Friday, February 03, 2006

Strategi Menjadi Penulis Profesional: Cari Cek Kecil, Buat Cek Besar

Apabila saudara hendak mencari penghidupan yang selesa dengan menggunakan bakat saudara sebagai penulis, ada beberapa strategi kerja yang berguna kepada saudara.

1. Stategi Jangkamasa Pendek: Saudara perlu ada sumber pendapatan kecil-kecil setiap bulan. Tulis artikel untuk dapat duit cepat dan dapat tiap-tiap bulan. Tulis artikel-artikel untuk pelbagai majalah dan akhbar. Walaupun bayarannya kecil tetapi bayaran itu cepat, jadi saudara dapat gunakan untuk perbelanjaan bulanan saudara.

Untuk tahu lebih lanjut, bacaan wajib adalah buku "BUAT DUIT DENGAN MENULIS" (Jeniri Amir, PTS). Baca juga blog mentee kita, ZAMRI Muhamad atau telefon beliau dan berguru dengannya, hp 0192880451. Beliau sentiasa hadir bengkel PTS, ambil kesempatan bersahabat dengannya.

2. Strategi Jangka Masa Sederhana: Tulis buku-buku kecil yang cepat siap. PTS mempunyai banyak program menerbitkan buku-buku kecil. Walaupun harga jualan buku kecil rendah, oleh itu royaltinya kecil, tetapi buku-buku jenis ini dapat disiapkan, sebulan satu buku pun dapat disiapkan.

Hubungi Puan Nor (PTS One), En. Fauzul (PTS Millenia) En. Nazrul (PTS Profesional) En. Faris (PTS Islamica) untuk mengetahui jenis-jenis buku kategori ini yang sudah dikenalpasti dalam rancangan tahunan mereka. Mereka masing-masing akan menerbitkan 150 judul baru pada tahun 2007. Baca laman PTS Millenia jika saudara hendak menulis buku-buku popular.

3. Strategi Jangka Masa Panjang: Tulis buku-buku evergreen. Buku jenis ini mengambil masa lebih lama disiapkan, tetapi hayatnya panjang, oleh itu buku jenis ini adalah harta karun. Tulis satu buku setahun bagi kategori ini.

4. Jikalau saudara mempunyai bakat ilustrasi, PTS memerlukan banyak ilustrasi. Buat baik dengan para pengurus PTS. Kerja-kerja ilustrasi adalah sumber cek-cek kecil tetapi cepat dapat. Jika saudara pandai membuat design cover buku, itu lebih baik. Tahun ini sahaja PTS memerlukan 350 cover buku!

5. Jika saudara mempunyai pengetahuan dan kemahiran lain, saudara bekerja part-time sahaja, jadi freelance, asal ada duit untuk belanja harian. Menulis mesti menjadi pekerjaan fulltime saudara. Jangan terbalik, cari makan jadi kerja fulltime, menulis pula yang jadi pekerjaan part-time.

Untuk mengetahui apa yang sedang dirancang dalam dapur PTS, saudara jalinlah hubungan baik dengan pegawai-pegawai PTS. Hadiri kursus-kursus dan bengkel-bengkel PTS, kerana banyak maklumat hanya didedahkan antara muka dengan muka. Ini namanya memperkenalkan bakat dan perkhidmatan saudara kepada mereka.

Ingat, berjagung-jagung dahulu sementara menanti padi masak. Jagung mesti tanam, padi pun mesti tanam! Cek honorarium yang kecil-kecil mesti dicari, cek royalti yang besar-besar pun mesti dicari.




Komik Islami: Mencari Stroke Harta Karun

Kita mencari stroke-stroke evergreen yang membolehkan komik-komik Islami yang akan kita terbitkan nanti laku dijual bertahun-tahun, diulangcetak tahun demi tahun, dapat diterbitkan semula menggunakan pelbagai media, dan dapat diekspot ke dalam bahasa-bahasa lain.

