Saturday, September 30, 2006

Strategi dan Teknik Remix Buku

Berapakah jumlah judul backlist saudara bagi buku-buku yang serupa temanya? 2, 3 ataupun berapa? Lebih banyak judul backlist saudara, lebih mudah dan lebih cepat saudara dapat menghasilkan buku baru saudara dengan cara remixing.

Remixing ini dapat dianologikan seperti orang bermain daun terup. Daun terup itu banyak. Dikocok-kocok... dan zas! Lihat, kombinasi baru!

Kang Razzi Armansur mempunyai berbelas-belas backlist dalam bidang bisnes MLM, justeru beliau dapat dengan mudah menghasilkan judul-judul buku baru dengan meremix bahan-bahan dalam buku backlistnya.

Proses menghasilkan buku remix adalah sebagaimana yang diterangkan di bawah. Kita ambil kes Kang Razzi sebagai contoh:

Langkah 1: Cipta judul buku baru. Contoh: "Networking Sebagai Modal Kekayaan". Langkah ini wajib dibuat dulu. Jika saudara tidak ada judul buku baru itu, saudara tidak dapat melakukan langkah 2 dan seterusnya.

Langkah 2: Buka dan baca buku-buku lama saudara. Ambil semua bahagian yang ada kaitan dengan (a) Networking, (b) Modal, dan (c) Kekayaan.

Langkah 3: Kumpulkan dalam 1 folder.

Langkah 4: Susun bahan-bahan itu sebagai deraf alfa buku "Networking Sebagai Modal Kekayaan".

Langkah 5: Kalau bahan belum cukup untuk 1 buku, tengok balik kandungan dalam buku-buku lama saudara itu dan cari apa lagi yang dapat dikaitkan dengan tema buku
"Networking Sebagai Modal Kekayaan".

Langkah 6: Fikirkan maklumat-maklumat tambahan yang perlu saudara tulis sebagai tambahan supaya kandungan buku itu lengkap bagi kegunaan pembaca. Sebagai contoh (a) definisi apa itu networking, (b) jenis-jenis networking, (c) tip-tip menjalin networking, (d) memilih target networking, (e) pantang larang dalam menguruskan jaringan networking
, (f) wanita dan networking, dan banyak lagi.

Langkah 7: Mula lakukan re-editing, tokok dan buang, bahan-bahan lama supaya dapat di-retailor dengan keperluan buku baru.

Cuba saudara beli buku-buku Sifu seperti tajuk di bawah, dan saudara dapat melihat contoh jelas bagaimana remixing dilakukan:

1. Komunikasi Intim
2. Komunikasi Interpersonal untuk Guru
3. Komunikasi untuk Pemimpin
4. Komunikasi di Tempat Kerja
5. Komunikasi untuk Pendakwah
6. Seni Bercakap-cakap dan Berbual-bual
7. Teori dan Teknik Ucapan Berpengaruh
8. Menyelesaikan Masalah dalam Hubungan Peribadi
9. Berunding
10. Teori dan Teknik Motivasi di Tempat Kerja
11. Guru Sebagai Pendorong

Setiap judul buku di atas sudah diulang cetak berkali-kali. Sudah ada judul-judul yang terbit dalam edisi paperback, yang itu pun sudah diulang cetak. Justeru, apa hairannya apabila saya katakan sesetengah ayat saya sudah terjual lebih 150 ribu kali? (sebenarnya lebih!)

Cuba saudara analisis kandungan buku-buku saya di bawah siri "BERFIKIR" dan begitu juga siri kamus-kamus "PERIBAHASA" saya.

Kuat bekerja tidak cukup! Banyak orang kuat bekerja, dari Subuh sampai Maghrib, malah sampai jauh malam, tetapi pendapatan mereka tidak setimpal dengan tenaga yang dicurahkan.

Lebih penting daripada kuat bekerja adalah lakukan kerja itu dengan cara-cara yang betul, supaya kerjanya tidak teruk, dan perolehannya tinggi.


.

Friday, September 29, 2006

Optimisme dan Pesimisme: Prinsip Surah Yusuf

Salah satu ciri kisah yang indah adalah di mana sesudah selesai membaca kisah itu, pembaca mendapat semacam harapan bahawa Tuhan tidak pernah membuangnya, bahawa sebesar mana sekalipun kesalahan yang penah dilakukannya dapat dihapus oleh keinsafan, bahawa apa juga masalah yang sedang dihadapinya akan terungkai, bahawa kezaliman akan digantikan dengan kebaikan.

Dalam kisah Nabi Yusuf, beliau tidak pernah berputus asa meskipun beliau ditimpa malang yang berat sebanyak 5 kali:

(1) Beliau dibenci oleh abang-abangnya sendiri di mana beliau cuba dibunuh oleh mereka lalu dibuang ke dalam telaga.

