Strategi Mencipta Harta Karun
Kata pepatah Tamil, “Satu batang pokok getah tidak menjadi satu estet.” Begitulah ibaratnya.
Jikalau saudara hanya melukis sebuah buku, yang terbit sekali cetak sahaja, buku yang saudara lukis itu buku, bukan harta karun.
Apabila saudara melukis ilustrasi untuk 10 buah buku, setiap buku diulangcetak setiap tahun, tahun demi tahun, selama bertahun-tahun, barulah 10 buah buku itu menjadi harta karun saudara.
Ini bermakna, bagi membolehkan pelukis-pelukis buku tanah air kita menghimpun hakcipta sehingga menjadi harta karun, kita memerlukan ramai penulis buku yang cerita-ceritanya mempunyai ciri-ciri harta karun.
Para penulis dan pelukis mesti mempunyai keyakinan bahawa pihak penerbitnya mempunyai otot bagi mempromosi buku-buku mereka dengan agresif dan konsisten dalam pasaran, tahun demi tahun, selama bertahun-tahun. Barulah mereka mempunyai dorongan terus berkarya.
Kalau buku mereka cuma dicetak satu kali, untuk apa mereka hendak menyimpan hakciptanya? Baik jual!
Cerita-cerita yang ditulis mesti evergreen, lukisannya mesti evergreen, barulah paduan dua faktor ini membolehkan buku itu menjadi buku evergreen. Tetapi itu belum cukup bagi menjadikan buku-buku itu harta karun.
Penerbit yang menerbitkan buku-buku itu mesti mempunyai komitmen untuk membangunkan pasaran buku-buku evergreen dalam kedai-kedai buku, dan tidak hanya bergantung kepada kontrak kerajaan.
Bagi membangunkan sesuatu pasaran produk, kita memerlukan sekurang-kurangnya 100 judul dalam kategori yang sama setiap tahun, sekitar 10 judul sebulan. Barulah kehadiran buku-buku kategori itu dapat menarik minat pengunjung kedai buku.
Dengan keupayaan menerbitkan 100 judul setahun, barulah para pelukis buku mempunyai cukup bekalan cerita yang mereka akan hiasi dengan lukisan yang cantik-cantik. Barulah berbaloi mereka melabur dengan menyimpan hakcipta mereka.
Kedai adalah nyawa kepada buku-buku evergreen. Tanpa dijual dalam kedai-kedai buku, tidak akan ada buku evergreen dalam pasaran.
Kedai adalah nyawa penerbit. Penerbit yang buku-bukunya tidak laku di kedai tidak dapat hidup lama. Kedai adalah nyawa industri buku. Buku-buku yang laris adalah nyawa kedai-kedai buku.
Perpustakaan hanya membuat satu kali pembelian bagi setiap judul. Jumlah perpustakaan awam di negara ini tidak sampai 500 buah! Inilah sebabnya, kalau penerbit hanya bergantung kepada kontrak kerajaan, buku-buku saudara yang cantik lukisannya itu pun tidak akan menjadi harta karun saudara.
Tip No. 1: Pilihlah penerbit yang 'main kedai' bukan yang 'main kontrak'.
.