Kita sudah mempunyai seangkatan penulis-penulis novel Islami yang karyanya berpotensi menjadi harta karun. Sasterawan Abd. Latip Mutalib adalah salah seorang daripadanya. Jadi kita memerlukan pekomik yang strokenya dapat dikembangkan menjadi stroke bernilai harta karun juga.

Kita nampak novel grafik sasterawan terkenal itu nanti akan mempunyai ciri-ciri evergreen dan dapat menembusi pasaran Indonesia. Storyboard bagi ketiga-tiga buah novel itu sedang dikerjakan oleh Sdr. Elmaaniq.

Adakah saudara biasa menatap komik-komik Indonesia?

Adakah saudara mempunyai stroke yang berpotensi digemari di tanahair kita sendiri, juga dapat digemari di Indonesia?

Adakah stroke saudara mempunyai ciri-ciri stroke harta karun? Jika tidak, dapatkah saudara cipta stroke seperti itu? Hantar contoh stroke saudara kepada Sdr.Kalamtimur. Beliau adalah penasihat kita bagi projek Novel Grafik Islami PTS.




Thursday, February 02, 2006

Hukum Menghasilkan dan Menerbitkan Karya Komik

Bagi saudara yang akan menghasilkan karya dalam bentuk lukisan, sebelum kita bercakap tentang karya komik Islami, kita perlu menyelesaikan lebih dahulu persoalan apakah hukum melukis komik.

Kedudukan senilukisan dalam Islam adalah sama kontroversinya dengan senimuzik dan senilakon. Terdapat dua kubu pendapat. Satu kubu mengatakan seni lukisan itu tidak boleh, manakala kubu yang satu lagi mengatakan boleh.

Dalam surah Yusuf tidak ada unsur lukisan. Tetapi ada suatu hadis yang menarik.

Kita petik hadis nombor 575 dalam koleksi Riadhus Salihin, susunan Imam Nawawi yang bermaksud: Ibnu Masud berkata, "Nabi Muhammad melukis rajah empat segi. Kemudian, di tengah-tengah segiempat itu beliau melukis suatu garisan panjang yang sampai terkeluar dari segiempat itu. Kemudian beliau melukis garis-garis pendek di bawah garis tengah itu. Selepas itu Nabi Muhammad berkata (bagi menerangkan makna lukisannya itu), 'Garis ini adalah manusia. Garis ini adalah ajalnya. Garis yang terkeluar ini adalah angan-angannya. Garis-garis pendek ini adalah perkara-perkara duniawi yang diterimanya. Jikalau dia terhindar daripada bencana yang ini, dia akan ditimpa oleh bencana yang ini pula. Jikalau dia terlepas daripada bencana yang ini, dia tentu tidak terlepas daripada bencana yang ini pula.'"

Disebabkan hadis ini autoritatif, maka kita berpendapat bahawa Nabi Muhammad bukan hanya menyampaikan mesej Islam dengan menggunakan 'verbal communication' (komunikasi lisan) tetapi beliau pernah menggunakan apa yang kita hari hari sebut dengan istilah 'visual communication' (komunikasi lukisan). Beliau tidak pernah menggunakan 'written communication' (komunikasi tulisan) disebabkan beliau tidak pandai membaca dan menulis.

Justeru, lukisan sebagai media bagi menyampaikan mesej-mesej Islam itu ada dalam sunah Nabi Muhammad. Ini pendapat kita sekarang. Kita mengajak pakar-pakar agama dan pakar-pakar teori kesenian Islam menerangkan kedudukan komik sebagai alat berdakwah.



Watak Utama Novel Cinta Islami: Prinsip Surah Yusuf

Kisah percintaan Nabi Yusuf dan Siti Zulaikha sudah beribu-ribu tahun usianya. Sebelum kisah itu disampaikan kepada Nabi Muhammad oleh Allah melalui wahyu Quran, kisah itu sudah lama lebih awal diketahui oleh para penganut agama Yahudi dan Kristian. Sehingga hari ini banyak penulis buku kisah-kisah daripada al-Quran yang mencapur-adukkan kisah Nabi Yusuf dengan kisah-kisah yang berasal daripada sumber-sumber Yahudi dan Kristian.