(2) Kemudian beliau dijual dengan harga murah sebagai abdi di negeri yang jauh.

(3) Kemudian beliau difitnah dengan fitnah yang berat oleh isteri majikannya sendiri, seorang pembesar dalam istana Raja Mesir.

(4) Kemudian beliau merengkok dalam penjara dan,

(5) Kemudian beliau merengkok lebih lama lagi dalam penjara apabila orang yang dipercayainya terlupa pada pesanannya.

Meskipun demikian, Nabi Yusuf akhirnya berpeluang membersihkan dirinya daripada fitnah perempuan itu. Kemudian beliau berpeluang memulangkan paku buah keras kepada abang-abangnya. Akhirnya, dari kedudukan hina sebagai banduan dalam penjara, beliau keluar lalu dilantik menjadi wazir Raja Mesir, suatu kedudukan yang mulia.

Dalam kisah Nabi Yusuf itu, semua watak jahat tidak dihukum, sebaliknya mereka insaf sendiri. Itulah yang berlaku ke atas perempuan yang memfitnah beliau, dan ke atas sembilan orang abangnya yang pernah cuba membunuh beliau.

Berdasarkan ciri-ciri yang terdapat dalam kisah Nabi Yusuf, dapatlah disimpulkan bahawa mesej sastera Islami adalah optimisme dan harapan. Dengan demikian sastera Islami menolak karya yang mencipta mood pesimisme dan putus asa.

Justeru, pada penilaian sastera Islami, bukanlah indah karya-karya yang menampilkan cerita-cerita yang menyebabkan timbul di hati pembaca emosi-emosi negatif terhadap watak-watak jahat dalam cerita itu, dan di mana watak-watak jahat terus menerus tidak insaf sampai ke akhir cerita.


.

Buku Remix: Kerja Sedikit, Royalti Banyak

Industri muzik sudah lama tahu apa itu album remix. Restoran Mamak pun sudah lama mengamalkan remix dalam bisnes menjual kari!

Penerbit buku pun sudah lama mencipta buku-buku remix. Banyak judul buku baru Edward deBono adalah judul remix. Sesetengah buku SifuPTS pun remix! Setiap tahun sekitar 60% royalti SifuPTS dijana oleh buku-buku remixnya. (Ha ha ha....)

Buku remix adalah BONUS BESAR, baik bagi penulis mahupun penerbit. Bagi si penulis, ia melibatkan sedikit kerja sahaja bagi menghasilkan buku-buku baru. Bahan-bahan yang terdapat dalam beberapa buku lama saudara dapat diulang-guna bagi menghasilkan buku-buku baru. Ini kes 20% kerja menghasilkan 80% royalti.

Kerja-kerja me-remix buku dapat dilakukan oleh pengarang sendiri. Ini yang dilakukan oleh Edward deBono, Dr. Danial Zainal Abidin, Ahmad Fadzli Yusof, Ahmad Naim Jaafar dan SifuPTS.

Remix juga dapat dilakukan oleh penerbit. Ini yang dilakukan oleh PTS Millenia ke atas buku-buku Dr. Robiah K Hamzah.

Apakah faktor yang membolehkan saudara menikmati royalti banyak daripada buku remix?

1. Judul-judul yang dapat diterbitkan semula sebagai produk remix adalah judul bukan fiksyen.

Ini kelebihan yang dinikmati oleh penulis bukan fiksyen, mereka boleh me-remix buku-buku mereka. Penulis novel takkan dapat menikmati royalti daripada sumber remix! Setiap kali penulis novel hendak royalti baru, mereka mesti tulis novel baru.

2. Judul-judul itu adalah judul yang laku.

Jika ada judul yang tidak laku, tidak mengapa, sebab mungkin ada bahan dalam buku itu yang sesuai dimasukkan ke dalam buku remix. Bayangkan sahaja, bahan yang tidak laku pun dapat dimasukkan ke dalam buku remix, kali ini baru laku.

3. Saudara mesti mempunyai banyak judul, sekurang-kurang 5 judul.

Jika saudara baru mempunyai 1 ataupun 2 buah buku, saudara belum mempunyai bahan yang cukup bagi dipilih-pilih untuk buku remix.

3. Judul-judul buku saudara itu mestilah dalam bidang yang serupa.

Ini amat penting, itu sebab buku saudara mesti ada siri. Kalau saudara jenis penulis bunga-rampai, saudara tidak dapat me-remix buku-buku saudara. Penulis bunga-rampai adalah penulis yang menulis banyak buku yang temanya rencam.

