syarikat itu, di mana apabila dia dapat menipu saudara, wang itu masuk ke dalam akaun peribadinya.

Memang risiko saudara ditipu oleh penerbit kecil sentiasa ada, tetapi bukan semua penerbit kecil adalah penipu. Di mana-mana sekalipun ada penipu. Kebanyakan penerbit kecil tidak dapat membayar royalti saudara disebabkan mereka gagal dalam bisnes.

Penulis Muncul di Televisyen

Salah satu soalan lazim yang ditanya oleh orang awam adalah, apabila penulis muncul memberi ceramah di TV, berapa ribu ringgit mereka dibayar?

Kebanyakan orang awam percaya sesiapa yang muncul dan bercakap-cakap di kaca TV mendapat bayaran lumayan. Tidak, gambaran itu tidak betul.

Bagi sesetengah stesen TV, jika anda muncul sebagai tetamu istimewa dalam slot-slot rancangan tetap harian ataupun mingguan, saudara tidak dibayar apa-apa. Saudara hanya diberi cenderamata korporat yang harganya mungkin cuma RM4 ataupun RM5 sahaja.

Jika saudara menjadi penceramah dalam siri slot komersial yang dibekalkan oleh syarikat luar kepada stesen TV itu, saudara dibayar oleh syarikat pembekal tersebut, bukan oleh stesen TV.

Jika sebelum saudara balik dari studio itu saudara diminta mengisi borang tuntutan bayaran dan perbatuan, maka barulah saudara tahu saudara akan dibayar sedikit sagu hati, mungkin antara RM70 hingga RM150. Lazimnya hanya stesen TV kerajaan memberi sagu hati seperti itu.

Walaupun saudara tidak menerima bayaran apabila muncul di TV sebagai tetamu siaran, tetapi kemunculan saudara itu banyak manfaatnya bagi buku saudara. Apabila saudara terkenal melalui TV, jualan buku-buku saudara naik. Bukan itu sahaja, saudara juga akan menerima banyak undangan berceramah. Dari situ saudara mendapat sumber pendapatan sampingan iaitu yuran ceramah yang saudara terima.

Surat Peguam Bekas Suami Penulis

Apabila saudara menjadi penerbit, macam-macam perkara akan saudara alami. Hati-hati sebelum melaksanakan sebarang keputusan dan tindakan. Ambil contoh kes di bawah:

En. Salimon adalah seorang akauntan yang mempunyai syarikat sendiri. Beliau berkahwin dengan seorang guru sekolah rendah yang kemudian menjadi novel yang terkenal, Puan Zulikhah. Novelis itu mempunyai 7 buah novel yang masing-masing amat laris dalam pasaran, diterbitkan oleh penerbit ABC.

Pasangan itu kemudian bercerai.

Peguam Puan Zulikhah menyenaraikan harta-harta sepencarian pasangan itu sebagai tuntutan supaya dibahagi dua, iaitu sebuah rumah banglo kediaman mereka sebelum bercerai, sebuah ruang pejabat, 2 buah pangsapuri yang disewakan, sebuah rumah kedai yang masih dalam pembinaan, 3 keping tanah dan dua buah kereta mewah. Semua harta itu dibeli oleh En. Salimon.

Peguam En. Salimon menyenaraikan harta atas nama Puan Zulikhah yang diperoleh selama mereka berkahwin iaitu saham bernilai RM2 juta dalam sebuah hotel, simpanan wang tunai di ASN bernilai RM230 ribu, simpanan tetap di bank bernilai RM200 ribu, 3 buah kereta, dan semua tujuh judul novel Puan Zulikhah, dalam tuntutan balasnya.

Peguam En. Salimon menulis surat kepada penerbit ABC untuk mendapatkan laporan nilai royalti yang dibayar kepada Puan Zulikhah bagi setiap judul novelnya.

Jika saudara menjadi pengurus syarikat penerbit ABC, saudara tidak perlu menjawab surat peguam En. Salimon itu. Rekod-rekod perniagaan sesebuah syarikat adalah rahsia syarikat itu. Saudara hanya wajib menjawab surat tersebut apabila surat itu disertai dengan dokumen perintah mahkamah.

