Monday, June 12, 2006

Penulis Sepenuh Masa adalah Bisnesman

Kini Disambung Semula.....


Saudara mahu menjadi penulis sepenuh masa, ini bermakna saudara perlu belajar pelbagai kemahiran baru, khususnya jenis-jenis kemahiran seperti berikut:


1. Pandai menjalin dan mengekalkan persahabatan. Kemahiran ini adalah asas kejayaan dalam bisnes. Semakin banyak sahabat saudara, semakin murah rezeki saudara. Projek-projek penulisan dipesan menggunakan borang LO local order. Maknanya, si pegawai yang menjaga projek penulisan, dia yang memilih siapa yang akan diberikan projek itu. Tidak ada pegawai yang akan menyerahkan borang LO local order kepada orang yang tidak dikenalinya.


2. Pandai berunding.
Berunding bermakna bertolak ansur. Jangan pandai rebut-merebut. Apabila berunding, jangan tamak. Jangan hendak semua, nanti langsung tidak dapat apa-apa. Belajar rugi sedikit hari ini supaya untung banyak hari esok. Jangan suka berkira-kira dengan orang, nanti orang akan berkira-kira dengan saudara. Jadilah orang yang “senang runding”.


3. Pandai rugi.
Jangan hendak untung dalam semua perkara. Jangan simpan apa yang saudara tidak perlukan, berikan kepada orang yang memerlukannya. Dalam berniaga, kita memerlukan duit, kita tidak memerlukan nama. Kalau membuat projek jabatan kerajaan, ingat, pegawai kerajaan mahukan 'nama', jadi berikan 'nama' kepada mereka, nanti baru mudah kita mendapat duitnya. Jangan nama hendak, duit pun hendak. Kita orang bisnes, rugi nama tidak jadi kudis!


4. Pandai memberi.
Jangan tunggu orang lain yang memulakan pemberian, biar kita yang memberi dahulu. Sebelum dia minta diskaun, kita sudah tawarkan diskaun istimewa kepadanya.


Akan disambung......


5. Pandai bersetuju:
Kemahiran ini bunyinya mudah, tetapi ia susah. Bagi saudara yang baru belajar berfikir macam orang bisnes, pandai bersetuju adalah kemahiran yang sukar dipelajari, ia mengambil masa.


Cuba saudara bercakap dengan orang bisnes yang sudah berjaya, saudara akan dapati, walau apa pun yang saudara katakan, dia akan setuju ataupun DIAM. Dia tidak akan berkata apa-apa yang membawa makna “No, you are wrong.”


Bagi orang bisnes, dia hendak duit. Kalau orang lain hendak tunjuk pandai, dia biarkan sahaja orang itu tunjuk pandai. Bagi orang bisnes, apabila bisnesnya berjaya, itulah buktinya dia seorang yang pandai!


Mengapakah majoriti orang makan gaji dengan kerajaan tidak mempunyai bakat bersetuju yang tinggi? Sebab gaji mereka tidak ada kena mengena dengan perbuatan bersetuju! Dia suka berdebat ataupun tidak suka berdebat, kesannya ke atas kenaikan gajinya serupa.


Oleh itu, orang kerajaan, kalau dia suka berbeza pendapat sekalipun dengan orang-orang di sekelilingnya, gajinya tetap macam itu juga.


(Minta maaf banyak-banyak, kepada tuan-tuan yang terkena....) Cuba baca blog-blog orang makan gaji, kita akan dapati mereka menghasilkan banyak karya-karya kritikan, yang menunjukkan mereka pandai berbeza pendapat.


Di kalangan orang makan gaji, ada semacam keyakinan palsu kononnya apabila dia pandai menghasilkan kritikan yang bernas, pandai membuktikan orang lain salah, maka pandailah dia!


Bagi orang bisnes, bagi penulis sepenuh masa, dia tahu, kalau dia selalu tidak bersetuju, susahlah dia hendak cari makan.


Akan disambung......


6. Pandai diam. Kemahiran ini pun kemahiran yang susah diperoleh. Ia memakan masa yang lama untuk pandai diam.


Perbuatan diam apabila kita bersetuju, itu mudah, malah itulah yang selama ini kita lakukan. Tetapi diam apabila kita tidak bersetuju, inilah yang sukar. Mana boleh kita diam sedangkan kita melihat sesuatu itu tidak betul, alias merugikan kita. Begitulah lazimnya kita berfikir, lalu kita pun bercakap.