Bagi saudara yang menulis buku saudara dengan menggunakan KJ METHOD, proses me-remix menjadi mudah sekali.

Buku remix adalah cara bagaimana bahan-bahan dalam buku lama dapat dijual semula dalam bentuk baru. (Macam Mamak restoranlah, lebihan kuah semalam dapat dijual semula dengan meremixnya.) Itulah sebabnya isu backlist ini amat penting bagi penulis dan penerbit. Jika saudara tidak mempunyai backlist yang banyak, saudara rugi sebab saudara tidak dapat menjana royalti-berulang.

Apa itu royalti-berulang? Begini: Bagi setiap ayat yang saudara tulis, berapa kali ayat itu dapat saudara jual? Jika buku itu dicetak dan dijual 2 ribu naskhah, bermakna saudara menjual ayat itu sebanyak 2 ribu kali.

Ayat-ayat dalam buku "55 Petua Orang Berjaya" oleh Sdr Fadzli Yusof sudah hampir 40 ribu kali dijual dalam buku itu. Tetapi cuba saudara baca semua buku-buku beliau. Saudara akan jumpai ada ayat-ayat dalam buku 55 PETUA yang diulangcetak dalam buku-buku lain. Ertinya sesetengah ayat tulisan beliau sudah terjual lebih 100 ribu kali! Inilah yang dikatakan royalti berulang. (Tetapi SifuPTS masih menang.... ada ayat-ayatnya yang sudah terjual lebih 150 ribu kali. Sekali lagi... Ha ha ha!)

Penerbit suka penulis-penulis yang menghasilkan bukunya secara bersiri-siri disebabkan isu remix inilah. Bayangkan ada seorang penulis PTS yang bukunya sudah lebih daripada 7 buah, tetapi tema-temanya berbeza-beza, maka tidak dapatlah beliau hendak hendak me-remix buku-bukunya.

Ingat pesan Sifu: Fokus. Fokus. Fokus!


.


Thursday, September 28, 2006

Mencipta Cerita Evergreen: Apa Susahnya?

Apabila saudara menulis buku cerita, termasuk novel, bagaimanakah caranya supaya cerita dalam karya saudara itu dapat kekal up-to-date sepanjang zaman?

Cerita-cerita dalam epik Hikayat Hang Tuah kekal relevan sehingga hari ini. Hanya gaya bahasanya yang menjadi klasik. Itulah sebabnya cerita Hang Tuah masih dapat di-repackage dan dipasarkan dalam bentuk filem, drama pentas, komik, dan entah apa lagi pada masa depan, seiring dengan perkembangan daya kreativiti manusia dan teknologi.

Bayangkanlah! Cerita macam Si Tanggang pun dapat bertahan sepanjang zaman. Ia sudah ditulis menjadi buku dan sudah difilemkan (versi Malim Kundang).

Apalah susahnya mencipta cerita macam cerita Si Tanggang itu? Plotnya ringkas, wataknya tidak banyak. Cerita itu dicipta oleh tukang cerita Melayu semasa orang Melayu masih "jakun", masih makan keledek dan tupai bakar!

Bandingkan dengan situasi sekarang ini, di mana kita mempunyai penulis yang lulus universiti dalam dan luar negeri, yang berlambak-lambak banyaknya. Masakan kita tidak dapat mencipta cerita yang evergreen macam Si Tanggang?


Wednesday, September 27, 2006

Lanskap Bisnes Novel Melayu

Adakah saudara berminat menceburi bisnes penerbitan buku sastera? Marilah kita lihat senario dan lanskap sektor ini dalam pasaran terbuka hari ini.

Apakah maksud 'pasaran terbuka'? Maksudnya, buku sastera apa yang ada dalam kedai-kedai buku.

Dari sudut penerbitan buku-buku sastera, para pemainnya adalah:

(1) Dewan Bahasa dan Pustaka adalah pemain utama.

DBP sudah menerbitkan beratus-ratus judul buku sastera. Tetapi tidak ada seorang pun pegawai DBP yang tahu jumlah sebenar karya sastera yang sudah diterbitkannya.

Di kalangan penulis sastera ada semacam kepercayaan, jika bukunya diterbitkan oleh DBP, maka bukunya itu berkualiti sastera, dan dia sudah bertaraf sasterawan. Justeru DBP adalah pilihan pertama penulis yang bercita-cita menjadi sasterawan.

Buku-buku terbitan DBP tidak dipamerkan di dalam rangkaian kedai-kedai buku elit, malah di kedai-kedai buku indie pun tidak. DBP juga tidak mempunyai komitmen mempromosi, baik penulis-penulisnya, mahupun buku-buku mereka yang diterbitkannya.