Perkahwinan Pertama

Selalunya apabila kanak-kanak kampung itu bermain kahwin-kahwin, Sazalilah yang menjadi Tok Kadi. Hampir semua budak-budak kampung itu pernah dikahwinkannya.

“Kamu sudah bersedia hendak berkahwin?” tanya Sazali kepada Zaini, yang baru berusia tujuh tahun.

“Sudah, Tok Kadi,” jawab Zaini sambil tersenyum lebar menampakkan gigi susunya yang tidak cukup dua batang, gara-gara terjatuh dari pokok rambutan.

“Siapa pengantin perempuan?” tanya Sazali lagi sambil matanya ligat memandang semua 'tetamu' yang hadir pada majlis 'pernikahan' itu.

“Tuu!!” Zaini memuncungkan bibirnya ke arah Rosnah yang selalu berseluar panjang dengan rambutnya paras bahu, yang dari tadi asyik bermain-main dengan rambut Sanisah yang panjangnya hingga ke pinggang.

“Saya tidak mahu! Saya tidak mahu kahwin dengan dia, Tok Kadi,” Rosnah merengek-rengek kepada Sazali sambil menarik baju Sazali dan menggeleng-gelengkan kepalanya.

Sazali menolak tangan Rosnah dan injak jauh sikit darinya.

“Kalau kahwin dengan Khairul, saya mahulah,” Rosnah menuding jari sambil menjeling kepada Khairul dan segera merapati Khairul dengan harapan Khairul juga bersetuju berkahwin dengannya.

“Saya tidak mahu kahwin dengan Rosnah, saya mahu kahwin dengan Sarina,” kata Khairul sambil mencebik dan memusingkan kepalanya mencari Sarina yang sedang berpaut pada bahu Sanisah.

“Sekiranya awak mahukan saya, awak mesti belikan saya kereta, saya hendak rumah saya...” Sarina memberi syarat kepada Khairul.

Sarina pernah mendengar makcik-makcik di kampung itu bersembang mengatakan yang mereka hanya akan mengahwinkan anak-anak gadis mereka dengan orang yang mampu memberi kesenangan kepada anak-anak mereka. Apabila dapat menantu kaya, semua penduduk kampung akan pandang mereka tinggi.

“Baiklah, nanti saya ambil duit ayah saya dan belikan kamu rumah, kereta dan apa saja yang kamu mahu, janji saya dapat kamu!” ujar Khairul memintas percakapan Sarina sambil meninggikan kolar bajunya.

“Kami mahu kereta yang besar dan cantik,” kata Sarina lagi seperti tidak yakin dengan Khairul yang bersetuju dengan syaratnya tadi.

“Alah, ayah saya banyak duit,” Khairul meninggi diri.

Kebetulan Khairul pernah melihat ayahnya mengira-ngira hasil jualan pisang yang tidak seberapa. Namun, pada tanggapan Khairul beberapa keping duit kertas berwarna merah yang dikira ayahnya amat banyak.

“Sudah, sudah, sudah jangan mengada-ngada!” bentak Sazali. Dia mengerutkan dahi sambil mencampakkan batu kelikir kecil yang digenggamnya.

Bosan Sazali melihat sandiwara antara Khairul dan Sarina kerana Sazali juga ada hati dengan Sarina tetapi Sazali tidak berani mengajak Sarina berkahwin. Siapa pula yang akan menikahkan dirinya?

Semua terdiam dan keadaan tiba-tiba menjadi sunyi.

“Habis siapa mahu kahwin dengan siapa?” tanya Sazali memecah kesunyian sambil menolak Khairul supaya menjauhi Sarina.

Lantas Sazali berdiri di antara Sarina dan Khairul.

“Saya dengan Sanisah,” cadang Zain sambil dia mendapatkan Sanisah dan menarik tangan Sanisah untuk berdiri di sebelahnya.

“Saya tak hendak kahwin dengan kamulah! Lepaskan tangan saya!” herdik Sanisah sambil meronta-ronta minta tangannya dilepaskan.