Kisah Nabi Yusuf adalah kisah cinta yang paling indah. Bagi menghasilkan novel cinta yang indah dengan berpandukan surah Yusuf, ini bermakna watak utama dalam novel cinta itu perlu memiliki keselarasan dengan watak utama dalam surah itu.


Watak utama dalam surah Yusuf adalah:

1. Lelaki, bukan perempuan.

2. Lelaki yang takut kepada Tuhan, ertinya agamanya baik, tidak melakukan sebarang perbuatan haram.


3. Lelaki yang mempunyai peribadi terpuji.


4. Mempunyai rupa paras yang elok.


5. Keturunan orang baik-baik.


6. Lelaki teruna yang suci, bukan suami orang, bukan tunang orang, bukan kekasih orang, bukan duda, bukan pemuda yang mempunyai rekod perhubungan dengan perempuan sebelum bernikah, bukan pemuda yang menyentuhi perempuan bukan muhrimnya.


7. Pekerja yang amat jujur kepada majikannya.


8. Mengalami pelbagai nasib malang.


9. Mengalami nasib yang ekstrem, daripada hamba menjadi menteri.


10. Mempunyai IQ tinggi, pintar, mempunyai bakat-bakat istimewa.


11. Tidak bermain senjata.


Dalam surah Yusuf, melalui watak Zulaikha, kedudukan perempuan adalah sebagai watak pembantu utama, bukan watak utama. Isu ini mungkin tidak disetujui oleh pengarang novel moden, terutamanya pengarang-pengarang perempuan, namun prinsip lelaki menjadi watak utama dalam kisah cinta yang indah adalah prinsip yang disedut daripada surah Yusuf.



Wednesday, February 01, 2006

Menghasilkan Novel dan Komik Evergreen: Teknik Surah Yusuf

Ramai orang sudah menghasilkan banyak karya, baik novel mahupun komik, tetapi mereka tidak kaya, disebabkan mereka tidak mempunyai banyak HARTA INTELEK, kerana tidak semua karya akhirnya menjadi Harta.

Mencipta karya dan mencipta harta intelek memerlukan cara berfikir yang sangat berbeza. Untuk berkarya, saudara hanya memerlukan idea. Tetapi untuk mencipta harta intelek saudara memerlukan FORMULA IDEA yang berpotensi dapat ditukar menjadi harta intelek.

Apabila saudara berkarya, baik novel mahupun komik, jangan fokuskan fikiran saudara pada “karya” sebaliknya fikirkan “Harta Intelek”. Oleh itu jangan saudara berfikir “Cerita apa aku nak tulis” sebaliknya fikirkan “Harta apa aku nak cipta.”

Ingatlah, kebanyakan karya yang berjaya diterbitkan kekal sebagai karya sahaja. Karya itu tidak diulangcetak tahun demi tahun, tidak dapat diterbitkan semula dalam media lain, tidak dapat diekspot ke dalam bahasa-bahasa lain, dan macam-macam lagi.

Kisah yang indah adalah batu asas harta intelek yang evergreen, apakah kisah indah itu akan dijadikan novel konvensional ataupun novel grafik, mahupun buku komik panjang.

Apabila cerita novel saudara itu cerita yang elok, dituliskan dengan gaya sastera yang biasa-biasa sahaja pun novel saudara itu berpotensi menjadi evergreen.

Begitu juga apabila stori dalam komik saudara itu bagus, gaya stroke lukisan yang biasa-biasa pun dapat menghasilkan karya grafik yang evergreen.