(2) Creative Enterprise

Creative menerbitkan novel-novel bernilai sastera dan juga novel popular. Nama-nama yang diterbitkan oleh DBP juga terdapat dalam senarai para penulis Creative. Kehadiran novel-novel Creative di pasaran adalah baik disebabkan penerbit itu sudah menerbitkan ratusan judul.

(3) Utusan

Penerbit Utusan menganjurkan Hadiah Sastera Utusan - Public Bank tahunan. Ini membolehkan Utusan menjadi penerbit novel bermutu sastera. Pada waktu yang sama Utusan juga cuba menerbitkan novel cinta popular.

Novel-novel terbitan Utusan ada di dalam kedai-kedai buku tetapi tidak menonjol, malah hanya terselit-selit antara buku-buku lain.

Dua faktor utama situasi ini adalah (a) program penerbitan Utusan yang belum berjaya melambakkan ratusan judul ke dalam kedai, sebagaimana yang berjaya dilakukan oleh Creative dan Alaf, dan (b) customer-service Utusan kepada pekedai yang tidak efisien.

(4) ALAF21

Alaf21 terkenal sebagai penerbit novel cinta N. 1 negara. Jumlah perolehan Alaf sekarang adalah sekitar RM15 juta setahun.

Alaf memberikan layanan terbaik kepada para pengarangnya daripada sudut pembayaran royalti, di mana hanya Alaf membuat pembayaran 4 kali setahun!

Sebelum ini Alaf secara konsisten menerbitkan 2 novel sebulan, tetapi akhir-akhir ini jumlah itu dinaikkan kepada 3 buah sebulan.

Alaf juga sudah melancarkan program menerbitkan semula karya-karya sasterawan ternama, bermula dengan Shahnon Ahmad dan Khadijah Hashim.

(5) PTS

Penerbit PTS adalah pemain utama dalam sektor sastera remaja dan kanak-kanak kontemporari. Keistimewaan buku-buku PTS adalah latar belakang para penulisnya yang majoritinya adalah pemegang ijazah, termasuk antara mereka adalah doktor, jurutera, akauntan, peguam, malah pegawai kanan kerajaan, pensyarah maktab dan profesor madya pun ada.

Sebelum ini pemain utama sektor sastera remaja adalah DBP. Sumbangan negatif Dato' A Aziz Deraman sewaktu beliau menjadi Ketua Pengarah DBP adalah menutup Bahagian Buku Remaja dan Bahagian Buku Akademik (!). Hanya pada 2006, di bawah kepimpinan Dato' Dr. Firdaus Abdullah, bahagian itu dibuka semula di bawah nama PURNAMA. Kekosongan yang diakibatkan oleh tindakan (pandai) Dato' A Aziz Deraman itulah yang diisi oleh PTS.

Mulai Julai 2006, PTS ikut masuk sektor novel dewasa dengan memperkenalkan siri novel jibunsyi ke dalam pasaran di bawah PTS FORTUNA. Dalam program ini PTS akan menerbitkan 2 buah jibunsyi setiap bulan sehingga sektor ini berkembang, mapan sebagai suatu genre, dan mempunyai peminatnya sendiri.

Program penerbitan jibunsyi PTS akan berterusan sehingga tahun 2008 dengan jumlah judul antara 50 - 70 buah. Dengan jumlah sebanyak itu barulah PTS mempunyai back-list yang cukup sebagai sumber perolehan daripada aktiviti ulangcetak yang berpanjangan. Selepas itu barulah PTS akan meneroka genre-genre novel moden yang lain.

Satu lagi keistimewaan novel-novel PTS adalah ia ditulis dengan mengaplikasikan teori dan teknik sastera Islami aliran surah Yusuf oleh seangkatan penulis baru yang dilahirkan melalui siri kursus PTS.

Pada tahun 2007, PTS FORTUNA akan melancarkan siri sastera klasiknya sendiri. (Tunggu, ya! Ada kejutan.)

(6) Lain-lain penerbit

Dalam pasaran novel cinta dan novel popular terdapat pemain-pemain kecil yang ditubuhkan oleh penulis novel-novel cinta seperti Media Intens milik Fauziah Ashari, KarnaDya milik Aina Emir, NB Kara milik Norhayati Berahim, Jemari Seni milik Noor Suraya, dan terbaru Nylea milik Liana Afiera Malik, masing-masing menerbitkan karya mereka sendiri, dengan kekecualian KarnaDya yang menerbitkan karya-karya terbaru Aina Emir tetapi akan memasuki sektor novel remaja.

Satu lagi penerbit baru adalah KRU, yang menerbitkan novel-novel thriller pop dengan menggunakan nama-nama artis selebriti sebagai "penulisnya". Buku-buku itu diedarkan oleh Alaf21. Gosip mengatakan buku-buku itu tidak mendapat sambutan hangat di pasaran.