“Alah, kita main-main sahaja,” pujuk Rosnah tersenyum menampakkan lesung pipitnya sambil mengusap rambut Sanisah.

“Dengar sini semua,” kata Sazali untuk meraih perhatian dari atas busut.

Semua mata tertumpu ke arahku, menanti pengumuman penting yang akan kubuat.

“Kamu Sanisah akan jadi pengantin perempuan,” kata Sazali sambil menuding ke arah Sanisah.

Semua para 'hadirin' bersorak meraikan pengantin perempuan. Kedengaran juga lagu “Bunga Rampai' dilaungkan.

“Tetapi olok-olok sahaja, ya Tok Kadi?” Sanisah mengemukakan syarat kepada Sazali, sambil matanya menjeling Zaini. Meluat dia melihat Zaini yang rompong dan berhingus.

“Kalau betul-betul pun apa salahnya?” celah Suhaili yang dari tadi diam sahaja, asyik memerhatikan gelagat rakan-rakannya yang asyik memilih pasangan. Dia memandang Zaini yang tidak henti-henti tersengih kerana suka hendak berkahwin dengan Sanisah.

Sazali terdengar ketawa-ketawa kecil dari arah Khairul, Sarina, Rosnah dan Hamidon.

“Mengikut adat kampung ini, saya yang akan menetapkan siapa berkahwin dengan siapa, faham?” Sazali berlagak seperti Tok Ketua pula.

“Pada hari ini Zaini akan berkahwin dengan Sanisah,” arah Sazali.

“Kahwin olok-olok sahaja, ya Tok Kadi!” Sanisah ingin mendapatkan kepastian lagi.

Sazali mengangguk untuk meyakinkan Sanisah.

“Kaum perempuan duduk hujung sana, dan pengantin perempuan duduk tempat khas. Kamu pengantin lelaki, duduk sini,” arah Sazali kepada mereka sambil memastikan semua mengambil tempat masing-masing.

“Mana ibu bapa pengantin perempuan?” tanya Sazali tercari-cari siapa yang layak memegang peranan ibu bapa pengantin perempuan.

“Pengantin perempuan anak yatim piatu,” celah Hamidon, sekaligus mereka semua ketawa terbahak-bahak.

“Saya tidak mahu kahwinlah kalau macam ini. Emak saya ada di rumah, tahu? Ayah saya ada di kebun,” Sanisah merajuk memuncungkan mulutnya.

“Macam mulut itik,” bisik hati Sazali lalu terukir senyuman mengejek.

“Kami pun tak mahu kahwinlah kalau macam ini,” sampuk Sarina, menyebelahi Sanisah, walaupun tadi kulihat Sarina pun ketawa menyeringai.

“Kamu ini, kami baru melawak sedikit, sudah hendak merajuk, macam budak perempuan!” celah Khairul kepada Sanisah.

Mereka ketawa lagi.

“Engkau pun satu! Sanisah memang budak perempuan,” kata Sazali seolah-olah menyebelahi Sanisah pula. Kini giliran Kahirul pula ditertawakan.

“Sudah, sudah. Mari kita mulakan sekarang acara kahwin-kahwin,” Sazali cuba mengawal keadaan.

“Mana wali pengantin lelaki?” tanya Sazali kepada pengantin lelaki.

“Saya jadi ayahnya,” kata Hamidon memberi persetujuan.

“Mana wali pengantin perempuan?” tanya Sazali lagi.

“Saya,” kata Azam, mengangkat tangan.

“Siapa jadi saksi?” Sazali meneruskan pertanyaannya.

“Saya dan Rahim,” ujar Suhairi sambil menepuk-nepuk bahu Rahim.

“Pengantin lelaki duduk depan saya,” arah Sazali kepada Zaini.

“Baik, Tok Kadi,” Zaini menuruti, menundukkan bandannya untuk ke tempat duduk khasnya di hadapan Sazali.

“Tok Kadi tak pakai songkok, mana boleh kahwinkan Zaini! Kan? Kan?” kata Azam yang muda setahun daripada Sazali, meminta persetujuan dari rakan-rakan yang lain.