Banyak orang pandai bercakap, maka dia bercakap. Makin tinggi pelajaran kita, makin kita pandai bercakap. Orang yang pandai bercakap belum tentu pandai buat duit.


Majoriti orang-orang yang baru belajar bisnes belum menguasai habit pandai diam daripada bercakap, iaitu habit menangguhkan bercakap.


Bila pelanggan saudara bercakap, dan saudara tidak setuju dengan apa yang dikatakannya, belajar DIAM. Angguk-angguk sahaja. Tangguhkan bercakap.


Jangan dibantah cakap pelanggan saudara di situ juga. Balik dulu.... tunggu sehari dua, kemudian pergi jumpa dia semula.... cakap baik-baik. Entah-entah dia pun sudah lupa apa yang dikatakannya dulu!


Kalau pun pelanggan saudara masih ingat, moodnya sudah berubah.... Kalau dulu dia bercakap dalam keadaan dia sedang stress, sehari dua kemudian dia mungkin sudah lebih relaks.... maka lebih mudah baginya untuk menyambung semula perbincangan berkenaan perkara yang saudara kurang setuju....


Akan disambung....


Apabila saudara sudah bulat hati hendak hidup sebagai penulis sepenuh masa, isu bagaimana hendak mencari duit belanja harian akan menjadi fokus fikiran saudara.


Tetapi memikirkan duit adalah salah. Duit adalah hasil perkara-perkara yang saudara lakukan. Apabila kita melakukan perkara-perkara yang betul, barulah duit datang.


Perkara-perkara yang saya sedang terangkan dalam entri ini adalah antara perkara-perkara yang dapat menghasilkan duit, walaupun tip-tip ini tidak ada kena mengena dengan duit.


Apabila kita mencari duit, modal kita yang paling utama adalah mulut dan lidah kita. Apabila kita pandai berkata-kata, barulah orang mahu berurusan dengan kita. Barulah dia mahu memilih kita menjadi pembekalnya. Ini asas orang 'trading'. Trader tidak mempunyai apa-apa, dia hanya mempunyai dirinya. (Nabi Muhammad, salam sejahtera ke atasnya, adalah seorang trader.)


Sebelum menawarkan perkhidmatan penulisan saudara, jual diri saudara dulu. Orang bukan membeli apa yang kita tawarkan, orang membeli siapa kita. Kalau dia suka kita, barulah dia mahu menggunakan perkhidmatan kita.


Kemahiran-kemahiran yang saya terangkan dalam entri ini adalah alat kerja yang dapat menjadikan diri saudara dibeli orang.


Akan disambung....


7. Pandai Memuji.
Kalau saudara mempunyai sahabat orang bisnes, saudara mungkin perasan orang-orang bisnes memang pandai memuji dan murah dengan pujian, manakala orang makan gaji dengan kerajaan tidak pandai memuji.


Teknik memuji dan teknik mengampu amat berbeza. Jangan sekali-kali mengampu. (Kalau saudara mahu, saya boleh terangkan teknik-teknik memuji yang betul.)


Pandai memuji menyebabkan orang yang saudara puji itu lebih ingat nama dan wajah saudara, ini penting bagi menambahkan jumlah pelanggan yang akan ingat kepada saudara apabila mereka mempunyai projek.


Akan disambung....

8. Pandai memberi kerjasama. Apabila kita memberikan kerjasama kepada orang lain, tujuan kita adalah membantu orang itu berjaya mendapatkan apa yang dihajatinya.


Jangan tunggu sehingga orang itu meminta bantuan daripada kita. Sebelum dia meminta, kita sudah tawarkan bantuan kita kepadanya.


Berikan kerjasama saudara kepada sesiapa sahaja. Orang yang pernah saudara tolong akan menolong saudara. Menolong orang adalah insurans sosial yang sangat penting saudara lakukan.


Tolong orang itu, meskipun dia adalah pesaing kita. Pesaing kita adalah bakal penolong kita kerana kita sama-sama bergiat dalam bidang kepakaran yang serupa. Apabila dia memerlukan bantuan, berikan bantuan.


Bayangkan nanti, suatu hari saudara mungkin menerima projek penulisan yang besar, maka kepada siapakah saudara hendak mencari bantuan menyiapkan projek itu kalau bukan kepada pesaing saudara. Jika diserahkan kepada orang baru, saudara menanggung risiko kualiti kerja rendah, akibatnya pelanggan saudara tidak puas hati, dan bisnes saudara rosak.