Selain mereka, ada penerbit besar yang menerbitkan novel-novel cinta dan popular, iaitu TIMES dan Rythm.

Pemain baru yang patut diperhatikan adalah Buku Prima yang dimiliki oleh Kumpulan Karangkraf, saudara kembar Alaf21. Walau bagaimanapun, belum jelas apa yang membezakan produk terbitan Buku Prima dengan terbitan Alaf21, nampaknya macam kedua-dua penerbit ini aktif dalam kategori serupa sahaja.




.

Karya Pelampung Keselamatan

Tahun 2006 menunjukkan pasaran retail mula jatuh, tetapi tahun 2006 juga mengejutkan staf jabatan editorial, pemasaran dan pengurusan PTS.

Sebelum ini PTS terkenal sebagai pemain dominan buku-buku motivasi dan pembangunan diri. Perolehan daripada jualan buku-buku itu sentiasa menjadi penyumbang utama ke dalam akaun syarikat.

Tetapi mulai Jun2006, sementara jualan buku-buku lain mulai lembap, jualan buku-buku siri buat duit PTS melonjak dan mengatasi jualan buku-buku motivasi!

Ada dua faktor utama fenomena ini:

1. Jumlah judul buku-buku buat duit terbitan PTS memang sudah bertambah banyak. Buku-buku itu diterbitkan oleh PTS PROFESSIONAL.

2. Jumlah jualan per judul memang meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sebagai contoh jualan "Rahsia Bisnes Orang Cina" diulangcetak dalam tempoh sebulan dan diulang cetak 3 kali dalam tempoh 5 bulan. Jualan buku "Berubah Untuk Kaya" juga rancak dan buku itu cepat diulangcetak.

Trend ini memberitahu kita suatu perkara penting tentang tingkah laku golongan peminat buku-buku motivasi.

Dalam zaman duit banyak, isu buat duit bukan topik paling penting. Tetapi apabila berdepan dengan zaman duit tidak banyak, maka isu buat duit menjadi amat penting!

Trend ini menyebabkan PTS menceburkan diri ke dalam siri buku-buku buat duit dengan lebih bertubi-tubi. Buku-buku ini memainkan peranan survival yang kritikal kepada bisnes buku. Ia adalah pelampung keselamatan penerbit!

Bagi saudara yang menulis, saudara perlu menulis buku-buku pelampung saudara. Dengan demikian, sepanjang zaman ekonomi lembap saudara dapat terus menerima royalti bagi membolehkan saudara terus hidup sementara menanti ekonomi pulih.


.

Tuesday, September 26, 2006

Formula Survival Penerbit dan Penulis

Situasi ekonomi tidak pernah stabil lama. Pada tahun 2005 sektor peruncitan naik dengan memberangsangkan sekali. Orang ramai kuat membeli-belah. Para pekedai sibuk menguruskan transaksi yang aktif.

Tahun 2005 menyaksikan jualan buku-buku Melayu pun ikut naik dengan rancaknya. Tidak hairan royalti yang diterima oleh penulis-penulis PTS tahun (2006) ini melonjak!

Tetapi sejak 2006, menurut presiden Persatuan Peruncit Malaysia (Malaysia Retailers Association), sektor retailing jatuh. Malah beliau meramalkan tahun 2007 tidak menjanjikan situasi yang lebih baik daripada 2006.

Kedai-kedai buku elit melaporkan jualan 2006 jatuh 1 persen. Penerbit majalah pun melaporkan kejatuhan jualan. Perempuan yang lazimnya membeli 2 jenis majalah sebulan, hanya membeli 1 majalah sahaja.

Justeru, baik sebagai penerbit mahupun penulis, saudara perlukan formula yang membolehkan saudara survive apabila ekonomi lembap seperti sekarang.

Antara formula itu adalah:

1. Pelbagaikan tajuk dan topik buku saudara.

Sesetengah jenis buku hanya laku dalam zaman ekonomi bagus sahaja, dan tidak laku apabila orang ramai mengambil sikap berjimat-cermat. Contoh yang baik adalah buku kulit keras.

Justeru, jangan menulis buku-buku novel bertaraf sastera sahaja. Buku sastera adalah produk luxury. Kalau ada wang lebihan, baru dibeli. Dalam keadaan ekonomi lembap, buku sastera adalah antara jenis produk yang terpukul teruk.

Adakah saudara memiliki bakat sastera? Bakat sastera adalah bakat yang banyak gunanya. Banyak produk buku memerlukan penulis yang memiliki bakat sastera.