“Alah, kita main kahwin-kahwin sahaja” celah Sazali mempertahankan kedudukannya sebagai Tok Kadi.

“Minta kad pengenalan?” lagak Sazali seperti kadi yang pernah menikahkan anak jirannya. Tidak tahu pula Sazali apa gunanya kad pengenalan itu. Hendak dikatakan sebagai barang hantaran, tidak pula, sebab dilihatnya pengantin lelaki menyimpan semula kad pengenalannya.

“Kad pengenalan tak ada,” jawab Zaini jujur.

“Kamu hendak kahwin macam mana? Kad penganalan pun kamu tidak ada,” Sazali lihat Zaini sudah mula cuak dan keadaan pula mula menjadi hingar-bingar. Geli hati Sazali melihat Zaini.

“Tetapi disebabkan kamu orang kampung kita, saya akan kahwinkan kamu juga,” Sazali cuba mententeramkan keadaan dan dilihatnya Zaini kembali tenang.

“Kamu sudah sunat?” tanya Sazali selepas keadaan kembali normal.

“Emak saya kata, nanti apabila umur saya sudah 8 tahun baru saya boleh sunat,” Zaini kembali yakin menjawab soalan-soalan Sazali.

“Cuba kamu mengucap.” Inilah soalan yang pernah ditanya oleh kadi semasa Sazali ikut ayahnya ke majlis pernikahan orang kampung mereka beberapa minggu yang lepas.

“Aastapillah al azimmmm....” Zaini mengucap dengan yakin.

Serentak mereka ketawa, tetapi sebenarnya mereka pun kurang pasti 'mengucap' itu macam mana bunyinya.

“Baca alham,” suruh Sazali lagi.

“Alif Ba Ta,” Zaini membaca 'alham'.

Mereka ketawa lagi. Zaini hanya mampu tersengih-sengih.

“Aku angkat nikah kamu dengan anak Abidin dengan mas kahwin 20 sen tunai.”

Baru sahaja Sazali hendak menghenjut tangan Zaini, tiba-tiba semua ketawa. Sazali terpinga-pinga.

“Aku kahwinkan kamu dengan Sanisah dengan mas kahwin 20 sen tunai,” Khairul membetulkan kesilapan Sazali.

Merah padam muka Sazali, malu tersilap cakap tadi.

“Aku nikahkan kamu Zaini bin Masdar dengan Sanisah binti Abidin dengan mas kahwin 20 sen hutanggg....” lantas Sazali menghenjut tangan Zaini, yakin dia tidak tersilap lagi.

“Aku nikahkan aku dengan Sanisah binti Adidin dengan mas kahwin 20 sen tunai....” Zaini mengulangi ayat Sazali tadi, tetapi agak berlainan.

Mereka ketawa lagi.

“Sah?” tanya Sazali kepada kedua-dua saksi.

“Sah!” kedua-dua saksi menganggukkan kepala tanda setuju.

Kedua-dua mempelai diarak dan disandingkan di atas pelamin. Berseri-seri Zaini di atas pelamin sambil dikipas oleh Hamidon dengan pelepah kelapa. Manakala Sanisah tersenyum-senyum menunduk malu diapit oleh Sarina.

Di kiri dan kanan pelamin, sibuklah Sazali, Khairul dan Suhaili mengetuk tin menggantikan kompang sambil mendendangkan lagu untuk pengantin. Sedang asyik mereka menepung tawar pengantin, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Bertempiaran mereka berlari menuju ke rumah masing-masing.

Habis musnah pelamin mereka ditimpa hujan. Bunga-bunga raya di hadapan pelamin dihanyutkan air, manakala pelepah kelapa yang digunakan untuk dijadikan kipas rosak. Terpaksalah mereka membina semula pelamin yang baru.

Namun akhirnya, sesudah masing-masing dewasa, tiada seorang pun yang jadi berkahwin dengan isteri pertama mereka.

(Petikan dari novel jibunsyi karya Chef Zul yang bakal terbit.)



Monday, August 22, 2005

Memilih Editor

Jika saudara hendak membuka syarikat penerbitan, saudara perlu mencari kakitangan syarikat yang menguruskan hal-hal editorial.