Akan disambung....

Jika saudara sudah bulat hati mahu hidup merdeka, mahu membayar gaji kepada diri sendiri, tidak mahu lagi menjual waktu saudara kepada majikan saudara, bacalah entri ini seterusnya....


9. Pandai kecewa.
Inilah kemahiran yang menentukan survival saudara sebagai penulis sepenuh masa. Jika saudara sanggup belajar kepandaian menerima kekecewaan, maka ada harapan saudara dapat hidup merdeka sebagai penulis sepenuh masa.


Jika saudara ke pasar malam pada hari hujan, saudara akan nampak penjual makanan siap masak menanggung kerugian yang banyak, tetapi minggu hadapan mereka datang berjual lagi. Ini disebabkan pada malam yang hujan turun lebat, peniaga-peniaga itu pandai menerima kekecewaan. Mereka tidak menyalahkan hujan. Mereka terima kenyataan bahawa memang ada malam-malam yang hujan turun lebat walaupun siangnya langit biru dan matahari terik.


Syarikat Esso melabur dalam usaha mencarigali telaga minyak dengan nisbah 20:1, yakni bagi mendapatkan 1 penggalian yang mengeluarkan minyak, mereka sanggup menggali 20 lokasi.


Apabila sesuatu penggalian itu sia-sia kerana di situ tidak ada punca minyak, mereka tidak menyalahkan sesiapa, mereka beralih ke lokasi lain dan mula menggali lagi, jika di situ pun tidak ada punca minyak, mereka beralih ke lokasi lain lagi, dan mula menggali lagi.


Jurutera-jurutera Esso pandai menerima kekecewaan, walaupun mereka sudah menjalankan kajian saintifik di sesuatu lokasi yang difikirkan ada punca minyak di situ, tetapi mereka menerima kenyataan memang ada kemungkinan punca minyak tidak ada di situ.


Adakah saudara sekarang bekerja dengan kerajaan?


Pegawai kerajaan tidak pandai menerima kekecewaan. Semakin lama mereka bekerja dengan kerajaan, semakin mereka tidak pandai menerima kekecewaan. Jika percubaan mereka kali pertama gagal, mereka cepat patah semangat, marah-marah, merajuk, tarik diri, berhenti daripada terus berdaya usaha, menyalahkan orang lain, defensif, tidak pandai mengaku silap....


Apabila saudara mahu hidup merdeka, ingatlah, hidup merdeka lebih sukar daripada sudut psikologinya. Sebagai seorang yang makan gaji dengan kerajaan, saudara sentiasa ada ramai orang lain yang dapat saudara persalahkan.


Apabila saudara sudah merdeka, saudara kehilangan orang-orang yang dapat saudara persalahkan dan jadikan alasan mengapa saudara susah hendak cari makan. Saudara hanya mempunyai diri sendiri bagi dipersalahkan....



Akan disambung....


10. Pandai Mendorong Diri Sendiri. Kemahiran ini lebih sukar diperoleh, tetapi peranannya dalam kejayaan hidup merdeka sebagai penulis sepenuh masa adalah paling di atas.


Adakah saudara sekarang bekerja dengan kerajaan ataupun majikan swasta? Adakah saudara berhasrat hendak berhenti kerja dan menjadi penulis sepenuh masa disebabkan saudara tidak puas hati dengan majikan saudara, ataupun orang-orang di tempat kerja saudara?


Jika, ya, ini bermakna saudara menyalahkan pihak lain atas rasa tidak puas hati yang saudara alami sekarang. Ini bermakna pihak lainlah yang mendorong saudara hendak menjadi penulis sepenuh masa.


Salah satu ciri individu yang gagal hidup merdeka adalah sifat tidak pandai mendorong dirinya sendiri. Mereka melakukan sesuatu, ataupun tidak melakukan sesuatu, akibat perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Ini bermakna faktor-faktor luaran menjadi pendorong kepada keputusan-keputusan yang mereka ambil.


Jangan berhenti kerja kerana tidak puas hati. Nanti, saudara akan tambah tidak puas hati selepas berhenti kerja.


Berhentilah daripada makan gaji, meskipun saudara amat puas hati dan berjaya dalam pekerjaan sekarang. Berhentilah kerana saudara memang mahu hidup merdeka sebagai penulis sepenuh masa. Biar miskin asal merdeka!


Akan disambung....