Apabila saudara menulis sastera Islami, ataupun melukis komik Islami, dengan berpandukan surah Yusuf, cerita saudara itu sebaik-baiknya adalah didasarkan kepada cerita benar kerana seluruh kisah Nabi Yusuf itu adalah kisah benar. Ini bermakna saudara melakukan kajian sebelum memilih kisah siapa yang hendak saudara novelkan.

Prinsip ini tidak bermakna dalam sastera Islami saudara tidak diizinkan menulis novel berdasarkan imaginasi saudara sahaja, tetapi cerita yang direka-reka tidak dapat menghasilkan kisah yang indah dan evergreen keindahannya.

Prinsip kisah benar ini lebih penting saudara amalkan apabila usia saudara masih muda, belum melepasi 30 tahun, masih belum berkahwin, belum pernah tinggal di luar negara, tidak pernah berniaga, belum pernah bercerai, belum mengalami kematian pasangan, belum pernah masuk ICU, masih menuntut... belum pernah itu ini.

Disebabkan usia saudara yang masih muda, pengalaman saudara masih belum banyak, oleh hal yang demikian imaginasi saudara dihadkan oleh pengalaman yang sedikit. Faktor ini hanya dapat diatasi apabila cerita dalam novel ataupun komik saudara itu adalah berdasarkan kisah benar.



Tuesday, January 31, 2006

Profesor pun Baca Novel Cinta

Seorang profesor perempuan bidang sains sebuah universiti yang terkenal pernah dilihat membaca novel cinta di ruang menanti sebuah klinik gigi.

Siapa kata novel-novel cinta hanya dibaca oleh remaja yang rendah taraf pendidikannya?


Tahniah kepada novelis-novelis cinta tanah air atas kejayaan menghasilkan karya-karya yang dapat dinikmati oleh perempuan daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan profesion.


Apakah barangkali faktor-faktor psikologi yang menyebabkan ramai perempuan, baik yang amat muda mahupun yang sudah awal-tua, baik yang berpendidikan rendah mahupun yang memiliki PhD, bagaikan tidak puas-puas membaca, mendengar dan menonton cerita-cerita cinta?


Salah satu teori mengatakan novel-novel cinta memenuhi naluri keperluan perempuan. Perempuan memerlukan asmara. Lelaki memerlukan s.... Disebabkan lelaki tidak pandai memberikan dos asmara sekucupnya kepada perempuan, makanya perempuan mendapatkan dos supplement itu daripada sumber-sumber lain seperti lagu-lagu cinta, filem Hindustan dan novel-novel cinta romantis.


Satu lagi teori mengatakan filem-filem dan novel-novel cinta memberikan ruang escapisme kepada perempuan. Mengikut teori ini, sang profesor perempuan itu membaca novel cinta untuk lari daripada tekanan hidup sehari-harian, di mana selepas tamat membaca cerita-cerita romantik itu beliau semacam berasa jiwa dan fikirannya lega, lapang dan ringan sedikit. Ertinya filem-filem dan novel-novel cinta mempunyai nilai terapi kepada perempuan.


Satu lagi teori mengatakan perempuan suka mengambil tahu kehidupan orang lain, dan novel-novel cinta memberikan mereka peluang membaca cerita-cerita dalam kain orang lain.


Apa sebenarnya yang mendorong sang profesor perempuan itu membaca novel cinta, Tuhanlah yang lebih mengetahui. Barangkali beliau mahu merehatkan otak sebentar sesudah penat membaca jurnal-jurnal sains....






Monday, January 30, 2006

Novel Cinta di atas Lantai

Jikalau saudara penerbit baru muncul, pernahkah saudara mengalami peristiwa seperti di bawah ini?

Saudara menerbitkan novel cinta saudara sendiri. Disebabkan nama saudara sudah terkenal dan saudara mempunyai banyak peminat, kedai-kedai buku meletakkan novel terbitan saudara di bahagian yang dekat dengan pintu masuk kedai. Memang di situlah tempat buku-buku laris diletakkan oleh pekedai bagi memancing pembeli dan peminat pengarang-pengarang terkenal.