Kualiti editor mempunyai kaitan kuat dengan mutu buku-buku yang saudara terbitkan. Memang ada syarikat penerbitan yang tidak mempunyai editor. Yang amat terkenal mengamalkan kaedah kerja cara ini adalah penerbit-penerbit buku agama tempatan. Mereka ambil bulat-bulat manuskrip yang dihantar oleh penulis dan menerbitkannya. Inilah faktor yang menyebabkan kualiti rendah pada buku-buku agama terbitan tempatan.

Ada sebuah ataupun dua penerbit buku agama tempatan yang mengambil seorang dua staf editorial, tetapi mereka mengambil staf yang tidak mempunyai ijazah, dengan alasan mahu mengawal kos penggajian. Kesannya juga serupa, iaitu kualiti editorial yang rendah.

Jangan saudara menggunakan sikap berjimat pada tempat yang salah. Mutu editorial adalah perkara paling penting dijaga dalam penerbitan buku.

Sikap tidak mahu membayar gaji tinggi kepada staf editorial adalah sikap yang merugikan bisnes sendiri.

Kita dapat saksikan sendiri apa yang diamalkan oleh penerbit-penerbit terbesar di negara kita seperti penerbit Kumpulan Karangkraf, Fajar Bakti, Pelangi, Utusan, Sasbadi dan Rythm. Mereka hanya mengambil pemegang ijazah untuk kerja-kerja editorial.


Perjanjian Penerbitan

Adakah saudara merancang menjadi penerbit?


Salah satu perkara yang saudara perlu sediakan adalah dokumen perjanjian penerbitan. Jangan menerbitkan sebarang buku sebelum mendapatkan tandatangan penulis.


Di Malaysia, baru ada dua kes hakcipta. Satu adalah kes Sasterawan Negara Dato' Syed Alwi lawan Dewan Bahasa dan Pustaka di mana plaintif menang. Satu lagi adalah kes yang melibatkna filem “Dia Ibuku” di mana defendan menang.


Kes SN Syed Alwi begini: Syed Alwi menyerahkan manuskrip buku drama kepada DBP untuk diterbitkan. DBP mencetak dan menerbitkan manuskrip itu menjadi buku sebelum Syed Alwi menandatangani perjanjian penerbitan dengan DBP. Ertinya DBP menerbitkan buku itu tanpa persetujuan Syed Alwi. DBP kalah dan diarahkan membayar gantirugi kepada Syed Alwi.


Dalam kes “Dia Ibuku” pula, seorang penulis mendakwa penerbit filem itu mencuri hakciptanya. Si penulis menunjukkan sebuah manuskrip yang jalan ceritanya mempunyai banyak persamaan dengan jalan cerita “Dia Ibuku”. Mahkamah berpendapat hujah 'banyak persamaan dalam jalan cerita' bukan bukti kukuh bahawa idea dalam filem itu dicuri daripada karya si penulis itu.


Jikalau saudara menerbitkan buku saudara sendiri sekalipun, saudara perlu menandatangani perjanjian itu antara saudara sebagai pengarang dengan syarikat penerbit, yang kebetulan saudara adalah pemegang saham utamanya.



Melantik Peguam Peribadi

Siapakah yang lebih layak menguruskan perundingan antara saudara sebagai pengarang buku dengan penerbit buku? Adakah lebih baik saudara melantik peguam bagi mewakili saudara?

Saudara boleh melantik peguam, TETAPI peguam itu hendaklah seorang yang mengetahui undang-undang Harta Intelek.

Benar, dokumen perjanjian penerbitan adalah dokumen kontrak. Tetapi ia bukan kontrak jual beli kereta, rumah, kedai ataupun saham syarikat dan lain-lain harta. Yang pasti saudara sudah mengarang sebuah buku. Harta Intelek adalah harta yang tak konkrit, yang mungkin ada dan mungkin tiada.

Buku yang saudara karang itu mungkin tak laris jualannya, barangkali hanya laku 1000 naskhah. Tetapi apabila ia difilemkan, filem itu berjaya menjadi box-office.