11. Pandai Memenuhi Keperluan Orang Lain. Kemahiran ini adalah bonus yang berharga bagi orang bisnes. Ini adalah kepintaran EQ yang memberikan perbatuan jauh kepada saudara. Ia membolehkan ke mana saudara pergi, saudara disukai orang, suatu aset penting bagi sesiapa yang bergiat dalam bidang bisnes perkhidmatan peribadi, seperti perkhidmatan penulisan.


Apabila saudara becakap-cakap dengan sesiapa sahaja, kenal pasti apa keperluan jiwa orang itu, dan penuhi keperluannya itu. Sebagai contoh, pelanggan perempuan mempunyai keperluan psikologis yang berbeda daripada pelanggan lelaki.


Dalam urusan bisnes dengan lelaki, mereka mementingkan hal-hal teknikal, ertinya kualiti produk dan tempoh penyerahan mesti menepati keperluannya. Ini berbeza dengan pelanggan perempuan yang mementingkan hubungan sosial yang baik.


Perempuan mesti suka muka saudara dahulu, kalau tidak dia tidak mahu melantik saudara menjadi pembekalnya. Ertinya saudara perlu melakukan perbuatan-perbuatan yang membolehkan perempuan suka berurusan dengan saudara. Sebagai contoh, perempuan menilai tinggi aktiviti sosial seperti berkenalan dan bercakap-cakap.


Jadi, apabila saudara melayan pelanggan perempuan, ambil sedikit waktu bagi memberi dia peluang memenuhi keperluan psikologisnya. Sebagai contoh, selepas menerima cek, jangan terus mengucapkan terima kasih, pusing belakang dan balik. Ini berbeza dengan pelanggan lelaki yang mementingkan kecekapan, kepantasan dan penjimatan waktu.


Akan disambung....

12. Pandai Mencipta Persepsi Positif


Kemahiran ini membolehkan saudara menikmati 'headstart' atau 'garis mula' yang letaknya jauh di depan orang-orang lain. Ibarat saudara masuk lumba lari, di mana saudara diberikan tempat di depan garis permulaan pelumba-pelumba lain.


Salah satu unsur headstart adalah 'first impression'. First impression berfungsi sebagai asas bagi penilaian-penialaian berikutnya. Maksudnya, first impression yang positif menyebabkan penilaian-penilaian selanjutnya menjadi positif, begitu pula sebaliknya.


Disebabkan first impression kekal lama, maka kemahiran membuat orang-orang lain melihat diri saudara dengan pandangan positif menjadi kemahiran kritikal.


Katakanlah, apabila kali pertama pegawai perhubungan awam Pos Malaysia berkenalan dengan saudara beliau sudah suka saudara, maka apabila dia membaca kertas cadangan saudara untuk menuliskan buku “Pos Malaysia 100 Tahun” maka disebabkan dia suka saudara, dia akan menilai kertas cadangan itu dengan lebih positif. Maka peluang saudara mendapat projek penulisan buku “Pos Malaysia 100 Tahun” adalah lebih tinggi.


First impression dicipta oleh 2 faktor. Pertama penampilan, kedua sikap. Antara kedua-duanya ini, walaupun penampilan penting, tetapi sikap memainkan peranan yang lebih penting. Jadi, walaupun saudara mungkin pendek ataupun berhidung pesek, dengan memiliki sikap-sikap baik, saudara masih dapat mencipta first impression yang efektif.


Dalam bisnes, first impression apakah yang penting dicipta?


1. Semua orang mahu untung. Tidak ada orang yang mahu rugi. Kali pertama saudara menerima projek daripada pelanggan baru, berikan dia keuntungan, dia akan memandang saudara dengan pandangan positif.


Menjadikan seseorang itu berasa dia untung tidak semestinya saudara perlu rugi. Berikan kepada pelanggan baru saudara itu lebih daripada apa yang diharapkannya. Lain kali, disebabkan saudara sudah berjaya mencipta first impression yang baik, apabila dia mempunyai projek baru, dia akan ingat saudara.


2. Semua orang mahu menang. Tidak ada orang yang mahu kalah. Berikan kemenangan kepada pelanggan baru saudara. Ikut apa yang dia mahu. Kalau dia mahu warna hijau, buat warna hijau.


Pelanggan saudara mungkin pelik citarasanya, sedangkan saudara lebih pakar dalam bidang itu, tetapi kali pertama saudara buat projek dengannya, walaupun saudara fikir dia bodoh, objektif saudara adalah mencipta first impression yang baik.