Pada suatu masa saudara pergi melawat kedai-kedai buku bagi mengikuti perkembangan jualan novel cinta saudara itu. Saudara dapati novel saudara sudah habis, satu naskhah pun tidak ada lagi di rak tepat asalnya. Berita gembira! Tepat sebagaimana yang saudara yakini bahawa dengan menerbitkan sendiri novel cinta saudara, novel saudara laris di pasaran.

Selepas itu, macam biasa, sebagai penerbit saudara berjalan-jalan dalam kedai bagi mengikuti perkembangan novel-novel terbaru terbitan penerbit-penerbit lain, maklumlah mereka adalah pesaing saudara. Saudara mahu tahu siapa menerbitkan buku apa.

Tiba-tiba saudara ternampak di suatu sudut dalam kedai, ada buku-buku yang diletakkan di atas lantai. Dan saudara dapati novel-novel cinta saudara adalah antara buku-buku yang diletakkan di atas lantai itu!

Saudara tidak faham apa yang sedang berlaku....




Sunday, January 29, 2006

Siapa Suka Cerita Humor?

Film humor Afdlin Shauki "Baik Punya Cilok" berjaya mengutip RM1 juta dalam tempoh 2 minggu pertama ia ditayangkan. Dalam tempoh tidak sampai 4 minggu ia mengutip RM2 juta.

Dalam isu humor, apakah kedudukan humor dalam sastera Islami. Nampaknya surah Yusuf tidak mengandungi unsur humor. Ini menunjukkan humor dalam sastera tidak menghasilkan kesan keindahan.

Adakah saudara merancang hendak menulis buku komik humor ataupun buku cerita humor?


Berikut adalah hasil kajian pakar psikologi berkenaan siapa suka membaca, mendengar ataupun menonton bahan-bahan yang mengandungi humor:

1. Orang muda lelaki suka mendengar, membaca dan menonton cerita-cerita humor.

2. Orang tua lelaki tidak suka.

3. Perempuan muda dan tua tidak suka. Perempuan suka cerita-cerita sedih.

4. Lelaki profesional hanya suka humor yang disampaikan oleh orang yang datang daripada golongan mereka sendiri.

Humor juga tidak efektif bagi tujuan menyampaikan mesej dan kritikan. Walaupun pembaca mungkin suka membaca buku ataupun filem humor itu tetapi mereka tidak terpengaruh dengan mesej yang cuba disampaikan.

Apabila saudara menggunakan humor bagi menyampaikan mesej, yang sampai adalah humornya, manakala mesejnya tidak sampai.

Sejarah para pendakwah yang berjaya mengislamkan jutaan manusia di Nusantara, benua India, Turki, Iran, Cina dan lain-lain, menunjukkan mereka tidak menggunakan kitab-kitab humor. Begitu juga dengan pelbagai revolusi politik dan sosial yang berjaya digerakkan dengan tidak menggunakan karya-karya humor.

Buku-buku cerita evergreen yang ada bukan buku-buku humor. Jika saudara hendak mencipta karya evergreen, buku humor bukan pilihan yang baik.

1. Apa yang dianggap lucu pada suatu masa mungkin tidak dianggap lucu bagi masa yang lain. Ini menyebabkan hayat buku-buku humor singkat.

2. Audiens humor adalah terbatas. Apa yang lucu bagi sesuatu kelompok mungkin tidak lucu bagi kelompok lain. Ini menyebabkan buku-buku humor tidak dapat diekspot ke dalam budaya-budaya lain.

3. Walaupun saudara pengarang buku kreatif, di mata masyarakat, imej saudara sebagai pengarang juga tidak setinggi pengarang kategori sastera dan buku-buku ilmu. Imej pengarang cerita-cerita humor lebih kurang satu kategori dengan pengarang cerita-cerita hantu dan misteri.

Justeru, sebagai harta intelektual, buku-buku humor bukan pelaburan yang baik.