Kos melantik peguam bukan murah. Kalau saudara melantik peguam, belum tentu peguam itu tahu selok-belok harta intelek. Jangan-jangan dia belum pernah membaca dokumen perjanjian penerbitan. Apabila dia bukan pakar harta intelek, dia tidak faham jargon penerbitan dalam dokumen perjanjian itu.

Ini kisah benar. Seorang penulis yang amat terkenal melantik seorang peguam sebagai pengurus bagi menjaga kepentingannya.

Pada suatu masa si penulis menghantar manuskripnya kepada penerbit ABC. Apabila pengurus penerbit ABC mengemukakan dokumen perjanjian penerbitan, si penulis menyerahkan dokumen itu kepada peguamnya supaya disemak isi kandungannya.

Si peguam meminta supaya kos setem dibayar oleh penerbit. Lazimnya ia dibayar oleh penulis. Permintaan itu diterima oleh penerbit (sebab kos setem itu cuma RM10!)

Kemudian si peguam meminta persen royalti serupa dengan yang dinikmati oleh penulis itu daripada DBP. Permintaan itu ditolak oleh penerbit ABC disebabkan semua penulis diberi layanan serupa oleh penerbit itu, tanpa kekecualian, waima penulis itu adalah ahli lembaga pengarah syarikat itu sendiri. Akibatnya si penulis menarik balik keputusannya mahu menerbitkan bukunya dengan penerbit ABC.

Si penulis kemudian menghantarkan karyanya ke DBP. Tiga tahun sudah berlalu, buku itu masih belum terbit. Jikalau buku itu diterbitkan oleh penerbit ABC, royalti daripada jualan dalam tempo 3 tahun itu sudah dapat dinikmatinya. Kalau setahun dia boleh menerima royalti RM2 ribu daripada penerbit ABC, ertinya kos melepasnya adalah RM6 ribu. Bagaimana kalau lebih?

Ingatlah, peguam yang saudara lantik itu memang betul seorang peguam. Tetapi dia mungkin tidak mempunyai cara berfikir seorang bisnes. Dia mungkin lulus kelas satu di universiti, tetapi apabila saudara membuat hubungan dengan sebarang penerbit, saudara sudah masuk ke alam bisnes. Peguam pilihan saudara itu mempunyai IQ bisnes ataupun dia itu peguam totok?

Penerbit saudara adalah rakan niaga saudara. Hati-hati memilih penerbit. Pertama, cari penerbit yang etika bisnesnya dapat saudara percayai. Kedua, cari penerbit yang dapat menerbitkan karya saudara dengan cepat.

Ingat, masa yang terbuang adalah wang yang hilang. Makin lambat buku saudara terbit, makin banyak saudara menanggung kerugian.

Siapa Aina Emir?

Siapa kata lelaki tidak membaca novel cinta? Novel-novel cinta yang ditulis oleh lelaki banyak dibaca oleh lelaki, malah novel-novel itu dianggap bernilai sastera.

Novel-novel bertemakan cinta remaja seperti “Siti Nurbaya” oleh Marah Rusli, “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck” dan “Di Bawah Lindungan Kaabah” karya Hamka, serta novel “Salah Asuhan” oleh Abdul Moeis, masih dibaca sehingga hari ini.

Tidak banyak pengarang novel cinta perempuan yang karyanya dibaca oleh ramai remaja lelaki. Salah seorang daripada mereka adalah Aina Emir.

Aina Emir adalah bekas pegawai kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Suaminya seorang konsultan dalam bidang kejuruteraan awam. Tiga orang anak-anak lelakinya juga dalam bidang kejuruteraan. Beliau pemegang ijazah sarjana dalam bidang pembangunan tenaga manusia (HRD).

Aina Emir adalah nama penanya bagi novel-novel cintanya yang diterbitkan dengan Alaf21. Beliau sudah menerbitkan 3 buah novel, setiap satu dicetak 60 ribu naskhah. Novel keempatnya sudah siap dan menunggu diterbitkan sahaja. Walau bagaimanapun beliau belum memutuskan siapa yang akan menerbitkannya.