3. Semua orang mahu mulia. Tidak ada orang yang mahu dirinya dilayan sebagai orang rendah statusnya.


Jangan anggap orang lain setaraf. Jangan sekali-kali gunakan 'you', 'I' dan 'awak' apabila bercakap kepada sesiapa dalam urusan cari makan.


Tidak ada orang Melayu yang berasa dirinya dipermulia apabila di-you-you-kan. Biar susah bercakap asal senang cari makan.


Akan disambung....


13 Pandai Kalah Manusia suka menang, tidak suka kalah. Orang-orang yang sudah lama dalam dunia bisnes pandai mengalah. Disebabkan mereka pandai mengalah, itulah sebabnya mereka kekal dalam bisnes.


Beri peluang pelanggan saudara menang selalu, nanti dia suka berurusan dengan saudara. Ini kemahiran yang payah dipelajari, khususnya oleh kaum penulis disebabkan kaum penulis adalah kelompok manusia yang suka menang.


Dua perkara ini amat berbeza, iaitu 'kalah' dan 'salah'. Betul tidak semestinya menang. Orang yang betul pun boleh kalah.


Belajar mengaku kalah walaupun saudara betul. Biarkan orang itu menang walaupun dia salah. Nanti dia suka berurusan dengan saudara.


Lazimnya orang percaya apabila kita betul, kemenangan adalah hak kita. Maka kita pun berbincang, bermesyuarat, berselisih pendapat, berdebat, bertengkar dan berkonflik sebab kita tidak mahu mengalah. Kita yakin kita mesti buktikan kita betul, orang itu salah.


Berikan kemenangan demi kemenangan kepada pelanggan saudara. Belajar berkata, “Baik, encik. Baik, puan. Baik, tuan.”


Jangan tunjuk pandai pada pelanggan. Projek itu dia punya, kalau dia suka kita, baru dia serahkan projek itu kepada kita. Kalau kita berjaya membuktikan hujah kita betul, apa gunanya, jikalau pelanggan kita sudah tidak suka berurusan dengan kita lagi.


Bagi orang bisnes, kita menang apabila pelanggan kita puas hati dan dia bayar kita cepat.


Akan disambung....

14. Pandai Memilih di Mana dan Bila Mahu Menang Orang bisnes tahu dalam isu apa dia mahu menang projek, dan bila dia mahu menang projek itu.


Pertama, kita mahu menang bagi projek yang kita mempunyai kepakaran dan keupayaan melaksanakannya dengan baik supaya pelanggan puas hati dengan kerja-kerja kita. Pelanggan yang puas hati akan rekomen kita kepada rakan-rakan sejawat mereka.


Kedua, apabila kita mahukan projek itu, kita mahu projek yang 'itu', yang lain-lain tidak dapat pun tidak jadi kudis. Jangan tamak, jangan ambil projek yang kita tidak layak menerimanya.


Jangan jadi orang tamak, semua projek dia mahu, akibatnya dia terpaksa menyerahkan projek itu kepada orang lain (sub-con). Apabila ini berlaku mutu kerja akan jatuh, menyebabkan pelanggan tidak puas hati. Kita kehilangan kepercayaan pelanggan. Lain kali dia tidak akan memberi kita projek lagi.


Jangan ambil projek yang kita tidak tidak mempunyai kepakaran dan peralatan melaksanakannya. Pelanggan yang tidak puas hati akan bercakap kepada rakan-rakan sejawatnya dan memberitahu mereka supaya jangan memberi kita sebarang projek. Suatu kajian di Jepun mendapati seorang pelanggan yang tidak puas hati bercakap kepada 19 orang lain.


Ketiga,
kita mahu projek itu pada saat kita memerlukan duitnya. Jangan ambil projek yang kita tidak memerlukan duitnya saat ini. Berikan projek itu kepada orang lain yang lebih memerlukan duit itu.


Banyak orang tamak, dia sudah ada projek, tetapi dia masih mahukan projek-projek lain. Akibatnya sumber-sumber yang ada tidak mencukupi bagi melaksanakan beberapa projek serentak, menyebabkan mutu projek-projek itu jatuh, dan pelanggan tidak puas hati.


Jangan tamak, orang tamak selalu rugi.


Akan disambung....

Sudahkah saudara betul-betul tekad dan tawakal hendak hidup merdeka sebagai penulis sepenuh masa? Jika ya, bacalah seterusnya entri ini.