Gunakan bakat sastera saudara bagi menulis buku-buku cerita agama, sebab buku-buku cerita agama adalah evergreen, dan terbukti dalam zaman ekonomi merudum sekalipun, buku-buku cerita agama masih dibeli orang.

Jualan buku-buku cerita agama adalah 6 kali lebih besar daripada jualan buku-buku motivasi! Inilah strategi PTS menubuhkan PTS ISLAMIKA.

Buku-buku cerita agama yang banyak dalam pasaran sekarang ditulis oleh ustaz-ustaz yang tidak memiliki bakat sastera. Itulah sebabnya buku-buku itu tidak memiliki ciri-ciri keindahan pada gaya bahasa dan gaya penceritaannya.

Tulis juga buku-buku cerita bagi bacaan remaja dan kanak-kanak, sebab buku-buku kategori ini pun terbukti masih dapat dijual dalam ekonomi merudum.

Lupakan ego, banyak sasterawan mencemuh genre ini, dan yakin sasterawan besar tidak layak menjatuhkan martabatnya dengan menulis sastera kanak-kanak dan remaja. Tetapi buku-buku cerita kanak-kanak dan remaja adalah sektor yang besar dan ia sektor yang kebal pukulan ekonomi gawat.

Inilah strategi bisnes PTS di sebalik penubuhan PTS ONE yang khusus menerbitkan buku-buku kanak-kanak dan remaja. Lazimnya, walaupun ekonomi lembap, golongan yang makan gaji akan terus membelikan buku untuk bacaan anak-anak mereka.

2. Pelbagaikan braket harga buku-buku saudara.

Apabila ekonomi lembap, semua produk luxury terpukul teruk. Restoran-restoran mahal lengang, termasuk restoran Cina, tetapi restoran makanan segera dan restoran Mamak terus aktif. Butik-butik jenama mahal lengang, tetapi kedai kain dan lantai yang menjual pakaian di supermarket terus aktif.

Buku-buku kulit tebal terpukul paling teruk. Buku-buku yang berharga lebih RM20 juga terpukul, meskipun tidak sama teruknya. Tetapi buku-buku murah masih dibeli orang.

Justeru, jika buku-buku saudara sekarang semuanya dijual pada harga lebih RM20, saudara perlu menulis buku-buku yang dapat dijual pada harga lebih murah.

Inilah strategi bisnes PTS ISLAMICA yang mula memperkenalkan buku-buku agama yang dijual pada harga antara RM5 - RM10 sahaja.

Jadi, jangan hairan SifuPTS pun sudah mula menulis buku-buku agama pada harga RM5.00!

Dalam keadaan ekonomi lembap, semua orang terpukul. Ada orang terpukul sampai jatuh pengsan, lama baru dapat bangun semula. Ada orang terpukul, dia sakit, tetapi tidak jatuh, masih boleh melangkah terus. Mereka survive!

Sebagai penerbit dan penulis, saudara mesti mempunyai produk-produk life-line khusus buat survival pada masa gawat. Produk-produk ini amat istimewa sebab ia pedang mata dua, ke kanan makan, ke kiri pun makan. Buku-buku life-line saudara itu laku keras dalam zaman ekonomi rancak, dan ia laku sederhana dalam zaman gawat.

Kita istilahkan produk-produk itu produk "sambung-nyawa".


.

Monday, September 25, 2006

Penerbit Baru: Dilema Ikut ataupun Tidak Ikut

Apabila saudara baru hendak menceburkan diri ke dalam bisnes penerbitan, salah satu dilema saudara adalah: Hendak ikut penerbit besar ataupun tidak?

Katakanlah saudara hendak masuk bisnes buku novel, adakah saudara hendak ikut Alaf21, Creative, DBP ataupun PTS, ataupun saudara mencipta niche sendiri?

PTS masuk bisnes buku novel dengan mencipta niche sendiri. PTS ONE menerbitkan novel remaja manakala PTS FORTUNA menerbitkan novel jibunsyi yang ditulis menggunakan teknik-teknik surah Yusuf.

Kelebihan dan kelemahan strategi mencipta niche sendiri adalah:

1. Membuka niche baru memerlukan kudrat luar biasa.

(a) Penulis genre itu belum ada.

Pertama-tama saudara perlu melatih para penulis baru sebab lazimnya penulis yang sudah published, walaupun barangkali dia belum ada nama, tidak suka ikut kemahuan penerbit.

Saudara perlu mengadakan bengkel-bengkel penulisan dan proses mentoring yang akrab bagi memastikan para peserta bengkel saudara berjaya menyiapkan karya mereka. Pelaburan begini amat tinggi kosnya bagi penerbit baru dan kecil.