Walaupun karya beliau dikategorikan sebagai novel cinta remaja, tetapi menurut beliau, novel-novelnya mempunyai dua ciri istimewa. Pertama beliau menggunakan setting dalam dan luar negara yang sebenar, iaitu tempat-tempat yang beliau pernah lawati di merata tempat di dunia. Kedua, beliau tidak menggambarkan watak-watak lelaki dengan gambaran negatif.

“Saya tidak menulis kerana desakan kewangan. Wang saya cukup,” katanya. “Saya menulis bagi menyampaikan nilai-nilai murni kepada pembaca saya.” Itulah Aina Emir.

Pengurus Besar Alaf 21 Naik Pangkat

Berita terkini yang kita terima adalah En. Nordin Mohamed, Pengurus Besar Alaf 21, dinaikkan pangkatnya menjadi Ketua Pengarang (Majalah) di Kumpulan Karangkraf. Alaf 21 adalah anak syarikat milik penuh Kumpulan Karangkraf.

Kita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau. Terbukanya pasaran novel cinta remaja di negara ini adalah hasil langsung kreativiti dan kecekalan En. Nordin Mohamed. Kita tidak teragak-agak mengatakan beliau seorang genius dalam penerbitan dan pamasaran buku cinta remaja di negara kita.

Walau apa sekalipun tanggapan sebahagian masyarakat terhadap fenomena novel cinta remaja, tidak dapat dinafikan, peranan En. Nordin Mohamed sebagai pendorong sehingga terbukanya pasaran baru bagi buku-buku di kalangan remaja perempuan, adalah luar biasa. Dianggarkan pada masa ini, hasil keberkesanan strategi editorial En. Nordin Mohamed, remaja perempuan Malaysia membelanjakan sekitar RM20 juta setahun bagi membeli novel-novel cinta.

Sunday, August 21, 2005

RM2 Ribu untuk Sebuah Sinopsis Cerita?

Ya! RM 2 ribu adalah bayaran yang dibuat oleh sebuah penerbit untuk sebuah sinopsis jalan cerita khayalan tentang siapa sebenarnya yang menerbangkan pesawat-pesawat yang menyerang bangunan World Trade Centre dalam peristiwa September 11.


Sekali pandang, nampaknya pencipta sinopsis itu amat beruntung. Dia berjaya menjual sebuah sinopsis cerita yang ditaip atas tiga helai kertas, pada harga yang begitu baik.


Cerita lengkap sinopsis itu belum mula ditulisnya disebabkan dia sibuk dengan projek lain. Hanya ringkasan cerita sahaja yang siap ditulis. Baru sinopsis pun penerbit sudah sanggup membelinya pada harga RM 2 ribu.


Katakanlah saudara mencipta sebuah cerita, kemudian saudara menuliskan jalan cerita itu dalam bentuk sinopsis. Kemudian saudara menjual sinopsis itu kepada penerbit ABC. Apakah implikasinya?

  1. Disebabkan saudara sudah menjual hakcipta cerita itu kepada penerbit ABC, ini bermakna, saudara tidak lagi mempunyai apa-apa hak lagi ke atas cerita itu. Senang cakap: Cerita itu bukan lagi saudara punya.

  1. Penerbit ABC berhak melakukan apa sahaja kepada cerita itu. Sebagai contoh ia boleh menjual cerita itu kepada penerbit lain dengan harga RM10 ribu.

  1. Penerbit ABC boleh mencari pengarang lain bagi menuliskan cerita lengkap dan menerbitkannya.

  1. Penerbit ABC boleh melarang saudara daripada menulis apa-apa karya berdasarkan cerita itu dan menerbitkannya dengan penerbit lain.

  1. Penerbit ABC boleh menghasilkan produk lengkap seperti buku, komik, animasi, filem, drama dan apa-apa produk derivatif daripada cerita itu. Satu sen pun saudara tidak akan dapat daripada penjualan produk-produk itu.