15. Pandai Bodoh Kemahiran sosial menjadi orang bodoh adalah kemahiran yang sukar diperolehi oleh penulis disebabkan penulis adalah orang pandai yang gemar membuktikan dirinya pandai (dengan cara membuktikan orang lain bodoh). Penulis blog adalah golongan penulis. Bacalah dunia blog yang ditulis oleh orang yang makan gaji. Lihat bagaimana para penulis blog memiliki keterujaan yang tinggi menunjukkan dirinya sebagai orang pandai, (dengan membuktikan idea dan pendapat orang-orang lain bodoh).


Dalam bisnes, orang yang paling penting adalah pelanggan kita. Bercakap tentang pelanggan, ada pelanggan yang bijaklaksana, tetapi ramai pelanggan kita adalah 'orang bodoh', yakni bodoh pada mata kita.


Dalam dunia di luar sana, ada banyak orang bodoh yang ditugaskan menjaga banyak projek, oleh itu kemahiran beriteraksi secara produktif dengan pelanggan bodoh adalah penting dalam bisnes.


Apabila berurusan dengan pelanggan yang ideanya ataupun pendapatnya berbunyi bodoh, saudara boleh memilih untuk:


a. Diam. Diam dan angguk-angguk sahaja walaupun apa yang kita dengar itu hujah bodoh, cerita bodoh, ataupun pendapat bodoh, mengikut kayu ukuran kita yang pandai ini.


b. Ikut bercakap. Bercakaplah, tetapi gunakan gaya dan logik orang bodoh itu. Jika lawak itu bodoh, ikutlah sahaja berseronok menikmati lawak bodoh itu, ataupun sumbangkan lawak bodoh kita sendiri supaya interaksi sosial itu lebih menyeronokkan. Teknik ini dipanggil 'mirroring' atau 'bercermin', ada pakar menggunakan istilah 'aligning'. Ada orang Melayu menggunakan istilah 'ikut rentak'.


c. Ketawa. Senyum dan ketawa sahaja, kata orang Melayu 'buat bodoh' sahajalah. Orang bodoh pun suka apabila kata-katanya didengari orang, walaupun orang yang mendengar itu ketawa dibuat oleh kebodohannya.


Saudara boleh lakukan ketiga-tiga strategi di atas. Sekali pandang ketiga-tiganya macam bodoh, tetapi di sebalik tingkah laku kita yang nampaknya macam membodohkan diri sendiri itu adalah strategi pintar.


Dengan melakukan perkara-perara di atas, si bodoh itu akan mempunyai persepsi positif terhadap diri saudara. Dia akan suka kepada saudara. Penjaga-penjaga projek hanya menyerahkan projek-projek yang mereka urus kepada orang-orang yang disukai karektor dan personalitinya.


Manusia lebih mudah mendengar nasihat daripada orang-orang yang disukainya. Selepas saudara diberikan projek itu, perlahan-lahan, dari waktu ke waktu, beritahu si bodoh bagaimana saudara akan melaksanakan projek itu dengan lebih baik lagi!


Kata orang putih, dalam dunia bisnes dan dunia politik pejabat, jangan tunjukkan 'your ability' tetapi tunjukkan 'your acceptability'. Lebih kurang maksudnya, jangan tunjukkan kita ini lebih pandai daripada pelanggan kita, sebaliknya tunjukkan kita ini orang yang mudah diambil bekerja untuk mereka.


Akan disambung....


16. Pandai Mendengar Ini satu lagi kemahiran yang lazimnya sukar dikuasai oleh orang-orang pintar disebabkan orang pintar suka membuktikan kepintarannya.


Banyak kajian sudah membuktikan bahawa orang-orang yang mempunyai kemahiran mendengar lebih popular, lebih berjaya dan hidup lebih bahagia.


Kemahiran mendengar berbeza daripada kemahiran diam, walaupun orang yang tidak pandai diam tidak mungkin pandai mendengar. Orang yang diam mungkin dia diam sebab dia mahu mendengar ataupun mungkin sebab dia tidak mahu mendengar.


Lazimnya kita cuma suka mendengar apa yang kita suka dengar, ataupun apa yang kita hendak dengar, iaitu perkara-perkara yang menyukakan hati kita.


Mendengar bermakna mendengar apa yang kita tidak suka dan apa yang kita suka dengar.


Akan disambung....