Sebaliknya, jika saudara masuk kategori novel cinta, penulisnya sudah amat banyak. Isu pelaburan melatih dan mementori penulis baru tidak timbul lagi. Yang timbul adalah bagaimana hendak mendapatkan penulis yang sudah ada nama, yang sudah selesa dengan Alaf ataupun Creative.

(b) Peminat genre baru itu belum ada.

Disebabkan genre itu baru, justeru peminatnya belum ada. Ini bermakna risiko kegagalan membuka niche baru adalah tinggi. Proses membangunkan komuniti peminat sesuatu genre itu mengambil masa yang panjang dan judul yang banyak.

Saudara memerlukan minimum 50 judul, barulah pembeli buku perasan adanya genre baru itu, dan barulah mereka mahu cuba-cuba membeli dan membacanya.

(c) Kedai pun belum ada kategori genre baru itu.

Inilah yang dialami oleh novel-novel jibunsyi PTS. Disebabkan ia genre baru, kedai belum "tahu" di mana hendak diletakkan jibunsyi PTS. Ada kedai yang meletakkan jibunsyi PTS di rak novel remaja dan buku kanak-kanak, ada di rak novel cinta, ada di rak PTS.


2. Apabila saudara berjaya membuka niche baru itu, saudara menjadi pemain dominan.

Sebagai pemain dominan, saudara mempunyai kelebihan yang banyak. Paling istimewa, saudara menjadi penerbit pilihan pertama para penulis genre itu. Ini bermakna saudara berpeluang menerima manuskrip-manuskrip terbaik. Mana-mana manuskrip yang saudara sudah tolak barulah mereka hantar ke penerbit lain.

Kejayaan inilah yang berlaku kepada Alaf21 di mana Alaf kini adalah pilihan pertama penulis novel cinta. Tetapi proses ini memerlukan program penerbitan yang konsisten, selama bertahun-tahun, beratus judul, dan pembiayaan yang berjuta nilainya.

Sekiranya saudara hendak masuk pasaran novel cinta, apakah risikonya? Risikonya adalah persepsi negatif pembeli. Bagi peminat novel cinta, mana-mana novel cinta yang tidak diterbitkan oleh Alaf, ertinya novel itu sudah ditolak oleh Alaf!

Baik, jadi sekarang ada ataupun tidak pilihan lain? Ada!

Saudara boleh ikut menerbitkan buku-buku yang genrenya sedang diusahakan oleh penerbit lain, yakni genre baru muncul. Disebabkan ia baru muncul, persaingan belum hebat, masih banyak ruang yang ada bagi kemunculan pemain kedua dan ketiga.

Sebagai contoh, PTS sedang membangunkan niche novel remaja. Maka saudara ikut terjun ke dalam sektor ini. Tiru strategi PTS, gunakan saiz dan ketebalan yang serupa supaya buku-buku terbitan saudara itu tumpang semangkuk di rak di mana novel-novel remaja PTS dipamerkan dalam kedai.

Sesuatu genre itu menjadi mapan apabila sudah ada antara 500 hingga 1000 judul diterbitkan. Pada waktu itu, sudah timbul Pemain No. 1 dan No. 2 bagi genre itu.

Walaupun PTS yang mula membangunkan sektor novel remaja dan menjadi pemain utamanya sekarang, tetapi pasaran belum mapan, jadi saudara patut masuk sebagai pemain kedua. Dari posisi ke-2 barulah saudara berpeluang menjadi pemain No1.

Inilah yang berlaku kepada Creative. Penerbit itu yang mula meneroka pasaran sastera popular. Kemudian Alaf ikut sebagai pemain ke-2, dan akhirnya berjaya mengalahkan Creative! Memang saja, pelari No. 1 lazimnya dapat dikalahkan oleh pelari yang ikut tidak jauh di belakangnya.

Jadi, masuklah pasaran novel remaja sekarang, sementara belum ada pemain No.2 dalam niche ini.




Penerbit dan Strategi Penerbitan

Apabila saudara hendak menjadi penerbit buku, saudara perlu mempunyai strategi penerbitan, jangan main terbit apa-apa sahaja manuskrip yang saudara terima daripada para penulis.

Bagi penerbit yang baru, lazimnya mereka yakin jika mereka mendapat manuskrip yang baik daripada penulis terkenal, maka itu adalah insurans daripada kerugian yang disebabkan buku tidak laku. Jangankan manuskrip yang kurang baik, manuskrip yang baik pun boleh menyebabkan bisnes saudara tutup.

Bagi penulis pula, manuskrip saudara belum tentu diterima penerbit meskipun ia 'baik' pada penilaian saudara sendiri, sebab resipi kejayaan buku di pasaran adalah gabungan banyak faktor. Banyak buku yang 'buruk' amat laku di pasaran.