Apa yang hendak dihairankan apabila penerbit sanggup membayar RM 2 bagi tiga keping kertas yang di atasnya tertulis sebuah jalan cerita yang mempunyai ciri-ciri yang kemudian dapat dieksploitasi dengan pelbagai cara dan di mana setiap cara itu adalah sumber keuntungan.

Pernahkah saudara membaca cerita Pak Pandir dengan tiket kereta api?

Pada suatu hari Pak Pandir hendak ke Singapura dengan menaiki kereta api. Dia pun pergi ke stesen dan membeli tiket perjalanan jam 10 pagi. Kerana lambat, kereta api bertolak tanpa menunggunya. Melihat kereta api pergi, sambil memegang tiketnya, Pak Pandir berkata, "Engkau tinggal aku! Tak apalah, tiketnya ada pada aku!"

Hati-hati apabila saudara menjual sebarang karya ciptaan saudara kepada mana-mana pihak. Ramai penulis tidak faham implikasi jual-beli hasil ciptaan mereka dengan penerbit.



Jangan Serah Semua Hak

Apabila saudara menandatangani perjanjian penerbitan buku dengan syarikat penerbit saudara, berapa hak penerbitan buku itu yang saudara serahkan?

Ambil peringatan bahawa apabila saudara mengarang sebuah buku, saudara bukan lagi mencipta sebuah karya. Saudara sudah mencipta sebuah HARTA. Dalam sebuah karya terkandung banyak potensi eksploitasi harta intelek itu.

Apabila saudara membuka perbincangan dengan mana-mana penerbit tentang karya saudara, saudara sebenarnya sedang menjalankan urusniaga ke atas harta saudara.

Walaupun hakcipta karya saudara itu saudara pegang, tetapi hak mengeksploitasi karya saudara itu adalah cerita lain. Kepada siapakah saudara berikan lesen menerbitkan senarai hak-hak saudara seperti yang tersenarai di bawah?
  1. Hak menerbitkan edisi kulit keras.

  1. Hak menerbitkan edisi kulit lembut.

  1. Hak menerbitkan edisi paperback.

  1. Hak menerbitkan edisi ringkasan.

  1. Hak menerbitkan edisi E-book.

  1. Hak menerbitkan edisi-edisi terjemahan, dan nyatakan dengan tepat ke dalam bahasa apa.

  1. Hak menerbitkan edisi 'downloadable' melalui Internet.

  1. Hak menerbitkan edisi audio-book.

  1. Hak menerbitkan edisi braille.

  1. Hak menerbitkan edisi buku bergambar.

  1. Hak menerbitkan edisi buku komik.

  1. Hak menerbitkan edisi bersiri dalam akhbar ataupun majalah.

  1. Hak menerbitkan beberapa bab dalam Internet sebagai bahan promosi.

  1. Hak menerbitkan edisi buku digital dalam bentuk 'hand-held devices'.

  1. Hak menerbtikan edisi adaptasi menjadi skrip animasi.

  1. Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi skrip filem.

  1. Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi skrip siri televisyen.

  1. Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi skrip teater pentas.

  1. Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi modul latihan.

  1. Hak menerbitkan cerita-cerita 'sequal' atau sambungan yang dihasilkan oleh pengarang lain.

  1. Hak mendaftarkan judul buku ataupun nama-nama watak, ataupun wajah watak-watak dalam buku bagi tujuan pemerdagangan.

  1. Hak menerbitkan semula edisi asal mengikut wilayah pemasaran.

Jangan ambil ringan pengurusan Harta Intelek saudara. Pilih dan nyatakan dengan tepat hak penerbitan mana yang saudara lesenkan kepada sesuatu penerbit itu. DAN nyatakan dengan tepat tempoh lesen yang saudara serahkan itu.

Penerbit tentu mahu supaya saudara menyerahkan semua hak ke atas harta intelek saudara kepadanya dengan tempoh yang tiada hadnya. Tetapi saudara jangan terperangkap sehingga saudara menandatangani dokumen yang amat merugikan diri saudara sendiri disebabkan saudara tidak mahu ambil tahu tentang hak-hak saudara sebagai pengarang. Berurusanlah dengan penerbit yang mengamalkan etika bisnes yang baik.