Sebagai penerbit, saudara perlu mempunyai SIRI buku-buku yang hendak saudara terbitkan. Jangan main tangkap muat. Jangan fikir "buku apa" yang hendak saudara terbitkan, tetapi fikir "siri apa".

Sebagai contoh, dalam sektor fiksyen, PTS Fortuna menerbitkan siri novel jibunsyi, PTS ONE menerbitkan siri novel remaja, Alaf21 menerbitkan siri novel cinta, manakala Creative menerbitkan siri novel popular.

Jangan gopoh apabila saudara didatangani oleh penulis yang sudah 'published': Bawa bertenang, fikir baik-baik. Karya penulis itu mungkin 'unik', tetapi dalam bisnes, produk yang 'unik' adalah produk yang paling susah hendak dipasarkan!

Penulis, khususnya penulis sastera, memang obses dengan 'keunikan'. Tetapi bagi penerbit, kos yang ditanggung bagi setiap 1 judul yang tidak laku, adalah ia menelan keuntungan daripada 10 judul yang laku bagi tahun itu! Sifirnya mudah sahaja. Satu buku yang tidak laku menelan keuntungan 10 buah buku yang laku!

Bagi penerbit yang besar seperti Alaf21 umpamanya, disebabkan Alaf sudah mempunyai beratus-ratus judul, jika ada 1 judul tidak laku, Alaf masih dapat meneruskan bisnesnya. Tetapi jika saudara penerbit baru?

Sebagaimana dengan bisnes produk-produk konsumer lain, bisnes buku adalah bisnes 'volume'. Lebih besar volume judul yang saudara terbitkan, lebih stabil bisnes saudara. Jumlah judul yang banyak membolehkan saudara mengurus risiko dengan lebih baik.

Penerbit baru lebih selamat menerbitkan siri-siri buku 'ruji', sekurang-kurangnya bagi 5 tahun pertama dalam bisnes. Apa manfaatnya menerbitkan buku secara siri-siri?

1. Apabila saudara sudah menentukan siri apa yang saudara akan terbitkan, barulah editor perolehan saudara tahu penulis yang macam mana perlu dicari, dan isi kandungan buku yang macam mana hendak ditulis.

Jika saudara tidak menentukan siri buku, editor perolehan saudara bekerja tanpa garis panduan, tanpa mempunai senarai prioriti, manakala penulis saudara pun tidak tahu buku apa yang saudara mahu ataupun tidak mahu.

Katakanlah saudara merancang pada tahun 2008 saudara akan menerbitkan 30 judul buku siri sukan. Barulah mulai hujung tahun 2006 editor perolehan saudara dapat merancang detail judul-judul itu. Selepas itu baru mereka mencari maklumat universiti mana yang mempunyai fakulti sains sukan. Barulah mereka dapat menyusun siri bengkel penulisan di fakulti itu. Buku-buku itu akan ditulis sepanjang tahun 2007, dan terbit pada 2008!

2. Siri buku membolehkan saudara merancang program penerbitan 5 tahun ke hadapan. Sebagai contoh saudara boleh menetapkan siri-siri baru yang bakal diperkenalkan pada tahun 2007, 2008, 2009, 2020, 2011 dan seterusnya.

Sebagai contoh PTS Millenia akan memperkenalkan 2 siri baru pada 2007, iaitu (a) siri perubatan alternatif dan (b) siri buku DIY (do-it-ypurself). Manakala PTS Fortuna akan memperkenalkan buku sastera klasik pada tahun 2007.

3. Dengan adanya siri, kerja promosi buku-buku yang saudara terbitkan itu lebih efektif dan lebih mudah dilakukan. Buku-buku dalam siri yang sama dapat diiklankan serentak, dan buku-buku itu dijual sebagai set-set khusus untuk sekolah dan perpustakaan.

Cara kerja begini mesti diterangkan kepada para penulis saudara, supaya mereka faham strategi bisnes saudara. Kalau tidak, apa yang berlaku adalah, saudara cari buku lain, mereka tulis buku lain.

Tentu sekali tidak semua penulis setuju dengan cara kerja saudara, tetapi lazimnya mereka tidak setuju sebab mereka tidak faham betapa pentingnya sesuatu bisnes itu dirancang supaya berjaya. Katakan kepada penulis, dengan bahasa yang senang difahami: Apabila penerbit lingkup, royalti penulis pun lingkup.

Banyak orang sudah cuba menjadi penerbit, tetapi majoriti gagal bertahan. Punca utamanya adalah mereka tidak menjalankan bisnesnya dengan mempunyai strategi dan program penerbitan yang kemas. Sebaliknya mereka main terima saja apa yang dihantar oleh pengarang. Ini adalah resipi kegagalan yang baik!


.